Pages

Thursday 26 September 2013

BEKAS MB KEDAH, TAN SRI AZIZAN MENINGGAL DUNIA DI SISI KELUARGA

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB, Dr Noor Zaini Morad berkata, Azizan, 69, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah selain kegagalan beberapa organ dalaman yang pelbagai.

Azizan meninggal dunia di sisi keluarga
Azizan meninggal dunia di sisi keluarga - Foto Sinar Harian oleh WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

Azizan meninggal dunia di sisi keluarga


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 11.05 pagi, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB, Dr Noor Zaini Morad berkata, Azizan, 69, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah selain kegagalan beberapa organ dalaman yang pelbagai.

“Azizan didapati mula kritikal sejak pagi Rabu selepas mengalami serangan jantung. Rawatan agresif diberikan termasuk antibiotik terbaik.

"Jangkitan kuman itu mungkin berpunca daripada keadaannya yang lemah. Jangkitan mudah dijangkiti pesakit diabetis, selain komplikasi buah pinggang dan rawatan dialisis,” katanya pada sidang media di HSB hari ini.

Menurutnya, sejak jam 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan kritikal kerana mengalami  masalah jantung yang serius dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Azizan mengalami peringkat akhir kegagalan buah pinggang, masalah hati dan mata di mana penglihatan semakin lemah serta kerosakan saraf peredaran darah di bahagian bawah paras pinggang,” katanya.

Dr Noorzaini berkata, selepas diberi bantuan kecemasan itu, Azizan tidak sedarkan diri sehingga  menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.

Azizan meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dan Shamsiah Shafie, 14 anak dan enam cucu.

Pada 6 Mei lalu, Azizan yang mengalami masalah jangkitan kuman pada kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) keesokan harinya.

Azizan yang juga Adun Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit diabetes, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kaki merebak ke anggota badan lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB pada 13 Ogos lalu.

Pada PRU13 lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang disandangnya sejak 1995, menewaskan sepupunya, Fazillah Mohd Ali mewakili BN, dengan majoriti 2,774 undi.

Antara yang hadir di HSB menziarahi jenazahnya ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan beberapa exco kerajaan negeri serta pemimpin Pas negeri.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, Pokok Sena sebelum disemadikan di Muassasah Darul Ulum selepas solat Asar kira-kira jam 5.30 petang.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment