“Inilah kali pertama saya diserang penyakit pneumonia, sebelum ini tidak pernah menghidap apa-apa penyakit kronik,” tutur Aaron.
Aaron Aziz |
Aaron Aziz disahkan hidap pneumonia
SIAPA sangka aktor kacak yang merupakan pengacara bagi program realiti, Fear Factor Selebriti Malaysia mengalami masalah kesihatan ketika menjejakkan kaki di bumi Cape Town, Africa di awal penggambaran tahun lalu.
Gara-gara tidak mendapat rehat yang secukupnya selepas penggambaran filem arahan Ahmad Idham, dan terpaksa memakai pakaian basah seharian selepas memandu kereta terjun ke dalam kolam.
Tambahan pula cuaca di Cape Town mengalami perubahan setiap masa menyebabkan keadaan Aaron bertambah teruk.
Sempat menjalani penggambaran bagi episod pertama, Aaron kemudiannya ditahan di wad kerana disahkan menghidap pneumonia atau paru-paru berair.
“Selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, doktor menahan saya di wad kerana keadaan ketika itu sangat teruk dan tidak berdaya.
“Saya sempat tidur semalaman di wad, namun tidak selesa dengan keadaan wad yang dipenuhi warga emas, saya minta keluar dari hospital,” kata Aaron sambil ketawa.
Selepas keluar dari wad, Aaron mengambil keputusan berehat di hotel dan diberikan cuti selama seminggu.
“Lima hari tidak dibenarkan bekerja dan saya kembali mengacara semula dalam episod keempat.
“Inilah kali pertama saya diserang penyakit pneumonia, sebelum ini tidak pernah menghidap apa-apa penyakit kronik,” tutur Aaron.
Kaku mengacara
Menyentuh mengenai karier terbarunya sebagai pengacara, Aaron menegaskan dia tidak akan menerima sebarang tawaran untuk mengacara program melainkan Fear Factor.
Berpunca dari fobia terhadap pentas, dia bimbang tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan baik.
“Dalam Fear Factor sendiri saya telah dilabelkan sebagai kaku, apatah lagi di atas pentas. Begitu juga menyanyi, itu merupakan kali terakhir. Lepas ini tiada lagi,” tegas Aaron.
Selain itu, Aaron juga turut berdepan dengan masalah bahasa dan sukar untuk menerangkan perkataan-perkataan tertentu seperti kerangka besi dan jaring.
“Saya tidak biasa kerana apabila ditafsirkan ke Bahasa Melayu ia menjadi pelik,” katanya.
Sibuk mengarah
Bercerita mengenai perkembangan terbarunya pula, Aaron yang kini turut bergelar pengarah tidak menang tangan menjalani penggambaran bagi filem sentuhannya itu.
Menampilkan dirinya sendiri dan Nabil sebagai teraju utama, filem yang diberi judul Romeo Kota ini turut dibintangi oleh pendatang baru yang juga pengacara, Hanis Zalikha.
“Ia masih dalam penggambaran dan judul Romeo Kota ini pun hanya sekadar ‘working title’ sahaja. Sebaik tamat penggambaran saya akan menukarnya dan ia masih dalam perancangan,” katanya.
Sedikit mengenai Romeo Kota, ia mengisahkan dua pegawai polis (Aaron dan Nabil) memburu penjenayah di kota besar sehingga bertembung dengan pelbagai kerenah manusia.
Filem ini turut menyelitkan babak aksi, komedi dan romantik.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment