Pages

Saturday 22 February 2014

8 REMAJA DISEDUT PASIR JERLUS | SATU DEMI SATU 'DITELAN SUNGAI'

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya, tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang cuba membantu turut hilang. 

8 DISEDUT PASIR JERLUS
8 REMAJA DISEDUT PASIR JERLUS | SATU DEMI SATU 'DITELAN SUNGAI'


8 DISEDUT PASIR JERLUS


Satu demi satu ‘ditelan sungai’

Segamat: “Ya Allah... Zikri... Ayoi... tolong aku.” Itu ungkapan terakhir mangsa pertama tragedi lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap, dekat sini, yang mengorbankan tiga remaja manakala lima lagi rakan mereka masih hilang, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya, tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang cuba membantu turut hilang. 

Sehingga jam 11 malam tadi, tiga mayat ditemui iaitu Mohd Hafizul Daniel Norhashim, Mohd Zikri Zaidi dan Naz-rul Aminuddin. 

Ketiga-tiga mayat itu ditemui dasar sungai berhampiran satu sama lain.

Daripada lapan remaja berkenaan, dua daripada mereka adalah adik beradik, iaitu Mohd Zikri dan abangnya, Mohd Zaki.

Empat lagi rakan mangsa, Mohd Shahrul Abd Halim, 14; Mohd Amerul Shah Ammar, 14; Hafizuddin Zamri, 15; Norshafila Abdullah, 16, terselamat kerana tidak terjun ke dalam sungai selepas melihat satu demi satu kawan baik mereka ‘ditelan sungai’.

Semua remaja berkenaan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.

Pasir jerlus

Kejadian dipercayai berpunca daripada pasir jerlus di Sungai Muar dekat Buloh Kasap, yang seolah-olah ‘menyedut’, mangsa apabila terpijak dasar sungai itu.

Apabila mangsa memijak dasar sungai yang mencecah kedalaman sehingga enam meter, kaki terbenam dan ‘disedut’ sehingga gagal menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk So’iman Jahid, berkata lokasi mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain kerana kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.

“Cuaca panas sejak kebelakangan menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus di tengah sungai,” katanya.

Sebelum kejadian itu, 12 remaja berkenaan dari Taman Mewah, yang terletak kira-kira dua kilometer dari sungai itu, berjoging di tepi sungai berkenaan.

Mereka yang berjoging kira-kira jam 6.30 pagi, singgah menghirup udara pagi di tepi Sungai Muar berhampiran lokasi kejadian.

Mohd Shahrul berkata, ketika berada di tepi sungai itu, ada dalam kalangan mereka mengingati sesama sendiri supaya tidak pergi ke gigi air kerana bimbang terjatuh.

“Belum habis bercakap, tiba-tiba Mohd Hafizuddin tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai dan tangan terkapai-kapai.

“Pada mulanya, kami ingatkan dia bergurau, tetapi apabila dia tenggelam, Mohd Izoan dan Mohd Noreen terus terjun untuk menyelamatkannya.

“Apabila melihat Mohd Izoan dan Mohd Noreen tidak juga timbul, Mohd Zikri dan Nazrul Aminuddin pula terjun bagi menyelamatkan mereka,” katanya.

Dalam keadaan cemas dan panik, Nazrul atau dikenali Ayoi, meminta rakannya yang terkapai-kapai dalam sungai supaya bersabar dan mengarahkan rakan di darat mencari tali dan kayu.

Bagaimanapun, belum sempat empat rakan yang berada di darat mendapatkan tali atau kayu, Ayoi turut tenggelam.

Nekad terjun 

Melihatkan seorang demi seorang rakan mereka hilang, Mohd Shafiq dan Mohd Hafizul Daniel, nekad terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, kedua-duanya turut mengalami nasib yang sama.

Mohd Shahrul berkata, Mohd Zaki pula tanpa berfikir panjang, terus terjun untuk menyelamatkan tujuh rakan yang sudah tenggelam, tetapi dia juga tenggelam.

“Kami berempat tergamam apabila melihat kelapan-lapan teman baik semuanya tidak timbul,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku dalam masa kurang lima minit.

Sementara itu, Mohd Amerul Shah berkata, dia yang panik dan terkejut, menelefon ibu dan bapa mangsa untuk mendapatkan bantuan.

Norshafila, satu-satunya perempuan dalam kumpulan itu, berlari pulang ke rumah bagi memaklumkan kepada keluarga.


Berita Harian