Pages

Thursday 8 August 2013

JIMMY SHANLEY TERUJA SAMBUT AIDILFITRI BERSAMA ZAHRAH RANIA

Sesekali, hanya rengekan manja kedengaran di sebalik wajah yang sukar tersenyum itu. “Zahrah banyak memendam rasa, sama macam saya agaknya," demikian, gurau Jimmy mengatakan tentang anak tunggalnya itu.
Zahrah disifatkan Jimmy sebagai seorang anak yang baik.

Lebaran paling bermakna


HATI cukup tersentuh kala melihat kelibat dia mendakap erat anak kecil ini dalam kendungan. Ditepuk, dibelai dan didodoi tanpa sedikit pun kekok, sekaligus membibit beg bekalan susu anak di tangan pada pertemuan kami petang itu, Jimmy Shanley membawa imej sebagai seorang ayah ‘muda’ yang baik.Zahrah pula anak yang mengerti diri. Tidak banyak kerenah, malah sepanjang empat jam sesi fotografi, tidak sekalipun dia menangis. 

Sesekali, hanya rengekan manja kedengaran di sebalik wajah yang sukar tersenyum itu. “Zahrah banyak memendam rasa, sama macam saya agaknya," demikian, gurau Jimmy mengatakan tentang anak tunggalnya itu.

Pantas menyelongkar di sebalik tabir hidupnya, Jimmy mengaku kehadiran Syawal kali ini, telah membuatkan dia sedikit sebak, sebenarnya. Manakan tidak, sebolehnya, dia mahu setiap sambutan Aidilfitri ini dirai bersama keluarga yang pernah diidamkan. Namun siapa sangka percaturan hidupnya berbeza dengan insan lain yang bahagia.

“Setiap orang dugaannya berbeza-beza. Ini kehidupan dan saya menerimanya seadanya," katanya, ringkas dan tegas.

Kini dia mampu tersenyum kerana Aidilfitri yang bakal mendatang esok, terisi dengan kehadiran cinta terbaru sekaligus membangkitkan rasa uja yang luar biasa.

Enggan momen penting ini berlalu begitu sahaja, Jimmy berkongsi persiapan kali pertama menyambut Aidilfitri ini dengan anak tunggalnya , Zahrah Rania Shanley yang kini berusia dua tahun.

Tidak banyak yang berbeza dari bapa-bapa lain, bagi Jimmy kehadiran anaknya kali ini lebih kepada pengubat buat dirinya setelah bertahun-tahun merasai keperitan.

“Sejak Mei lalu, saya sudah melalui rutin sebagai seorang bapa. Walaupun bukan sepenuhnya namun ia amat menarik sekali. Ternyata Zahrah seorang anak yang baik, sehingga saya rasa menjalani tanggungjawab sebagai seorang bapa tunggal bukan satu beban. Ia mudah," katanya.

Sungguhpun dalam tempoh seminggu dia hanya dapat bersama anaknya dalam waktu yang singkat, namun pengalaman itu dilihat cukup berharga buat dirinya terutamanya ketika sambutan Ramadan dan bakal Aidilfitri kali ini disambut buat kali pertama dengan tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Tempoh setiap minggu menjaga Zahrah bermula hari Selasa sehingga Khamis. Ini bagi menghormati keputusan mahkamah. Hanya tempoh itu sahaja saya boleh berinteraksi dengan Zahrah.

“Tetapi ini perkara baru yang perlu saya sesuaikan untuk tahun mendatang memandangkan proses pembahagian masa itu akan berlaku secara selang seli," katanya yang akan bersama anaknya sehingga hari raya kedua.

Mengikut perancangan, Syawal pertama esok Zahrah akan bersamanya pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta. Sungguhpun di kala ini Zahrah masih terlalu muda untuk memahami erti Syawal, bagi Jimmy sudah menjadi kewajipannya dia memastikan Syawal ini menjadi sempurna.

“Sebenarnya ini kali pertama Zahrah pulang ke Ipoh. Saya mahu terus membawanya ke kubur ayah saya. Biar dia kenal dan tahu, di mana kubur atuknya," katanya nada sarat gembira.

Menurut Jimmy, sungguhpun kehadiran Zahrah dalam hidupnya berlangsung dengan proses yang agak sukar, tiada apa yang mahu difikirkan kini selain bersyukur.

“Pengalaman paling indah perlu saya katakan di sini ialah apabila anak saya membalas pelukan saya. Itu merupakan antara momen paling indah dalam hidup mana-mana lelaki sekalipun," katanya.


Kahwin?

Kecoh sebelum ini yang memberitahu rupanya duda rebutan ini sebenarnya sudahpun berkahwin. Malah menurut sumber, wanita yang dimaksudkannya itu juga merupakan seorang ibu tunggal berstatus hartawan. 

Hanya ketawa, bagi Jimmy kisah ini hanya satu lagi selitan gosip mengenai dirinya.

“Tiada apa yang mahu saya komen mengenai hal itu setakat ini. Tapi perlu saya tegaskan memang saya mahu berkahwin lagi. Itu memang niat saya dari dahulu, tetapi biarlah, bukan sekarang masa untuk bercerita," katanya.

Bagi Jimmy masih ada sesuatu yang perlu diselesaikan dirinya sebelum dia mampu menjelaskan keadaan itu.

“Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak boleh memberi apa- apa kenyataan buat masa ini. Bagaimanapun jika semuanya sudah selesai, maka pada masa itu nanti saya jelaskan. Kalau memerlukan saya membuat sidang akhbar saya akan buat," katanya.

Apa yang diinginkan Jimmy ialah, hadirnya seorang wanita yang mampu menerima dirinya seadanya.

“Dengan semua yang pernah berlaku, saya yakin saya hanya perlukan seorang isteri di sisi. Janda atau apa juga status bukan suatu masalah buat saya kerana yang penting saya tidak mahu lagi bercerai," katanya.

Belajar dari kesilapan lalu, menurut Jimmy, antara perkara penting yang mahu dia atasi kini adalah untuk tidak mahu membesar-besarkan hal kurang penting.

““Antara pengajaran penting yang saya belajar adalah untuk tidak terlalu membesar-besarkan pertelingkahan kecil," katanya jujur.



Utusan

No comments:

Post a Comment