Pages

Friday 14 June 2013

ZARA ADELIA PELENGKAP HIDUP ADI PUTRA & AIDA

Begitu juga dengan pasangan suami isteri, Adi Putra dan Aida Yusof, yang baru sahaja merasai pengalaman membesarkan cahaya mata mereka, Zara Adelia, lapan bulan.

Zara pelengkap hidup Adi & Aida
ZARA ADELIA PELENGKAP HIDUP ADI PUTRA & AIDA

Zara pelengkap hidup Adi & Aida


KEHADIRAN cahaya mata pastinya memberi seribu satu momen indah buat pasangan suami isteri.

Malah, sekiranya sebelum ini hubungan itu pernah berantakan, kehadiran zuriat pastinya mampu mengubah segala-gala.

Begitu juga dengan pasangan suami isteri, Adi Putra dan Aida Yusof, yang baru sahaja merasai pengalaman membesarkan cahaya mata mereka, Zara Adelia, lapan bulan.

Walaupun kehadiran si kecil itu bukanlah daripada darah dagingnya, namun ia merupakan detik bermakna buat pasangan ini.

Menurut Adi atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera, 32, kehidupannya nyata berubah setelah bergelar bapa.

"Setiap kehidupan kita mempunyai fasa yang berbeza dan berubah mengikut keadaan. Kehidupan bujang, berkahwin dan sehinggalah memiliki anak, ia memang berbeza.

"Alhamdulillah, sejak kehadiran Zara, saya sentiasa dibuai keseronokan dan ia adalah pengalaman yang tidak pernah saya rasai sebelum ini.

"Zara memberi inspirasi kepada saya, tidak kira dalam kehidupan peribadi mahupun kerjaya," kata pelakon kelahiran Singapura ini.

Adi dan isteri, Zuhaida Yusof, 38, berkahwin pada 14 April 2006. Namun, sepanjang perkahwinan itu, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata sendiri.

Selepas berakhirnya pergolakan dalam rumah tangga pada Oktober tahun lalu, Adi dan isteri nekad mengambil seorang bayi perempuan sebagai anak angkat.

Sedia bantu isteri

Walaupun sibuk dengan kerjaya seninya, namun Adi tidak melepaskan tanggungjawab membesarkan anak di bahu isterinya sahaja.

Katanya, jika ada kelapangan, dia turut membantu dan memenuhi kelengkapan puteri kesayangannya itu.

"Tugas menjaga anak memang banyak diuruskan oleh isteri, namun jika dia memerlukan bantuan, saya akan tolong. "Sebagai ibu bapa, kami sama-sama menguruskan Zara. Lagipun, Zara adalah anak yang baik dan tidak suka merengek.

"Sepanjang usianya yang kini mencecah lapan bulan, saya perhatikan, Zara seorang yang suka memerhati dan perkembangan tumbesarannya sangat positif," kata pelakon filem Langgar ini.

Ingin zuriat sendiri

Masih berharap untuk memiliki anak sendiri, akui Adi, kehadiran cahaya mata pastinya dapat mengeratkan lagi ikatan rumah tangga.

Menurutnya, dia juga tidak keberatan untuk mengambil anak angkat lagi sekiranya gagal memperoleh anak sendiri.

"Insya-ALLAH, ada perancangan untuk mengambil anak angkat lagi di masa akan datang. "Namun, buat masa terdekat ini, kami akan membesarkan Zara terlebih dahulu.

"Kami akan tetap berusaha untuk memiliki anak sendiri, namun ia bergantung kepada rezeki dan ketentuan dari-Nya," katanya yang mengakui lebih selektif dalam pemilihan watak setelah bergelar bapa.

Filem arahan pertama

Dalam kesibukan menguruskan karier lakonan, Adi bersama pengarah, Ghaz Abu Bakar akan bekerjasama dalam tugas pengarahan filem sulungnya, Suami Aku Ustaz.

Mengakui pengalaman mengarahkan filem bukan semudah yang disangka, filem lakonan Adi, Nora Danish dan Izzue Islam, ini bakal ditayangkan pada tahun depan.

"Alhamdulillah, penggambaran filem ini telah pun selesai. Kini, filem ini sedang melalui proses 'editing'.

"Saya memang risau dan tak sabar menantikan reaksi daripada penonton kerana ia adalah filem pertama saya.

"Dalam filem ini, Ghaz banyak membantu saya untuk memperkemaskan lagi jalan cerita dan tugas-tugas yang berkaitan. Saya suka naskhah ini kerana ia mengangkat konsep Islamik," katanya dan bersyukur dengan penerimaan penonton menerusi drama bersiri slot Akasia, Teduhan Kasih, yang sedang ditayangkan di TV3.

Berehat sementara

Sempena Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, Adi membuat keputusan untuk berehat sementara waktu daripada menerima apa-apa tawaran lakonan. Katanya, selepas Aidilfitri nanti, barulah dia kembali berlakon dan memenuhi tawaran yang ada.

"Sekarang ni dah bulan Rejab. Tak lama lagi kita bakal menyambut bulan puasa. "Jadi, peluang yang ada akan saya gunakan untuk berehat dan menghadiri majlis amal sahaja.

"Lagipun, dalam masa setahun ni, jarang nak dapat cuti panjang," katanya mengakhiri perbualan.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment