Pages

Sunday 30 June 2013

SITI NURHALIZA RANCANG AMBIL ANAK ANGKAT DARI GAZA

"Apa salahnya (ambil anak angkat dari Gaza), sekiranya boleh... tapi saya dimaklumkan awal-awal di mana mereka tidak membenarkan kanak-kanak keluar dari Gaza.

Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI

Siti rancang ambil anak angkat


PENYANYI tersohor, Datuk Siti Nurhaliza mengakui berhasrat untuk mengambil anak angkat dari Gaza.

Namun, hasrat murni itu terhalang dek aturan di Gaza yang mana anak-anak tidak dibenarkan keluar dari bumi itu.

Berpeluang menemuinya di Majlis Minum Petang Amal, 'Rebuild For A Gaza Nation' anjuran Mapim dengan kerjasama Rabbani Production, semalam, penyanyi berusia 34 tahun ini berkongsi tentang perkara tersebut.

"Apa salahnya (ambil anak angkat dari Gaza), sekiranya boleh... tapi saya dimaklumkan awal-awal di mana mereka tidak membenarkan kanak-kanak keluar dari Gaza.

"Bagi mereka, jika kanak-kanak ini dibawa keluar oleh keluarga angkat, siapa lagi yang akan mempertahankan bumi mereka.

"Kalau ALLAH beri saya satu keajaiban... saya bawa balik bayi dari Gaza, memanglah saya nak jaga sangat tapi saya percaya, mereka sangat diperlukan di sana," katanya kepada pemberita.

Terdapat 18,000 kanak-kanak di Gaza yang kehilangan ibu bapa dan hanya 500 daripadanya menerima cukup biaya.

Setakat ini, seramai 200 kanak-kanak Gaza sudah mempunyai keluarga angkat dari Malaysia.

Difahamkan, keluarga angkat ini menaja kanak-kanak yatim piatu di bumi tersebut.

"Saya pernah diberitahu pihak Mapim di mana saya boleh menaja mana-mana anak-anak di bumi Gaza.

"Insya-ALLAH. Itu saya rasa, satu usaha yang boleh saya bantu. Saya harus berbincang dengan suami terlebih dahulu," katanya.

Dalam pada itu, Siti mengajak umat Islam di negara ini agar turut sama-sama membantu kanak-kanak tersebut.

"... bukan saya saja. Saya nak uar-uarkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia agar sama-sama turut membantu," katanya.

Sebelum itu, Siti sempat melahirkan sekali lagi hasratnya untuk menjejakkan kaki ke bumi Gaza jika diizinkan Tuhan.

"Keistimewaan dan keajaiban di sana, saya masih belum dapat rasai.

"Jika diizinkan suami dan ALLAH, pasti saya ingin ke bumi Gaza. Ramai rakan-rakan artis lain sudah menjejakkan kaki ke sana," katanya.

Pihak Mapim turut mengalu-alukan hasrat Siti untuk menaja anak-anak di Gaza.

"Memang pihak Mapim ada beritahu beliau bahawa mereka sangat keberatan jika anak-anak mereka dibawa keluar.

"Maka, kami sangat mengalu-alukan Datuk Siti untuk memikirkan pembiayaan untuk seorang atau dua kerana ini akan memberikan contoh kepada artis lain," kata Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Tambahnya, "kerana masa depan Gaza itu bergantung kepada kanak-kanak. 52 peratus populasi di Gaza adalah kanak-kanak. Jika tidak diselamatkan, Gaza tak ada masa depan."



Sinar Harian

NELYDIA SENROSE & QI RAZALI RANCANG UNTUK KAHWIN | HADIRI KURSUS KAHWIN

Bagaimanapun, timbul desas-desus yang mengatakan Nelydia dan Qi sudah menghadiri kursus perkahwinan setelah sekeping gambar menunjukkan Qi yang bersongkok dan Nelydia bertudung manis.

Nelydia Senrose dan Qi Razali

Nelydia, Qi Razali hadiri kursus kahwin


HUBUNGAN Nelydia Senrose dan Qi Razali bukan lagi satu rahsia dan keduanya mengakui merancang untuk membawa hubungan tersebut ke gerbang perkahwinan.

Bagaimanapun, timbul desas-desus yang mengatakan Nelydia dan Qi sudah menghadiri kursus perkahwinan setelah sekeping gambar menunjukkan Qi yang bersongkok dan Nelydia bertudung manis.

Menerusi akhbar tempatan, Nelydia tampil menjelaskan supaya tiada salah faham berlaku akibat gambar yang dimuat naik di Instagram itu.

“Gambar tersebut tiada kena mengena dengan kursus kahwin. Sebenarnya kami perlu berpakaian sopan ketika di undang untuk program Akustika Ramadan Raya TV3,” jelasnya.



Sinar Harian

Saturday 29 June 2013

JUARA RAJA LAWAK 7 MILIK WALA

Menurut juri tetap, Datuk AC Mizal, persembahan Wala bersama artis jemputan, Rahim R2 adalah persembahan yang sepatutnya berada di pentas akhir.

Siapa juara Raja Lawak 7?
Peserta Raja Lawak 7

Wala juara Raja Lawak 7


KUMPULAN Wala diumumkan juara Raja Lawak musim ketujuh, malam tadi dan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM 100,000.

Peserta dari Sabah yang dianggotai Wan Mustapha Muntek dan Walawd Parman itu menampilkan persembahan yang konsisten di Gelanggang Raja Lawak Akhir, malam tadi.

Tempat kedua milik Sakan yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.

Sementara tempat ketiga dimenangi peserta dari Singapura, Bora dan tempat keempat milik Gamat.

Masing-masing finalis membawakan dua sketsa komedi yang bertemakan bebas dan komedi muzikal.

Menurut juri tetap, Datuk AC Mizal, persembahan Wala bersama artis jemputan, Rahim R2 adalah persembahan yang sepatutnya berada di pentas akhir.

"Akhirnya, inilah sepatutnya persembahan untuk final Raja Lawak. Tak perlu slapstik," katanya

Sementara Saiful Apek berkata persembahan kedua Wala yang mengangkat idea pawang antara yang terbaik pada malam itu.

"Apabila anda buat terlampau bagus, tak tahu dah nak buat apa lagi supaya bagus. Ini persembahan terbaik malam ini," katanya.

Saingan sengit diberikan oleh Sakan yang turut menampilkan persembahan yang disifatkan layak berada di pentas akhir oleh AC Mizal.

"Tak perlu saya pertikaikan persembahan anda di pentas akhir ini. Bagi saya, anda sudah boleh berjuang dalam industri selepas ini," katanya.

Format pemarkahan masih dikekalkan di mana ia ditentukan sepenuhnya oleh undian SMS.

Gelanggang Raja Lawak Akhir yang berlangsung di Auditorium MBSA menyaksikan Johan dan Zizan yang bertindak sebagai pengacara yang menggamatkan pentas dengan keletah mereka.



Sinar Harian

4 MURID TAHUN DUA DAKWA DICABUL GURU | MATA & MULUT DITUTUP PITA PELEKAT

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, guru lelaki itu didakwa mencabul murid tahun dua di bilik kesihatan sekolah berkenaan.

4 murid dakwa dicabul guru
Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria

4 murid dakwa dicabul guru

BESUT - Empat murid perempuan sebuah sekolah rendah di sini, mengadu dicabul oleh seorang guru di dalam sebuah bilik di sekolah berkenaan pada 9 Jun lalu.


Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, guru lelaki itu didakwa mencabul murid tahun dua di bilik kesihatan sekolah berkenaan.

Kisah itu terbongkar pada 21 Jun lalu apabila salah seorang daripada murid tersebut telah memaklumkan kepada ibunya mengenai perbuatan guru terbabit. Kanak-kanak itu memberitahu, guru berkenaan telah melakukan perbuatan lucah terhadapnya dan dua lagi rakannya.

Sebaik sahaja mengetahui kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit segera membuat laporan polis di Balai Polis Jertih pada 24 Jun lalu.
Ketiga-tiga murid tersebut tinggal di kampung sama dan berdekatan dengan sekolah tersebut. Manakala sumber memberitahu, mangsa keempat murid tahun dua sekolah sama tampil membuat laporan kelmarin, mendakwa turut menjadi mangsa guru tersebut.
Difahamkan, perkara itu terbongkar selepas ibu mangsa mendengar kes berkenaan lalu bertanyakan kepada anaknya sama ada dia turut dicabul guru tersebut.
Murid terbabit mengadu menerima nasib sama seperti rakannya dengan mendakwa guru berkenaan telah memasukkan jari ke dalam kemaluannya selepas menutup mata dan mulut dengan pita pelekat manakala kaki dan tangannya diikat dengan tali.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.


Sinar Harian

Friday 28 June 2013

KES DADAH: ELAK GAMBAR DIRAKAM, PELAKON PUKUL JURUGAMBAR

Memetik laporan Utusan Online, anak kepada pelakon veteran ini mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa juru gambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif.

Pelakon terbabit kes dadah pukul juru gambar
KES DADAH: ELAK GAMBAR DIRAKAM, PELAKON PUKUL JURU GAMBAR

Pelakon terbabit kes dadah pukul jurugambar


PELAKON lelaki yang ditahan sekali lagi membabitkan kes dadah dilaporkan bertindak kasar terhadap juru gambar bagi mengelak gambarnya dirakam, semalam.

Memetik laporan Utusan Online, anak kepada pelakon veteran ini mulanya dilihat cuba menutup wajah dan menghalang beberapa juru gambar daripada merakam gambarnya ketika keluar dari bilik mahkamah sebelum tiba-tiba bertukar agresif.

Dia menumbuk kepala seorang jurugambar sebuah syarikat akhbar dan turut menepis beberapa kamera juru gambar lain.

Ketika itu, dia sedang dibawa anggota polis di bangunan Mahkamah Majistret Ampang untuk mendapatkan perintah tahanan reman selepas dia ditahan, kelmarin.

Pelakon terbabit dikenakan tahanan reman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 akta sama.

Peguamnya, P G Cyril ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat polis meminta pelokon terbabit direman kerana mereka memerlukan masa untuk menjalankan siasatan.

"(Dia) bersama tiga lelaki dan dua wanita telah ditahan dalam rumah salah seorang rakannya. Kami difahamkan dia ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tetapi daripada apa yang dimaklumkan sendiri (pelakon itu), dia ke situ adalah untuk menguruskan satu dokumen pinjaman. Dokumen terbabit juga telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan," katanya.

Beliau berkata, polis memberitahu telah menjumpai 4.7 gram dadah dalam sebuah bilik, bagaimanapun tiada sebarang dadah ditemui pada badan pelakon itu dan rakan-rakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman keenam-enam mereka.



Sinar Harian

GANJARAN KERETA AUDI Q7 JIKA MENANG PIALA FA

Tunku Ismail berkata, ganjaran tersebut adalah tambahan kepada bonus lumayan yang akan diberikan kepada kedua-dua pasukan Johor sekiranya JDT memenangi Piala FA menentang Kelantan pada final, Sabtu ini.

TUNKU ISMAIL
Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Audi Q7 jika menang Piala FA


DUA pemain terbaik pasukan Johor Darul Takzim (DT) pada musim ini akan menerima ganjaran berbentuk kereta utiliti sukan (SUV) Audi Q7.

Ini diumumkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini.

Tunku Ismail berkata, ganjaran tersebut adalah tambahan kepada bonus lumayan yang akan diberikan kepada kedua-dua pasukan Johor sekiranya JDT memenangi Piala FA menentang Kelantan pada final, Sabtu ini.

"Semua inisiatif ini dilakukan sebagai menunjukkan penghargaan terhadap segala usaha dan komitmen yang ditunjukkan pasukan dan para pemain," katanya.

Mengulas mengenai perlawanan final di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti, Tunku Ismail menyeru kedua-dua penyokong pasukan itu agar sentiasa menjaga disiplin dan tingkah laku mereka ketika di stadium.

"Saya berharap para penyokong yang datang di Stadium nanti patuh kepada arahan pegawai-pegawai keselamatan yang bertugas dan elakkan daripada mencetuskan sebarang kekecohan dan provokasi.

"Saya berharap juga penyokong dari kedua-dua pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan persaudaraan," katanya.

Tunku Ismail juga memberitahu satu perjumpaan ramah mesra di antara penyokong JDT dan Kelantan akan diadakan di kawasan rehat Seremban, Lebuh Raya Utara-Selatan sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Bukit Jalil pada hari perlawanan.



Sinar Harian

Thursday 27 June 2013

PILIHAN RAYA KECIL DUN KUALA BESUT: APA JADI KALAU JUMLAH ADUN TERENGGANU SERI?

Dengan pemergian Adun Kuala Besut dari BN, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar semalam, maka BN hilang buat sementara satu kerusi dan ini menimbulkan sebarang kemungkinan dalam politik Terengganu dan pentadbiran negeri.

Apa jadi sekiranya jumlah Adun Terengganu seri?
Dr A Rahman bertemu penduduk di Pulau Perhentian pada kempen PRU13 yang lalu.

Apa jadi sekiranya jumlah Adun Terengganu seri?


SHAH ALAM - Persoalan yang mula bermain di minda ramai pemerhati politik sekarang adalah situasi yang bakal terjadi di Terengganu, di mana jumlah Adun mewakili BN dan PR hampir sama.

Dengan pemergian Adun Kuala Besut dari BN, Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar semalam, maka BN hilang buat sementara satu kerusi dan ini menimbulkan sebarang kemungkinan dalam politik Terengganu dan pentadbiran negeri.

Dalam PRU13 pada 5 Mei lalu, Dr A Rahman menang dengan majoriti 2,434 undi, mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail.

Bagi seluruh Terengganu, BN menang 17 kerusi Dun, sementara PR menang 15 kerusi. Kini, kedudukannya ialah 16 bagi BN, cuma satu di atas PR.

Apabila pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi Dun Kuala Besut, kedudukan BN, jika ia menang, adalah masih 17 dan PR 15. Tetapi jika PR merampas Kuala Besut, kedudukannya ialah 16-16.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ditakdirkan BN dan PR mempunyai kerusi sama banyak nanti, kuasa untuk menentukan tampuk pentadbiran negeri terletak kepada sultan.

Berdasarkan Perlembagaan negeri, bagindalah yang akan menentukan wakil BN atau PR akan dilantik sebagai menteri besar.

“Kalau berlaku 16 BN 16 PR, yang mempunyai kuasa tentukan menteri besar adalah sultan. Sultan boleh melantik (menteri besar) yang difikirkan sesuai, berdasarkan pandangan baginda dan sokongan majoriti rakyat.

Kedua-dua parti (BN dan PR) boleh mencalonkan wakil masing-masing untuk jawatan menteri besar, tetapi keputusan bergantung kepada budi bicara sultan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sultan akan mendapatkan nasihat dan pandangan perdana menteri dan pemimpin-pemimpin politik di Terengganu.

“Memandangkan pilihan raya umum baru sahaja berlangsung, dan melihat kepada majoriti lebih 2,400 yang dimenangi BN, saya rasa BN akan kekal.

“Tapi jika berlaku perubahan undi, sesuatu akan berlaku di Terengganu. Kejadian seperti ini tidak pernah terjadi (di negara ini),” katanya.



Sinar Harian

PERNIKAHAN ADINDA SULTAN KELANTAN & ANAK SAUDARA SULTAN BRUNEI MALAM INI

Majlis akad nikah akan diadakan di Istana Mahkota, Kubang Kerian jam 8.45 malam ini, manakala majlis persandingan pula disempurnakan esok di Istana Negeri. Difahamkan lebih 1,000 tetamu dari dalam dan luar negara dijangka hadir pada majlis persandingan. 

Adinda Sultan Kelantan kahwin


Adinda Sultan Kelantan kahwin


Kota Bharu: Adinda Sultan Kelantan, Tengku Amalin AIshah Putri Petra, 29, akan melangsungkan perkahwinan dengan anak saudara Sultan Brunei, Pengiran Muda Abdul Qawi, 39, di sini hari ini. 

Majlis akad nikah akan diadakan di Istana Mahkota, Kubang Kerian jam 8.45 malam ini, manakala majlis persandingan pula disempurnakan esok di Istana Negeri. Difahamkan lebih 1,000 tetamu dari dalam dan luar negara dijangka hadir pada majlis persandingan. 

Bersanding 6 Julai 

Pasangan pengantin juga akan menghadiri majlis istiadat bersanding di Balai Penghadapan, Bukit Kayangan, Brunei, 6 Julai ini dan majlis istiadat doa kesyukuran, keesokannya. 

Tengku Amalin yang pernah menjadi Majistret di Kota Bharu dan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, adalah anakanda keempat dan puteri bongsu Sultan Ismail Petra, manakala Pengiran Muda Abdul Qawi adalah anakanda sulung daripada 10 beradik kepada Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, iaitu adinda Sultan Hasanal Bolkiah. 

Adinda Sultan Kelantan itu yang sebelum ini melanjutkan pengajian peringkat sarjana undang-undang di Universiti Melbourne, Australia dan Abdul Qawi, difahamkan bertunang April lalu di Istana Negeri dengan berbalas hantaran 11 dulang di pihak lelaki dan 13 dulang di pihak perempuan. 

Rombongan diraja Brunei yang diketuai Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dikatakan tiba di Kota Bharu, Isnin lalu untuk menghadiri majlis akad nikah dan majlis persandingan pasangan terbabit.


Berita Harian

PENGARAH DRAMA SERAH DIRI BANTU SIASATAN CABUL PELAKON

Pengarah berusia sekitar 60-an itu hadir di IPD Tampin kira-kira 10.30 pagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan seorang pelakon wanita baru yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah rehat, dekat sini.

Wooi Kooi Cheang
Wooi Kooi Cheang

Cabul pelakon: Pengarah drama serah diri


TAMPIN - Seorang pengarah drama tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, di sini semalam.

Pengarah berusia sekitar 60-an itu hadir di IPD Tampin kira-kira 10.30 pagi bagi membantu siasatan berhubung kejadian cabul membabitkan seorang pelakon wanita baru yang dilaporkan berlaku di sebuah rumah rehat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun berkata, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis.

"Setakat ini polis sedang menyiasat kes berkenaan di bawah seksyen 354 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan insiden seorang pelakon berusia 22 tahun mendakwa jadi mangsa cabul pengarah drama berkenaan.

Kejadian itu didakwa berlaku antara Januari dan Februari lalu semasa mereka jalani penggambaran drama 13 episod di bawah arahan pengarah dan juga penulis skrip itu di Air Mawang, Kuala Pilah.

Berikutan itu, pelakon terbabit membuat laporan di Balai Polis Tampin, 19 Jun lalu dan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang.



Sinar Harian

ZINK RUMAH BERLUBANG DIHUJANI KETULAN AIR BATU

“Tidak lama kemudian hujan turun dan kami dikejutkan dengan bunyi bising batu dibaling ke arah atap zink rumah,” katanya.

Rumah dihujani ketulan air batu
Ahmad menunjukkan atap zink rumahnya yang berlubang akibat hujan air batu.

Rumah dihujani ketulan air batu


PONTIAN - “Saya dan anak bergilir-gilir melaungkan azan ketika hujan air batu secara tiba-tiba turun,” kata Ahmad Mahmud Jufri ketika menceritakan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Parit Serong Benut, dekat sini, dihujani dengan hujan air batu, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut disertai dengan angin kencang dan hujan lebat selama hampir setengah jam.


Rumah dihujani ketulan air batu
Ketulan ais yang jatuh bersama hujan di Kampung Parit Serong, Benut.



Menurut Ahmad, ketika kejadian dia bersama isteri, Salbiah Malik dan anak mereka Masehor sedang berehat di luar rumah sebelum dikejutkan dengan kejadian angin kencang.

“Cuaca sangat cerah pada petang itu, tapi tiba-tiba saja keadaan berubah, memaksa kami sekeluarga masuk ke dalam rumah menyelamatkan diri.

“Tidak lama kemudian hujan turun dan kami dikejutkan dengan bunyi bising batu dibaling ke arah atap zink rumah,” katanya.

Katanya, bunyi kuat itu menyebabkannya sekeluarga berada dalam ketakutan kerana tidak pernah berhadapan situasi sedemikian sebelum ini.

“Kalau hujan lebat sebelum ini, atap zink tidak berbunyi kuat seperti itu. Kami juga tersentak dengan bunyi angin yang begitu kuat menyebabkan zink rumah bergoyang.

“Ketika itu, ketulan ais kecil seperti batu halus membolosi atap zink rumah dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Bimbang atap zink rumah akan jatuh kerana hujan air batu yang semakin lebat, Ahmad terus melaungkan azan yang turut diikuti oleh anaknya agar keadaan kembali reda.

“Syukur hujan air batu berlaku hanya kira-kira lima minit saja, bagaimanapun kawasan ruang tamu rumah dipenuhi dengan ketulan ais kecil,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan Tiga, Mukim Ayer Baloi, Mahadi Mahadan berkata, hujan air batu yang berlaku itu adalah kejadian pertama berlaku di sini.

“Sebanyak lapan rumah dari tiga kampung iaitu Kampung Parit Bujang, Kampung Parit Serong dan Kampung Parit Kasan mengalami kerosakan di bahagian atap zink rumah akibat hujan air batu, itu” katanya.



Sinar Harian

JANDA DIROGOL & DIKURUNG DALAM TANDAS RUMAH

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di rumah berkenaan bersama rakannya, tidak menyedari suspek memasuki biliknya kerana sedang tidur.

JANDA DIROGOL & DIKURUNG DALAM TANDAS RUMAH
- Gambar Hiasan Carian Google

Janda dirogol, dikurung dalam tandas rumah


SEGAMAT - Malang berganda menimpa seorang janda yang bukan saja rumahnya dekat sini, dipecah masuk, malah dia turut dirogol dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, ketika kejadian, mangsa yang tinggal di rumah berkenaan bersama rakannya, tidak menyedari suspek memasuki biliknya kerana sedang tidur.

“Mangsa yang tidur sendirian di biliknya hanya tersedar apabila suspek bertindak menutup mulutnya menggunakan selimut dan mengikat tangannya menggunakan tali.

“Selepas merogol mangsa, suspek bertindak mengurungnya di dalam tandas sebelum berjaya melepaskan diri dengan bantuan teman serumahnya dan ketika itu suspek sudah meninggalkan rumah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.

Menurut Kamil, sejam selepas mangsa membuat laporan polis, anggotanya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan, suspek yang berumur 29 tahun itu didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau  iaitu rogol dan pecah rumah dan baru saja selesai menjalani hukuman penjara tujuh tahun dan dibebaskan pada 2010 kerana kesalahan yang sama.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Kepada orang ramai yang mempunyai maklumat kes, diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.



Sinar Harian

DADAH: PELAKON LELAKI ANAK KEPADA PELAKON TERKENAL DITAHAN LAGI

Pelakon berusia 35 tahun yang juga anak kepada seorang pelakon terkenal, ditahan bersama tiga lelaki lain dan dua wanita berusia antara 27 hingga 37 dalam serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sekitar jam 11.30 pagi. 

DADAH: PELAKON LELAKI ANAK KEPADA PELAKON TERKENAL DITAHAN LAGI
- Gambar Hiasan Carian Google


Pelakon ditahan lagi miliki dadah


Ampang: Seorang pelakon lelaki yang pernah dihukum kerana memiliki dadah pada 2009, ditahan dalam serbuan polis di Kondominium Oakleaf Park, Taman Bukit Jaya, Bukit Antarabangsa, pagi semalam. 

Pelakon berusia 35 tahun yang juga anak kepada seorang pelakon terkenal, ditahan bersama tiga lelaki lain dan dua wanita berusia antara 27 hingga 37 dalam serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Ampang Jaya sekitar jam 11.30 pagi. 


Syabu dalam bilik 

Seorang daripada wanita terbabit dipercayai teman wanita pelakon itu yang juga pernah ditahan pada 2009. 

Polis menemui satu paket syabu seberat 4.7 gram dalam bilik di rumah terbabit. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata hasil ujian awal air kencing mendapati empat lelaki itu positif dadah jenis methaphitamine manakala dua wanita terbabit negatif. 


Siasat sumber dadah 

Polis masih menyiasat termasuk mengenalpasti dari mana dadah itu diperoleh dan tujuan mereka menyimpannya sama ada untuk dijual atau kegunaan sendiri. 

Mereka disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang esok (hari ini) bagi mendapatkan perintah tahanan reman, katanya ketika dihubungi, semalam. 

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati keenam-enam yang ditahan pernah disiasat berkaitan kes dadah. 

Siasatan awal mendapati rumah dimiliki seorang daripada lelaki yang ditahan dipercayai digunakan sebagai lokasi jual beli dan menagih dadah. 

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap pelakon berkenaan atas kesalahan memiliki 0.24 gram syabu di rumahnya di Menara Duta 2, Jalan 1/38 B, Persimpangan Jalan Segambut, pada Mac 2009. 


Berita Harian

Wednesday 26 June 2013

KASIHAN! BUDAK INI TERUK DIDERA BAPA TIRI

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dikurung bersendirian dalam tempoh beberapa hari tanpa diberi makan dan minum, malah lebih menyayat hati, seluruh tubuh kecilnya itu turut cedera dengan kesan cucuhan puntung rokok dan melecur di kaki sehingga bernanah.

Budak didera bapa tiri
Keadaan mangsa yang kurus dan amat lemah ketika diselamatkan.

Budak didera bapa tiri


KUALA TERENGGANU - Apa dosaku? Itulah mungkin pertanyaan yang ingin diluahkan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun, dipercayai didera dengan begitu kejam sekali oleh bapa tirinya dalam kejadian di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dikurung bersendirian dalam tempoh beberapa hari tanpa diberi makan dan minum, malah lebih menyayat hati, seluruh tubuh kecilnya itu turut cedera dengan kesan cucuhan puntung rokok dan melecur di kaki sehingga bernanah.


Budak didera bapa tiri
Beginilah keadaan kedua-dua belah kaki mangsa yang cedera parah dan dijangkiti kuman.



Bagaimanapun, penderitaan anak sulung daripada tiga beradik itu berakhir jua selepas dia berjaya diselamatkan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyerbu rumah sewa keluarga kanak-kanak tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, seorang pegawai JKM berusia 41 tahun telah menghubungi Balai Polis Gong Badak, kira-kira jam 4.30 petang memaklumkan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan bantuan untuk ke lokasi kejadian.

Manoharan berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kanak-kanak malang itu didapati berada dalam keadaan yang amat lemah dengan kesan kecederaan di seluruh badan, dipercayai didera sebelum pemeriksaan lanjut turut menemui kesan bengkak di kedua-dua belah kaki mangsa dan melecur pada bahagian kaki sehingga bernanah serta dijangkiti kuman.

“Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan calar di seluruh tubuh mangsa, lebam di mata dan di mulut serta terdapat kesan cucuhan puntung rokok pada perut mangsa.

“Selain didera dan dikurung, mangsa yang boleh bertutur dengan baik mengadu kelaparan selepas tidak diberi makan dan minum sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Siasatan awal mendapati mangsa didera dan dikurung bapa tirinya yang dikahwini ibunya berusia 29 tahun sejak 10 bulan lalu selepas kematian bapa kandung kira-kira dua tahun lalu.

“Kami difahamkan semasa mangsa diselamatkan, ibunya berada di HSNZ untuk mendapatkan rawatan tangannya yang patah, dipercayai akibat didera suspek," katanya. Manoharan berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai membawa isteri bersama dua lagi anak tirinya itu, masing-masing berusia 5 dan 2 tahun, lari dari HSNZ sebaik menyedari perbuatannya terbongkar.

"Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rumah Awam Kos Rendah, Gong Badak, di sini, kirakira jam 12 tengah hari, semalam.

“Turut berjaya diselamatkan, dua lagi adik mangsa dan hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya mempunyai kesan dera dan dihantar ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut, sementara ibu mangsa juga dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Semasa ditahan, suspek dan juga ibu mangsa didapati positif dadah methamphetamine," katanya.



Sinar Harian

Dr A RAHMAN MOKHTAR, ADUN KUALA BESUT MENINGGAL DUNIA

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair. 

EXCO Kesihatan Terengganu meninggal dunia
Allahyarham Dr A Rahman Mokhtar

EXCO Kesihatan Terengganu meninggal dunia


KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat negeri, Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia jam 10.18 pagi ini selepas tujuh hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair. 

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu dan ditempatkan di ICU selepas mengalami masalah pernafasan. 


Berita Harian

HUJAN BATU LANDA SINGAPURA

Seorang penduduk di Jurong Timur Vanitha Subramaniam, yang pada masa itu sedang bekerja, berkata beliau menerima panggilan daripada ibunya memberitahu mengenai hujan batu itu.

HUJAN BATU LANDA SINGAPURA
- Gambar Carian Google

Singapura dilanda hujan batu


SINGAPURA - Penduduk di Jurong di sini hari ini mengalami hujan batu ketika hujan lebat dan ribut kencang melanda negara ini petang ini.

   
Seorang penduduk di Jurong Timur Vanitha Subramaniam, yang pada masa itu sedang bekerja, berkata beliau menerima panggilan daripada ibunya memberitahu mengenai hujan batu itu.
   
"Ibu saya menggambarkan hujan lebat setengah jam itu seperti air batu jatuh dari langit," katanya ketika dihubungi di sini.
   
Sementara itu, Straits Times (ST) melaporkan Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) mengesahkan kejadian hujan batu yang dialami sesetengah penduduk terutama yang tinggal di bahagian barat Singapura itu, bukan disebabkan pembenihan awan di Indonesia.
   
Ditanya jika hujan batu itu berkaitan dengan jerebu, NEA hanya berkata ia adalah satu kemungkinan tetapi tidak dapat mengesahkannya.

Bagaimanapun, NEA berkata hujan lebat petang ini bukan toksid.
   
Kali terakhir hujan batu berlaku di republik ini ialah pada 27 Mac 2008.
   
Sementara itu, NEA dalam kenyataannya berkata sehingga 9 malam, Indeks Pencemaran Udara (IPU) tiga jam di republik ini ialah 59, manakala bacaan 24 jam ialah dalam lingkungan 52 hingga 59.
   
Untuk tempoh satu atau dua hari akan datang, ia meramalkan angin akan bertiup dari selatan atau tenggara menyebabkan sedikit jerebu.
   
Bacaan IPU 24 jam pada Rabu dijangka berada pada tahap sederhana iaitu 51-100. - Bernama



Sinar Harian