Pages

Monday 9 April 2012

MIZA AZURA MEMANG CUN & BERBAKAT BESAR!

Pakej lengkap dimiliki Ramizah Nazurah Mansor, 27, yang memilih nama komersial Miza Azura ini satu bonus buat empunya diri untuk menceburi bidang hiburan.

miza azura


- Pengorbanan Miza Azura -

Orangnya tinggi lampai dengan susuk tubuh persis sang peragawati, ditambah pula raut wajah menawan hasil darah kacukan Melayu-Arab-Bengkulu.

Pakej lengkap dimiliki Ramizah Nazurah Mansor, 27, yang memilih nama komersial Miza Azura ini satu bonus buat empunya diri untuk menceburi bidang hiburan.

Bagaimanapun, langkah gadis kelahiran Kuala Lumpur ini baru saja hendak bermula setelah keluar daripada program realiti pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih (PK3).

Tersingkir pada minggu kelima, Miza tidak menganggap perjalanannya dalam mengharungi bidang seni sudah berakhir.

Sebaliknya, anak kelima daripada enam beradik ini semakin bersemangat untuk membentuk diri sebagai pelakon yang disegani.

“Pada mulanya, saya tidak sangka disingkirkan kerana bukan berada di kedudukan tiga terbawah ketika itu.

“Namun, saya sedia maklum abang Rosyam Nor sukakan kelainan dan saya terima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya.


Beralih bidang

Menyusuri kehidupannya sebelum menyertai PK3, siapa sangka bidang yang Miza ceburi sebenarnya­ jauh berbeza.

Memiliki segulung diploma dan ijazah dalam bidang kejuruteraan­, Miza pernah berkhidmat sebagai Perunding Kejuruteraan di sebuah syarikat di Subang.

Biarpun sudah mempunyai­ kerjaya stabil, gadis peramah ini sanggup berhenti kerja semata-mata ingin mengejar impian sebagai pelakon.

Menurut Miza, keputusannya itu diambil setelah benar-benar yakin jiwanya bukan ke arah bidang kejuruteraan.

“Sebelum ini, saya mengambil bidang kejuruteraan bagi memenuhi hasrat ibu dan sudah pun melaksanakannya.

“Apabila merasakan diri ini tetap tidak serasi dengan bidang itu, saya memberitahu ibu untuk menceburi dunia seni yang sudah lama saya minati.

“Akhirnya ibu bersetuju dan dia sendiri menyarankan agar saya menyertai uji bakat PK3,” katanya.


Tak suka separuh jalan

Memulakan perjalanan di usia agak lewat, Miza tidak mahu menjadikannya sebagai penghalang hasrat sejak sekian lama.

Malah, menjadi kepantangan Miza sekiranya sesuatu kerja dibuat sambil lewa dan berhenti separuh jalan.

“Misalnya, dulu walaupun saya tidak minat kejuruteraan, namun saya tetap menghabiskan pengajian.

“Begitu juga dengan bidang seni, saya akan terus berusaha agar nama Miza Azura akan dikenali dalam kalangan penonton,” katanya.

Pernah menghiasi iklan komersial seperti Celcom, Sunquick dan Sunlight, Miza menjadikan pengalaman itu dan ilmu ditimba di PK3 sebagai kelebihan diri.

“Sebagai bekas peserta PK3, banyak ilmu lakonan yang dipelajari dan akan saya gunakan sebaik mungkin.

“Saya juga berharap agar PK3 terus disambung ke musim berikutnya kerana program ini banyak membantu pelakon baru seperti saya mencari tapak,” akhirinya.

Sumber : Sinar Harian

Sunday 8 April 2012

NATASHA HUDSON KINI BERTUDUNG & BAKAL BERKAHWIN

Perancangan untuk melangsungkan pernikahan telah kami buat sebelum masing-masing menunaikan umrah baru-baru ini. Namun, ketika berada di Mekah saya telah membuat keputusan muktamad. Saya tidak rasa ia terlalu tergesa-gesa sebab saya memang sudah bersedia.




Natasha Hudson Bakal Berkahwin & Sudah Bertudung


Pelakon dan penyanyi Natasha Hudson, 29, bakal menamatkan zaman solonya bersama seorang ahli perniagaan dan juga penyanyi Carleed Khaza, 33, pada 15 April hadapan. Pasangan ini memilih Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur sebagai lokasi pernikahan dan majlis akan diadakan sekitar jam 11 pagi.

Menurut Natasha yang dihubungi GUA sebentar tadi, dia dan Carleed tidak ada sebab-sebab tertentu memilih tarikh 15 April, sebaliknya tarikh itu dipilih kerana mengikut tarikh yang dicadangkan oleh pihak masjid.

“Perancangan untuk melangsungkan pernikahan telah kami buat sebelum masing-masing menunaikan umrah baru-baru ini. Namun, ketika berada di Mekah saya telah membuat keputusan muktamad. Saya tidak rasa ia terlalu tergesa-gesa sebab saya memang sudah bersedia.

“Tarikh itu dipilih kerana pihak masjid maklumkan tarikh itu masih kosong. Bukan ada sebab lain. Kami akan adakan majlis sederhana sahaja. Tidak ada sebarang majlis resepsi kerana kami tidak mahu bazirkan duit. Selepas akad nikah selesai, akan ada majlis makan-makan untuk tetamu. Itu sahaja,” ujar Natasha.

Ditanya sama ada pihak keluarga bersetuju atau tidak dengan majlis perkahwinan yang ringkas itu, Natasha memberitahu kedua-dua belah pihak keluarga tidak punya masalah kerana masing-masing memang tidak suka mengadakan majlis beberapa kali atau diadakan secara besar-besaran.

“Baik Carleed mahupun pihak keluarga, masing-masing tidak kisah sama ada hendak adakan majlis resepsi atau tidak. Sebenarnya mereka pun tidak suka kalau kami hendak adakan majlis beberapa kali. Cukuplah sekadar majlis yang sederhana tapi cukup bermakna,” ulas ibu kepada Nessa Helena ini.

Untuk makluman, bakal suami Natasha selain bergelar penyanyi dia juga seorang ahli perniagaan yang memiliki syarikat muzik, PhuturePhlow. Pasangan ini pernah berduet menerusi lagu “Jika Ku Boleh Ubah Dunia”.

Sudah berhijab


Dalam perkembangan lain, tahniah GUA ucapkan kepada Natasha dengan penampilan terbarunya.

Natasha kini memilih untuk mengenakan hijab dan keputusan ini dibuat ketika dia berada di Tanah Suci. Jelas Natasha, keputusannya itu bukan atas desakan sesiapa tetapi kerana pintu hatinya telah terbuka.

“Memang ramai kawan-kawan yang tidak sangka dengan perubahan saya ini. Begitu juga dengan keluarga. Namun, mereka semua gembira untuk saya dan memberikan sokongan. Carleed juga gembira dengan imej baru ini.

“Saya akan teruskan karier lakonan dan nyanyian seperti biasa kerana saya tidak menganggap pemakaian hijab sebagai satu masalah besar. Kalau Yuna boleh melakukannya, saya juga boleh. Saya percaya perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah. Buat masa ini saya gembira dengan perubahan ini dan mendoakan ia berkekalan,” ujar Natasha dengan nada gembira.

Gua

SELEBRITI DIRA ABU ZAHAR DISIASAT POLIS

Dira bagaimanapun ada menjelaskan, dia belum bersedia berbuat demikian kerana kes berkenaan sudah berada dalam siasatan pihak polis.

Dira Abu Zahar disiasat polis

Dira Abu Zahar Disiasat Polis

HAMPIR seminggu nama pelakon serta pengacara popular, Dira Abu Zahar dipetik sebagai selebriti yang menyebabkan kecederaan terhadap pengunjung wanita sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Ismail, Sabtu minggu lalu.
Dia menafikan khabar angin itu dan meminta maaf kerana tidak dapat memberikan jawapan ke atas setiap persoalan yang ditujukan kepadanya.
Dira bagaimanapun ada menjelaskan, dia belum bersedia berbuat demikian kerana kes berkenaan sudah berada dalam siasatan pihak polis.
Pengadu, Hamizah Abd. Hamid, 29, membuat laporan polis di Balai Polis Ampang Jaya, Selangor tetapi kes tersebut diserahkan kepada Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Seperti juga Dira yang menganggap berdiam diri sebagai lebih baik, Hamizah, wanita yang mendakwa menjadi mangsa sepakan dan tendangan Dira dalam kejadian pukul 1.30 pagi, 1 April lalu itu juga enggan mengulas lanjut.
Dia bimbang jika maklumat yang diberikan boleh menimbulkan keraguan dan mengganggu siasatan polis.
“Saya tengah kusut memikirkan perkara ini. Buat masa ini biarlah pihak polis yang menjalankan siasatan.
“Apa pun, orang yang salah harus menerima hukuman setimpal. Apabila saya sudah bersedia, saya sendiri akan beritahu perkara sebenar kepada anda,” jelas Hamizah menerusi satu SMS yang dikirimkan kepada Sensasi Bintang.
Hamizah dilaporkan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Ampang berikutan cedera disepak di bahagian muka.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan yang dibuat oleh Hamizah bertarikh 1 April 2012.
Memandangkan kejadian berlaku di daerah Dang Wangi, kertas siasatan laporan berkenaan dihantar untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat Balai Polis Dang Wangi.
“Ya, kami memang menerima laporan yang dibuat oleh Hamizah yang mendakwa dipukul oleh seorang pengacara program televisyen popular, Melodi,” jelas Aminuddin kepada Sensasi Bintang.
Credit to Kosmo

Thursday 2 February 2012

ARTIS / SELEBRITI OBSES MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI

Bagi Erra, Dira, Siti, Lisdawati dan Linda mereka mempunyai sebab mengapa memilih aktiviti yang dianggap milik golongan kaya itu sebagai hobi. Mereka juga berkongsi pengalaman manis dan pahit menunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai hobi kepada Kosmo!.



Obses motosikal kuasa tinggi

TIADA istilah takut, bahaya mahupun mengalah bagi lima bintang popular Erra Fazira, Dira Abu Zahar, Lisdawati, Linda Onn dan Datuk Siti Nurhaliza apabila menjadikan aktiviti menunggang motosikal besar sebagai hobi. Bagi mereka aktiviti tersebut memberikan 1001 kepuasan yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Sememangnya bukan mudah untuk seorang wanita menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga mencecah 1200 cc. Selain berat, ia juga memerlukan seseorang penunggang itu mempunyai tenaga yang kuat untuk menunggangnya kerana jika silap percaturannya, maka motosikal besar itu boleh terbalik dan menimpa pemiliknya.

Bagi Erra, Dira, Siti, Lisdawati dan Linda mereka mempunyai sebab mengapa memilih aktiviti yang dianggap milik golongan kaya itu sebagai hobi. Mereka juga berkongsi pengalaman manis dan pahit menunggang motosikal berkuasa tinggi sebagai hobi kepada Kosmo!.


Dira sorok motosikal

Jangan anggap pelakon dan pengacara Melodi, Dira Abu Zahar tau Dira, 28, kasar atau ganas apabila menjadi penunggang tegar motosikal berkuasa tinggi.

Baginya, menunggang motosikal besar merupakan hobi yang tidak akan sekali-kali merubah dirinya menjadi kasar atau ganas.

“Siapa yang menganggap wanita yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu kasar atau ganas mereka silap. Kata-kata sebegitu tidak relevan digunakan untuk kami. Mungkin kami sedikit berani dan kasar tapi fizikal tidak semestinya berubah,” ujarnya.

Berkongsi minatnya itu, Dira sudah mendapat pendedahan menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak kecil lagi daripada abang kandungnya, Muhd. Idi Iskandar.

Bermula di tingkatan tiga lagi anak bongsu itu sering mengikut abang dan kawan-kawan abangnya ke mana sahaja menunggang motosikal berkuasa besar. Dari situ mula timbul minat Dira untuk memiliki dan menunggang motosikal berkuasa tinggi sendiri.

Kecintaannya pada motosikal berkuasa tinggi direalisasikan ketika usianya mencecah 20 tahun.

Dira membeli motosikal Harley Davidson Sportster hasil daripada titik peluhnya sendiri membuat kerja sampingan sejak di bangku sekolah tanpa bantuan kedua orang tuanya memandangkan minatnya itu tidak pernah diketahui atau diceritakan kepada mereka.

“Berkat kerja sejak di bangku sekolah. Kumpul duit, akhirnya saya mampu memiliki motosikal sendiri. Awal-awal beli motosikal itu, ibu bapa saya tidak tahu dan saya takut memberitahu mereka kerana mereka pasti marah.

“Selama setahun saya menyimpan dan menyorokkan motosikal itu di garaj rumah abang. Selepas itu barulah saya berani untuk berterus-terang dengan ibu bapa saya dan meyakinkan mereka saya tahu menjaga diri,” ujarnya yang merasa puas setiap kali menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Sehingga kini, Dira sudah berjaya menunggang motosikal berkuasa tinggi sehingga ke seluruh Malaysia. Malah, sudah beberapa kali membawa anaknya, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafiz-Rullah menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi bersama abang dan suaminya.

Tambah Dira, sememangnya Anggun sudah didedahkan dengan aktiviti itu sejak usianya setahun lagi. Malah, anaknya yang berusia empat tahun itu sudah memiliki motosikal jenis Pocket Bike yang dibelikan oleh Dira.

“Saya tidak pernah menghalang jika dia mempunyai minat yang serupa dengan saya.

Malah, jika dia ingin menjadikan aktiviti menunggang motosikal sebagai kerjaya juga saya izinkan asalkan dia perlu mempunyai pengetahuan dan latihan yang betul dan mencukupi tentang menunggang motosikal,” ungkapnya optimis.

Tidak kedekut berkongsi mengenai perbelajaannya kepada minatnya itu, Dira mengaku sudah berhabis hampir RM200,000 semata-mata memiliki dan mengubah suai motosikal jenis Harley Davidson XR1200cc yang baru dibelinya tahun lepas.

Atas minatnya itu juga, Dira mencipta kelainan apabila menunggang motosikal berkuasa tinggi dengan mengenakan busana perkahwinan ketika resepsi perkahwinannya bersama Mohd. Helmi Mohd. Yusof, 33.


Lisdawati tidak pentingkan diri


LISDAWATI aktif menunggang motosikal kuasa tinggi sejak di zaman anak dara lagi.


Bagi pelakon Lisdawati Nazaruddin, 33, dia tidak menganggap aktiviti menunggang motosikal besar sebagai hobi sebaliknya minat semulajadi sejak dulu lagi. Pintalah apa jua jenis motosikal sama ada yang kecil mahupun yang berkuasa tinggi, isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mampu menunggangnya.

Bercerita tentang minatnya itu, cerita Lisdawati, sejak umurnya 19 tahun lagi dia sudah mempunyai lesen motosikal. Motosikal pertama yang ditunggang dan dimiliki Lisdawati merupakan motorsikal Yamaha TZM yang dibeli hasil titik peluhnya sendiri ketika berusia 19 tahun.

“Selama dua tahun saya jadi penunggang jalan raya setia. Bawa motosikal itu pergi dan balik daripada kerja,” ungkapnya ketika ditemui pada sidang media memperkenalkan 16 peserta program Pilih Kasih di Hotel Holiday Villa, Subang.

Itulah satu-satunya motosikal yang dibeli Lisdawati kerana baginya walaupun minatnya ke atas motosikal berkuasa tinggi begitu mendalam namun dia sedar dia bukan daripada keluarga yang kaya untuk memperoleh apa yang diinginkan.

Lisdawati juga bukan jenis pentingkan diri sehingga sanggup berhabis duit untuk merealisasikan minatnya itu sedangkan banyak keperluan lain yang perlu diutamakan dahulu.

Atas sebab itu juga, ibu kepada dua cahaya mata itu tidak lagi begitu aktif menunggang motosikal berkuasa tinggi dan mengikuti konvoi selepas berkahwin dan dikurniakan anak kerana mengutamakan keluarga. Dia juga tidak pernah mempunyai atau membeli motosikal berkuasa tinggi walaupun berkeinginan untuk memiliki motosikal Ducati.

Sebab lain juga, Lisdawati takut minatnya menunggang motosikal besar mempengaruhi anak-anaknya.

“Lisda takut kalau anak-anak terdedah dengan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi. Saya tak percaya mereka boleh melakukannya kecuali kalau mereka benar-benar dapat meyakinkan saya,” ujarnya yang pernah berdepan dengan pengalaman pahit apabila terlibat dengan kemalangan ketika menunggang motosikal.

Kongsi Lisdawati, kejadian itu berlaku ketika dia balik dari kerja ketika melalui bulatan Pahang. Akibat bergesel dengan sebuah motosikal, motosikal Lisdawati berpusing melanggar pembahagi jalan.

Mujur ketika itu, Lisdawati dengan segera melepaskan motosikalnya dan tidak ada sebarang kenderaan melanggarnya. Walaupun berdepan dengan pengalaman pahit sebegitu, minat Lisdawati untuk menunggang motosikal berkuasa tinggi tidak pernah pudar sehingga kini.

Berkongsi minatnya itu kepada peminat, Lisdawati memberitahu, dia pernah menunggang motosikal Honda Fireblade berkuasa 1100cc milik sebuah syarikat dan pernah menyertai konvoi seluruh Malaysia seterusnya mencipta rekod Malaysia kerana menunggang dalam tempoh 18 jam pada tahun 2001.


Linda jelajah 1Malaysia

LINDA mengimpikan untuk memiliki motosikal seumpama Harley Davidson suatu hari nanti.


Minat penyampai radio Suria FM, Rozlindah Onn atau Linda Onn, 34, pada motosikal berkuasa tinggi pula bermula sejak dua tahun lalu.

Sebelum ini, Linda tidak pernah memiliki lesen dan minat untuk menunggang motosikal gara-gara dimarahi oleh ibunya kerana jatuh ketika menunggang motosikal curi-curi sewaktu berusia 13 tahun.

Namun, segalanya berubah dua tahun lalu, ketika Linda membelek majalah motokar dan berkenan dengan sebuah rekaan motosikal berkuasa tinggi, Spyder.

Linda memberitahu, minat menunggang motosikal juga timbul disebabkan dia berasa tertekan dengan kerjaya dan bosan di samping menginginkan aktiviti yang boleh memberikan dirinya kepuasan dan keseronokan.

“Selepas itu, saya terus ambil lesen dan berkenalan dengan rakan-rakan yang sama meminati motosikal berkuasa tinggi. Seterusnya membeli sebuah motosikal Ducati Monster pada tahun 2010,” ujarnya yang membeli motosikal berkuasa tinggi itu sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-33.

Ujarnya, sewaktu membawa balik motosikal tersebut ke rumah, ibunya terkejut kerana sebelum itu dia tidak pernah menyuarakan hasratnya untuk memiliki motosikal.

“Setelah saya berjanji pada ibu akan menunggang motosikal itu dengan berhati-hati, barulah dia lega dan ibu pun tahu aktiviti saya bersama kawan-kawan,” katanya.

Sejak boleh mengendalikan motosikal berkuasa besar, Linda bersama rakan-rakannya pernah mengikuti konvoi 300 penunggang motosikal ke Cherating, Pahang dan Sepang, Selangor.

Pemilik kedai makan My Mom’s Chicken Rice dan My Asam Pedas itu juga menitipkan pengalaman berharga selepas menyertai aktiviti bermotosikal kerana dilantik sebagai wakil selebriti jelajah 1Malaysia mulai 14 sehingga 21 Mei ini.

Dia turut menyertai kempen penjelajahan bermotor Jelajah 1Malaysia siri ketiga dengan membawa tema Kami Prihatin Membanteras Pembuangan Bayi 2011.

Setelah memiliki motosikal Ducati, Linda menyimpan hasrat untuk memiliki motosikal easy rider seperti Harley Davidson.


Erra sanggup berhabisan

Bagi pelakon jelita Fazira Wan Chek atau Erra Fazira, 38, pula sejak di usia 17 tahun lagi dia sudah mula menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Menurut Erra, disebabkan minat yang mendalam, dia sanggup menghabiskan duit simpanan semata-mata mahu membeli sebuah motosikal berkuasa tinggi iaitu Kawasaki ZXR 750.

Motosikal itu juga banyak memberi pengalaman manis dan pahit buat pelakon filem Hingga Hujung Nyawa itu.

“Saya dan rakan-rakan ambil keputusan untuk menyaksikan perlumbaan motosikal bertaraf dunia yang akan diadakan di Batu Tiga, Shah Alam, Selangor. Antara pelumba yang mengambil bahagian ialah Mike Doohan, pelumba berbangsa Australia yang memang saya minati.

“Dek kerana seronok menunggang motosikal dan asyik berkhayal, saya hilang kawalan ketika melalui satu selekoh tajam. Saya lepaskan handle motorsikal sementara motorsikal pula terpelanting masuk ke dalam longkang berhampiran.

“Walaupun cedera saya tetap meneruskan perjalanan menunggang motosikal itu ke perlumbaan tersebut,” tuturnya yang baru-baru ini membeli sebuah motosikal berjenama Harley Davidson VRSCDX Night Rod Special berkapasti 1250cc.


Plat motor Siti KCT1

Selain keempat-empat artis jelita itu, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin juga kini menjadikan aktiviti menunggang motosikal berkuasa tinggi bersama suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa sebagai hobi baharunya.

Hobi itu dikatakan mula timbul selepas Siti dan suami pulang daripada percutian di Capetown awal Mei lalu.

Khabarnya sejak kecil lagi Siti memang suka menunggang motosikal di kampungnya. Namun, selepas bergelar penyanyi dia tidak berpeluang lagi menunggang motosikal.

Setelah berkahwin dan mengikuti konvoi ketika bercuti di Capetown minat Siti untuk menunggang motosikal kembali timbul. Malah, ia beralih arah pula kepada motosikal berkuasa tinggi.

Minatnya itu juga dikongsi bersama suaminya apabila mereka sering menyertai konvoi menunggang motosikal berkuasa tinggi sejak pulang dari Capetown.

Menariknya, disebabkan minat baharunya itu Siti juga dikatakan sanggup membeli motosikal Harley Davidson dan membida nombor plat KCT1 dengan harga RM65,550 dan didaftarkan untuk motosikal berkuasa tinggi itu.

MAKLUMAT UJIBAKAT PROTEGE OGY & FAIZAL TAHIR


Peluang jadi protege Ogy, Faizal Tahir

Mentor musim keenam kini kembali! Kini, giliran Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) dan Faizal Tahir mencari protege. Bagi anda yang berminat mencuba nasib, hadirlah ke sesi uji bakat yang diadakan berikut;



Tarikh: Sabtu, 4 Februari
Waktu: 10 pagi - 5 petang
Tempat: Theatrette, Sri Pentas, TV3
Mentor: Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy)



Tarikh: Ahad, 5 Februari
Waktu: 10 pagi
- 5 petang
Tempat: Theatrette, Sri Pentas, TV3
Mentor: Faizal Tahir

Wednesday 1 February 2012

ANA RAFFALI NIKAH 25 FEBRUARI 2012 / SIAPA JEJAKA IDAMAN?

Pada sidang media khas di sini petang ini, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali mengumumkan bahawa majlis pernikahan akan berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.


ana-rafalli

Ana Raffali pilih Naim, nikah 25 Feb

KUALA LUMPUR – Desas desus mengenai penyanyi Tolong Ingatkan Aku, Ana Raffali bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat, akhirnya terungkai sudah.

Pada sidang media khas di sini petang ini, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali mengumumkan bahawa majlis pernikahan akan berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.

Menurut Ana, jejaka yang berjaya mencuri hatinya merupakan teman baiknya sendiri dikenali pada 2005 iaitu Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30.

“Naim ialah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu saya. Secara kebetulan, saya memang minat bidang fotografi.

“Disebabkan minat yang sama, kami semakin serasi. Namun, ketika itu Naim tidak mengetahui bahawa saya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu,” katanya yang turut ditemani Naim dalam sidang media itu.

Turut hadir ialah ibu Ana, Halijah Rashid, bapa Naim, Abdullah Mat dan ibunya Adilah Abd Mutalib.

Ana berkata, sikap Naim yang penyabar membuatkan dia tertarik dengan jejaka pilihannya itu dan secara tidak langsung membuka hatinya untuk lebih serius dalam hubungan tersebut pada 2008.

Sumber : SH

Monday 23 January 2012

IZWAN PILUS DALAM KENANGAN

Menurut Aril, pada malam sebelum penyanyi berkenaan menghembuskan nafas terakhir, dia melihat keadaan arwah abangnya berada dalam keadaan yang sangat letih dan tercungap-cungap.




Izwan Pilus Dalam Kenangan

"BILA lagi kau ni nak pandai lipat baju? Nak tunggu aku mati baru kau nak lipat." Itulah antara tutur kata yang paling diingati oleh Khairul Azam Pilus, 27, atau Aril AF7 kira-kira dua minggu sebelum abangnya, Khairil Izwan Pilus, 33, atau nama pentasnya Izwan Pilus menghembuskan nafas terakhir pada tanggal 20 Januari 2012.

Petang Jumaat lalu, penyanyi Izwan Pilus disahkan meninggal dunia di Hospital Ampang akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah (Sepsis) yang serius.

Menurut Aril, pada malam sebelum penyanyi berkenaan menghembuskan nafas terakhir, dia melihat keadaan arwah abangnya berada dalam keadaan yang sangat letih dan tercungap-cungap.

"Apabila melihat keadaannya seperti orang yang tidak sihat, saya menyuruhnya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah dipujuk, akhirnya barulah dia bersetuju untuk pergi ke hospital."

Menganggap Izwan hanya demam biasa, keadaan menjadi sebaliknya apabila Izwan diserang sawan dan nazak.

Setelah beberapa jam mendapatkan rawatan, Izwan akhirnya disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.15 petang hari yang sama sewaktu hendak dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Antara yang berada di samping Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir adalah ibu bapanya, Normah Abdullah (ibu), Pilus Mohd. Jani (ayah), Aril, Khirul Aida (kakak), Nurul Nabilah (adik bongsu) serta saudara-maranya serta beberapa rakan baik.

Jenazahnya kemudian telah dibawa pulang ke Melaka dan dikebumikan berhampiran kubur arwah datuknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelembang, Gubah, Jasin, Melaka, pada hari Sabtu (21 Januari 2012).

Mengenai perubahan sikap yang berlaku ke atas arwah sebelum meninggal dunia, Aril memberitahu, tiada sebarang perubahan yang kelihatan kecuali sebuah khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh arwah empat hari yang lalu.

"Antara kandungan pesanan yang dihantar kepada saya, arwah memberitahu yang dia sangat sayangkan saya dan meminta supaya menjaga ahli keluarga yang lain terutamanya ibu dan ayah," ujarnya.

Ditanya tentang karakter arwah sebagai seorang abang, Aril menyifatkan Izwan adalah seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab, namun kurang meluahkan isi hati sekiranya mempunyai sebarang masalah.

Ujarnya, sebagai anak lelaki sulung arwah sememangnya individu yang paling banyak menyelesaikan sebarang urusan keluarga dan lebih mengutamakan adik-beradik berbanding diri sendiri.

"Sekarang, arwah abang pun sudah pergi buat selama-lamanya dan tinggal saya seorang sahaja anak lelaki dalam keluarga," jelasnya dalam keadaan sebak.

Khairul Izwan Pilus atau lebih dikenali sebagai Izwan Pilus sepanjang menjadi anak seni telah dilahirkan pada 24 November 1979 di Hospital Universiti Kuala Lumpur.

Mengenai perjalanan karier seni, anak kedua dari empat beradik ini terlebih dahulu berkecimpung dalam bidang nyanyian setelah muncul sebagai finalis Bintang RTM pada tahun 2004.

Sepanjang bergelar penyanyi, arwah telah membawa pelbagai jenis genre muzik iaitu Pop, R&B, Irama Malaysia dan Balada serta beberapa lagunya seperti Indah Lelapku dan Kembali Senyum.

Selain bergelar seorang penyanyi, arwah juga turut dikenali sebagai seorang pengacara televisyen dan kali terakhir dia menjadi pengacara menerusi rancangan berjudul Racik-Racik Herba untuk siaran RTM 1 pada bulan Oktober lalu.

Menariknya, arwah merupakan antara barisan artis tempatan yang mempunyai pendidikan tinggi. Izwan adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia.

Persamaan

Kehilangan Allahyarham Izwan Pilus ternyata turut dirasai oleh sebilangan rakan-rakan artis yang telah menziarahi arwah di hospital sebaik sahaja mendapat berita pemergiannya melalui khidmat pesanan ringkas dan laman sosial.

Antara artis yang menziarahi arwah buat kali terakhir seperti Amy Search, Fizo Omar, Farahwahida, Zed Zaidi, Lan Kristal, Bob AF, Roslan Shah, Reza AF dan Kenchana Dewi.

Salah seorang penyanyi yang rapat dengan arwah iaitu Farahwahida berkata, mereka berdua kali terakhir bertemu ketika sama-sama membuat persembahan di Putrajaya sempena sambutan Tahun Baru 2012.

"Hubungan kami agak rapat dan sering membuat persembahan bersama. Malah, saya sudah mengenalinya sejak dia menyertai Bintang RTM lagi.

"Apa yang menariknya, kami berdua turut mempunyai persamaan apabila nama ibu kami sama iaitu Normah dan salah seorang adik saya mempunyai wajah yang seiras dengannya," jelasnya.

Menurut Farahwahida, dia menganggap arwah adalah seorang penyanyi yang memiliki bakat besar, tetapi jarang diberi peluang untuk melebarkan bakatnya itu untuk berdiri sebaris dengan penyanyi popular yang lain.- RONI HIDAYAT


Sumber : Kosmo

ARTIS MELAYU RELA BERBOGEL / INDUSTRI PERFILEMAN KIAN PARAH

“SAYA tidak akan menolak jika ditawarkan untuk berbogel dalam mana-mana filem di masa-masa hadapan dan isteri saya pun tidak kisah jika saya dikehendaki berbogel sekali lagi (dalam filem).” Sekali dengar ia seperti kenyataan ‘berani mati’ atau ‘madah bercili’ yang dilontarkan dari mulut pelakon Hollywood, tetapi realitinya itulah kenyataan tulus pelakon Zul Suphian tatkala mengulas mengenai karakter lakonannya dalam dua buah filem seram, Mantra dan Keramat. – Kosmo




Industri Perfileman Kian Parah, Artis Rela Berbogel

Mutakhir ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan kenyataan berani seorang artis berbangsa melayu dan Islam yang mengatakan rela untuk berbogel dalam mana-mana filem jika ditawarkan pada masa-masa akan datang. Perkara ini mengundang kontroversi sekaligus menggambarkan industri hiburan tanah air seperti Hollywood yang bebas melakukan apa sahaja aksi untuk meraih keuntungan dalam dunia hiburan.

Perkara ini menjadi kebimbangan di peringkat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) apabila melihat saban hari industri hiburan tanah air semakin longgar dalam menterjemahkan tatasusila kesopanan negara serta memelihara syariat Allah yang diturunkan kepada ummat keseluruhannya. Kebimbangan ini makin meningkat apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) menyatakan untuk memberikan kebebasan kepada pihak pengarah dan penerbit filem pada bulan lepas.

“SAYA tidak akan menolak jika ditawarkan untuk berbogel dalam mana-mana filem di masa-masa hadapan dan isteri saya pun tidak kisah jika saya dikehendaki berbogel sekali lagi (dalam filem).” Sekali dengar ia seperti kenyataan ‘berani mati’ atau ‘madah bercili’ yang dilontarkan dari mulut pelakon Hollywood, tetapi realitinya itulah kenyataan tulus pelakon Zul Suphian tatkala mengulas mengenai karakter lakonannya dalam dua buah filem seram, Mantra dan Keramat. – Kosmo

Kenyataan berani artis lelaki tersebut menggambarkan bahawa industri hiburan khususnya dalam bidang perfileman semakin berani tanpa mengambil kira soal agama dan adat. Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur sebagai salah satu cara meraikan fitrah yang ada dalam diri manusia. Namun, setiap perkara itu ada batasannya. Kenyataan untuk sedia berbogel menunjukkan Islam bukan lagi prioriti utama dalam menyampaikan hiburan kepada masyarakat, bahkan menutup nilai-nilai moral dan etika yang sentiasa dilaung-laungkan dalam industri hiburan sebelum ini.

“Saya beruntung kerana keluarga dan isteri saya, Fyza memahami tugas saya selaku seorang pelakon. Mereka tahu saya lakukan semua ini untuk tugas saya dan saya juga akan bertindak profesional. Isteri saya tidak kisah, kerana dia tahu saya ramai ‘teman wanita’ dalam setiap produk lakonan saya,” tutur Zul.

“Saya melakukan itu semua bukan untuk mengundang kontroversi tetapi kerana mengikut kehendak pengarah dan supaya penonton dapat gambaran yang lebih jelas,” itu ulasan dan alasan pelengkap yang diberikan Zul merangkumi adegan bogelnya dalam filem Mantra pada tahun lepas dan adegan ghairahnya bersama aktres Mon Ryanti untuk filem Keramat yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam. – Kosmo

“Berbogel tidak pernah menggambarkan nilai murni dan beretika. Ini bukan soal profesional dalam berhibur, ini soal agama dan maruah diri. Apabila manusia tidak menggunakan akal dan agama dalam membawa nilai kehidupan yang sementara ini, maka benarlah kata Allah bahawa mereka ini lebih teruk daripada al-an’am (haiwan),” Ujar Pengerusi Majlis Dakwah & Kebajikan GAMIS, Saudara Muhammad Farid.

Justeru, pihak berwajib perlu memandang serius dalam menangani isu hiburan yang semakin melampau mutakhir ini. LPF perlu kembali berfungsi selari denganpenubuhannya di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daipada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif.

“Dan saya menyeru mana-mana artis yang ingin membuat kenyataan, agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dengan mengambil kira soal agama dan maruah diri. Ingatlah bahawa hidup ini bukan milik peribadi kita, ada Tuhan dan agama yang perlu kita patuhi dan taati”, tambahnya lagi.

Sumber : Harian Metro Online

Friday 20 January 2012

PENYANYI IZWAN PILUS MENINGGAL DUNIA

Sementara itu rakan baiknya, Hairi memberitahu, arwah dikejarkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sesak nafas.



- Izwan Pilus meninggal dunia -

SHAH ALAM - Penyanyi lagu Kembali Senyum, Izwan Pilus mengembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 6.15 petang tadi, di sebuah hospital di Ampang, disyaki akibat jangkitan kuman di dalam darah.

Perkara itu disahkan adiknya, Aril Akademi Fantasia 7 (AF7) menerusi mesej Twitternya.

Izwan atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus merupakan bekas peserta Bintang RTM 2004 dan pernah merakamkan album Erti Kasih pada 2006.

Sementara itu rakan baiknya, Hairi memberitahu, arwah dikejarkan ke hospital malam tadi selepas mengadu sesak nafas.

Jenazah dibawa ke kampung halamannya di Jasin, Melaka untuk dikebumikan pagi esok.

Arwah sebelum ini, menerusi Twitternya pernah mengadu masalah kesihatan.

Antaranya, tulisan terakhir 18 Januari lalu antara lain berbunyi: "Tidak Lena tidor malam tadi sebab perut 'bloated' dek minum protien... Huh!! 'So I need my sleep now'!!!"

Allahyarham merupakan bekas finalis Bintang RTM 2004 dan pernah merakamkan album Erti Kasih pada 2006 dan popular dengan lagu berjudul 'Kembali Senyum', sebuah lagu asal daripada drama Korea 'Full House' yang diadun semula dalam versi Melayu.

Pada Disember lalu, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada empat beradik, bersama adiknya, Aril, dimasukkan ke hospital Pusrawi selepas demam panas berpanjangan selama seminggu.

Sumber : SH

SELAMAT PENGANTIN BARU ALLY ISKANDAR & FARAH LEE!

Pasangan ini dinikahkan tepat jam 10 pagi tadi oleh Mohd Abu Bakar, Jurunikah Kampung Atas Tol, dengan mas kahwin RM250.


Ally, Farah lee selamat diijabkabulkan


- Ally, Farah Lee selamat diijab kabul -

Personaliti TV3, Ally Iskandar Mohd Mardzi, 36 kini sah bergelar suami kepada Nurfarahin Romli, 22, dalam sebuah majlis yang berlangsung di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Terengganu.

Pasangan ini dinikahkan tepat jam 10 pagi tadi oleh Mohd Abu Bakar, Jurunikah Kampung Atas Tol, dengan mas kahwin RM250.

Tanpa mendedahkan wang hantaran, Nurfarahin atau lebih dikenali sebagai Farah Lee menerima tujuh dulang hantaran berupa gubahan sirih junjung, telekung dan sejadah, sebentuk cincin dan mas kahwin, sebuah Mac Book Pro, sehelai baju kurung dan senaskhah al-Quran.

Sementara, Ally menerima sembilan dulang hantaran daripada pihak perempuan. Antaranya sepersalinan pakaian lelaki, manisan, sejadah dan jubah, bunga rampai dan iPhone.

Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah ini turut mendapat liputan secara langsung TV3.

Sumber : SH

RITA RUDANI LANTIK PEGUAM

Rita, 36, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar yang memakai jubah dan selendang berwarna hitam hadir di mahkamah pada jam 3.10 petang diiringi peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.


- Gambar Carian Google -


Rita Rudaini hadir di Mahkamah Syariah


SHAH ALAM: Pelakon popular, Rita Rudaini hari ini hadir di Mahkamah Syariah di sini untuk menyempurnakan pelantikan peguam bagi menyelesaikan isu surat yang diterima daripada suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, berhubung dua anak mereka.

Rita, 36, atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar yang memakai jubah dan selendang berwarna hitam hadir di mahkamah pada jam 3.10 petang diiringi peguam syarienya, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain.

Rita dan Mohd Zaidi dilihat memasuki sebuah bilik untuk mengadakan perbincangan dengan pegawai mahkamah dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.
Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Mohd Zaidi berkata Rita hadir di mahkamah bagi urusan pelantikan beliau sebagai peguamnya secara rasmi.

Katanya, pelantikan beliau adalah bagi menyelesaikan isu anak-anak yang dibangkitkan oleh Aidil Zafuan, 24, dalam surat bertarikh 11 Januari lalu yang diterima Rita pagi semalam.

"Surat itu meminta diadakan perbincangan mengenai hal anak. Kita akan jawab surat ini selepas perayaan Tahun Baru Cina dan minta pihak sana fikir supaya perkara ini tidak diperbesarkan.

"Ia lebih kepada perbincangan suami dan isteri berhubung kebajikan anak-anak dan tidak timbul langsung isu perceraian," katanya yang enggan mendedahkan lebih terperinci butiran surat berkenaan.

Sementara itu, Rita berkata beliau menerima surat yang dikirimkan oleh peguam yang mewakili Aidil Zafuan daripada pengawal keselamatan di kediamannya di Damansara pada pagi semalam ketika hendak keluar rumah untuk menjalani penggambaran sebuah telefilem.

Pelakon itu berkata, beliau bagaimanapun tidak terkejut menerima surat berkenaan.

Pasangan itu dikurniakan dua anak lelaki Airit Rayyan Rizqin, 2, dan Airit Qaqa Arjuna berusia lapan bulan.

Media sebelum ini melaporkan rumahtangga pasangan suami isteri itu tegang berikutan Aidil Zafuan keluar dari rumah mereka di Damansara kira-kira dua minggu lalu. - BERNAMA

Tuesday 17 January 2012

SHAHNAZ BEKAS MENANTU KETUA MENTERI SARAWAK TUNTUT MUTAAH RM100 JUTA

Shahnaz, kakak Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, turut menfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Gambar Carian Google


Bekas menantu Taib Mahmud tuntut mutaah RM100j

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 31 Jan ini untuk membuat keputuskan berhubung beberapa permohonan dalam kes tuntutan mutaah berjumlah RM100 juta yang difailkan bekas menantu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Shahnaz A. Majid.

Ketua Hakim Syarie Datuk Muhammad Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Saadiah Din yang mewakili Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Abdul Taib dan peguam Shahnaz, Dr Mohd Rafie Mohd Shafie.

Beliau turut memberi tempoh seminggu kepada Shahnaz untuk memasukkan hujah terakhir.

Antara permohonan yang difailkan Shahnaz, 49, dalam tuntutan mutaah yang bermaksud saguhati selepas perceraian itu ialah permohonan notis tunjuk sebab terhadap bekas suaminya, Mahmud Abu Bekir, 49, yang didakwa telah mengingkari perintah mahkamah.

Pada 31 Jan itu juga, mahkamah akan membuat keputusan permohonan anak sulung kepada Ketua Menteri Sarawak itu untuk mengenepikan notis tunjuk sebab itu.

Di luar mahkamah, Saadiah memberitahu pemberita bahawa Shahnaz mengemukakan bantahan terhadap peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang turut mewakili bekas suaminya.

Ini kerana Zainul Rijal merupakan Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dibimbangi akan berlaku konflik kepentingan jika beliau mewakili Mahmud Abu Bekir dalam kes itu.

Hantar sapina

Sementara itu, Mohd Rafie berkata pihaknya menghantar sapina kepada tujuh saksi termasuk Abdul Taib dua minggu lepas untuk memberi keterangan dalam kes tuntutan mutaah tersebut.

Shahnaz, kakak Ratu Jazz negara Datuk Sheila Majid, turut menfailkan tuntutan harta sepencarian berjumlah RM300 juta terhadap Mahmud Abu Bekir.

Pada 5 Ogos tahun lepas, Shahnaz memperoleh kebenaran bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Mahmud Abu Bekir mengapa bekas suaminya itu tidak boleh dikenakan tindakan selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah.

Perintah itu adalah untuk Mahmud Abu Bekir, seorang ahli perniagaan, menzahirkan semua dokumen berkaitan harta miliknya termasuk akaun simpanan bank, akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penyata cukai dan penyata kewangan bulanan atau tahunan.

Jika gagal berbuat demikian, beliau boleh disabit dan dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM2,000.

Antara lain, Shahnaz menuntut beberapa rumah, beratus hektar tanah di Sarawak dan di Bukit Tunku di sini serta beberapa kereta mewah diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Pada 11 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah mengesahkan penceraian Mahmud Abu Bekir dan Shahnaz dengan talak satu.

Pasangan itu, yang berkahwin pada 9 Jan 1992, dikurniakan seorang anak lelaki, Raden Murya, 19.

- Bernama

RITA RUDANI TUNGGU SURAT CERAI?

“Minta maaf. Apabila tiba masanya nanti, saya akan beri keterangan apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rumah tangga kami. Saya harap semua pihak dapat memahami situasi yang sedang saya lalui ini,” kata Aidil.


Aidil enggan ulas khabar Rita tunggu surat cerai

SUAMI pelakon Rita Rudaini, yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, lebih selesa mendiamkan diri daripada mengulas kemelut rumah tangga yang dialami mereka ketika ini.

Menerusi khidmat pesanan ringkas yang dikirimkan kepada Hip semalam Aidil menjelaskan, dia belum bersedia untuk mendedahkan perkara itu kepada khalayak.

“Minta maaf. Apabila tiba masanya nanti, saya akan beri keterangan apakah sebenarnya yang berlaku di dalam rumah tangga kami. Saya harap semua pihak dapat memahami situasi yang sedang saya lalui ini,” kata Aidil.

Mengenai desas-desus mengatakan perceraian bakal berlaku dan Rita sendiri sedang menunggu surat cerai daripadanya, Aidil tidak mengesah atau mengiyakan perkara itu. Sebaliknya dia meminta semua pihak supaya menunggu kenyataan rasmi daripadanya.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa lagi buat masa ini. Tunggu saja kenyataan daripada saya apabila tiba masanya,” katanya.

Kemelut rumah tangga Rita dan Aidil kembali diperkatakan apabila pelakon terkenal itu mengaku ditinggalkan suaminya yang meninggalkan rumah mereka sejak seminggu lalu.

Rita dalam temubual bersama akhbar sisipan B*POP yang disiarkan kelmarin mendakwa, keruntuhan rumah tangganya itu berpunca daripada adik iparnya, Mohamad Zaquan Adha dan isterinya, pelakon Ayu Raudhah kerana menghasut Aidil serta menolong suaminya mengangkat barang-barang daripada rumah.

Tidak menuduh sebarangan, sebaliknya Rita berkata, perkara itu disaksikan sendiri menerusi rakaman kamera litar pintas (CCTV) dan juga cerita yang disampaikan jiran tetangga.

Enggan bersikap berat sebelah, Hip turut mendapatkan jawapan daripada Zaquan mengenai dakwaan Rita kononnya mencampuri urusan rumah tangganya. Tegas Zaquan, jika benar mereka bersikap seperti yang didakwa, dia meminta kakak iparnya mengemukakan bukti yang mengatakan dia dan Ayu bersepakat melarikan Aidil dari rumah.

“Abang saya yang meminta saya menghantarnya pulang ke rumahnya. Kebetulan kami suami isteri memang mahu keluar dan memandangkan lokasi yang kami mahu tuju itu berdekatan, jadi saya hantarlah. Jika benar kami membantu mengangkat barang seperti yang dia lihat menerusi CCTV, sila tunjukkan rakaman itu,” tegasnya sambil mengakui bersimpati dengan situasi yang menimpa kembarnya.

Sumber : Berita Harian

FASHA SANDHA BAKAL BERKAHWIN DENGAN JEJAI MAC INI?

Menurut gosip yang tersebar itu, majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia dan dijangka dihadiri seramai 200 orang membabitkan anggota keluarga terdekat dan wakil media tempatan.


Foto

‘Tak perlu majlis besar-besaran’

KISAH cintanya dengan kekasih hati, Rizal Ashram Ramli atau Jejai kembali hangat diperkatakan ketika ini. Terbaru, aktres jelita Fasha Sandha digosipkan bakal mengakhiri hubungan cintanya dengan Jejai menerusi ikatan perkahwinan pada Mac ini. Malah, pemilik nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan dikatakan sudah membuat pengakuan mengenainya di laman sosial tempatan.

Menurut gosip yang tersebar itu, majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia dan dijangka dihadiri seramai 200 orang membabitkan anggota keluarga terdekat dan wakil media tempatan.

Semuanya gara-gara gambar Fasha mencuba gaun pengantin tersebar meluas di Internet. Namun, sampai hari ini, Fasha masih berteka-teki mengenai perkara itu. Ternyata, dia lebih selesa mengunci mulut daripada bercerita soal perkahwinan itu. Baginya, jodoh, pertemuan dan ajal ketentuan Tuhan.

“Setakat ini jawapan saya adalah tidak. Tapi kita tidak tahu apa akan berlaku esok. Saya faham, kehendak peminat yang sentiasa inginkan saya cepat berkahwin.

Terima kasih kepada mereka yang mendoakan perkara baik-baik buat saya. Insya-Allah, apabila tiba masanya ia akan terjadi, saya akan kongsi berita gembira itu.

“Maaf, saya tiada komen mengenai isu mencuba gaun pengantin di Internet itu dan gosip berkahwin dengan Jejai di Jakarta. Setakat ini, jawapan saya adalah belum bersedia dan lebih selesa mengunci mulut. Kita tidak tahu apa akan terjadi esok,” katanya.

Ditanya mengapa dia masih berteka-teki soal kahwin itu, Fasha menafikannya.

“Saya tidak pernah bermain dengan teka-teki. Jawapan saya mudah sekali, saya tidak bersedia dan kita tidak pernah tahu apa akan terjadi esok. Pepatah ‘silence is golden’ itu saya pegang. Saya selalu belajar daripada kesilapan diri sendiri dan orang lain. Itu mematangkan diri saya.

“Insya-Allah, bila tibanya hari bersejarah saya pasti mengundang pihak media untuk membuat liputan majlis perkahwinan kami. Apapun, terserah pada bakal suami tapi saya yakin bakal suami mengizinkan nanti.

“Saya juga tidak merancang majlis perkahwinan secara besar-besaran. Oh tidak sama sekali. Perkahwinan tidak perlu jadi `Wedding Of The Year’, biarlah `simple but memorable’. Sederhana dan diingati, itu lebih baik,” katanya.

Bukan saja isu kahwin, Fasha juga sering dihimpit kontroversi yang sedikit sebanyak menjatuhkan nama baiknya. Namun, dia tetap kalis dan tenang menepis segala gosip berkenaan.

“Keluarga, peminat dan sahabat adalah kekuatan selama ini. Saya tidak perlu bimbang mengenai apa-apa pun kerana peminat sudah pandai menilai yang mana betul dan mana tidak. Kontroversi adalah asam garam untuk artis yang dikenali.
Jadi setiap artis akan melaluinya. Jadi harus tenang selalu, kontroversi akan berlalu begitu saja,” katanya.



7 perkara mengenai Fasha Sandha


Warna Kegemaran: Ungu
Makanan Kegemaran: Laksa Mama
Filem Terakhir Yang Ditonton: Ombak Rindu
Aktor Lelaki Yang Anda Ingin ‘Dating’: Tiada
Saiz Kasut: 8
Negara Yang Ingin Dikunjungi: Itali
Haiwan Yang Paling Ditakuti: Pacat


Sumber : myMetro

Sunday 15 January 2012

ROZITA CHE WAN BERSKIRT PENDEK : 'CUMA IKUT TEMA'

Saya hanya mengikut trend dan tema diberikan. Janggal pula jika saya hadir di majlis itu dengan berpakaian berbaju kurung. Lagipun, ia majlis hari jadi, bukan kenduri kahwin.

SEKSI... gambar kontroversi Rozita tersebar di Internet.
SEKSI... gambar kontroversi Rozita tersebar di Internet.


‘Cuma ikut tema’


KUALA LUMPUR: “Saya mohon maaf jika ada yang tersinggung dengan cara pemakaian saya. Saya hanya mengikut tema pada majlis berkenaan dan tidak berniat ‘mengganggu’ sesiapa,” kata aktres jelita, Rozita Che Wan mengulas tindakannya memakai skirt pendek paras lutut ketika menghadiri majlis hari jadi seorang pelakon di restoran The Ship, Bukit Bintang, baru-baru ini.

Pemakaian skirt yang dikatakan seksi hingga menampakkan paha pelakon ini turut diperdebatkan di beberapa ruangan hiburan media cetak dan laman blog hiburan.

Malah, beberapa keping gambar yang dipaparkan di laman blog itu turut mencetuskan reaksi kurang senang peminatnya.

Sebelum ini, beberapa keping gambarnya berpakaian seksi yang turut menampakkan paha pernah tersebar di Internet. Antaranya, ketika menyaksikan Konsert Akhir Akademi Fantasia Kelapan (AF8).

Menurut Rozita, bukan dia seorang berpakaian ‘seksi’ pada malam itu. Katanya, dia hanya mengikut tema K-Pop diberikan penganjur majlis, malah semua tetamu dan beberapa pelakon lain, sama ada lelaki dan wanita, turut hadir dengan tema sama.

“Saya hanya mengikut trend dan tema diberikan. Janggal pula jika saya hadir di majlis itu dengan berpakaian berbaju kurung. Lagipun, ia majlis hari jadi, bukan kenduri kahwin.

“Yang peliknya, kenapa mesti saya yang menjadi sasaran pada hal ramai lagi yang berpakaian sama?” katanya.

“Memang sukar mahu puaskan hati semua orang. Lagipun, ia hak masing-masing. Saya juga tidak kisah dengan komen dan penerimaan mereka yang tidak puas hati dengan saya,” katanya.

Rozita berkata, dia “tidak pernah bermusuh dengan sesiapa tetapi kenapa ada yang mahu bermusuh dan tidak boleh melihatnya senang.

“Saya terima dengan hati terbuka jika mereka mahu memberi nasihat. Namun bila menggelar saya tidak sedar diri, tidak takut tuhan, perasan remaja, ia bukan lagi nasihat.

“Tidak ada yang sempurna di muka bumi ini. Lebih baik jaga hal sendiri dan cermin diri dulu sebelum mahu menghukum orang lain. Cukup-cukuplah mengaibkan orang lain. Lagipun, pakaian saya itu bukan untuk disebarkan di Internet,” katanya.

Ibu kepada dua anak, Ammar Effendy, 14, dan Aniq Ezzra, 12, ini turut berharap perkara itu tidak diperbesarkan atau disensasikan.

Sumber : myMetro