Pages

Monday 8 July 2013

ADI PUTRA DUTA SEINDAH RAMADAN

Berkongsi mengenai penglibatannya sebagai pengacara atau hos, empunya nama Adi Putra ini berkata, dia sebenarnya tidak menduga akan menerima tawaran seperti ini.

Adi  Putra
Adi Putra

Adi Putra galas tanggungjawab baru

WAJAH manis aktor terkenal tanah air ini sentiasa menghiasi skrin televisyen mahu pun di layar perak.

Berikan apa sahaja watak atau peranan, dia mampu melakonkannya dengan baik.

Namun tidak hanya tertumpu kepada bidang lakonan sahaja, bintang Aku Terima Nikahnya ini mula berjinak-jinak menjadi pengacara pula.


Adi Putra
Adi Putra bersama isteri dan anaknya.


Semuanya bermula apabila dia dilamar pihak TV3 untuk menjadi duta bagi program Seindah Ramadan yang berlangsung sepanjang bulan mulia itu.

Berkongsi mengenai penglibatannya sebagai pengacara atau hos, empunya nama Adi Putra ini berkata, dia sebenarnya tidak menduga akan menerima tawaran seperti ini.

“Saya seorang pelakon dan apa yang saya tahu adalah berlakon sahaja, malah orang juga mengenali saya sebagai pelakon.

“Jadi apabila diberitahu tentang perkara ini, pada awalnya saya agak terkejut, namun, apabila berfikir sejenak, mengapa saya harus menolaknya.

“Bagi saya, ia peluang yang hebat dan menarik sementelah lagi menjadi hos tidak pernah saya lakukan,” katanya yang sudah selesai menjalani rakaman bagi tugasan barunya itu.

Ujar pelakon berusia 32 tahun ini juga, dia sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sedemikian.

“Ini adalah buku baru dalam kerjaya saya dan saya gembira melakukannya,” katanya.


Pengalaman berbeza

Berkongsi peranannya sebagai hos pula, akui Adi, ia sangat berbeza daripada menjadi seorang pelakon.

Katanya, sebagai Duta Seindah Ramadan sudah menjadi tanggungjawabnya menyampaikan maklumat dan informasi yang tepat kepada penonton.

“Saya dan Nora Danish akan muncul sebelum setiap drama atau apa-apa segmen itu bermula.

“Jadi, di sinilah peranan kami untuk memberitahu sedikit sebanyak tentang sesuatu program yang bakal muncul,” katanya.

Ditanya cabaran sepanjang menjalani penggambaran pula, kata Adi, meskipun sekadar rakaman, namun ia punya cabaran tersendiri.

“Kita nak beritahu sesuatu kepada penonton, jadi ia perlu ada isi dan info yang menarik.

“Gaya percakapan juga perlu diberi perhatian supaya penonton akan tunggu dan teruja untuk menonton program yang dikatakan,” katanya.


Serasi bersama Nora Danish

Dalam pada itu, Adi yang terkenal dengan pasangan dalam lakonannya, Nora ini memberitahu, dia juga tidak mempunyai masalah bekerja bersama pelakon cantik itu.

“Kami dan biasa berlakon bersama, jadi nak cari keserasian itu memang tidak susah.

“Rasanya masalah komunikasi sewaktu menjadi hos bersama memang tidak wujud," jelasnya.

Ditanya adakah dia selesa menjadi hos dan akan menerima tawaran seumpama itu lagi, ujar Adi, apa sahaja tawaran yang datang akan dilihat kesesuaiannya terlebih dahulu.
 
“Tengok pada keadaan juga, macam sekarang ini, saya terima kerana ia berkaitan dengan bulan Ramadan dan adalah sangat baik saya merebut peluang ini," katanya.


Bekerja sambil beramal

Selain itu, bagi memeriahkan lagi Seindah Ramadan, Adi bersama dua lagi duta program ini, Nora dan Fiza Sabjahan berpeluang mengembara ke dua lokasi iaitu di Johor Bahru dan Kuala Terengganu untuk memasak dan menjual juadah hidangan tersebut untuk berbuka puasa.

“Bazar Seindah Ramadan ini disertai kami bertiga dan ramai lagi artis.

“Bagi saya, ia satu pendekatan yang baik di bulan mulia ini yang mana selain beramal, kami juga lebih dekat dengan
peminat.

“Lagipun, kami buat ini untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadan memandangkan wang hasil jualan akan disalurkan ke rumah anak yatim terpilih,” kata Adi yang turut berperanan menyampaikan ucapan raya pada malam menjelang 1 Syawal nanti.


Tolak penggambaran?

Sementara itu, sepanjang Ramadan juga, Adi menolak sebarang penggambaran sama ada untuk drama mahupun filem.
 
“Ini bukan bermakna saya berehat atau tidak melakukan pekerjaan pada bulan puasa.

“Lagipun bekerja itu satu ibadah dan tidak elok kita meninggalkannya lebih- lebih lagi besar pahalanya bekerja di bulan mulia ini.

“Saya tetap melakukan kerja lain, namun saya elak menjalani sebarang penggambaran sahaja,” katanya bakal
muncul menerusi drama Ijab dan Kabul yang disiarkan sempena hari raya nanti.


Kisah kantoi

Sempat berkongsi pengalaman puasanya di waktu kecil, jelas Adi, dia pernah kantoi minum air ketika berusia 5 tahun.
 
“Biasalah puasa budak-budak, mana boleh tahan, haus sangat, jadi saya buka peti ais dan minum air.

“Tapi saya tak makan, saya cuma minum sahaja," katanya yang belajar berpuasa bermula dengan setengah hari dahulu.

Ditanya menu pilihan sewaktu berbuka pula, kata Adi, dia seorang yang ringkas dan tidak kisah untuk makan apa juga hidangan sewaktu berbuka.

“Biasanya saya hanya makan kurma sahaja, selepas itu saya akan bertarawih, sesudah itu barulah saya akan makan,” katanya mengakhiri perbualan.


PROFIL

NAMA: Mohamed Hadi Putera

TARIKH LAHIR: 26 Februari 1981

TEMPAT LAHIR: Singapura

ADIK BERADIK: Anak bongsu daripada 3 adik-beradik

PENDIDIKAN: Diploma Kejuruteraan Penerbangan, Institut Pendidikan Teknikal Singapura

ISTERI: Aida Yusof

DRAMA: Haryati 2, Aku Cinta Padamu, Kelahiran Teristimewa, Akukah Tanggang?, Mat Jenin, Mya Zara, Kala Hati, Salam Terakhir, Na O Mei, Air Mata Salina, Emily, Cinta, Maharku Untukmu, Ijab dan Kabul

FILEM: Anak Halal, Akhirat, Histeria, Hanyut, KL Gangster 1 dan 2, Don2, Aku Terima Nikahnya, Ngorat, Langgar, Isyarat Cinta.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment