Pages

Thursday 27 June 2013

ZINK RUMAH BERLUBANG DIHUJANI KETULAN AIR BATU

“Tidak lama kemudian hujan turun dan kami dikejutkan dengan bunyi bising batu dibaling ke arah atap zink rumah,” katanya.

Rumah dihujani ketulan air batu
Ahmad menunjukkan atap zink rumahnya yang berlubang akibat hujan air batu.

Rumah dihujani ketulan air batu


PONTIAN - “Saya dan anak bergilir-gilir melaungkan azan ketika hujan air batu secara tiba-tiba turun,” kata Ahmad Mahmud Jufri ketika menceritakan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Parit Serong Benut, dekat sini, dihujani dengan hujan air batu, lewat petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut disertai dengan angin kencang dan hujan lebat selama hampir setengah jam.


Rumah dihujani ketulan air batu
Ketulan ais yang jatuh bersama hujan di Kampung Parit Serong, Benut.



Menurut Ahmad, ketika kejadian dia bersama isteri, Salbiah Malik dan anak mereka Masehor sedang berehat di luar rumah sebelum dikejutkan dengan kejadian angin kencang.

“Cuaca sangat cerah pada petang itu, tapi tiba-tiba saja keadaan berubah, memaksa kami sekeluarga masuk ke dalam rumah menyelamatkan diri.

“Tidak lama kemudian hujan turun dan kami dikejutkan dengan bunyi bising batu dibaling ke arah atap zink rumah,” katanya.

Katanya, bunyi kuat itu menyebabkannya sekeluarga berada dalam ketakutan kerana tidak pernah berhadapan situasi sedemikian sebelum ini.

“Kalau hujan lebat sebelum ini, atap zink tidak berbunyi kuat seperti itu. Kami juga tersentak dengan bunyi angin yang begitu kuat menyebabkan zink rumah bergoyang.

“Ketika itu, ketulan ais kecil seperti batu halus membolosi atap zink rumah dengan jumlah yang banyak,” katanya.

Bimbang atap zink rumah akan jatuh kerana hujan air batu yang semakin lebat, Ahmad terus melaungkan azan yang turut diikuti oleh anaknya agar keadaan kembali reda.

“Syukur hujan air batu berlaku hanya kira-kira lima minit saja, bagaimanapun kawasan ruang tamu rumah dipenuhi dengan ketulan ais kecil,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Kawasan Tiga, Mukim Ayer Baloi, Mahadi Mahadan berkata, hujan air batu yang berlaku itu adalah kejadian pertama berlaku di sini.

“Sebanyak lapan rumah dari tiga kampung iaitu Kampung Parit Bujang, Kampung Parit Serong dan Kampung Parit Kasan mengalami kerosakan di bahagian atap zink rumah akibat hujan air batu, itu” katanya.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment