Pages

Wednesday 3 July 2013

PANDUAN MUDAH SEDIAKAN HIDANGAN SIHAT

Makanan berkhasiat yang lengkap mengikut piramid makanan serta kurang kandungan minyak, gula dan garam bukanLAH sukar untuk disediakan.

PANDUAN MUDAH SEDIAKAN HIDANGAN SIHAT
- Gambar Carian Google

Cara mudah sediakan hidangan sihat

SIAPA kata, makanan berkhasiat tidak sedap. Hanya menggunakan sedikit daya kreativiti dalam penyediaannya ia boleh menjadi satu hidangan yang enak dan sihat untuk seisi keluarga.
Makanan berkhasiat yang lengkap mengikut piramid makanan serta kurang kandungan minyak, gula dan garam bukanLAH sukar untuk disediakan.
Namun dalam kesibukan hari ini, para ibu atau wanita terutama yang bekerjaya sering mengambil ringan mengenainya. Yang selalu menjadi amalan berikutan ia pilihan terbaik yang cepat dan mudah adalah dengan membeli sahaja makanan siap dimasak di kedai.
Kandungan bahan perasa seperti garam dan gula yang tinggi dalam satu-satu hidangan menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat hari ini berhadapan dengan pelbagai penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung serta obesiti.
   
Kreatif dalam masakan  

Mengubah cara memasak daripada kebiasaan secara perlahan-lahan adalah langkah terbaik yang boleh dilakukan ke arah amalan makanan sihat.
Pakar Pemakanan Nestle (Malaysia) Nurul Illiani Ahmad berkata ia tidak boleh dilakukan secara drastik dengan mengubah cara keseluruhan masakan, sebaliknya perlu dimaklumkan kepada ahli keluarga mengenai cara masakan dan bahan yang perlu dikurangkan. 
"Jadi tidaklah ahli keluarga terkejut dan tidak mahu memakan masakan yang dihidangkan kerana serba serbi dirasakan kurang," katanya.
Mengambil contoh memasak kari ayam. Dengan menggunakan sedikit kreativiti, santan yang biasa digunakan ketika memasak kari boleh diganti dengan dadih bagi mengurangkan kadar kalori dalam masakan itu, katanya.
Bagi mendapatkan sumber zat lain pula, bolehlah dicampur masakan itu dengan pelbagai sayuran yang bersesuaian seperti bendi, lobak merah, tomato, kentang dan kacang panjang.
"Ketika menumis, sudah tentu kita menggunakan minyak. Jika terlihat banyak minyak yang terapung dalam masakan itu, kita keluarkannya terlebih dahulu sebelum dihidangkan," katanya pada majlis Bersama Media dan Bengkel Memasak anjuran Nestle di Dapur Maggi Masak-Masak baru-baru ini. 
     
Kurangkan gula dan garam dalam masakan  

Sememangnya nikmat kesedapan sesuatu makanan akan hilang tanpa garam dan gula yang secukupnya sebagai pelengkap rasa. Malah rakyat Malaysia mengambil garam sekurang-kurangnya 8.7 gram garam sehari melebihi 1.7 gram yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Selain pengambilan garam, penggunaan garam tersembunyi seperti dalam sos tiram, kicap, sos lada hitam dan seumpama boleh meningkatkan lagi risiko penyakit darah tinggi, jantung dan angin ahmar yang dialami ramai rakyat negara ini.
Cara terbaik untuk mengurangkan penggunaan garam adalah cuba elak menambah lagi garam dalam masakan sekiranya mengguna bahan yang mengeluarkan rasa masin.
"Contohnya, penggunaan ikan bilis dalam masakan dan sos tiram, yang memberi rasa masin. Jadi tak perlulah tambah garam lagi.
"Begitu juga dengan gula. Gunakan kreativiti bagi menggantikan perasa itu untuk menjadikan masakan lebih enak seperti penggunaan herba seperti kayu manis dan buah pala yang memberi aroma yang sedap pada makanan," kata Nurul Illiani.
Cuba amalkan merasa dahulu masakan yang dimasak sebelum meletakkan bahan perasa, garam atau gula pada masakan.
Selain itu, mengubah cara memasak daripada menggoreng kepada mengukus, memanggang dan merebus adalah cara terbaik yang boleh menggurangkan penggunaan minyak serta membantu mengurangkan kolestrol dalam badan.
Menurut beliau lagi, pastikan juga lemak dalam daging lembu atau kambing dibuang serta lebih elok menggunakan ayam tanpa kulit ketika memasak.
"Ia mempunyai kadar lemak dan minyak yang tinggi dan seelok-eloknya kurangkan pengambilan daging dan lebihkan pengambilan ikan dan sayur-sayuran," katanya.
   
 Guna teknik yang betul   
   
Cara penyediaan sesuatu makanan itu juga sangat penting bagi memastikan zat dalam makanan itu tidak hilang.

Nurul Illiani berkata, dalam menyediakan sayuran misalnya, tidak perlu menggoreng atau merebusnya dalam jangka masa yang lama hingga sayur itu layu dan tidak segar.
Selain itu, cara pemotongan sayur seelok-eloknya dalam saiz yang besar agar zat yang terkandung di dalamnya tidak hilang.
"Pastikan membasuh dahulu sayur-sayuran atau buah-buahan yang digunakan sebelum memotongnya dan ketika memasak tutup sayuran itu agar zatnya tidak hilang," katanya.
Beliau turut menggalakkan penggunaan bahan perasa semulajadi seperti limau untuk mendapatkan rasa masam dalam masakan serta herba bersesuaian bagi menjadikan makanan lebih enak.
Pada majlis itu Eksekutif Chef Maggi, Chef Abdul Muluk Rambli menunjukkan demonstrasi cara masakan mudah menggunakan produk Maggi.
Antaranya hidangan kari ayam, ayam masak kicap dan masak merah serta nasi ayam hainan dan nasi briyani. Kesemuanya menggunakan rencah segera Maggi yang kini terdapat di pasaran.
Lebih menarik apabila Chef Muluk turut menunjukkan demontrasi menyedia salad menggunakan Mee Kari Maggi bersama sayur-sayuran segar.
Kira-kira 15 wakil media yang hadir turut diberi peluang mencuba kemahiran memasak menerusi pertandingan memasak menggunakan resepi dan bahan daripada Maggi. - Bernama

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment