Pages

Wednesday 10 July 2013

IZZUE ISLAM KINI SEMAKIN BAHAGIA | GELARAN SUAMI TIDAK JEJAS KARIER

Lebih sebulan melayari kehidupan sebagai suami kepada Nurinafilah Waharudin atau Awin Nurin, 31, Izzue mengakui kehidupannya kini semakin bahagia.

Izzue Islam

Gelaran suami tidak jejas karier Izzue Islam


SIAPA sangka, di usia seawal 23 tahun, pelakon kacak, Izzue Islam sudah pun menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan suami orang.

Lebih sebulan melayari kehidupan sebagai suami kepada Nurinafilah Waharudin atau Awin Nurin, 31, Izzue mengakui kehidupannya kini semakin bahagia.

Walaupun memilih untuk mendirikan rumah tangga lebih awal, Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, tidak pernah terdetik rasa menyesal.

Meskipun ramai beranggapan populariti bakal merudum jika berkahwin lebih awal, namun bagi Izzue, rezeki tetap ada di mana-mana.

"Alhamdulillah, setakat ini, rezeki saya masih ada dan saya juga percaya pada rezeki ALLAH SWT.

"Lagipun, peminat sekarang lebih bijak. Mereka menilai hasil kerja kita asalkan kita tidak mencampuradukkan soal peribadi.

"Bagi salah, tak salah kahwin awal kerana selagi kita dapat mengimbangi antara karier dan rumah tangga, kita tidak akan mengalami masalah," katanya yang bakal muncul dalam filem Hantu Tok Mudim dan Aku Bukan Ustaz serta drama terbitan Suhan Movies, Sahabat.


Kehidupan berubah

Apa yang pasti, kehidupan berkeluarga sememangnya berbeza dengan kehidupan bujang. Bukan sahaja dari segi masa, malah pengurusan diri juga turut berbeza.

Akui Izzue, kehidupan suami isteri banyak berbeza dengan kehidupan sebelum ini yang lebih kompleks.

"Daripada seorang, sekarang sudah berdua. Dan mungkin tak lama lagi bertiga. Saya sangat bahagia melalui fasa-fasa kehidupan ini.

"Memang sebelum ini, Awin sering bersama saya kerana dia juga pengurus saya. Namun, pengurus dengan isteri banyak bezanya.

"Sekarang hampir hari-hari saya akan makan di rumah bersama isteri. Namun, jika ada hari-hari yang padat dan terpaksa berada di lokasi sampai lewat malam, saya makan di set sahaja.

"Pun begitu, isteri saya akan bertanya setiap hari adakah saya mahu makan di rumah ataupun di luar. Selain makan pakai, pengurusan hidup juga lebih tersusun dengan adanya isteri," katanya yang bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sangat memahami kerjayanya.


Jaga batas

Dalam meniti hari-hari mendatang, bukan senang menggalas tugas sebagai selebriti berstatus suami orang.

Malahan, ketampanan dimiliki Izzue mungkin boleh menggoncangkan iman wanita di luar sana untuk mendekati pelakon kelahiran Che Siti Wan Kembang ini.

Bukan sahaja perlu berjaga-jaga agar segala tindakan tidak disalah ertikan, malah pergaulan bersama pelakon wanita juga perlu dikurangkan.

Menurut Izzue, walaupun isterinya sangat memahami tugasnya sebagai selebriti, namun tidak bermakna dia boleh melakukan perkara bukan-bukan.

"Awin pernah beritahu saya yang dia tiada masalah jika saya digandingkan dengan pelakon wanita dalam sesebuah watak romantik.

"Namun, sebagai suami, saya akan menolak sekiranya watak itu berlebihan dan melampaui batas untuk menjaga hati isteri dan keluarga.

"Begitu juga dengan pergaulan sesama artis, saya perlu tahu di mana saya berada dan siapa saya. Kalau boleh, saya tidak mahu ada kontroversi yang melibatkan nama saya sehingga mencalarkan imej," katanya yang tidak menolak sekiranya diberi cahaya mata dalam masa terdekat.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment