Pages

Tuesday 24 September 2013

KOPERAL ZAL-AZRI ABD SOMAD MAUT DIHENTAK BATU

Dalam pergelutan itu, mangsa, Koperal Zal-Azri Abd Somad, 31, dipercayai sempat merangkak sejauh kira-kira 25 meter sebelum rebah dan menemui ajal.

Koperal maut dihentak batu
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P. R. Gunarajan (kanan) menyampaikan ucapan takziah kepada isteri mangsa, Atiqah Mohd Rosli @ Mohd Rodi (kiri) di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka.

Koperal maut dihentak batu

AYER KEROH - Seorang anggota polis maut selepas cedera di kepala dan muka dipercayai dihentak batu semasa bergelut dengan penjenayah di Taman Teknologi Cheng di sini, semalam.

Dalam pergelutan itu, mangsa, Koperal Zal-Azri Abd Somad, 31, dipercayai sempat merangkak sejauh kira-kira 25 meter sebelum rebah dan menemui ajal.

Koperal maut dihentak batu
Anggota forensik menjalankan siasatan di luar premis jual beli barangan terpakai di Taman Teknologi Cheng, semalam.


Sebelum kejadian Zal-Azri bersama tiga anggota dan seorang pegawai dari Unit D4 (Bahagian Curi Kenderaan) menyerbu premis yang terdapat di kawasan perindustrian dalam Ops Lejang susulan kes membabitkan kecurian lori.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya mendapat maklumat tiga suspek berusia 17, 22 dan 23 tahun menggunakan lori yang dicuri untuk mencuri besi buruk di dalam premis berkenaan.

Koperal maut dihentak batu
Bahan bukti dikumpulkan untuk melengkapkan siasatan.

“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki dapat ditahan sementara seorang lagi yang berusia 17 tahun, cuba melarikan diri ke luar pagar," katanya.

Beliau berkata, Zal-Azri dipercayai bergelut dengan suspek sebelum cedera di bahagian kepala serta muka dan anggota polis itu ditemui anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.

Koperal maut dihentak batu
Ketiga-tiga suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya.


Ghee Lye berkata, siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan dihentak batu bersaiz lebih besar daripada batu-bata.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, mangsa yang dipercayai cedera di bahagian kiri kepala kemudian di bawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Gelugor, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

“Susulan kejadian, suspek berjaya ditahan di rumah datuknya di Taman Sri Krubong dekat sini, kira-kira jam 10.50 pagi dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan sementara dua rakannya di bawah Seksyen 379 kanun sama. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sudah berkhidmat selama 10 tahun baru dua bulan ditugaskan di unit D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) selepas kira-kira sembilan tahun bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah dan Balai Polis Masjid Tanah sebagai Petugas Am dan Cawangan Pencegahan Jenayah.

“Mangsa, merupakan seorang anggota outstanding, memang aktif dan berani. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar dalam pasukan kami sebenarnya,” katanya.

Zal-Azri meninggalkan seorang balu, Atiqah Mohd Rosli @ Mohd Rodi, 29, serta dua anak lelaki, Mohamad Habibullah, 4 dan Mohamad Atiqullah, 5 bulan.

Isterinya Atiqah bagaimanapun enggan ditemubual berikutan terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa suaminya yang berasal dari Kampung Sungai Gelugor, Gelugor Pulau Pinang.

Bagaimanapun, adik tiri mangsa, Hartini Rashid, 27, ketika ditemui berkata, dia sebagai seorang adik yang rapat seperti tidak mempercayai kejadian menimpa abangnya.

Hartini berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada ibu mereka di Pulau Pinang yang mengkhabarkan kejadian menimpa anak kedua daripada lima beradik itu.

"Ketika itu saya berada di rumah, di Beranang. Ibu menelefon memaklumkan tentang kejadian. Saya awalnya tidak percaya langsung.

"Sebenarnya saya sedang teruja kerana dapat berpindah ke Melaka kerana suami yang bertugas sebagai tentera akan bertukar ke Kem Terendak.

"Kami sudah mengemas barang-barang dan bila-bila masa saja lagi boleh pindah ke Melaka. Malah kami sudah rancang, sekiranya suami berkursus, saya akan tinggal di rumah abang, di berek Balai Polis Masjid Tanah," katanya.

Menurut Hartini, abangnya yang mudah mesra itu turut suka membantu adik-beradik sekiranya memerlukan bantuan tidak kira dari segi apapun.

“Hari raya lalu kami sama-sama pulang beraya di kampung di Pulau Pinang. Itulah kali terakhir kami bersua muka.

"Ketika itu tiada sebarang perubahan langsung. Kami berjumpa, bersembang seperti biasa. Malah dia turut gembira apabila mendapat tahu kami akan tinggal lebih dekat setelah saya berpindah nanti," kata Hartini.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment