"Ini adalah satu dasar baharu dan saya nak tekankan adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik, lebih luas, lebih mudah dicapai oleh rakyat di pelbagai pelosok dalam negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Hemodialisis bernilai RM1.6 juta oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai |
- 800 klinik kesihatan sedia rawatan hemodialisis -
PUTRAJAYA - Setelah berjaya melengkapkan kesemua hospital kerajaan dengan perkhidmatan rawatan hemodialisis, kerajaan kini dalam proses memperluaskan perkhidmatan itu ke kira-kira 800 klinik kesihatan di seluruh negara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pada masa ini dua fasiliti dilengkapkan dengan peralatan berkenaan iaitu di Simpang Renggam, Johor yang beroperasi sejak Januari dan Kodiang, Kedah yang akan mula beroperasi akhir bulan ini.
"Ini adalah satu dasar baharu dan saya nak tekankan adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik, lebih luas, lebih mudah dicapai oleh rakyat di pelbagai pelosok dalam negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Hemodialisis bernilai RM1.6 juta oleh Lembaga Tabung Haji (TH) di Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.
Katanya, beberapa lagi klinik kesihatan sedang dilengkapkan dengan peralatan yang diperlukan untuk rawatan itu menggunakan peruntukan sedia ada, dan peruntukan tambahan juga akan dipohon daripada Kementerian Kewangan bagi memastikan lebih banyak klinik dapat dilengkapkan dengan kemudahan sama.
Beliau berkata, perkhidmatan itu hanya dapat ditawarkan di klinik-klinik kesihatan yang besar, tidak termasuk Klinik Desa dan Klinik 1Malaysia, kerana ia memerlukan doktor dan pakar serta pengasingan tempat untuk pesakit Hepatitis B, Hepatitis C dan HIV.
Sementara itu Tiong Lai berkata, kerajaan turut menggalakkan penggunaan rawatan 'Continous Ambulatory Peritoneal Dialysis' (CAPD) iaitu rawatan sendiri di rumah dengan menggunakan cecair kerana ia lebih mudah dan pesakit tidak perlu ke pusat rawatan dan menunggu sesi rawatan yang lama.
Beliau berkata, pada masa ini hanya lapan peratus daripada lebih 26,000 pesakit menjalani rawatan dialisis menggunakan rawatan itu, walaupun keberkesanannya adalah sama.
Terdahulu dalam ucapannya Liow berkata walaupun usaha pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menubuhkan pusat hemodialiasis di seluruh negara amat dialu-alukan, isu keselamatan pesakit dan kualiti jagaan kesihatan tetap diutamakan.
"Pelaksanaan dan penguatkuasaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta dan peraturan-peraturannya adalah untuk memastikan keselamatan pesakit dan bukan menyusahkan atau menimbulkan kerisauan mana-mana pihak.
"Ia untuk memastikan perkhidmatan yang diberi adalah selamat dan berkesan, supaya pesakit yang menjalani rawatan tidak ditimpa gejala Hepatitis B dan C mahupun HIV," katanya.
Sumbangan oleh Lembaga Tabung Haji itu adalah untuk pembelian 41 mesin hemodialisis, bagi kegunaan 15 hospital kerajaan di tujuh negeri iaitu Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kelantan. - Bernama
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment