Pages

Sunday 15 December 2013

PATUNG HAJI & HAJAH DI LUMUT GEMPARKAN MASYARAKAT ISLAM

Gambar patung lelaki berkopiah dan wanita bertudung yang diperoleh daripada Facebook Nadi Rakyat Dot Net Official itu dikatakan diletakkan di sebuah lokasi di Lumut  tanpa adanya perincian lokasi sebenar dinyatakan.




Henti sebar gambar patung haji, hajah
Patung yang didakwa diberi gelaran haji dan hajah yang tersebar di laman sosial.



Henti sebar gambar patung haji, hajah

IPOH – Perkongsian sebuah gambar patung berhala menyerupai imej warak di laman sosial menggemparkan masyarakat Islam, hari ini.

Gambar patung lelaki berkopiah dan wanita bertudung yang diperoleh daripada Facebook Nadi Rakyat Dot Net Official itu dikatakan diletakkan di sebuah lokasi di Lumut  tanpa adanya perincian lokasi sebenar dinyatakan.

Laporan portal www.ismaweb.net dipetik berkata, peletakan patung berimej sedemikian didakwa bertujuan menunjukkan rasa hormat kepada masyarakat Melayu.

Pasangan patung yang turut diberi gelaran ‘haji’ dan ‘hajah’ itu mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca yang rata-ratanya mahu siasatan lanjut dibuat bagi mengesahkan kesahihannya.
 
Kerajaan negeri menggesa mana-mana pihak menghentikan segera sebarang perbuatan yang boleh mengundang kekeruhan dalam hubungan masyarakat majmuk di negara ini.

Exco Pendidikan Islam, Mohd Nizar Zakaria berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ianya menyentuh nilai sensitiviti serta budaya  masyarakat.

Malah menurutnya, perkara berkenaan juga bakal mencetuskan nilai persepsi atau dari segi nilaian agama itu sendiri.

“Berhati-hatilah dalam perkara seperti ini, sebaran dan perkongsian sesuatu yang belum tentu kesahihannya hanya akan mengundang kemarahan rakyat, jadi jangan dimuat turun secara sewenangnya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau turut memaklumkan, sedia untuk menyiasat sekiranya dakwaan gambar itu benar wujud.

Walau bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada sebarang aduan diterima berhubung kewujudan patung berkenaan, malah maklumat patung itu turut diketahui melalui internet, semalam.

“Jika betul ada, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan agama akan sedia siasat, Cuma kita khuatir jika ia tidak benar dan disebarkan atas maksud tertentu,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian  di sekitar  Lumut mendapati, rata-rata penduduk di sana tidak pernah melihat patung seumpama itu di mana-mana tokong di situ.Malah, ada antaranya memaklumkan, baru pertama kali melihat patung seumpama itu di internet.

Seorang penduduk, Ling Chin Tong, 50, berkata, dia tidak pernah melihat patung berpakaian seumpama itu seumur hidupnya.

“Saya memang tidak pernah melihat patung yang memakai kopiah dan tudung seperti di dalam gambar ini, saya tahu pun setelah melihat gambar yang ditunjukkan ini,” katanya.

Chin Tong berkata, selama ini, dia hanya melihat patung biasa (tanpa bertudung dan berkopiah) yang sering digunakan penganut agama itu untuk ditempatkan di rumah ibadat.

“Jika patung seumpama ini memang saya tidak pernah lihat,” katanya.

Pendapat sama turut disuarakan Yew Kong Tung, 47.

Kong Tung berkata, agak mustahil patung sedemikian ditempatkan di rumah ibadat mereka kerana semua masyarakat maklum ia menggambarkan imej Islam.

“Ia dilihat seperti agak pelik dan seolah-olah tidak wujud, saya pergi ke mana-mana pun tidak pernah melihat patung seperti itu,” katanya.

Bagi Hong Chi Ping, 27, pula, patung dalam kepercayaan agama Buddha dianggap sebagai dewa.

“Patung itu dipuja untuk mendapatkan kebaikan, namun saya tidak pernah melihat ia dipakaikan dengan kopiah dan tudung kerana kebiasaannya ia dibuat rambut sahaja,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Haslinda Daud, 26, turut mengakui tidak pernah melihat patung sedemikian dan hanya mengetahui perkara itu di dalam internet.

Sebagai penduduk tempatan katanya, dia juga tidak mengetahui sama ada patung itu wujud atau tidak.

“Dalam laman sesawang semua orang bercerita mengenainya, jadi saya dapat maklumat pun dari situ.

“Saya sendiri tidak tahu sama ada ianya wujud atau tidak. Siasatan harus dilakukan supaya isu berkenaan mendapat penyelesaian terbaik,” katanya.

Reaksi sama diluahkan Muhaiyudin Yusof, 31, yang mahu siasatan terperinci dilakukan sebelum sesuatu tindakan diambil.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelak, timbul isu lain yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum.

“Perkara berkaitan Islam tidak seharusnya dijadikan permainan kerana ia melibatkan agama, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengetahui sama ada ianya benar-benar wujud atau tidak kerana kita tidak mahu timbul isu lain pula selepas ini,” katanya.



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment