Pages

Friday 30 August 2013

FILEM PATRIOTIK 'TANDA PUTERA' DITAYANG DI PULAU PINANG MULAI SABTU

Beliau dalam status terbaharunya di laman sosial Facebooknya berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.

Tanda Putera
Tanda Putera

Tanda Putera ditayang di Pulau Pinang mulai Sabtu

FILEM patriotik 'Tanda Putera' akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
   
Beliau dalam status terbaharunya di laman sosial Facebooknya berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.
   
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi itu.
   
Namun Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berupa nasihat dan bukannya larangan.
   
"Mungkin atas desakan dan kemarahan rakyat atas tindakan tidak bijak melarang tayangan Tanda Putera, pihak pawagam terima surat baru - NASIHAT bukan ARAHAN," kata Shabery.
   
Katanya jika benar ada babak-babak fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dalam filem itu, mereka yang tidak berpuas hati boleh membuat laporan polis dan aduan kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). - Bernama



Sinar Harian

Thursday 29 August 2013

KEJAM! KANAK-KANAK DITEMUI BERLUMURAN DARAH, MATANYA DIKOREK

Isnin lalu, media melaporkan Guo ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan matanya turut dikorek selepas dilaporkan hilang ketika sedang bermain di luar kawasan rumahnya.

Mata kanak-kanak kena korek
Mangsa dipercayai diberi dadah dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika matanya dikorek.

Mata kanak-kanak kena korek

BEIJING - CHINA - Seorang kanak-kanak berumur enam tahun di wilayah utara Shanxi berpotensi cacat penglihatan seumur hidup akibat perbuatan kejam individu tidak berperikemanusiaan.

Isnin lalu, media melaporkan Guo ditemui dalam keadaan berlumuran darah dan matanya turut dikorek selepas dilaporkan hilang ketika sedang bermain di luar kawasan rumahnya.

Menurut laporan AFP, sebelum ini, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa mangsa mungkin diserang ahli sindiket penjualan organ selepas kornea matanya dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa memberitahu bahawa kornea tersebut telah ditemui, namun mereka belum memberi sebarang butiran lanjut berhubung perkara itu.

"Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui motif sebenar perbuatan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan ke atas mangsa," kata jurucakap polis Fenxi.

Difahamkan, polis turut menawarkan ganjaran 100,000 yuan (RM54,000) kepada pemberi maklumat yang membawa kepada penahanan suspek dipercayai seorang wanita.

Menurut bapa saudara Guo, doktor merancang menggunakan implan mata ke atas anak saudaranya selepas mangsa sembuh.


Sinar Harian

KL GANGSTER 2 BOCOR SEBELUM TAYANGAN: SYAMSUL YUSOF LAPOR POLIS

Melalui status Facebooknya yang terkini, Syamsul memberi amaran keras terhadap pihak yang melakukan perkara tersebut.


Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

KL Gangster 2 bocor, Syamsul lapor polis

FILEM arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, KL Gangster 2 yang menelan kos mencecah RM 4 juta dikhabarkan telah tersebar di internet meskipun ia masih belum ditayangkan di mana-mana pawagam.

Melalui status Facebooknya yang terkini, Syamsul memberi amaran keras terhadap pihak yang melakukan perkara tersebut.

“Peringatan buat semua, pihak Skop Production dan Grand Brilliace akan mengambil tindakan keras kepada mana-mana individu yang mengedarkan atau memuatnaik filem KL Gangster 2 tanpa kebenaran, di mana-mana media sekalipun.

“Kami dan pihak berkuasa akan mengambil tindakan habis-habisan untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab," katanya.

Sinar Harian Online difahamkan, Syamsul sendiri telah pergi membuat laporan polis, pagi tadi.

Sementara, di laman sosial Facebook Skop Productions menulis, “Amaran: Laporan polis telah dibuat ke atas pihak yang bertanggungjawab mencuri dan memuatnaik filem terbaru kami di laman internet.”

Status itu juga menyebut, “Kami akan pastikan pihak yang bertanggungjawab tak akan terlepas. Hentikan penyebaran ‘link’ di laman sosial sebelum tindakan dikenakan.”

Sementara itu, status Facebook tersebut turut memberitahu pemantauan telah dijalankan dari pihak polis anti-siber.

“Sebarang maklumat ‘link’ yang dimuatnaik atau muatturun di laman Facebook, Youtube, blog, Twitter dan sebagainya akan diambil tindakan.

“Ini adalah satu jenayah serius dan tidak akan dibiarkan,” tulisnya.

Filem sekuel arahan Syamsul, KL Gangster berjaya meraih kutipan box office RM12 juta.



Sinar Harian

SENARAI PENUH NAMA 49 KUMPULAN KONGSI GELAP DIDEDAH KDN

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media di sini, berkata kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.

KDN umum  nama 49 kumpulan kongsi gelap
Abdul Rahim Mohamad Radzi (tengah) menunjukan senarai nama Pertubuhan Kongsi Gelap pada sidang media hari ini. - Foto Bernama

KDN umum nama 49 kumpulan kongsi gelap

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan nama 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
    
Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media di sini, berkata kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.
    
Abdul Rahim menjelaskan kumpulan kongsi gelap berkenaan dikesan menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.
    
"Mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau, kuku kambing dan sebagainya," katanya.
    
Beliau berkata kumpulan kongsi gelap itu ialah:
    
- Geng 04 yang dikenal pasti bergerak aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
    
- Geng 08 yang bergerak aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
    
- Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.
    
- Tiga Line yang bergerak aktif di 20 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Kedah dan Perak.
    
- Geng 30 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung.    

- Geng 38 yang aktif di 14 kawasan di Kepong, Jinjang dan Setapak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan di Johor Baharu, Johor.

- Geng 24 (aktif di enam kawasan di Selangor,  Kuala Lumpur,  Pulau Pinang,
Perak dan Johor)

- Geng 18 (aktif di lapan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur,  Perak dan Johor)
    
- Geng 36 (aktif di Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur)
  
- Gee Ah Eng
    
- Loh Kuan
    
- Tiang Yee Tong
    
- Geng 21
    
- Ang Soon Thong
    
- Wah Kee
    
- Sio Sam Ong
    
- PNEH
    
- Hong Hong San
    
- Hai San
    
- Sin Ang Bin
    
- New Cell 20
    
- Jit It Hai
    
- Sio Koon Tong
    
- Gee Lam Kor
    
- Geng Leng Hor
    
- Geng 35
    
- Geng 303
    
- Geng Satu Hati

DI SABAH:
    
- Sabah ATAP
  
- Hung Ann
    
- Sui Yuk
    
- Otai
    
- Borneo Red EMP
    
DI SARAWAK:
    
- Sarawak Ah Ngau
    
- Batu Tiga
    
- Ah Feng
  
- Batu 10
    
- Sibu T
    
- Ah Seng
    
- Ah Chin
    
- Lee Lung
  
- Lo Han
  
- Sg Merah
  
- Sg Badut
    
- Ting Ching Lee
    
- Tua Cak Lee
    
- Teksi Station
    
- Pintu Merah
    
- Krokop

Abdul Rahim berkata dengan pengisytiharan itu, tiada individu atau pihak boleh menggunakan semula nama berkenaan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan.
    
Beliau berkata segala akaun, aset dan harta pertubuhan kongsi gelap tersebut akan diserahkan dan digulungkan oleh Jabatan Insolvensi.
    
Selain itu, katanya tiada individu boleh memegang jawatan, menjalankan kerja sebagai seorang anggota, membenarkan sesuatu mesyuarat dalam bangunan, menghasut, mendorong, mendapatkan yuran atau bantuan,  menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pertubuhan kongsi gelap.
    
Beliau berkata mereka yang bertanggungjawab menjalankan apa-apa aktiviti pertubuhan kongsi gelap akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 335. - Bernama



Sinar Harian

5 KAKITANGAN TNB TERLIBAT KEMALANGAN DI KULIM

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, semua terlibat cedera di kepala dan badan, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

5 kakitangan TNB tersepit
Keadaan mangsa yang tersepit di bawah kereta.

5 kakitangan TNB tersepit

KULIM -  Lima kakitangan TNB tersepit apabila kereta jenis Toyota SEG dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di Jalan Lebuh Perdana kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, semua terlibat cedera di kepala dan badan, bagaimanapun berada dalam keadaan stabil.

5 kakitangan TNB tersepit
Kereta mangsa merempuh tebing jalan dan pokok sebelum terbalik dalam kemalangan itu.


Menurutnya, mangsa datang dari arah lampu isyarat Taman Industeri Waja menuju ke lampu isyarat Lebuh Raya Perdana.

"Ketika melalui satu selekoh, pemandu terlibat gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh pembahagi jalan, sebatang pokok dan tiang lampu yang berada di tengah jalan sebelum terbalik.

"Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hi-Tech dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit di tempat duduk," katanya.

Semua mangsa terlibat kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Dari laporan diterima ada dalam kalangan mangsa terlibat patah anggota badan.

Kes disiasat bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan.

Ghuzlan turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak memandu laju dan sentiasa mematuhi undang-undang.


Sinar Harian

SHAH RUKH KHAN & MADHURI DIXIT BAKAL ADAKAN KONSERT DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL

Terbaru, dua nama besar ini akan sekali lagi bergabung, namun bukan kerana terlibat dengan projek filem terbaru, sebaliknya bakal menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert Temptation Reloaded di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SHAHRUKH KHAN & MADHURI DIXIT BAKAL ADAKAN KONSERT DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL

Konsert Shahrukh Khan, Madhuri janji kelainan

NAMA Datuk Shahrukh Khan (SRK) dan Madhuri Dixit bukanlah asing lagi di Malaysia. Bintang ternama Bollywood ini sudah mencipta nama di sini sejak awal tahun 1990-an lagi.

Justeru tidak hairanlah apabila SRK dikurniakan gelaran Datuk oleh kerajaan Melaka kerana kerap mempromosikan negeri itu menerusi filem lakonannya.

Malah SRK dan Madhuri sendiri sering menjadi pilihan penerbit untuk digandingkan dalam filem seperti Dil To Pagal Hai,Koyla, Gaja Gamini, Hum Tumhare Hai Sanam, Devdas dan Anjaam, sehingga mendapat pulangan yang besar.

Terbaru, dua nama besar ini akan sekali lagi bergabung, namun bukan kerana terlibat dengan projek filem terbaru, sebaliknya bakal menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert Temptation Reloaded di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SHAH RUKH KHAN & MADHURI DIXIT BAKAL ADAKAN KONSERT DI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL


Menurut pengarah urusan Hitman Solutions Sdn Bhd, Rohit Rampal berkata konsert itu nanti dipenuhi dengan muzik, tarian dan gimik sepanjang tiga jam ia berlangsung.

“Penonton bukan sahaja melihat persembahan Shah Rukh Khan tetapi juga kepuasan melihat penggunaan lampu berteknologi ‘diod pemancar cahaya’ (LED)

“Malah pentas juga diiringi dengan persembahan grafik mengikut lagu-lagu yang dibawakan,” katanya pada sidang media konsert ‘Temptations Reloaded’ yang diadakan di Menara Kuala Lumpur di sini petang Selasa.

Tambah Ruhit, persembahan Shah Rukh Khan akan mengikut arahan dan skrip agar ia kelihatan lebih tersusun.

“Saya ibaratkan konsert itu seperti sebuah filem yang dipersembahkan secara langsung. Apatah lagi ia akan berlangsung selama tiga jam tanpa henti

"Shahrukh Khan akan mengetuai persembahan tersebut dengan iringan sekumpulan penari dan penghibur yang datang khas dari Bollywood.

"Manakala Madhuri dan rapper Honey Singh akan menyertai persembahan itu," katanya.


Taruhan terbaru

Dalam pada itu, biarpun sibuk dengan persiapan konsert 11 Oktober depan, SRK kini juga dalam rangka mempromosikan filem terbaru iaitu Chennai Ekpress di samping aktres jelita, Deepika Padukone.

Filem berunsurkan romantik komedi itu, berkisar pengembaraan seorang lelaki dari Mumbai ke Rameshwaram dan mengalami pelbagai peristiwa menarik sepanjang perjalanan itu.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut jatuh cinta dengan seorang gadis yang merupakan anak kepada ketua gengster terkenal yang di daerah tersebut.

Menurut Shahrukh Khan, dia berharap filem itu mendapat sambutan daripada peminatnya apatah lagi ia mendapat sentuhan pengarah tersohor, Rohit Shetty.

"Saya doakan filem ini menerima maklum balas positif. Insya-Allah, segala perit jerih kami sepanjang pembikinan filem ini berbaloi," katanya.

Menerima jolokan Raja Romantik di Bollywood menerusi lakonannya, SRK berkata dia menghargai jasa para pengarah yang pernah membantu menaikkan namanya di persada dunia.

"Menjadi seorang pengarah adalah perkara yang paling membosankan.

"Namun kita sepatutnya berada di sisi mereka agar tidak berasa kesunyian.

"Pelakon dan pengarah ibarat adik beradik, kami harus saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

Kemunculan semula Madhuri Dixit

Berbanding sahabat baiknya, kerjaya Madhuri Dixit tidak semeriah Shahrukh Khan selepas dia 'bersara' buat sementara waktu demi keluarganya.

Setelah dua anak perempuannya kian membesar, wanita berusia 46 tahun itu ingin berlakon kembali namun percubaannya itu gagal.

Pun begitu, peminat dan industri perfileman tetap menerima aktres jelita itu yang mempunyai bakat menari terutamanya tarian tradisional.

"Kemunculan ramai artis wanita yang cantik dan berbakat membuatkan kemunculan saya kurang mendapat sambutan.

"Apa yang pasti dunia lakonan tidak dapat dipisahkan walau sudah lama tidak berlakon filem," katanya.

Ditanya mengenai SRK, Madhuri berkata superstar itu sebenarnya tidak pandai menari sebaliknya dia mempunyai karisma dan daya penarik tersendiri.

"Dia tidak pernah belajar menari secara profesional tetapi SRK bijak membawa diri dan cepat mempelajari perkara baru.

"Walaupun secara amatur tetapi tarian dan tenaganya membuatkan ramai yang tertarik dengannya," ujar Madhuri kini menjadi juri program realiti, Jhalak Dikhla Jaa yang dihoskan oleh pelakon sasa, Salman Khan.


Sinar Harian

Wednesday 28 August 2013

KERAJAAN DAP PULAU PINANG HARAMKAN TAYANGAN FILEM TANDA PUTERA

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, surat rasmi akan dihantar kepada semua pemilik pawagam yang diberi lesen peniagaan oleh pihak berkuasa tempatan hari ini supaya tidak menayangkan filem berkenaan. 

KERAJAAN DAP PULAU PINANG HARAMKAN TAYANGAN FILEM TANDA PUTERA
- Gambar Carian Google

Kerajaan DAP Pulau Pinang haramkanTanda Putera


PULAU PINANG 29 Ogos - Kerajaan DAP Pulau Pinang mengharamkan tayangan filem Tanda Putera di semua pawagam di negeri ini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, surat rasmi akan dihantar kepada semua pemilik pawagam yang diberi lesen peniagaan oleh pihak berkuasa tempatan hari ini supaya tidak menayangkan filem berkenaan. 

- UTUSAN ONLINE




NOKIA ASHA 210 & NOKIA ASHA 501 HARGA MAMPU MILIK KINI DI PASARAN

Nokia Asha 210 dijual dengan harga RM219 dengan ciri papan kekunci QWERTY yang mempunyai butang media sosial khas bagi membolehkan anda mengakses laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram dengan mudah. 

NOKIA ASHA 210 & NOKIA ASHA 501 HARGA MAMPU MILIK KINI DI PASARAN


Nokia Asha 210 dan 501 mula dipasarkan


Syarikat telekomunikasi terkemuka Nokia sudah mula memasarkan dua buah telefon model Asha iaitu Nokia Asha 210 dan Nokia Asha 501 dengan harga yang cukup berpatutan. 

Nokia Asha 210 dijual dengan harga RM219 dengan ciri papan kekunci QWERTY yang mempunyai butang media sosial khas bagi membolehkan anda mengakses laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram dengan mudah. 

Selain itu, telefon dwi sim ini juga dilengkapi dengan beberapa kemudahan melayari Internet seperti sokongan WiFi. Telefon yang mempunyai kamera beresolusi dua megapiksel ini juga turut mempunyai fungsi suntingan serta perkongsian. 

Terdapat pelbagai pilihan warna ditawarkan kepada pengguna selain memanfaatkan sepenuhnya pelayar Nokia Xpress Browser yang menggunakan teknologi cloud bagi mengurangkan penggunaan data sehingga 90 peratus. 

Satu lagi telefon model Nokia Asha 501 dengan rekaan elegan yang membolehkan pengguna membuka kasing belakang yang dijual dengan harga RM299. Telefon ini mempunyai skrin sentuh 3.0 inci dengan berat minimum 98 gram selain mempunyai paparan antigores. 

Terdapat dua pilihan skrin utama yang ditawarkan iaitu Home dan Fastlane. Home adalah skrin tradisional yang menawarkan ikon aplikasi biasa untuk mengakses ciri spesifik manakala Fastlane memperlihatkan penggunaan kerap bagi aplikasi sebelum memberi paparan menu yang kerap dikunjungi. 

SPESIFIKASI

NOKIA ASHA 210
Harga: RM219 
Rangkaian: GSM/EDGE 900/1800 
Antaramuka: Series 40 Asha 
Dimensi: 111.5 x 60 x 11.8mm 
Berat: 97.3g 
Paparan: 2.4 inci QVGA 
Memori: 64MB (dalaman), sokong kad microSD 
Masa bersedia: 24 hari 
Masa berbual: 12 jam 
Bateri: BL-4U, 1200mAh 
Kamera: 2MP

NOKIA ASHA 501

Harga: RM299 
Rangkaian: GSM 900/1800 + WLAN, GSM 850/1900 + WLAN 
Antaramuka: Nokia Asha Software Platform 
Dimensi: 99.2 x 58 x 12.1mm 
Berat: 98g 
Paparan: 3 inci QVGA TFT 
Memori: 128MB + 4GB 
Masa bersedia: 26 hari 
Masa berbual: 17 jam 
Bateri: BL-4U, 1200mAh 
Kamera: 2MP 
Ciri: 40 game premium percuma


Sumber :  Yahoo

AMERIKA - SYRIA DI AMBANG PERANG

Beberapa sumber yang menghadiri mesyuarat antara pemimpin pembangkang Syria dengan diplomat dari Washington serta kerajaan negara lain di Istanbul semalam berkata pemberontak diberitahu bahawa mereka boleh menjangka tindakan ketenteraan dan diminta bersedia untuk rundingan damai. 

Amerika, Syria di ambang perang
Pemberontak melancarkan serangan balas terhadap tentera rejim ketika bertempur di Khanasser, kelmarin. - Foto AFP


Amerika, Syria di ambang perang


Amman: Diplomat Amerika dan sekutunya sudah memaklumkan kepada pemberontak Syria bahawa Kuasa Barat boleh menyerang negara itu dalam tempoh beberapa hari saja lagi. 

Beberapa sumber yang menghadiri mesyuarat antara pemimpin pembangkang Syria dengan diplomat dari Washington serta kerajaan negara lain di Istanbul semalam berkata pemberontak diberitahu bahawa mereka boleh menjangka tindakan ketenteraan dan diminta bersedia untuk rundingan damai. 

Pembangkang dimaklumkan bahawa tindakan untuk menghalang rejim Assad daripada terus menggunakan senjata kimia akan dilakukan seawal beberapa hari lagi dan mereka dikehendaki bersedia untuk mengadakan rundingan damai di Geneva, kata sumber itu. 

Sumber itu juga menyatakan Presiden Pakatan Kebangsaan Syria Ahmad Jarba menemui wakil daripada 11 negara yang menyokong pemberontak termasuk duta Amerika ke Syria, Robert Ford di Istanbul. 


Serangan gas beracun 

Pada masa sama, Setiausaha Pertahanan, Chuck Hagel, berkata tentera Amerika di wilayah itu sudah bersedia untuk menjalankan tugas ketika Washington bersama sekutunya di Eropah dan Asia Barat menyediakan rancangan untuk menghukum Presiden Bashar al-Assad didakwa melancarkan serangan gas beracun yang mengorbankan lebih 1,000 orang minggu lalu. 

Pemeriksa dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata mereka menemui bukti bahawa rejim Assad bertanggungjawab dalam serangan senjata kimia membabitkan gas saraf ke atas rakyatnya. 
Bagaimanapun tentangan daripada Russia dan China menyukarkan usaha untuk meyakinkan masyarakat antarabangsa, pemimpin Barat mungkin menangguhkan rancangan itu. 

Perdana Menteri Britain David Cameron memanggil satu mesyuarat tergempar parlimen untuk membincangkan mengenai isu Syria esok. 

Beliau bersama Presiden Amerika, Barack Obama dan Presiden Perancis Francois Hollande berdepan persoalan sukar mengenai sejauh mana batas campur tangan, kemungkinan besar serangan udara akan berakhir dan sama ada mereka bersedia menyerahkan kuasa kepada pemisah Islam yang anti Barat jika Assad digulingkan. 


Pasaran saham merudum 

Sementara itu di Asia, pasaran saham merudum manakala harga minyak meningkat awal semalam disebabkan kebimbangan berlaku satu lagi peningkatan dalam perang di Syria yang sudah menjangkau 29 bulan. 

Bercakap di Washington dan sekutunya bersedia melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sasaran Syria, Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad cuba menyembunyikan sesuatu. 

AFP/REUTERS


Berita Harian

3 PRODUK KESIHATAN TRADISIONAL DIKESAN BERACUN

Produk berkenaan termasuk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant yang mengandungi bahan racun berjadual sildenafil dan Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong yang mengandungi dexamethasone. 

3 PRODUK KESIHATAN TRADISIONAL DIKESAN BERACUN
- Gambar Carian Google


3 produk kesihatan tradisional dikesan beracun - Kementerian Kesihatan


Putrajaya: Sebanyak tiga produk kesihatan tradisional dalam pasaran dikesan mengandungi bahan racun berjadual dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan


Produk berkenaan termasuk Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant yang mengandungi bahan racun berjadual sildenafil dan Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong yang mengandungi dexamethasone. 



Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan, Datuk Eisah A Rahman, berkata pengambilan sindenafil melalui produk berkenaan menyebabkan pesakit mengalami kesan sampingan seperti sakit bahagian dada, sesak nafas, serangan jantung dan angin ahmar. 



Katanya, pengambilan dexamethasone pula menyebabkan pesakit mengalami sindrom Cushing iaitu muka membulat, peningkatan berat badan mendadak, bengkak pada bahu dan tengkuk serta kulit kesihatan garis kebiru-biruan (striae). 

"Orang ramai yang sedang menggunakan Li Long Mei Guo Mo Bang dan Africa Black Ant dinasihatkan menghentikan penggunaannya, manakala bagi yang mengambil Ginseng Tu Chong Wan Lin Heong diminta supaya mendapatkan nasihat dan rawatan daripada ahli profesional kesihatan," katanya dalam satu kenyataan. 


Berita Harian

JEREBU DI PULAU PINANG BERTAMBAH BURUK

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Perai ialah 80, Seberang Jaya (92) dan Universiti Sains Malaysia (88) setakat 9 pagi ini berbanding 58 hingga 63, petang semalam.

Jerebu tambah buruk di Pulau Pinang
Jerebu tambah buruk di Pulau Pinang - Gambar hiasan

Jerebu tambah buruk di Pulau Pinang

GEORGETOWN - Keadaan berjerebu yang dikesan di beberapa kawasan di Pulau Pinang sejak semalam bertambah teruk hari ini dengan kualiti udara menghampiri tahap tidak sihat.
    
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, Phee Boon Poh berkata bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Perai ialah 80, Seberang Jaya (92) dan Universiti Sains Malaysia (88) setakat 9 pagi ini berbanding 58 hingga 63, petang semalam.
    
"Kerajaan negeri telah menyediakan bekalan topeng muka untuk diedarkan secara percuma kepada pelajar sekolah di setiap pusat khidmat DUN (Dewan Undangan Negeri) di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.
    
Phee turut menyarankan orang ramai agar mengurangkan aktiviti rekreasi di luar rumah dan sentiasa peka dengan perubahan cuaca sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka.
    
Beliau menyifatkan peningkatan tahap jerebu itu berlaku secara mendadak dan menasihati orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami masalah sakit tekak, batuk atau sesak nafas selain memperbanyak minum air kosong.
    
Bacaan IPU pada tahap antara 0 dan 50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 30 (berbahaya). - Bernama



Sinar Harian

Tuesday 27 August 2013

GAMBAR & BERITA PERTUNANGAN PELAKON SYANIE BERSAMA NADI PUTERA

Ketika umat Islam masih sibuk meraikan sambutan Aidilfitri, Syanie dan Nadi telah selamat mengikat tali pertunangan pada 10 Ogos lalu dalam satu majlis yang diadakan di rumah pelakon itu di Petaling Jaya, Selangor.

SELEPAS 11 tahun menjanda, kini sudah tiba masanya untuk Syanie kembali bergelar isteri.

Syanie tidak mahu bertunang lama-lama


KEGAGALAN dalam perkahwinan pertama tidak bermakna pelakon Syanie Hisham enggan lagi mendirikan rumah tangga. Ternyata, kehadiran lelaki yang bernama Nadi Putera Mohd. Zainol berhasil mengisi kekosongan hatinya.
Ketika umat Islam masih sibuk meraikan sambutan Aidilfitri, Syanie dan Nadi telah selamat mengikat tali pertunangan pada 10 Ogos lalu dalam satu majlis yang diadakan di rumah pelakon itu di Petaling Jaya, Selangor.
Menurut Syanie, sebelum kata putus dibuat untuk menerima lamaran Nadi, dia tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat keputusan.
“Pertama sekali, saya membuat perbincangan dengan ibu serta adik perempuan mengenai hasrat kami ini. Banyak perkara yang kami bincangkan seperti pertimbangan terhadap keputusan yang akan dibuat.
“Lagipun, perkahwinan bukanlah suatu perkara suka-suka dan kami sekeluarga memang mengambil serius mengenainya.
“Sekiranya saya dan Nadi ditakdirkan berkahwin, sudah tentu saya mengharapkan sebuah hubungan yang kekal sehingga akhir hayat,” ujarnya.
Apabila ditanya tentang hasratnya yang mahu kembali mendirikan rumah tangga setelah 11 tahun bergelar janda, pelakon tersebut meluahkan bahawa sudah tiba masanya untuk dia memiliki teman hidup.
“Setiap wanita pastinya mempunyai keinginan memiliki seorang suami yang sentiasa berada di sisi. Lagipun, keputusan yang dibuat ini merupakan gerak hati dan yakin Nadi merupakan pilihan yang tepat,” luahnya.
IBU SYANIE menyarungkan cincin pertunangan pada jari manis Nadi.

Bercerita lebih lanjut mengenai perkenalan mereka berdua sehinggalah mengikat tali pertunangan, Syanie menyatakan bahawa semuanya terjadi secara kebetulan.
Ujarnya, mereka sebenarnya sudah lama mengenali diri masing-masing apabila Nadi bekerja dengan syarikat milik keluarganya kira-kira tujuh tahun lalu.
“Setelah berhenti kerja, saya dapat tahu Nadi telah mendirikan rumah tangga tetapi hubungan kami masih lagi kekal sebagai teman biasa sehinggalah dia bercerai dengan bekas isterinya itu.
“Walaupun sudah jarang bersua muka kami tetap lagi bertanya khabar.
“Kemudian, hubungan kami mula menjadi rapat apabila sama-sama pergi ke Kedah untuk menghadiri majlis perkahwinan salah seorang rakan,” jelasnya.
Cerita Syanie lagi, sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, mereka berbual pelbagai perkara sehinggalah membabitkan hala tuju dan perhubungan bersama.
“Setelah masing-masing meluahkan perasaan dari hati ke hati, sebulan kemudian kami mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih,” ujarnya.
Berkenaan dengan pemilihan 1 Mac 2014 sebagai hari perkahwinan mereka, Syanie memberitahu bahawa tiada sebarang yang istimewa berkenaan tarikh tersebut.
Menurutnya, tarikh berkenaan dipilih kerana dia dan Nadi sepakat untuk tidak mahu mengadakan upacara perkahwinan ketika musim cuti persekolahan.

KELUARGA Syanie dan Nadi gembira dengan keputusan mereka untuk bersatu di alam rumah tangga.

“Selain itu, kami memang enggan bertunang dalam tempoh yang lama dan ia merupakan kehendak bapa Nadi sendiri yang mahu ia diadakan secepat mungkin.
“Saya fikir elok juga kalau kami tidak bertunang lama-lama. Lagipun, kalau sudah bertunang ini memang banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa dihadapi nanti.
Mama Syanie
Berbanding Syanie yang tidak dikurniakan cahaya mata ketika perkahwinan terdahulu, Nadi pula mempunyai dua orang anak lelaki iaitu Mohd. Putera Danish, 5, dan Mohd. Putera Dafiq, 4.
Menurut Syanie, setakat ini hubungannya dengan kedua-dua anak tunangnya itu cukup baik terutama sekali dengan Dafiq yang menetap dengan bapanya.
“Anak sulung Nadi iaitu Danish kini tinggal bersama bekas isterinya dan kami cuma sempat berjumpa sekali sahaja manakala Dafiq pula menetap bersama ayahnya.
“Jadi, saya dan Dafiq memang selalu berjumpa, terutamanya kalau saya dan Nadi keluar bersama. Malah, dia juga memanggil saya dengan panggilan Mama Syanie,” ujarnya.
Mengenai harapannya selepas selamat bergelar isteri Nadi kelak, Syanie memohon agar semua peminat dapat mendoakan kebahagiaan mereka berdua sehingga ke akhir hayat.


Kosmo








PENYANYI NOORSHILA AMIN MELECUR TERUK DISAMBAR API

Insiden yang berlaku sepantas kilat itu telah mengakibatkan sebahagian wajah, lengan dan kaki kiri Noorshila melecur teruk akibat disambar api.

TIDAK mahu sebarang simpati, Noorshila bagaimanapun bersyukur dengan kata-kata sokongan yang diterimanya daripada pihak yang prihatin menerusi laman-laman sosial dan panggilan telefon.


Melecur, Noorshila Amin enggan terima pelawat


BENARLAH kata pepatah, malang tidak berbau. Itulah yang menimpa diri penyanyi Noorshila Amin yang cukup terkenal menerusi lagu popularnya, Rambu Ramba dan Kad Ucapanmu apabila sebahagian anggota badannya melecur akibat disambar api yang berpunca daripada tong gas bocor di kediaman anaknya pada Sabtu lalu.
Insiden yang berlaku sepantas kilat itu telah mengakibatkan sebahagian wajah, lengan dan kaki kiri Noorshila melecur teruk akibat disambar api.
Ketika kejadian, penyanyi itu sedang sibuk memasak untuk majlis rumah terbuka anak sulungnya, Nurul Admiena Norizzan di Kepong, Selangor. Ibu kepada empat orang anak itu mendapat rawatan segera di sebuah klinik di Selayang.
Meskipun dia kini sedang berehat, Noorshila enggan menerima lawatan dan simpati orang ramai. Katanya, cukup dengan hanya sokongan menerusi panggilan telefon dan juga laman sosial. Ikuti temu bual Noorshila bersama Kosmo!.
Kosmo!: Bagaimanakah kejadian itu berlaku? Boleh anda ceritakan sedikit?
NOORSHILA: Kejadian berlaku dengan sangat cepat. Saya sibuk memasak di dapur dan tidak sedar tong gas itu bocor. Ketika ingin ambil barang masakan berdekatan tong gas, tiba-tiba sahaja api menyambar di bahagian belah kiri anggota badan saya. Akibatnya, wajah, lengan dan kaki saya melecur.
Adakah keadaan anda begitu teruk?
Alhamdulillah, tidak terlalu teruk. Saya hanya dapatkan rawatan di klinik sahaja. Doktor hanya memberi ubat sapu dan ubat tahan sakit. Sekarang luka melecur itu hampir pulih dan mengeluarkan air. Kening saya pun sebelah tidak ada. Buat masa ini, saya harus berehat selama dua minggu atas nasihat doktor.
Adakah anda trauma dengan kejadian ini?
Tidaklah sampai trauma tetapi selepas ini perlu berhati- hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Nasib baik api yang menyambar saya tidak begitu kuat, jika tidak, saya tak tahu bagaimana keadaan saya. Saya bersyukur dan menerima ujian Allah ini dengan reda. Saya harap rakan serta peminat tidak perlu bimbang, kalau boleh saya tidak mahu menerima pelawat buat masa ini.
Mengapa enggan terima pelawat?
Saya tidak mahu jumpa siapa-siapa pun kerana masih dalam proses pemulihan. Saya tidak mahu simpati kerana apa yang saya alami sekarang bukanlah teruk sangat. Ikutkan saya hanya melecur, selain daripada itu saya sihat. Bagi saya, memadailah kata-kata sokongan yang saya terima menerusi panggilan telefon dan juga laman sosial daripada semua pihak yang prihatin.
Apakah perancangan anda selepas ini?
Selepas luka melecur sembuh, saya akan mendapatkan rawatan pakar di hospital untuk pulihkan wajah saya seperti biasa. Kesan lecur di tangan dan kaki saya tidak kisah kerana saya bertudung, kesan itu boleh ditutup dengan pakaian tetapi di wajah orang boleh melihat, saya juga masih menyanyi. Doakan yang terbaik untuk saya.


Kosmo

JEHAN MISKIN & ISTERI MUAT NAIK GAMBAR PAKAI LOKET 'SALIB'?

Bahkan, ada yang yang meletakkan dirinya sebagai cetek agama kerana memakai rantai yang didakwa salah bagi seorang lelaki Islam. 

Loket 'salib' bikin panas
Gambar di Instagram Jehan yang mencetuskan kontroversi.


Loket 'salib' bikin panas


Gara-gara sekeping gambar yang dimuat naik ke laman Instagram memaparkan diri dan isteri memakai loket dikatakan berbentuk salib, peminat Jehan Miskin saling bertelagah di laman sosial milik artis lelaki terbabit. 

Biarpun dia sudah memperbetulkan salah tanggapan berkenaan dengan menyatakan loket yang dipakainya bukan lambang salib, sebaliknya berbentuk tiga kelopak mirip lambang Persekutuan Pengakap, namun ia tidak diterima peminatnya. 

Bahkan, ada yang yang meletakkan dirinya sebagai cetek agama kerana memakai rantai yang didakwa salah bagi seorang lelaki Islam. 

Terkejut dengan peminat yang terlalu sensitif, Jehan menegaskan dia masih tahu menilai perkara yang ditegah agama. 

Apabila isu ini timbul, saya cuba jelaskan yang loket itu bukan lambang salib dan meminta pihak berkenaan merujuk wikipedia. Tetapi, mereka masih menyalahkan saya dan mengatakan memakai rantai bagi seorang lelaki adalah haram. 

Saya dilahirkan Islam dan masih berpegang teguh pada agama. Setahu saya, lelaki diharamkan memakai emas dan rantai yang saya pakai itu bukan emas, katanya. 


Lain kali selidik dulu 

Mulanya, dia membalas kritikan itu di laman sosial Facebook miliknya untuk memperbetulkan salah faham berkenaan. Namun, tidak lama kemudian timbul pula pergaduhan di kalangan peminat di laman terbabit. 

Bingung dan hampir berputus asa untuk mempertahankan kenyataannya, pelakon yang juga pengarah drama What If ini menyifatkan, tindakan segelintir pihak yang menghentam dengan kata-kata kurang sopan sebagai tidak rasional dan emosional. 

Sejak akhir-akhir ini, saya tengok masyarakat kita terlalu sensitif, sedangkan benda itu mudah saja. Kalau kita selidik dulu, mungkin takkan berlaku pertelingkahan sebegini. 

Saya pula hanya menjawab komen untuk memperbetulkan salah faham. Saya tidak marahkan pihak terbabit, cuma apabila saya membuat kenyataan balas, ada lagi yang mengatakan loket itu sebagai salib. Jadi, saya membalasnya semula untuk memberikan penjelasan sama. Saya tidak menyangka lain pula jadinya, katanya. 


Enggan panjangkan isu 

Tidak mahu laman sosialnya terus menjadi medan pertelingkahan di kalangan peminat, ada komen kurang bernas dan sensitif disembunyikan daripada tatapan umum. 

Sedih dengan sesetengah peminat yang terlalu emosional, Jehan cuba mengambil sikap berdiam diri. Dia enggan terus bertikam lidah sehingga boleh mencetuskan keadaan di luar jangka seterusnya mampu menjejaskan namanya sebagai artis. 

Memberikan penjelasan berhubung loket itu, Jehan memberitahu, aksesori yang dipakai itu ialah tajaan Thomas Sabo, memandangkan dirinya antara pelanggan tetap jenama terbabit. 

Tujuannya memuat naik gambar itu pula hanyalah sekadar berkongsi dengan peminat mengenai koleksi terbaru aksesori yang diminatinya itu.




Berita Harian