Pages

Tuesday, 19 March 2013

ROSMAH NAFI KAITAN DENGAN ALTANTUYA

Dipetik The Malaysian Insider, Rosmah menambah, beliau "disoal siasat" selama enam jam di Bukit Aman sebagai respons dari "tuduhan" ke atasnya.


Rosmah Mansor
Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor


Biografi: Rosmah nafi kaitan dengan Altantuya


KUALA LUMPUR - Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor menafikan sebarang penglibatan dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tujuh tahun lalu.
Beliau berkata demikian dalam biografinya yang dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di sini, hari ini.
Dalam biografi setebal 180 muka surat itu, Rosmah berkata, beliau menghadiri sesi berbuka puasa bersama Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam di Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2006 iaitu hari Altantuya dibunuh.
"Saya berada di bangunan Tabung Haji dari petang hingga tengah malam. Ada ramai saksi di sana," kata beliau di muka surat 140 dalam biografinya yang dijual dengan harga RM150.
"Saya takut jika cicak jatuh ke atas saya. Saya juga takut gelap. Kenapa pula saya nak panjat bukit di tempat pembunuhan?" kata Rosmah dalam buku tersebut.
Dipetik The Malaysian Insider, Rosmah menambah, beliau "disoal siasat" selama enam jam di Bukit Aman sebagai respons dari "tuduhan" ke atasnya.
Biografi tersebut menceritakan perjalanan hidup Rosmah dari remaja hingga menjadi isteri Najib.
Apabila melancarkan biografi tersebut, Dr Mahathir berkata, buku tersebut akan diedarkan ke sekolah-sekolah sebagai panduan kepada generasi akan datang "100 atau 200 tahun dari sekarang".
"Saya selalu kata pemimpin kita harus menulis pengalaman dan pemerhatian mereka. Ini adalah buku yang baik dan akan menjadi panduan kepada generasi akan datang 100 hingga 200 tahun dari sekarang," katanya lagi.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, penulisan biografi oleh pemimpin harus digalakkan kerana ia boleh menjadi sebahagian penulisan sejarah untuk merekodkan iklim keadaan yang berlaku pada ketika itu.
Beliau berkata, penulisan biografi juga penting sebagai rujukan masa depan dan untuk memberi pandangan dari sudut seseorang pemimpin itu mengenai sesuatu isu dan pengalaman.
Justeru, katanya, penulisan sedemikian juga dapat memberi peluang kepada pembaca untuk mengetahui penjelasan dari sudut pandangan orang yang menjadi sasar, dan kemudiannya membuat keputusan secara adil mengenai sesuatu isu itu.
Dipetik Bernama, katanya, buku biografi Rosmah itu akan sedikit sebanyak membantu mejelaskan tohmahan yang dibuat ke atas isteri Perdana Menteri itu.
"Buku ini mampu memberi penjelasan kepada orang ramai tentang apa yang berlaku dari sudut sasaran. Ia akan membolehkan pembaca membuat penilaian sendiri," kata beliau.
Biografi kulit keras setebal 180 muka surat itu mempunyai 12 bab yang mengisahkan perjalanan hidup beliau dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang.
Ia turut memuatkan jawapan Rosmah terhadap pelbagai persoalan yang disering dikaitkan dengan beliau.
Buku itu ditulis oleh penggiat teater dan novelis Siti Rohayah Attan dan Noraini Abd Razak dan diterbitkan oleh Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM).
Pengerusi YAPM Shamsulbahrin Ludin berkata buku itu sepatutnya dipasarkan Januari lepas, tetapi ditangguh untuk memasukkan bahan serta gambar tambahan terkini, termasuk lawatan beliau ke Gaza bersama Perdana Menteri awal tahun ini.
Sementara itu, Rosmah memberitahu pemberita selepas sesi tandatangan buku itu, bab kegemaran beliau dalam biografi itu ialah 'Pandangan Kenalan' dan 'Menjawab Persoalan' kerana ia memberi peluang untuk beliau menjawab tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Biografi itu dijual pada harga RM150 senaskhah dan setakat ini, 500,000 naskhah telah dijual dengan 50 peratus daripada hasil jualan didermakan kepada Yayasan Kepimpinan Perdana.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment