Pages

Monday 22 July 2013

ANAK HILANG BALIK SEKOLAH DITEMUI MATI DIBUNUH

Mangsa dikenali sebagai M Nathaniel, 14 telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 7.50 pagi.

Hilang selepas pulang sekolah
Mangsa dijumpai berhampiran dengan bangunan baru dekat Taman Mewah. Gambar kecil, Nathaniel.

Hilang selepas pulang sekolah


TAIPING - Selepas seharian hilang dari rumah, seorang pelajar tingkatan dua ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan semak berhampiran Taman Mewah, Kamunting, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai M Nathaniel, 14 telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah di kawasan berkenaan pada kira-kira jam 7.50 pagi.

Sinar Harian difahamkan bahawa mangsa merupakan seorang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klian Pauh dan dikatakan hilang selepas pulang dari sekolah pada kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kali terakhir mangsa dilihat adalah ketika dia bersembang dengan sekumpulan lelaki bermotosikal sebaik sahaja turun dari bas sekolah.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dilihat mengikuti kumpulan pemuda bermotosikal itu dan terus tidak pulang ke rumah selepas itu.

Tambah Yusuf, sehubungan itu keluarga mangsa telah cuba mencarinya di sekitar kawasan rumah mereka dan selepas mangsa gagal ditemui, mereka (keluarga mangsa) telah membuat laporan polis.

"Mayat mangsa ditemui dalam kawasan belukar di belakang bangunan baru Taman Mewah dan maklumat berkenaan penemuan mayat itu kami terima daripada orang awam.

"Siasatan mendapati mangsa yang berasal dari Taman Palma, Kamunting mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dikelar menggunakan benda tajam," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dalam kawasan belukar berkenaan dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

Beliau memaklumkan bahawa kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu kes bunuh dan motif pembunuhan masih disiasat.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment