Pages

Monday 27 May 2013

KERETA DIKEJAR POLIS REMPUH KHEMAH MAJLIS KAHWIN | BAYI 18 BULAN MAUT

“Apabila suspek menyedari keretanya diekori, dia cuba melarikan diri dan merempuh ke arah khemah dipenuhi tetamu yang sedang menghadiri jamuan majlis perkahwinan.

Tragedi majlis kahwin
Thamilarasan

Tragedi majlis kahwin


IPOH - Kegembiraan meraikan satu majlis perkahwinan di Kampung Kopisan, Gopeng, di sini, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang bayi lelaki berusia 18 bulan maut dirempuh sebuah kereta yang dikejar anggota peronda polis, kelmarin.

Mangsa, T Thamilarasan maut selepas dirempuh kereta jenis Proton Persona berwarna perak yang dinaiki empat individu tidak dikenali dalam kejadian jam 11.30 malam.


Mayat mangsa dibawa keluar dari Jabatan Forensik HRPB selepas dibedah siasat.


Bapa mangsa, T Thenarasu, 24, yang bekerja sebagai kelindan lori berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan anak lelakinya sedang menikmati makanan di bawah khemah pada majlis perkahwinan saudaranya itu.

Menurutnya, suasana di rumah tersebut meriah dengan tarian dan nyanyian serta jamuan makan yang disertai ahli keluarga serta rakan-rakan yang hadir.

“Bagaimanapun, kemeriahan itu hanya sementara apabila sebuah kereta jenis Proton Persona merempuh khemah yang didirikan di hadapan rumah.

“Anak saya, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang wanita warga emas tercampak selepas dilanggar kereta berkenaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar sedang menjalankan Ops Bersepadu di kawasan Gopeng dan Kampar.

Menurutnya, ketika rondaan dijalankan, pihaknya berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang dipandu seorang lelaki dikehendaki polis.

“Apabila suspek menyedari keretanya diekori, dia cuba melarikan diri dan merempuh ke arah khemah dipenuhi tetamu yang sedang menghadiri jamuan majlis perkahwinan.

“Rempuhan itu mengakibatkan kecederaan parah pada tiga mangsa iaitu, wanita berusia 58 tahun, kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan bayi berusia 18 bulan.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Kampar untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun, bayi terbabit dipindahkan ke HRPB namun disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi tadi (semalam),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu  memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian.

“Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM20,000 dan penjara tidak lebih 20 tahun serta dikenakan hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berikutan itu, beliau meminta supaya orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment