Pages

Saturday 9 February 2013

MAJIKAN BOLEH TUNDA BAYAR GAJI MINIMUM

Asojan berkata, kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia telah ditetapkan sebanyak RM900 sebulan, manakala kadar mengikut jam sebanyak RM4.33 sejam.



NUSAJAYA - Majikan yang menghadapi kesukaran membayar gaji minimum kepada pekerja dibenarkan memohon penangguhan bagi pembayaran itu yang dikuatkuasakan 1 Januari lalu.

Exco Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, M Asojan berkata, sebanyak 635 majikan yang sepatutnya melaksanakan pembayaran ia dikuatkuasakan itu diberi penundaan sehingga April dan Oktober depan.

Menurutnya, majikan yang sepatutnya melaksanakan pembayaran mulai 1 Julai depan turut boleh mengemukakan permohonan penundaan kepada Majlis Perundingan Gaji Negara sebelum 1 April ini.

“Perintah Gaji Minimum 2012 telah diwartakan pada 16 Julai tahun lepas dan perlu dikuatkuasakan kepada dua kategori.

“Majikan yang mempunyai enam pekerja dan lebih perlu menguatkuasakan pembayaran mulai 1 Januari 2013, manakala untuk 1 Julai 2013 bagi majikan yang mempunyai lima pekerja dan ke bawah,” katanya pada sidang media, di sini, kelmarin.

Asojan berkata, kadar gaji minimum bagi Semenanjung Malaysia telah ditetapkan sebanyak RM900 sebulan, manakala kadar mengikut jam sebanyak RM4.33 sejam.

Menurutnya, gaji pokok di bawah takrifan Seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 bertujuan memastikan keperluan asas pekerja dan keluarga dapat dipenuhi, selain memberi perlindungan sosial yang mencukupi.

“Kabinet juga telah bersetuju levi yang sebelum ini dibayar majikan akan ditanggung sepenuhnya oleh pekerja asing mulai 30 Januari lalu berikutan pelaksanaan gaji minimum.

“Majikan yang ingin membuat penundaan pembayaran gaji minimum ini boleh rujuk ke Pejabat Tenaga Kerja,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment