Pages

Thursday 25 July 2013

PERBEZAAN ANTARA PERKATAAN BARU, BAHARU, BHARU, BAHRU, BARU-BARU & BAHARU-BAHARU

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

PERBEZAAN ANTARA PERKATAAN BARU, BAHARU, BHARU, BAHRU, BARU-BARU & BAHARU-BAHARU
- Gambar Hiasan Carian Google

Selamat pengantin baharu atau baru?

KITA sering terkeliru apabila menggunakan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’. Ada yang menganggap perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud dan cara penggunaan sama.
Tanggapan salah itu juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu selalu guna perkataan-perkataan itu dengan cara tidak sesuai.

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

Perkataan ini tergolong sebagai kata bantu aspek untuk menimbulkan suasana perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Sebagai contohnya:
(i) Noraziah baru sampai dari Negeri Sembilan.
(ii) Fadzil baru pulang dari Arab Saudi.

Perkataan ‘baharu’ pula merupakan kata adjektif (sifat) waktu yang memberi pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan. Sebagai contohnya:
(i) Abdul Hadi membeli sebuah kereta baharu.
(ii) Baju baharu itu kepunyaan Mohd Rodi.

Pengguna bahasa Melayu juga kadang-kadang terkeliru sama ada ingin menggunakan ucapan ‘Selamat Pengantin Baharu atau Baru’. Sepatutnya ucapan tersebut diucap atau ditulis sebagai ‘Selamat Pengantin Baharu’. Begitu juga dengan ‘Selamat Tahun Baharu’ yang seharusnya digunakan dan bukannya ‘Selamat Tahun Baru’. Hal ini demikian kerana kedua-dua ucapan  tersebut membawa pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan iaitu pengantin dan tahun yang baharu.

Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘bharu’ dan ‘bahru’ yang sering kita temukan dalam nama khas, khususnya merujuk kepada bandar atau tempat, contohnya Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Johor Bahru. Sepatutnya ‘Kota Bharu’ perlu dieja sebagai ‘Kota Baharu’, ‘Wakaf Bharu’ dieja sebagai ‘Wakaf Baharu’ manakala ‘Johor Bahru’ sepatutnya dieja sebagai ‘Johor Baharu’.

‘Kota Baharu’ bermaksud sebuah kota yang wujud selepas wujudnya kota lama sebelum itu kerana kita semua tahu di Kelantan terdapat suatu tempat dikenali sebagai Kota Lama. Begitu juga ‘Johor Baharu’ yang wujud selepas wujudnya Johor Lama dan ‘Wakaf  Baharu’ yang merujuk kepada sebuah pondok yang baharu. Namun disebabkan ketiga-tiganya nama khas dan telah sebati digunakan oleh masyarakat, maka penggunaan ‘Kota Bharu’,
‘Wakaf  Bharu’ dan ‘Johor Bahru’ dikekalkan. Hal ini demikian juga berlaku kerana ketiga-tiga tempat ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 memandangkan selepas tarikh itu telah diperkenalkan penggunaan Sistem Ejaan Rumi
Bersama yang turut diisytiharkan penggunaannya secara serentak di Malaysia dan Indonesia. Bermula 16 Ogos 1972, penggunaan sistem ini di Malaysia dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dengan ejaannya diselaras dan lebih tepat. Kemungkinan juga dalam konteks ini telah berlaku pengguguran vokal ‘a’ dalam kedua-dua perkataan. Sebagai contohnya:
(i) Aziman akan ke Johor Bahru untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
(ii) Amir Farhan dan Nur Ain Nabila berasal dari Kota Bharu.

Perkataan ‘baru-baru’ mungkin tidak menjadi masalah untuk kita menggunakannya. ‘Baru-baru’ merupakan kata ganda penuh daripada kata dasar ‘baru’ yang bermaksud tidak lama dahulu atau tidak berapa lama sebelum ini. Sebagai contohnya:
(i) Baru-baru ini Nor Haslina membuat sebiji kek.
(ii) Baru-baru ini Persatuan Penduduk Taman Guchil Baharu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Namun, pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ‘baharu-baharu’ bagi menggantikan ‘baru-baru’ kerana ‘baharu-baharu’ merupakan nama sejenis ikan laut.
Contoh di bawah membantu kita semua bagi membezakan penggunaan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’:
Ahmad yang baru sampai di Kota Bharu bertolak dari Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta baharunya bersama-sama isteri baharu dan terus membeli ikan baharu-baharu.
Aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam. Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment