Pages

Tuesday 18 June 2013

BAJET 2014 DIBENTANG 25 OKTOBER 2013

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan menteri-menteri Kabinet tertentu dan ketua-ketua jabatan.

Najib Tun Razak
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama

Bajet 2014 dibentang Oktober ini

PUTRAJAYA - Bajet 2014 akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Dasar fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit fiskal, mengukuhkan kewangan awam dan memastikan kemampanan fiskal jangka panjang.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau akan mempengerusikan jawatankuasa berkenaan yang melibatkan menteri-menteri Kabinet tertentu dan ketua-ketua jabatan.
"Pejabat dasar fiskal di Perbendaharaan akan berkhidmat untuk jawatankuasa ini.
Ini menunjukkan keseriusan dari segi menguruskan kedudukan fiskal dan mengurangkan defisit fiskal kita," kata beliau dalam ucapan perasmian majlis Konsultasi Bajet 2014 di sini.
Kerajaan berada kedudukan yang betul untuk terus mengurangkan defisit fiskal daripada 4.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas kepada empat peratus tahun ini.
"Sasaran kita ialah untuk memenuhi sasaran fiskal jangka sederhana kira-kira tiga peratus daripada KDNK pada 2015 tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi domestik dan sokongan fiskal berterusan bagi inisiatif transformasi.
"Ini akan dicapai melalui gabungan berhemah yang bijak tetapi perbelanjaan produktif dan pengukuhan langkah-langkah peningkatan hasil yang termasuk pulangan cukai yang lebih baik dan penguatkuasaan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN)," kata beliau.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha   Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Mengenai perundingan berkenaan, Najib berkata 96 memorandum telah dikemukakan meliputi pelbagai aspek makro, isu-isu sektoral dan sosial kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dipertimbangkan.
"Saya percaya antara 96 memorandum itu dan sebahagiannya akan dipertimbangkan di mana kita fikirkan sesuai dengan matlamat kerajaan.
"Ia tertumpu kepada dua elemen iaitu merancakkan ekonomi negara dan menentukan kesejahteraan rakyat secara inklusif," kata beliau. 
Najib berkata tema perundingan belanjawan tahun ini ialah "Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi ".
"Bajet tahun ini adalah suatu yang amat penting kepada kerajaan yang telah diberi mandat baharu untuk memenuhi aspirasi rakyat," kata beliau.
Najib berkata kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk meningkatkan daya saing negara melalui penggalakkan aktiviti ekonomi nilai tambah tinggi dan inovatif.
Kerajaan memperkenalkan inisiatif pembaharuan, khususnya dalam meliberalisasikan subsektor perkhidmatan sejak 2009.
"Memandangkan banyak inisiatif yang sedia ada, saya menggesa sektor swasta supaya mendapatkan peluang-peluang untuk melabur dan berinovasi dalam sektor perkhidmatan.
"Dengan penyertaan aktif anda, kami berharap untuk mencapai pelaburan yang disasarkan sebanyak RM44.6 bilion bagi sektor perkhidmatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10," kata Najib.
Beliau berkata kerajaan menyedari cabaran yang dihadapi ekonomi, antaranya, pembangunan potensi pertumbuhan sektor terutama dalam perkhidmatan, meningkatkan modal insan dan pengurusan bakat terutama bagi wanita dan belia serta menguruskan pembaharuan fiskal.
"Bidang-bidang berkenaan perlu ditangani dengan sewajarnya untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif," kata beliau.
Malaysia mempunyai penduduk yang agak muda, yang memerlukan kerajaan melabur dengan banyak terhadap pembangunan belia, khususnya dalam pendidikan dan latihan kemahiran.
Perdana Menteri berkata golongan belia hari ini lebih berpendidikan, cekap ICT, dan juga berkait kepada rangkaian sosial melalui blog, Facebook dan Twitter, di mana maklumat yang tepat dan tidak tepat merebak dengan cepat.
"Mereka juga mengharapkan lebih banyak peluang dari segi pendidikan tinggi, pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan rumah yang mampu milik.
Di samping itu, mereka mahu suara mereka didengar.
"Kerajaan menyedri akan trend baru ini dan telah menubuhkan program Belia 1Malaysia untuk menyediakan satu platform yang sama untuk belia memupuk kebolehan kepimpinan dan kesukarelawanan dalam pembangunan negara," katanya. - Bernama

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment