Pages

Wednesday 4 December 2013

JURULATIH BOLA SEPAK DITAHAN KES DADAH

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang Khamis lalu, polis merampas 37 kilogram (kg) heroin berperisa pandan yang sudah siap serta sedang dimasak dianggarkan bernilai RM1.38 juta.

Jurulatih bola ditahan kes dadah
Mohd Shukri (kiri) menunjukkan dadah serta peralatan yang dirampas dalam serbuan ke atas sindiket memproses dadah berperisa.

Jurulatih bola ditahan kes dadah

SHAH ALAM  - Kegiatan 10 suspek termasuk seorang jurulatih bola sepak remaja memproses dadah heroin terbongkar, setelah polis menyerbu sebuah rumah di Damansara, Petaling Jaya yang dijadikan makmal mini melakukan aktiviti tersebut.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang Khamis lalu, polis merampas 37 kilogram (kg) heroin berperisa pandan yang sudah siap serta sedang dimasak dianggarkan bernilai RM1.38 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, ketika pihaknya menyerbu premis terletak agak terpencil itu, terdapat lima suspek lelaki sedang sibuk memproses termasuk menggoreng dadah berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam premis setinggan itu menemui 37kg dadah terbabit dan pelbagai peralatan menghasilkan bahan terlarang itu antaranya alat penimbang, kuali, ketuhar, penapis, besen dan kertas aluminium.

"Kita juga menemui pelbagai bahan antaranya sodium, klorofom, eno, kafein, perisa pandan serta esen vanila digabungkan menjadi ramuan untuk menghasilkan dadah heroin.

"Siasatan menunjukkan dadah tersebut dihasilkan menggunakan kaedah iaitu menggoreng dalam kuali serta dimasak dalam ketuhar," katanya pada sidang akhbar, semalam.

Mohd Shukri berkata, hasil soal siasat ke atas lima suspek terbabit membawa kepada beberapa siri serbuan di sekitar Puchong, Cheras dan Sentul pada Jumaat lalu.

"Kita berjaya tahan empat lelaki serta seorang wanita yang juga ahli kumpulan sindiket terbabit," katanya.

Menurutnya, susulan tangkapan tersebut, polis turut menyita wang tunai, barang kes serta kenderaan bernilai lebih RM500, 000.

Beliau berkata, siasatan menunjukkan kumpulan sindiket terbabit aktif memproses dadah heroin sejak tiga bulan lalu untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.

Katanya, semakan mendapati lima daripada suspek termasuk jurulatih berusia 45 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Mohd Shukri berkata, suspek ditahan turut mempunyai pekerjaan lain iaitu sebagai pencuci kereta, penjual besi buruk dan penternak kambing.

Katanya, semua suspek termasuk dua warga India berusia antara 22 hingga 50 tahun itu direman seminggu sehingga esok.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment