"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin |
Muhyiddin: Bahasa Inggeris mungkin mata pelajaran wajib lulus di peringkat SPM
KOTA KINABALU - Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun saranan itu hanya akan dilaksanakan apabila pelajar dan sistem pembelajaran telah bersedia.
"Ramai memberitahu kepada saya, walaupun pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah sudah baik tetapi ada yang cakap ini belum cukup dan perlu ada usaha untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar di seluruh negara.
"Mungkin dalam tempoh yang tidak berapa lama lagi, kita akan menetapkan supaya lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadi satu perkara yang wajib...mesti lulus,' katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Guru Muda Malaysia yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, dekat sini hari ini.
Bagi mencapai tujuan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata kementeriannya akan menentukan terlebih dahulu "guru yang opsyennya bahasa Inggeris dapat mendidik anak-anak ilmu bahasa supaya ia dapat menguasai bahasa Inggeris seperti apa yang dicapai di negara maju di dunia pada hari ini".
"Begitu juga dengan bidang sains, matematik dan Bahasa Melayu. Bahasa Melayu kita tidak boleh abaikan. Bidang-bidang seperti ini kita harap akan diberi perhatian," katanya.
Muhyiddin berkata dalam Pelan Pendidikan Negara yang dimulakan sekarang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan murah hati menyediakan peruntukan RM500 juta untuk digunakan bagi melatih guru dalam subjek bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
"Yang ini kita akan utamakan sebelum yang lain kita laksanakan dalam tempoh akan datang. Maka inilah cabaran besar yang saudara Guru Muda 1Malaysia harus pikul.
"Yang nak tentukan sama ada sistem kita ini berjaya bergantung kepada guru muda. Saya harap perhimpunan ini tidak terhenti di sini sahaja, kita akan teruskan, bagaimana nak teruskan kita akan bincangkan," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata perhimpunan itu antara lain bertujuan memberi peluang kepada kepimpinan Kementerian Pelajaran berinteraksi dengan guru muda yang sudah lama berkhidmat di kementerian. Katanya sekitar 49.5 peratus daripada tenaga guru di seluruh negara adalah mereka yang berusia antara 21 dan 35 tahun, dan ini bermakna kumpulan itu agak besar yang berperanan penting dalam menentukan kejayaan sistem pendidikan negara terutama membimbing anak-anak menjadi generasi berilmu dan berpengetahuan.
"Ini suatu tugas yang amat penting yang dipikul oleh guru-guru. Sebab itu, kita mahu supaya peranan yang dipikul itu terus dipertingkatkan, diperkukuhkan lagi dan diperkuatkan lagi agar cita-cita kita untuk melahirkan atau generasi yang masyarakat Malaysia yang terdidik akan tercapai.
"Ini kerana dalam tempoh tinggal tujuh tahun lagi kita akan masuk dalam ambang penting dalam sejarah pembangunan negara iaitu menjadi sebuah negara maju mengikut acuan kita sendiri," katanya.
Muhyiddin berkata meskipun bukan perkara mudah tetapi akan menjadi lebih mudah kalau ditanam iltizam, kesanggupan untuk memikul apa sahaja tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
"Guru tidak seperti penjawat awam yang lain, guru adalah kumpulan profesional kerana penjawat awam hanya menggunakan ilmu untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan, tetapi guru menggunakan ilmu dan menurunkan ilmu kepada anak bangsa agar berjaya menghadapi masa depan yang lebih baik khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Sabah dan Sarawak merupakan sebuah negeri yang besar, penduduknya tidak berapa ramai tapi bertaburan di seluruh negeri dan tentunya perlukan suatu usaha yang lebih.
"Kalau di Semenanjung kita biasa ke sekolah untuk mendidik anak-anak dan tidak banyak halangan dan rintangan tetapi di Sabah dan Sarawak, guru-guru adalah guru-guru yang cekal dan berani, sanggup mengharungi sungai, jalan-jalan yang jauh berbatu-batu, berjam-jam lamanya dalam keadaan yang agak luar biasa," katanya.
Muhyiddin berkata kerajaan telah merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (2013-2025) dalam tiga gelombang dalam usaha meningkatkan daya saing negara ini dalam arena pendidikan.
"Apa yang kita akan lalui adalah suatu yang agak luar biasa. Banyak negara mencuba menjadi negara berjaya dalam bidang pendidikan tapi sebahagian kecil sahaja yang mampu mencapai, sebahagian besarnya gagal.
"Tetapi kita mengambil satu langkah berani kerana bagi kita tiada yang mustahil. Kalau Malaysia mahu menjadi sebuah negara maju, cemerlang dan hebat mahu bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa setanding dengan negara gergasi dunia, maka sistem kita mesti sistem yang terbaik," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment