Pages

Monday 9 September 2013

POLITEKNIK TAWAR PELBAGAI PROGRAM PENGAJIAN TERKINI

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Kamaruddin Hamzah berkata, sebanyak 49 program pengajian terbaru merangkumi pelbagai bidang ditawarkan bermula tahun ini sehingga 2018.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Kamaruddin Hamzah
Kamaruddin Hamzah

Politeknik tawar pengajian pelbagai bidang

BUKIT MERTAJAM - Politeknik kini mengorak langkah apabila menawarkan pelbagai program pengajian terkini bagi memenuhi keperluan pelajar tempatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pengajian Politeknik, Kamaruddin Hamzah berkata, sebanyak 49 program pengajian terbaru merangkumi pelbagai bidang ditawarkan bermula tahun ini sehingga 2018.

“Program yang dirangka khusus terangkum di bawah Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) yang mana 20 daripadanya merupakan program ijazah.

Sebanyak 27 daripadanya merupakan program diploma manakala dua daripadanya merupakan program diploma lanjutan.

“Kesemua bidang yang ditawarkan ini menjanjikan peluang pekerjaan meluas selepas graduan menamatkan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-13 Politeknik Seberang Perai (PSP) di Dewan Seri Mutiara, semalam.

Beliau berkata, program ‘home grown’ dan kurikulum yang dirangka khas memberi banyak manfaat kepada pelajar.

“Sebagai contoh, bagi pelajar jurusan diploma, tempoh dua tahun akan dihabiskan untuk pengajian dan kemudian akan diserap terus melalui latihan industri bagi tahun akhir.

“Latihan berdasarkan pekerjaan sebenar akan diterapkan bagi memastikan mereka mendapat pendedahan yang diperlukan selepas bergelar graduan,” katanya.

Kamaruddin berkata, secara puratanya sebanyak 76 peratus graduan politeknik memperoleh pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Usaha sama yang dijalinkan antara politeknik dan agensi serta syarikat swasta menjadi platform untuk meningkatkan peluang mereka untuk menceburi bidang pekerjaan.

“Ini bertepatan dengan usaha kami bagi memastikan pelajar bukan sahaja cekap, malah berkebolehan dalam mana-mana bidang yang diceburi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa imej politeknik akan ditingkatkan secara berperingkat.

“Sebagai sebuah IPTA yang melahirkan graduan berkualiti, kami akan bergerak secara komprehensif untuk menaikkan imej sekali gus mengubah persepsi umum.

“Politeknik kini lebih unggul dalam melahirkan graduan berkualiti dan berkebolehan sejajar dengan pertambahan program pengajian pelbagai bidang yang ditawarkan,” katanya.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment