Pages

Friday 31 May 2013

ADINDA AGONG NYARIS 'DISERANG' DI THAILAND | PEMBANTU KHAS CEDERA

Menurut laporan Phuket Wan, mangsa dipukul empat lelaki ketika memasuki bilik hotel yang sepatutnya didiami Tunku Annuar, yang merupakan adinda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Adinda Agong nyaris ‘diserang’
Mohd Sobri sedang memberi maklumat kepada polis Thailand.

Adinda Agong nyaris ‘diserang’


ALOR SETAR - Pembantu khas  Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Bendahara, Tunku Annuar Sultan Badlishah diserang empat lelaki di resort lima bintang di Phuket, Thailand dalam kejadian Rabu lalu.


Mangsa, Mohd Sobri Said cedera di kepala, namun dilapor stabil.

Menurut laporan Phuket Wan, mangsa dipukul empat lelaki ketika memasuki bilik hotel yang sepatutnya didiami Tunku Annuar, yang merupakan adinda kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Sebelum itu, mangsa menyarankan agar dibuat pertukaran bilik hotel berikutan bimbang perkara tidak diingini berlaku kepada Tunku Annuar, tengah malam kejadian.

Ketika mangsa berjalan masuk ke dalam bilik itu, dia diserang termasuk dipukul teruk di kepala sehingga berdarah.

Berdasarkan maklumat awal polis Thailand, mangsa mendakwa diserang empat lelaki berbangsa Thai dan Malaysia. Suspek dipercayai guna kad akses bilik hotel untuk masuk ke bilik jam 10.30 malam.

Ketua Istiadat Istana Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, sejurus kejadian, Tunku Annuar dan rombongan terus pulang ke negara ini.

“Saya dimaklum tiada kecederaan babitkan ahli rombongan lain termasuk tiada barangan berharga dicuri. Beliau segera pulang bagi memastikan keselamatan beliau dan rombongan,” katanya.  

Tunku Annuar berada di Phuket sejak 27 Mei menghadiri persembahan FantaSea untuk menerima plak kenangan daripada penganjur, pada malam sebelum kejadian.

Rombongan kerabat itu menempah 10 bilik hotel di Patong’s Millennium Resort bersebelahan Komplek Beli Belah Jungceylon.

Dalam perkembangan sama, tiga lelaki ditahan di Sadao, Songkhla, petang semalam dipercayai ada kaitan dengan serangan terbabit.

Komander Polis Phuket, Mejar Jeneral Chote Chawanwiwat berkata, suspek turut curi pasport, kad pengenalan Malaysia, sebuah iPhone5, 14,660 baht dan RM640.

“Dua daripada empat lelaki yang menyerang mangsa ditahan dan dibawa ke Phuket untuk siasatan.
Seorang daripada mereka ditahan di sempadan Sadao dan seorang lagi di Wilayah Trang,” katanya, yang dipetik dari Phuket Wan.

Suspek yang ditahan dikenali sebagai Prakong Lisopa, 31, dan Sakorn Sisopa, 30.

“Dua lagi yang diburu adalah rakyat Malaysia. Motif serangan masih dalam siasatan, termasuk sama ada serangan disasarkan kepada Tunku Annuar atau pembantu khas beliau,” katanya.



Sinar Harian

SHAJIRY & YUSNITA BAKAL DISATUKAN ESOK, 1 JUN 2013

Menurut Shajiry, dia dan tunangnya, Yusnita Yusof memilih 1 Jun untuk disatukan, manakala resepsi akan diadakan pada 8 Jun ini di kampung halaman Shajiry di Kampung Tersusun, Perak.

Shajiry dan kad undangan perkahwinannya.

Shajiry akhiri zaman bujang esok

PELAKON dan juga penyanyi yang terkenal dengan lagu Orang Kita dan Hadirlah Kasih, Mohamad Shajiri Damery atau lebih dikenali dengan nama, Shajiry bakal melangsungkan perkahwinannya esok.

Menurut Shajiry, dia dan tunangnya, Yusnita Yusof memilih 1 Jun untuk disatukan, manakala resepsi akan diadakan pada 8 Jun ini di kampung halaman Shajiry di Kampung Tersusun, Perak.

"Persiapan telah siap 100 peratus dan kami hanya menunggu hari bahagia tersebut. Kami buat persiapan sejak awal tahun lagi supaya tidak kelam kabut.

"Saya telah mengenali dia sejak tiga tahun lalu dan mengikat tali pertunangan 9 Mac lalu. Tunang saya juga adalah rakan kongsi perniagaan saya,” ujarnya.

Berkongsi keistimewaan bakal isterinya itu, Shajiry berkata, dia terpikat dengan Yusnita kerana wanita itu memiliki sifat lemah lembut dan ciri-ciri seorang ibu yang penyayang.

"Saya bersyukur kerana hadirnya dia dalam hidup saya akan membuatkan hidup saya lebih teratur, makan dan pakai saya juga pasti akan lebih teratur," katanya.

Dalam pada itu, Shajiry berkata dia mungkin akan menangguhkan sesi bulan madu kerana bakal muncul dengan single terbaru berjudul ‘Hati Lelaki’ dan ‘Lupakan’ selepas berkahwin nanti.

Katanya, dia akan bergiat lebih aktif dalam bidang seni walaupun sudah mendirikan rumah tangga kerana mendapat sokongan daripada bakal isterinya itu.

"Saya akan kembali aktif menyanyi selepas berkahwin, tetapi agak payah untuk aktif bidang lakonan. Malah, ada antara tawaran berlakon yang terpaksa saya tolak kerana sibuk menguruskan perniagaan minyak wangi saya," jelasnya.


Sinar Harian

SALAHKAN BN DALAM TRAGEDI BOT KARAM | SHAFIE APDAL BIDAS KIT SIANG

"Tolonglah (Lim) Kit Siang, jangan terlalu emosi. Apabila berlakunya kemalangan jalan raya itu salah BN, bot karam itu pun salah BN.

Mohd Shafie Apdal
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

Shafie Apdal bidas Kit Siang salahkan BN dalam tragedi bot karam


KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini membidas Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menuding jari kepada Barisan Nasional (BN) berhubung insiden bot karam di Sarawak.
   
"Tolonglah (Lim) Kit Siang, jangan terlalu emosi. Apabila berlakunya kemalangan jalan raya itu salah BN, bot karam itu pun salah BN.
   
"Kami telah laksanakan banyak inisiatif, terutama dalam membangunkan Sabah dan Sarawak. Saya mengaku apa yang dilakukan belum cukup tetapi beritahu kami apa yang DAP sudah lakukan di Sabah dan Sarawak?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan Mara (SPR-IPMa) di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini.
   
Semalam, Lim dilapor portal berita sebagai mendakwa insiden itu merupakan bukti tragis kegagalan 50 tahun pembangunan di Sarawak yang masih tidak mempunyai akses jalan raya ke kawasan pedalaman.
   
Selasa lepas, sebuah bot ekspres sarat dengan penumpang yang ingin pulang meraikan Hari Gawai, karam di kawasan Jeram Tukok/Jeram Bungan berhampiran Sungai Rajang, kira-kira 40 minit perjalanan dari Sibu, Sarawak.

Setakat ini polis mengesahkan satu mayat sudah dijumpai, empat masih hilang, manakala 200 mangsa terselamat.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata semua pihak seharusnya menjadikan tragedi itu sebagai iktibar serta meningkatkan mutu pentadbiran dan pengurusan, terutama dalam sistem pengangkutan bagi menjamin keselamatan penumpang.
   
"Pihak pengurusan dan pentadbiran bot ekspres terutamanya, harus memperketatkan jumlah muatannya mengikut saiz bot dengan hanya membawa jumlah penumpang yang dibenarkan sahaja, contohnya bot itu hanya boleh muat 70 orang maka ikutlah peraturan.
   
"Jika perkara ini tidak dititikberatkan, maka kemalangan yang sama juga boleh berlaku pada masa hadapan dan untuk mengelakkannya, sistem pengurusan perlu diselaraskan bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin," katanya.
   
Terdahulu ketika berucap, Mohd Shafie berkata inisiatif untuk menubuhkan sekretariat di setiap IPMa diharap dapat memberi pemahaman dan penekanan kepada tenaga pengajar dan pelajar berkenaan gejala rasuah, seterusnya mendedahkan mereka tentang kepentingan integriti dan antirasuah.
   
"Isu antirasuah dan pemupukan masyarakat berintegriti ini perlu dititikberatkan, apatah lagi golongan sasaran yang terdiri daripada pelajar yang merupakan pewaris yang akan menjawat jawatan penting, sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta pada masa akan datang," katanya.
   
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Abu Kassim Mohamed yang turut hadir, berkata tujuh IPMa menyertai program itu, iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Institut Kemahiran Malaysia, Kolej Mara, German-Malaysia Institute dan Kolej Profesional Mara. - Bernama



Sinar Harian

GANJIL: POKOK PISANG BERBUAH DI BATANG

Mahadi Johan, 71, berkata, dia hanya menyedari keganjilan itu kira-kira seminggu lalu ketika mahu membersihkan kawasan rumahnya.

Berbuah di batang pokok
Mahadi menunjukkan pokok pisang unik yang mengeluarkan buah pada batang di rumahnya, semalam.

Berbuah di batang pokok


MUAR – Seorang pesara terkejut apabila mendapati salah satu daripada pokok pisang miliknya yang ditanam di kawasan rumahnya di rumahnya di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap di sini, mengeluarkan buah di batang.

Mahadi Johan, 71, berkata, dia hanya menyedari keganjilan itu kira-kira seminggu lalu ketika mahu membersihkan kawasan rumahnya.

“Pokok pisang bakar ini tumbuh daripada anak pokok selepas pokok asal yang ditanam oleh ibu mertua kira-kira tiga tahun lalu di bahagian tepi rumah ditebang.

“Pokok berusia setahun dengan ketinggian hampir 2.5 meter ini mempunyai enam sisir pisang. Ia dijangka boleh dipetik dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, pisang itu sesuai dijadikan sebagai sayuran dan lebih enak jika dimasak lemak berbanding pisang-pisang yang lain kerana teksturnya yang lembut.

Menurut Mahadi, selepas bersara 15 tahun lalu, dia banyak meluangkan masa bercucuk tanam di sekitar kawasan rumah sebagai hobi.

“Selain pisang, saya ada tanam beberapa tumbuhan lain seperti pokok lada, keladi dan pelbagai jenis buah-buahan.

“Tapi saya tidak sangka kali ini berpeluang melihat sendiri kelainan pada pokok pisang setelah hampir 10 tahun terlibat dengan aktiviti bercucuk tanam,” katanya.

Katanya, buat masa ini, hanya keluarga terdekat yang mengetahui keunikan pisang berkenaan.

“Saya tidak pasti pisang ini ada maksud tersendiri ataupun sebaliknya, namun saya akan jaga buahnya dengan teliti supaya matang mengikut tempohnya.

“Saya juga tidak bercadang untuk menjualnya dan mungkin akan dimakan oleh sesi keluarga,” katanya.



Sinar Harian

SUARA HATI Dr MOHAMAD KHIR TOYO

BERIKUT adalah petikan dari blog bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Khir Toyo
Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo di luar Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di Putrajaya, semalam

Suara hati Dr Khir

BERIKUT adalah petikan dari blog bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Putus Sudah Harapan?

1. Semalam, Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan sebulat suara menolak rayuan saya. 

2. Saya akan merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan ini tapi saya tidak mengharapkan peluang untuk dibebaskan secerah semasa kes ini di Mahkamah Rayuan.

3. Saya hadir ke Mahkamah Rayuan dengan harapan yang tinggi kerana saya percaya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan rasuah mahu pun pecah amanah.

4. Saya membeli rumah dengan harga pasaran. Saya tidak memberi apa-apa keistimewaan kepada Shamsudin Haryoni berbanding syarikat-syarikat lain yang melakukan usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

5. Saya dimaklumkan bahawa tuduhan ke atas saya di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Dengan kata lain, apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga yang tidak mencukupi daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam. 

6. Saya tidak pasti bagaimana mahu membeli rumah kerana hampir kebanyakan "developer" mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai Menteri Besar Selangor.

7. Sudah tentu ada yang berkata belilah rumah mengikut harga sebenar. Saya bersetuju dengan pandangan tersebut. Sebab itu saya minta diadakan penilaian ke atas rumah separuh siap yang mahu dijual oleh Shamsuddin kepada saya. 

8. Rahim and Co dan HSBC menilai rumah tersebut pada harga RM 3.5 juta. Penilai Rahim and Co memberi keterangan terperinci dalam Mahkamah mengenai cara penilaian dibuat. Keterangan beliau tidak dicabar oleh Pendakwa Raya. Malangnya ia tidak diambil pakai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

9. Sepanjang tempoh perbicaraan ini terdapat 4 nilai harga rumah tersebut dibawa oleh pendakwa raya. Pertama ialah harga RM 6.5 juta, harga yang dibeli oleh Shamsuddin daripada pemilik pertama. Harga kedua, ialah RM 5.2 juta yang kononnya dibuat oleh Trans Asia atas permintaan Shamsuddin sebelum pembelian dilakukan. Shamsuddin tidak pernah menunjukkan kepada saya laporan tersebut dan ini diakui sendiri oleh beliau di dalam Mahkamah.

10. Pendakwa raya juga membentangkan laporan oleh Henry Butcher yang dibuat pada 2009, iaitu hampir 3 tahun selepas rumah tersebut saya beli dan siapkan.

11. Peguambela saya membentangkan dua nilaian. Satu daripada Irhamy and Co yang menilai rumah tersebut sebanyak RM 4.3 juta semasa Shamsudin membeli rumah tersebut pada 2005. Nilaian ini dibuat setelah Shamsuddin memohon untuk melakukan pinjaman cagaran ke atas kediaman tersebut dengan Maybank.

12. Nilaian kedua adalah nilaian Rahim and Co sebanyak RM 3.5 juta yang dilakukan ketika saya membeli rumah tersebut yang separuh siap apabila Shamsuddin meroboh dan membina semula.

13. Saya masih ingat tulisan dan pertanyaan seorang penulis sebuah portal yang menulis artikel bertajuk Adakah Anda Bergurau Tuan Hakim? Saya tidak pasti jika hakim menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut.

14. Semalam, peguam saya, Datuk Seri Shafee Abdullah bangun mengemukakan pertanyaan kepada tiga orang panel hakim hari ini, "Apakah benchmark atau tanda aras untuk menyatakan pembelian ini merupakan satu pembalasan yang tidak mencukupi."

15. Pertanyaaan ini bukan sahaja tidak dijawab oleh Hakim Mahkamah Tinggi tetapi juga oleh tiga panel hakim Mahkamah Rayuan. Ini bermakna saya tidak mungkin mendapat sebarang perbicaraan yang munasabah pada akal logik. 

16. Panel Hakim menyatakan hakikat saya mengetahui rumah tersebut sebelumnya ditawarkan kepada saya RM 7 juta dan Shamsuddin membeli dengan harga RM 6.5 juta menunjukkan saya mengetahui balasan yang saya berikan tidak mencukupi.

17. Apakah masuk akal untuk saya membeli rumah separuh siap dengan harga rumah yang siap bersama perabot dan kolam renang yang dibeli Shamsuddin pada 2005? Jika berdasarkan pertuduhan inilah kesalahan saya. Namun sehingga dua Mahkamah saya lalui, tiada satu pun bukti menunjukkan harga RM 6.5 juta tersebut merupakan harga pasaran yang sebenar. 

18. Empat orang hakim masih tidak boleh memberi saya tanda aras apa yang sepatutnya saya guna untuk membeli rumah tersebut. Jadi bagaimana saya seorang yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai undang-undang boleh membuat keputusan yang tidak menyalahi undang-undang?

19. Dan jika nilaian oleh penilai bebas yang bertaraf antarabangsa seperti Rahim and Co dan bank antarabangsa seperti HSBC tidak boleh diterima pakai oleh Undang-undang dalam menentukan nilai sebenar hartanah tersebut, keadilan apa lagi yang mahu kita cari?

20. Saya percaya saya akan tetap bersalah walau apa pun bukti dibawa. Cuma saya berharap panel lima hakim akan datang menyatakan dengan jelas apakah tanda aras sebenar balasan tidak mencukupi tersebut. 

21. Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya.

22. Tapi sekurang-kurangnya saya berharap para Hakim akan memberi penghakiman yang jelas agar tidak ada lagi penjawat awam menjadi seperti saya - mangsa yang boleh  dimanipulasi untuk kepentingan politik!

Rasuah

23. Walau apa pun tanggapan mereka yang tidak suka dengan saya, tapi hakikatnya saya tidak melakukan rasuah. Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal. 

24. Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah. 

25. Rasuah apa? Sokongan saya terhadap cadangan memajukan tanah secara usahasama ke atas syarikat milik Shamsuddin dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal yang saya tidak ketuai. Malah keterangan pegawai PKNS menunjukkan banyak sokongan saya juga ditolak. 

26. Shamsuddin memohon pengecualian Bon dan disokong oleh saya tetapi ditolak oleh PKNS. Jadi untuk apa Shamsuddin merasuah saya? 

27. Malahan dalam keterangan Shamsuddin, beliau sendiri mengakui bahawa beliau yang menawarkan untuk menjualnya kepada saya, bukannya saya yang meminta untuk membeli.

28. Memanglah ada "rempah ratus" pendakwa raya dari saksi-saksi yang bermusuhan dengan saya atau terpaksa kerana telah didakwa bersama saya terlebih dahulu. Namun hakikat utama dalam kes ini bahawa saya membeli rumah dengan balasan tidak mencukupi masih merupakan satu kenyataan yang sangat kabur.

29. Saya bangga sekurang-kurangnya saya membeli rumah dengan titik peluh saya bukan menggunakan wang kerajaan.



Sinar Harian

Thursday 30 May 2013

'MALAYSIA INTERNATIONAL IRONBOUND 24-HOUR CHALLENGE' | HADIAH LUMAYAN MENANTI PEMENANG

Pengarah Operasi Malaysia International Ironbound Shamsuri Abdul Latif berkata jumlah hadiah itu meningkat dengan ketara berbanding RM20,000 yang ditawarkan pada edisi lepas berikutan penyertaan lebih ramai peserta profesional dari luar negara.

'MALAYSIA INTERNATIONAL IRONBOUND 24-HOUR CHALLENGE' | HADIAH LUMAYAN MENANTI PEMENANG
- Gambar Carian Google

Hadiah lumayan menanti pemenang 'Malaysia International Ironbound 24-Hour Challenge'


BUAT julung kalinya hadiah lumayan berjumlah US$22,000 (kira-kira RM68,000) menanti pemenang pada 'Malaysia International Ironbound 24-Hour Challenge' edisi kelapan di Pulau Langkawi, Kedah dari 21 hingga 22 Jun depan.
   
Pengarah Operasi Malaysia International Ironbound Shamsuri Abdul Latif berkata jumlah hadiah itu meningkat dengan ketara berbanding RM20,000 yang ditawarkan pada edisi lepas berikutan penyertaan lebih ramai peserta profesional dari luar negara.
   
Beliau berkata sebanyak 50 peserta luar negara termasuk dari England, Eropah, Hong Kong, Singapura selain peserta Malaysia sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan.
   
"Peserta yang menyertai kejohanan ini adalah mereka yang menjadikan sukan lasak sebagai profesion...sebab itu, hadiah wang kemenangan dinaikkan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
   
Sukan lasak itu, yang diperkenalkan pada 2002, mencabar fizikal dan mental peserta kerana mereka perlu melepasi halangan sejauh 150km dalam masa 24 jam meliputi enam disiplin berbeza seperti 'in-line skating', 'high roping', 'sea kayaking', 'orienteering', 'mountain biking' dan 'trail running' yang akan melibatkan sebahagian Pulau Langkawi.

Shamsuri berkata para peserta juga akan bertanding secara berpasukan dalam kategori terbuka lelaki dan campuran dengan setiap pasukan perlu diwakili empat peserta.
   
"Kita memilih Langkawi sebagai tempat kejohanan kali ini kerana Langkawi sinonim dengan acara sukan lasak. Jika diberi keizinan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), kami mahu menjadikan ia sebagai perintis kepada acara dwitahunan (di Langkawi)," katanya.
   
Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli pula berkata beliau memberi sokongan penuh jika kejohanan sukan lasak itu dijadikan acara dwitahunan di pulau berkenaan.
   
Saingan itu yang pernah mendapat pengiktirafan daripada 'Sport Tourism Malaysia' sebagai penganjuran kejohanan cemerlang pada 2003, meyaksikan pasukan Malaysia memenangi kategori terbuka lelaki dan Singapura dalam aksi campuran di Lumut, Perak tahun lepas. - Bernama



Sinar Harian

SELANGOR: SENARAI PORTFOLIO DAN EXCO

ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang memegang jawatan sebagai Menteri Besar.  Antara bidang tugas termasuklah urusan  Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Penerangan dan Jawatankuasa Adat Melayu.

Exco Selangor
Senarai portfolio dan Exco Selangor

Senarai portfolio dan Exco Selangor


ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Khalid Ibrahim memegang memegang jawatan sebagai Menteri Besar.  Antara bidang tugas termasuklah urusan  Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Penerangan dan Jawatankuasa Adat Melayu.

Adun Chempaka, Iskandar Abdul Samad
-Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar

Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali
-Pendidikan dan Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan

Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi
-Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam

Adun Sabak, Sallehen Mukhyi
-Hal Ehwal. Islam, Pemodenan Pertanian, Pembangunan Desa

Adun Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim
-Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan

Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah
-Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram

Adun Kota Alam Shah, Ganabatirau Veraman
-Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail
-Kebajikan, Hal Ehwal Wanita

Adun Bukit Lanjan, Elizabeth Wong
-Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar

Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi
-Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi



Sinar Harian

SULTAN SELANGOR TITAH KERAJAAN NEGERI TUNAI JANJI MANIFESTO PRU

Baginda bertitah manifesto yang dibuat oleh sesebuah parti adalah "satu janji dengan rakyat" yang mesti dilaksanakan tanpa berlengah apabila mereka memerintah negeri.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

Sultan titah Kerajaan Selangor tunai janji manifesto PRU

KLANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pimpinan kerajaan negeri yang diteraju gabungan parti Pas, Parti Keadilan Rakyat dan DAP menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya yang lepas, secara adil dan saksama berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor.
Baginda bertitah manifesto yang dibuat oleh sesebuah parti adalah "satu janji dengan rakyat" yang mesti dilaksanakan tanpa berlengah apabila mereka memerintah negeri.
"Oleh itu, amatlah penting ianya (manifesto) ditunaikan dan janganlah melupakan rakyat yang menaruh penuh harapan untuk menikmati sebuah negeri yang aman makmur dalam suasana rakyat hidup dengan penuh harmoni," titah baginda pada majlis pengurniaan watikah pelantikan dan mengangkat sumpah Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Sultan Selangor menyeru pimpinan kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membangunkan program yang memberi impak sebenar kepada negeri itu untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran.
Titah baginda setiap tanggungjawab yang dipikul hendaklah dikendalikan secara intelektual, bukan secara emosi dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing.
"Apabila menjalankan tugas, Ahli-ahli Yang Berhormat mestilah berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang telah digariskan dan janganlah sekali-kali melanggar undang-undang ini serta membuat sesuatu dengan mengikut kehendak hati semata-mata," titah baginda sambil mengingatkan wakil rakyat Selangor menjauhkan diri daripada amalan rasuah.
Dalam pada itu, Sultan Selangor mengingatkan wakil rakyat Selangor yang dipilih memahami kehendak dan keperluan rakyat dan sentiasa menitikberatkan perpaduan berteraskan konsep muhibah antara kaum.
Titah baginda, keutamaan perlu diberi kepada memajukan negeri Selangor di samping memastikan kehidupan rakyat berbilang kaum berada dalam keadaan selesa dan aman sehingga ke generasi akan datang.
Titah baginda, wakil rakyat Selangor hendaklah sentiasa berdamping dengan rakyat untuk mengetahui kehendak dan keperluan mereka serta mengatasi masalah-masalah yang dihadapi mereka.   
"Janganlah apabila memerlukan undi, Ahli-ahli Yang Berhormat menjanjikan bulan dan bintang serta sanggup melawat mereka sehingga ke dapur rumah mereka, tetapi apabila telah mendapat undi dan memperolehi kemenangan, kelibat Ahli-ahli Yang Berhormat sekelian pun tidak kelihatan.
"Beta tidak berkenan mereka yang telah mendapat mandat mengambil kesempatan untuk memperolehi sesuatu demi kepentingan diri sendiri," titah baginda. - Bernama

Sinar Harian

PAHANG vs JOHOR: TUNKU ISMAIL CADANG LAWAN DALAM STADIUM KOSONG

Tunku Ismail berkata ia perlu demi menjamin keselamatan penyokong Pahang dan Johor DT memandangkan insiden kekecohan yang berlaku di Stadium  Darul Makmur semalam, belum reda.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

TMJ cadang perlawanan Pahang-Johor dalam stadium kosong


JOHOR BAHRU - Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mencadangkan perlawanan separuh akhir  kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini, diadakan tanpa kehadiran penonton.

Tunku Ismail berkata ia perlu demi menjamin keselamatan penyokong Pahang dan Johor DT memandangkan insiden kekecohan yang berlaku di Stadium  Darul Makmur semalam, belum reda.

"Untuk keselamatan tidak payah penyokong kerana kita mahu atasi perkara tidak sepatutnya berlaku. Keselamatan penyokong lebih mustahak," katanya  kepada pemberita di Istana Bukit Pelangi, di sini, malam ini.

Tunku Mahkota Johor itu berkata beliau juga akan mengemukakan surat rasmi berhubung cadangan terbabit kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).      Menurut Tunku Ismail kekecohan yang berlaku tersebut wajar ditangani segera kerana tidak mahu insiden seumpama itu mencemarkan imej bola sepak  negara.

Dalam pada itu, baginda berkata PBNJ akan memasang alat pengesan logam di stadium dalam masa terdekat supaya sebarang senjata tidak terlepas  masuk demi menjamin keselamatan penonton.

"Kompang, gendang dan botol minuman juga tidak akan dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium selepas ini demi mengelakkan sebarang kejadian yang  tidak diingini," katanya. - Bernama



Sinar Harian

Wednesday 29 May 2013

IZZUE ISLAM BAKAL NIKAHI AWIN NURIN AHAD INI

“Sebenarnya, saya sudah lama bercinta dengan Awin Nurin. Sudah lima tahun. Masa itu, Izzue bekerja di kedai makan di kawasan Petaling Jaya dan Awin memiliki sebuah salun kecantikan bersebelahan tempat kerja Izzue.

Izzue
IZZUE ISLAM AKHIRI ZAMAN BUJANG DENGAN AWIN NURIN AHAD INI

Istimewa Awin Nurin di mata Izzue Islam


UMUM sudah mengetahui, pelakon kacak, Izzue Islam bakal mengakhiri zaman bujangnya, Ahad ini dengan Awin Nurin yang juga pengurusnya.

Berkonsepkan perkahwinan dalam taman, pasangan ini bakal bernikah pada jam 9 pagi dan bersanding pada jam 2 petang di Shah Alam.

Tarikh 2 Jun begitu istimewa buat Izzue Islam atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan kerana pelakon utama Sebenarnya Saya Isteri Dia ini menyambut ulang tahun ke-23 pada tarikh tersebut.

Izzue akui sudah bercinta dengan Awin sebelum bergelar artis lagi.

“Sebenarnya, saya sudah lama bercinta dengan Awin Nurin. Sudah lima tahun. Masa itu, Izzue bekerja di kedai makan di kawasan Petaling Jaya dan Awin memiliki sebuah salun kecantikan bersebelahan tempat kerja Izzue.

"Dari situlah, kami berkenalan. Dia pesan makanan dan Izzue pergi hantar. Mula-mula kami berkawan baik dan akhirnya bercinta sampailah Izzue menjadi artis,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui baru-baru ini.

Ketika ditanya tentang gadis pilihan hatinya itu, Izzue lancar menyenaraikan istimewanya seorang Awin Nurin di matanya.

“Dia adalah diri dia. Dia tegas dalam bekerja. Dia pengurus Izzue, jadi kalau lambat bangun ke apa ke memang kena. Dia ada pendirian, seorang yang berdisiplin, peramah, sopan. Dia...macam-macamlah.

“Pahit, manis, pedas, masam, masin, kenyang, lapar, susah, senang, jatuh, bangun...semua kami sudah rasa. Dia yang selalu beri Izzue semangat selain daripada ibu bapa dan kawan-kawan Izzue,” katanya yang sedang menanti hari diijabkabulkan dengan penuh debaran.

Pelakon yang berasal dari Kelantan ini juga menegaskan keyakinan bahawa dirinya tidak tersilap dalam memilih teman hidup.

“Izzue yakin, Izzue tidak salah pilih orang untuk dijadikan teman hidup. Susah senang Izzue dia memang ada bersama Izzue.

“Macam Izzue cakap, rugi kalau Izzue lepaskan seorang wanita yang memang Izzue dah kenal hati budi dia,” katanya yang bakal mengadakan majlis sambut menantu di Kelantan pada Aidilfitri kelak.

Bercakap soal bulan madu, pasangan ini terpaksa menangguhkan perancangan untuk berbulan madu sehingga bulan Julai kerana jadual Izzue yang padat.

“Memang kami ada rancang tapi tak pasti lagi. Sebab Izzue bercuti hanya seminggu sahaja untuk berkahwin. Selepas itu, Izzue akan sambung balik penggambaran untuk drama Sahabat terbitan Suhan Movies.

“Bulan Julai akan habis penggambaran, barulah boleh fikir tentang bulan madu,” katanya.

Pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-25 ini juga berserah kepada ALLAH untuk dikurniakan zuriat dan tidak merancang apa-apa mengenainya.  

“Izzue anggap perkahwinan ini satu rezeki dan sesiapa yang berkahwin mahukan zuriat. Izzue juga sama seperti orang lain. Tapi tak rancang. Kalau ada, adalah. Kalau lambat, tak ada rezeki lagi tak apa. Tunggu sampai Tuhan bagi rezeki.

“Kalau ALLAH bagi satu pasukan bola, pasukan bola lah,” katanya lagi.



Sinar Harian

DITIPU BANK PAJAK GADAI ISLAM / AR-RAHNU

“Bila saya persoalkan perkara itu, pihak bank memberi penjelasan bahawa mereka mempunyai hak untuk tidak memberitahu pelanggan dan prosedur tersebut dikuatkuasakan seminggu lalu. Walhal sebelum ini pelanggan hanya perlu bayar upah simpanan bulanan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, semalam.

Ditipu pajak gadai Islam
Abdul Salim Putera menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pekan Baru semalam.

Ditipu pajak gadai Islam

IPOH – Sepasang suami isteri mendakwa ditipu sebuah bank yang menjalankan sistem pajakan emas Islam atau Ar-Rahnu berikutan perlu membayar satu jumlah yang besar hanya untuk memperbaharui surat gadaian.

Lebih memburukkan keadaan, bank tersebut mengenakan RM 2,649.90 jika mereka mahu memperbaharui empat surat gadaian tersebut.


Ditipu pajak gadai Islam
Abdul Salim Putera memaparkan jumlah upah simpanan bulanan yang tidak sampai RM450 sebulan.

Abdul Salim Putera Ahmad Shibi, 39, mendakwa, apa yang lebih menyedihkan dia tidak dimaklumkan oleh pihak bank tentang prosedur baru yang dikenakan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan pihak bank bahawa saya perlu membayar jumlah berkenaan jika mahu memperbaharui empat surat gadaian ketika datang ke pejabat mereka di Jalan Sultan Idris Shah.

“Bila saya persoalkan perkara itu, pihak bank memberi penjelasan bahawa mereka mempunyai hak untuk tidak memberitahu pelanggan dan prosedur tersebut dikuatkuasakan seminggu lalu. Walhal sebelum ini pelanggan hanya perlu bayar upah simpanan bulanan sahaja,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Baru, semalam.

Abdul Salim merasa tertipu apabila bank tersebut tidak langsung menghubunginya atau menerangkan kepadanya prosedur tersebut yang nyata amat membebankannya.

“Saya pilih bank berkenaan kerana mereka tawarkan gadaian cara Islam. Namun apabila terjadi kes seperti ini saya amat kecewa malah apabila saya siasat, ramai lagi yang terkena seperti saya.

“Sikap bank berkenaan seolah-olah mencekik darah pelanggan kerana menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya selain mengubah prosedur sesuka hati," katanya.

Abdul Salim turut membuat laporan di Kementerian Perdangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan berharap pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.


Sinar Harian

SITI NORDIANA TEMUI PENGGANTI | SERASI BERSAMA ALAN

“Alan dan saya berjumpa ketika saya membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh Selangor. Hari itu saya menyanyikan lagu Memori Berkasih dan saya jemput mereka yang hadir ke pentas menyanyikan lagu itu bersama saya. Alan naik dan kami terus berduet dan semua yang mendengar suaranya terpegun.

Siti Nordiana
Siti Nordiana dan Alan. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

Siti Nordiana temui pengganti

SUATU ketika dahulu, nama Siti Nordiana,29, atau lebih dikenali sebagai Nana sangat sinonim bersama pasangan duetnya, Allahyarham Achik Spin.
Gandingan mereka begitu memukau sehingga mendapat jolokan pasangan duet paling popular pada 2000.

Alan - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


Namun di saat mereka kembali untuk bekerjasama, Nana terpaksa menerima hakikat bahawa dia telah kehilangan Achik selama-lamanya apabila rakan duetnya itu terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2010.

Biarpun ketiadaan Achik, namun lagu-lagu duet mereka; Gurauan Berkasih, Memori Berkasih, Mainan Cinta dan Resipi Berkasih, sentiasa segar di ingatan.   


Siti Nordiana - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI


Menurut Nana, kenangan manis bersama arwah juga sememangnya sukar untuk dilupakan bahkan dia berasa janggal apabila terpaksa menyanyikan lagu duet mereka secara solo.

"Saya dan Achik mula terkenal apabila kami digandingkan bersama, pastinya kenangan bersama Achik sukar untuk dilupakan kerana dia seorang kawan yang baik.

"Selama 13 tahun kami digandingkan bersama dalam industri seni, memang sukar untuk mencari pengganti seperti arwah," katanya.

Serasi bersama Alan

Cinta yang menebal dalam bidang nyanyian membuatkan bekas isteri kepada Allahyarham pelakon Faizal Yusof ini mula mencari pengganti teman duetnya. Malah teman barunya yang bernama Alan itu memiliki suara yang hampir sama dengan Achik.
"Memang sekarang saya sudah ada pengganti Achik, tetapi bukanlah secara kekal. Jika anda mendengar suaranya, saling tak ubah seperti suara Achik, tambahan dia adalah peminat kami berdua.

“Alan dan saya berjumpa ketika saya membuat persembahan di sebuah pusat beli-belah di Sungai Buloh Selangor. Hari itu saya menyanyikan lagu Memori Berkasih dan saya jemput mereka yang hadir ke pentas menyanyikan lagu itu bersama saya. Alan naik dan kami terus berduet dan semua yang mendengar suaranya terpegun.

“Sejak itu kami berdua serasi dan saya selalu mengajaknya mengadakan persembahan bersama terutama pada hujung minggu. Sampai ke Labuan, Sabah, saya membawanya. Bagaimanapun, dia tak boleh ikut saya selalu kerana dia bertugas sebagai seorang guru di salah sebuah sekolah.

“Pun begitu, Alan tidak mahu terlalu menonjolkan dirinya kerana dia menyanyi kerana hobi, tidak serius mahu menjadi penyanyi,” katanya.

Agak lama tidak muncul dengan lagu baru, Nana berkata, dia tetap berharap dapat muncul dengan karya baru.

“Sebagai penyanyi, saya perlu hasilkan lagu terbaru, selepas tiga empat tahun masih menyanyikan lagu lama. Tahun ini saya bercadang rakam lagu baru sekurang-kurangnya single.

“Jemu juga apabila pergi show, asyik menyanyikan lagu lama. Sesuai dengan perubahan diri, saya teringin nak buat lagu berkonsepkan Islamik,” katanya.

Dalam pada itu, Nana sempat berkongsi mengenai perniagaan tudung online terbarunya iaitu Adra SNB miliknya sendiri yang mendapat sambutan amat menggalakkan dari pelanggan.

Bukan saingan Achik

Bagi Mohd Noorazlan Shamsuddin, yang lebih mesra dipanggil Alan, dia merasa gembira apabila dapat bergandingan bersama Nana kerana sejak dulu lagi dia sangat meminati Achik dan Nana.
"Saya begitu gembira apabila diberi peluang untuk berduet bersama Nana.
Sejak kemunculan mereka saya memang minat dengan lagu mereka.
"Saya pun tidak menyangka niat saya untuk berduet dengan Nana tercapai ,"katanya.
Tambah Alan, dia juga tidak berniat untuk menggantikan arwah Achik , malah saya menyanyi bersama Nana hanya sekadar hobi dan tidak berniat untuk serius dalam industri hiburan tanah air.
"Suara dimiliki Achik tiada tandingan, mungkin gandingan untuk saya bersama Nana hanya kebetulan," katanya.

Sinar Harian