Pages

Sunday 21 April 2013

CHE JOHAN CHE PA DIPANGGIL BERI PENJELASAN | TIDAK KEMUKAKAN BORANG PENCALONAN

Media melaporkan bahawa Che Johan tidak mengemukakan borang pencalonannya pada hari penamaan calon semalam, bagi mengelak pertandingan tiga penjuru, semata-mata untuk kebaikan parti dengan tidak mahu kerusi parlimen tersebut jatuh ke tangan Pas.


mustapa_mohamed
Datuk Seri Mustapa Mohamed

Mustapa: Che Johan Che Pa dipanggil beri penjelasan


KOTA BHARU - Biro Politik Badan Perhubungan Umno Kelantan hari ini memanggil Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa, untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mengejutnya tidak mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding bagi kerusi Parlimen Pasir Mas, semalam.
   
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Che Johan telah memberi penjelasan sebab beliau berbuat demikian.
   
"Kita amat dukacita dengan tindakan beliau. Tadi, saya telah memanggil beliau untuk membuat siasatan. Saya selaku Pengerusi BN negeri, harus tahu apa yang berlaku dan beliau telah memberi penjelasan sebab berbuat demikian.
   
"Saya akan adakan perbincangan lanjut, termasuk dengan Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pemimpin lain," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik itu, di Pusat Media BN Kelantan di sini, hari ini.
   
Katanya Umno dan BN memandang serius perkara itu dan menyerahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk membuat keputusan terhadap Che Johan.
  
Ketika ditanya mengenai penjelasan yang diberi Che Johan terhadap tindakan mengejutnya itu, Mustapa berkata ia sama seperti yang dilaporkan dalam media berhubung keputusan untuk tidak mengemukakan borang pencalonan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas.
   
Media melaporkan bahawa Che Johan tidak mengemukakan borang pencalonannya pada hari penamaan calon semalam, bagi mengelak pertandingan tiga penjuru, semata-mata untuk kebaikan parti dengan tidak mahu kerusi parlimen tersebut jatuh ke tangan Pas.
   
Tindakan Che Johan menyebabkan calon bebas yang juga penyandang kerusi Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali dicabar satu lawan satu oleh calon PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei ini.
   
Mustapa berkata BN Kelantan terkejut dan dukacita di atas tindakan Che Johan, yang disifatkan sebagai membelakangkan parti.
   
"Ini (menjadi calon dalam pilihan raya) satu penghormatan sebenarnya. Ramai yang berebut (hendak jadi calon).
   
"Kita memandang serius perkara ini dan kita telah menyatakan kepada Che Johan perasaan dukacita kami atas tindakan beliau yang membelakangkan keputusan parti," katanya.
   
Sementara itu, Mustapa turut mengingatkan semua jentera parti supaya tidak leka, dan memberi tumpuan penuh sepanjang tempoh berkempen 14 hari ini.
   
Jentera parti juga diingatkan supaya tidak menganggap kemunculan calon Bebas dalam kalangan anggota Pas sebagai kelebihan mudah untuk BN memenangi Kelantan, katanya.
   
"Ini mungkin sandiwara politik. Apa pun (parti) Bebas atau apa, kita hendak menang. Jangan sekali-kali kita terkeluar daripada perjuangan. Kita kena tumpu usaha sebab kita hendak menang," katanya.
   
Mengenai proses penamaan calon semalam, Pengerusi BN itu berpuas hati dengan kelancaran proses itu di seluruh negeri ini dan sikap penyokong yang tidak menimbulkan insiden tidak diingini serta anggota polis yang bertugas menjaga keselamatan awam.
   
Malah, beliau gembira terhadap sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat di Kelantan termasuk golongan wanita dan belia yang sudah menerima "gelombang merah" apabila mengenakan pakaian berwarna merah ketika mengiringi calon ke pusat penamaan calon.  - Bernama



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment