Pages

Tuesday, 3 December 2013

PERKARA YANG MUNGKIN ANDA TIDAK TAHU MENGENAI PAUL WALKER (BINTANG FAST & FURIOUS)

Bagi mengingati bintang yang diminati ramai ini, kami persembahkan beberapa perkara yang mungkin anda tidak pernah tahu mengenai dirinya.


Paul Walker dalam kenangan (1973-2013)
Paul Walker dalam kenangan (1973-2013)


Paul Walker dalam kenangan (1973-2013)


Pada 30 November 2013, jam 3.30 petang, bintang siri filem "Fast and Furious" Paul Walker dan bekas pelumba kereta dan penasihat kewangannya, Roger Rodas terlibat dalam nahas jalan raya ketika menghadiri acara kelolaan pertubuhan kebajikan Walker, Reach Out Worldwide yang diadakan bagi membantu mangsa bencana taufan di Filipina
Porsche Carrera GT yang dipandu Rodas, sebuah kereta yang dilaporkan majalah Autoweek sebagai kenderaan yang amat sukar dikawal bahkan oleh seorang pemandu profesional, melanggar sebatang lampu jalan di Valencia, Santa Clarita, California lantas terbakar.
Dalam sekelip mata, aktor berusia 40 tahun itu dan juga rakannya pergi untuk selama-lamanya.
Bagi mengingati bintang yang diminati ramai ini, kami persembahkan beberapa perkara yang mungkin anda tidak pernah tahu mengenai dirinya.
Berdarah Irish, Inggeris dan Jerman, Paul Walker, atau nama sebenarnya Paul William Walker IV, merupakan anak kepada model peragaan, Cheryl Crabtree dan kontraktor pembentung Paul William Walker III. Datuk daripada sebelah ayahnya merupakan peninju profesional yang digelar 'Irish Billy Walker'.
Dia dan bekas teman wanitanya Rebecca McBrain memiliki seorang anak perempuan yang diberi nama Meadow Rain. Meadow tinggal bersama ibunya di Hawaii selama 13 tahun sehinggalah dia berpindah ke California untuk tinggal bersama Walker pada tahun 2011.
Walker memulakan kerjaya seninya melalui bidang peragaan pengiklanan sejak berusia dua tahun dengan membintangi iklan-iklan TV seperti Pampers dan Showbiz Pizza. Dia kemudiannya membuat kemunculan dalam beberapa siri TV seperti "Highway To Heaven", "Who's The Boss?", dan "The Young And The Restless", sebelum membintangi filemnya yang pertama, komedi seram "Monster In The Closet" pada tahun 1986.
Walker pernah mencuba nasib dalam ujibakat pencarian pelakon untuk watak Anakin Skywalker untuk filem "Star Wars Ep. II dan III" tapi dikatakan terlalu tua untuk peranan tersebut. Menurut Walker, itu satu-satunya watak yang paling diidamkannya seumur hidup.
Sekalipun sudah membintangi lebih 30 buah filem, 10 buah siri TV dan dua buah video muzik, Walker tidak suka menonton lakonannya sendiri di skrin dan hanya akan menonton persembahannya sekali sahaja.
Dia memiliki tali pinggang coklat dalam seni pertahanan diri jiu-jitsu Brazil (BJJ) di bawah latihan Ricardo 'Franjinha' Miller di Paragon Jiu-Jitsu.
Walker begitu meminati ahli biologi marin Perancis Jacques-Yves Cousteau dan membuat pengkhususan kolej yang sama kerana perasaan cintanya terhadap bidang tersebut. Dia mengecapi impian sekian lamanya itu dengan menyertai program 'Expedition Great White' kelolaan saluran National Geographic pada tahun 2010 di mana Walker dan para kru jerung menghabiskan masa selama 11 hari mencari dan meletakkan pengesan pada tujuh ekor yu putih di pesisir luar Mexico. Walker juga menyertai Lembaga Pengarah Pertubuhan Billfish pada tahun 2006.
Walker juga terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dengan pasukan bantuan kemanusiaannya, Reach Out Worldwide. Pada Mac 2010, Walker ke ConstituciĆ³n, Chile untuk membantu mangsa-mangsa yang tercedera dalam bencana gempa bumi 8.8 skala richter. Dalam tahun yang sama, dia turut ke Haiti untuk membantu para mangsa gempa bumi di sana. Malah beberapa jam sebelum kematiannya, Walker juga terlibat dengan acara kebajikan untuk membantu mangsa taufan di Filipina.
Selain daripada luncur air, sukan yang gemar dilakukannya di Pantai Huntington yang terletak berdekatan dengan rumahnya di California, Walker juga suka melancong dan pernah melawat India, Fiji dan Costa Rica.
Sama seperti wataknya Brian O'Conner dalam francais "Fast & Furious", Walker juga amat sukakan permotoran dan menggelar dirinya 'total gear head'. Malah dia memiliki kereta Nissan Skyline R34 yang digunakan dalam "2 Fast 2 Furious" (2003). Walker juga sebahagian daripada pasukan AE Performance dan pernah bertanding dalam siri perlumbaan Redline Time Attack menggunakan M3 E92. Dia dikatakan dalam persiapan untuk sebuah pameran auto sebelum kematiannya.
Sekalipun wataknya sebagai Brian O'Conner dalam francais "Fast & Furious" yang menaikkan nama Walker bermula tahun 2001, dia pernah membintangi beberapa filem popular sebelum itu seperti filem sukan remaja, "Varsity Blues" bersama James Van Der Beek, "Pleasantville" bersama Reese Witherspoon, komedi romantik remaja "She's All That" bersama Freddie Prinze Jr. dan Rachael Leigh Cook, serta sitkom "Throb" ketika berusia 13 tahun. Kemudian baru muncul filem-filem hebat lain seperti "Into The Blue" (2005), "Flags Of Our Fathers" (2006), dan "The Lazarus Project" (2008).
Dua buah filem Walker yang sedang dalam pasca-produksi dan sedang menunggu tarikh tayangan selepas kematiannya adalah "Brick Mansion", sebuah filem hasil semula Perancis "District 13" (2004) tentang seorang polis pengintip yang memasuki sebuah kumpulan jenayah demi menghentikan jenayah melibatkan bom neutron, serta "Hours", kisah seorang bapa (Walker) yang harus memastikan keselamatan bayinya yang baru lahir di hospital dalam huru-hara yang disebabkan taufan Katrina.

Yahoo

No comments:

Post a Comment