Pages

Friday 9 August 2013

PERLU BACA! PESANAN SKMM UNTUK PENGGUNA INTERNET

Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata kira-kira 17.5 juta pengguna Internet di negara ini perlu menekankan aspek keselamatan, berwaspada dan bertanggungjawab ketika berada di alam maya.

PERLU BACA! PESANAN SKMM UNTUK PENGGUNA INTERNET
- Gambar Hiasan Carian Google


Internet: Fikir dulu sebelum 'klik'

KUALA LUMPUR - Berfikirlah dahulu dengan rasional dan bukannya mengikut emosi ketika melayari Internet bagi memastikan tangan tidak mudah 'klik' pada sesuatu dan tindakan itu memberi impak negatif kepada diri sendiri malah negara.

Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata kira-kira 17.5 juta pengguna Internet di negara ini perlu menekankan aspek keselamatan, berwaspada dan bertanggungjawab ketika berada di alam maya.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata tiga aspek itu penting bagi memastikan masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja menggunakan kemudahan Internet dengan bijak dan berhati-hati.

Eneng Faridah berkata untuk lebih selamat di Internet, pengguna perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan mengenai jenayah siber, cara ia dilakukan dan apakah langkah yang perlu diambil sekiranya terjebak dengan jenayah seumpama itu.

"Ada pengguna yang update di Facebook (FB) mengatakan bahawa dia akan pulang ke kampung untuk beberapa hari dan tiada sesiapa di rumah, tanpa disedari ada  antara kawan-kawan atau pihak lain yang mengambil kesempatan.

"Pengguna khususnya kanak-kanak mungkin tidak begitu faham mengenai kesan dan impak akan tindakan mereka," katanya.

Eneng Faridah menekankan perlunya pengguna berwaspada ketika menerima apa-apa maklumat di Internet dengan membuat kajian dan meneliti sumber maklumat itu bagi memastikan ia benar dan bukannya palsu.

Katanya lagi, pengguna Internet perlu bertanggungjawab terhadap apa sahaja maklumat yang disebar dan dikongsikan di alam maya.

"Mereka perlu bertanggungjawab atas komen-komen yang diberi, sama seperti mereka yang berkongsi gambar. Ramai dalam kalangan kita yang cepat melatah dan memberi komen negatif tanpa berfikir bahawa ia boleh memberi kesan buruk kepada kita," katanya.

Eneng Faridah berkata sekiranya pengguna Internet menjumpai maklumat yang dikatakan menghina atau menghasut, membuat laporan polis adalah tindakan terbaik dan bukan menyebarkannya di laman sosial.

"Isu yang menghina agama dan budaya memang akan ada kerana Internet bukan untuk rakyat Malaysia sahaja, ia hak milik semua masyarakat di dunia. Itulah aspek yang membimbangkan kita.

"Sekiranya kita menyebarkan isu itu, akibatnya ia boleh mengapi-apikan masyarakat dan membuatkan situasi bertambah buruk. Kita perlu timbangkan cara terbaik dalam menangani isu sebegini.

"Walaupun ada satu kes yang tidak besar tetapi kerana impak media sosial, ia boleh menjadi besar. Ini bukan sahaja terhad kepada jenayah siber tetapi jenayah lain juga," katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa sesiapa yang menyalahgunakan Internet boleh diambil tindakan menerusi pelbagai undang-undang.

"Akta Komunikasi dan Multimedia tidak ada kuasa tangkapan atau untuk menahan, tindakan kami ialah panggil individu untuk diambil kenyataan sebelum kami panjangkan ke pihak pendakwa raya.

"SKMM juga sentiasa bekerjasama dengan semua agensi dalam melakukan siasatan. Kami berbincang dengan agensi berkaitan supaya penjenayah dapat dikesan dan diambil tindakan," katanya.

Eneng Faridah berkata rakyat Malaysia hari ini 'sangat berkuasa' kerana memiliki kemudahan Internet selain telefon pintar dan dapat menggunakannya tanpa batasan.

"Walaupun diberi kebebasan, kita kena fikir dari aspek sosial dan undang-undang, apakah tindakan kita itu bakal menjadi statistik pihak berkuasa ataupun mangsa, atau sama ada perlu lengkapkan pengetahuan mengenai penggunaan Internet dan undang-undang negara," katanya.

SKMM telah menganjurkan kempen 'Klik Dengan Bijak' (KDB) sejak Julai tahun lepas bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai penggunaan Internet yang beretika, positif dan selamat, .

Beliau berkata SKMM menerusi kempen KDB merancang untuk membuka akaun di laman sosial bagi mendekati golongan sasaran khususnya kanak-kanak dan remaja dengan lebih berkesan.

"Selain itu, pada tahun ini kami akan mempergiat kolaborasi dengan beberapa kementerian serta agensi dan baru-baru ini kami telah bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan melalui Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan persatuan pengakap serta mengadakan pelbagai program kesedaran," katanya.Pada masa ini, SKMM bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Polis Diraja Malaysia dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bagi menjayakan kempen itu.

Beliau berkata penglibatan setiap agensi dan jabatan adalah penting agar mesej yang ingin disampaikan dapat disebarluas kepada semua pihak yang menggunakan Internet. - Bernama



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment