Pages

Monday 2 September 2013

PELAJAR ASRAMA DIJANGKITI PENYAKIT KULIT | TURUT MENJANGKITI AHLI KELUARGA

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit
Aini menunjukkan tangannya yang dipenuhi dengan ruam merah dan gatal kerana dijangkiti penyakit kulit daripada anaknya yang tinggal di sekolah berkenaan.

Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit

JERANTUT - Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.

“Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.

“Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.

Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.

“Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.

" Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air.

Seorang lagi suri rumah, Aini, 38, berkata, mereka sekeluarga turut dijangkiti penyakit kulit yang sama kerana salah seorang anaknya juga tinggal di asrama sekolah itu.

Menurutnya, selepas dijangkiti penyakit kulit itu dia pergi ke Pasir Gudang, Johor kerana ada hal yang perlu diselesaikan.

“Kami naik malu kerana tangan tidak henti-henti menggaru dan pergerakan kami di luar rumah terbatas. Oleh kerana tidak tahan menggaru saya pergi ke salah sebuah klinik kesihatan di Pasir Gudang.

“Pihak klinik kesihatan di Pasir Gudang itu mengatakan kami dijangkiti penyakit kudis buta dan pihak tersebut mengeluarkan surat supaya kami mendapatkan rawatan pakar di Kuantan.

“Dalam hal ini, kami minta pihak PPD dan Jabatan Kesihatan Daerah membuat penyiasatan terperinci mengenai perkara ini kerana kebanyakan pelajar asrama tidak dapat belajar dengan baik kerana gatal di seluruh badan,” katanya.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment