Pages

Friday 21 June 2013

AWAS! DARAH TINGGI ATAU HIPERTENSI PEMBUNUH SECARA SENYAP

Menurutnya, penyakit ini akan meningkatkan risiko serangan sakit jantung, strok dan juga kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik, lebih-lebih lagi jika hipertensi tersebut tidak dikawal dengan baik.

Hipertensi pembunuh senyap
Dr Anwa menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pegunjung pada Sambutan Hari Kesihatan sedunia 2013 peringkat negeri Terengganu.

Hipertensi pembunuh senyap


KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merencana pelbagai program cara hidup sihat, pendekatan, kaedah dan strategi untuk meningkatkan pengetahuan, dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya penyakit tekanan darah tinggi atau hipertensi yang merupakan pembunuh secara senyap ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Anwa Sulaiman berkata, penyakit tersebut merujuk kepada tahap tekanan darah yang meningkat lebih tinggi daripada biasa yang berlaku ke atas arteri semasa peredaran darah.

Menurutnya, penyakit ini akan meningkatkan risiko serangan sakit jantung, strok dan juga kegagalan buah pinggang untuk berfungsi dengan baik, lebih-lebih lagi jika hipertensi tersebut tidak dikawal dengan baik.

“Walaupun telah berlaku penurunan iaitu daripada 30 peratus pada 1996 kepada 26.8 peratus pada 2011, namun sebanyak 16.3 peratus penduduk di negeri ini tidak menyedari bahawa mereka penghidap hipertensi kerana tidak pernah menjalani saringan kesihatan sebelum ini. 

“Justeru, orang ramai diharapkan melakukan pemeriksaan saringan di klinik dan hospital berdekatan, yang boleh dilakukan sendiri bagi mengetahui tahap tekanan darah meskipun tidak alami masalah kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir merasmikan pada Sambutan Hari Kesihatan sedunia 2013 peringkat negeri Terengganu dengan bertemakan ‘Hipertensi, Tolong Kurang Garam’ di pekarangan Pasaraya Hypermarket Giant, Kuala Terengganu, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata risiko kompilasi akibat hipertensi ini akan meningkat jika individu tersebut mempunyai lain-lain faktor seperti penyakit diabetes, tahap kolesterol yang tinggi dan merokok. 

Beliau turut menyarankan orang ramai supaya membudayakan enam langkah mengurangkan kemungkinan mendapat hipertensi, antaranya, sasarkan tekanan darah (BP) pada paras optimal iaitu 120/80 mmHG atau kurang dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara rutin.

“Hadkan pengambilan garam kurang daripada lima gram sehari termasuk tersembunyi yang terdapat dalam makanan terproses. Gunakan perisa asli seperti rempah ratus yang diproses sendiri untuk menambah perisa berbanding penggunaan garam, sos atau penambah perisa yang lain,

“Kekal aktif setiap hari dengan melakukan aktiviti fizikal sebagai satu rutin dalam kehidupan seharian dengan bersenam yang boleh dilakukan sekurang-kurangnya 30 minit sehari, tiga kali seminggu (150 minit seminggu),” katanya.

Selain itu, kekalkan berat badan unggul (BMI) 18.0 hingga 24.9 kg/M2, dan pengurangan berat badan mampu juga mengurangkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular dan diabetes.

Kepada yang merokok, dapatkan khidmat di Klinik Berhenti Merokok di klinik kesihatan dan hospital berdekatan kerana merokok boleh meningkatkan risiko penyakit jantung, strok dan kanser.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan menggunakan teknik 10B dalam menangani tekanan  dengan berkesan iaitu Bertenang, Bernafas dengan dalam dan perlahan, Belajar untuk relaks, Beribadat, Berkongsi perasaan dengan seseorang yang dipercayai, Berurut, Berehat dan mendengar muzik, Beriadah, Bersenam secara tetap dan Berfikiran Positif.

Katanya, kesemua tindakan sekiranya diamalkan, mampu mencegah dan mengawal penyakit hipertensi dalam kalangan masyarakat kita. Langkah tersebut ditujukan khas kepada industri makanan, katering, pengusaha atau pengendali makanan, tukang masak di restoran, kafeteria, gerai, restoran makanan segera dan sebagainya.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment