Pages

Saturday 13 April 2013

PRU13: TUN MAHATHIR CALON PUTRAJAYA GANTI TENGKU ADNAN?

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, Dr Mahathir, bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, mempunyai pengaruh yang kuat dan kini dilihat begitu bekerja keras berkempen di seluruh negara.


TUN MAHATHIR CALON PUTRAJAYA GANTI TENGKU ADNAN?

Tun Mahathir calon Putrajaya ganti Ku Nan?


SHAH ALAM – Apakah  Tun Dr Mahathir Mohamad akan menentang calon Pas, Datuk Husam Musa merebut kerusi Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)?

‘Arkitek’ pembangunan Putrajaya itu dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang perkara berkaitan kerusi di kawasan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan itu.

Sumber Sinar Harian yang mendapat maklumat daripada Pejabat Perdana Menteri juga mengesahkan tentang pertemuan antara Najib dan bekas perdana menteri itu baru-baru ini.

Dr Mahathir yang menjadi perdana menteri sejak 1981 bersara pada Oktober 2003 dan tidak bertanding pada pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Beliau telah beberapa kali menyatakan tidak berhasrat untuk kembali aktif dalam politik termasuk bertanding dalam pilihan raya umum.

Bagaimanapun beliau berkempen dengan kuat bagi Umno dan BN sejak empat tahun lalu khususnya selepas Najib menjadi perdana menteri.

Dr Mahathir dipercayai mungkin mengambil keputusan bertanding kerusi Parlimen Putrajaya itu setelah mendapati sebahagian besar pengundi di Putrajaya adalah dari Kelantan di mana mempunyai sentimen kuat terhadap Pas dan calon Pas pula berasal dari Kelantan.

Kesungguhan Dr Mahathir menawarkan diri untuk bertanding pada kali ini dikatakan dibuat bagi memastikan Putrajaya yang dibangunkan dari pemikiran dan aspirasi beliau terus kekal di tangan BN.

Penganalisis politik, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata, Dr Mahathir, bekas Presiden Umno dan Pengerusi BN, mempunyai pengaruh yang kuat dan kini dilihat begitu bekerja keras berkempen di seluruh negara.

“Najib kemungkinan mengambil perhatian serius terhadap tawaran yang disuarakan bekas perdana menteri itu untuk bersaing Husam merebut kerusi Parlimen Putrajaya.

“Perdana menteri akan buat keputusan terbaik menentukan calon BN di kawasan tersebut dan kemungkinan terpengaruh dan mengambil kira tawaran Mahathir untuk bertanding itu,” katanya.

Najib dijangka mengumumkan senarai calon BN Selasa ini.

Mohamad yang juga ada mendengar berita mengenai hasrat Dr Mahathir bertanding di Putrajaya itu memberitahu, pemimpin berstatus negarawan itu akan berhadapan dengan dua implikasi jika bertanding kali ini.

“Pertamanya, jika Mahathir kembali bertanding dalam pilihan raya, ia akan melambangkan BN kini ketandusan calon boleh menang," katanya.

Keduanya, kata Mohamad, Dr Mahathir akan dilihat telah mengambil pendirian bertentangan dengan semangatnya sebelum ini yang sering menasihati pemimpin veteran berundur bagi memberi laluan muka baru.

“Sebelum ini Mahathir lantang menegur pemimpin veteran seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya berundur.



“Jika Mahathir bertanding pada PRU13 ini akan lebih memperlihatkan BN terdesak dan ketandusan calon,” katanya.

Mohamad juga tidak menolak kemungkinan faktor kenegerian memainkan turut memainkan peranan mempengaruhi undi.

"Penduduk di Putrajaya majoritinya adalah Melayu, generasi kelas menengah yang kini hidup selesa di mana mereka tidak kisah parti mana yang memerintah sama ada Pakatan Rakyat atau BN.

"Malah ia satu yang tidak mengejutkan jika ada yang mengatakan majoriti penjawat awam di situ berasal dari negeri Kelantan," katanya.

Sekarang terpulang kepada Setiausaha Agung Umno dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sama ada mahu beralah melepaskan kerusi itu.

Laporan media sebelum ini menyebut Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan akan bertanding mempertahankan kerusi tersebut.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment