Biarpun menceburi bidang seni pada tahun 2007, namun bakat lakonan Nad mula mendapat perhatian selepas membintangi drama bersiri Bukan Bidadari di samping Sharnaaz dan Azlee Khairi tahun lalu.
Nad Zainal |
Rahsia kecantikan Nad Zainal
Biarpun menceburi bidang seni pada tahun 2007, namun bakat lakonan Nad mula mendapat perhatian selepas membintangi drama bersiri Bukan Bidadari di samping Sharnaaz dan Azlee Khairi tahun lalu.
Bagaimanapun apabila bergelar pelakon, bukan sahaja bakat lakonannya yang menjadi perhatian, bahkan setiap gerak geri, cara berpakaian dan penjagaan diri juga turut menjadi perhatian dan ikutan.
Menyedari perkara itu, jelas gadis bermata bundar berusia 23 tahun ini, dia tidak mengamalkan rahsia khusus untuk menjaga penampilan dan kecantikan. Ikuti cerita Nad Zainal mengenai penjagaan kecantikan dan kesihatan yang diamalkannya.
Wanita dan kecantikan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Bagaimana dengan anda?
Bagi saya cantik itu adalah satu perkara yang universal. Namun apa yang penting kita perlulah sentiasa nampak kemas, bersih dan mempunyai hati yang baik. Secara tidak langsung ia akan menampakkan kecantikan kita secara semula jadi. Kalau cantik muka sahaja tidak guna juga jika dalaman tidak cantik.
Sebagai selebriti pastinya anda sentiasa menjadi perhatian, jadi bagaimana anda menjaga kecantikan dan penampilan supaya sentiasa kelihatan menarik?
Sejujurnya saya tiada rahsia khusus untuk menjaga kecantikan tetapi saya amalkan tidur yang cukup untuk diri sendiri. Kalau tidur tak cukup, mata kita akan sembap dan ia akan menampakkan kita tua sebelum umur. Selain itu pemakanan yang seimbang juga amat penting, jika anda sedang berdiet pastikan berdisiplin dan jangan diet seperti yo-yo (ada naik dan turun). Tentang penampilan pula, saya tak suka terlalu menonjol. Biarlah ringkas dan kemas.
Pernah alami masalah berat badan?
Ya, pernah. Ketika saya berumur 17 tahun, berat saya naik sehingga 55 kilogram (kg) kerana selepas sekolah saya tidak buat banyak aktiviti. Memandangkan saya rendah, jadi memang tidak sesuai berat tersebut dengan tubuh saya. Sehinggalah saya berusia 19 tahun, saya nekad untuk mengurangkan berat badan saya sebanyak 15 kg dan kini saya masih mengekalkan berat badan ideal saya.
Bagaimanakah cara anda mengatasi masalah itu?
Saya tinggalkan nasi untuk seketika tetapi selalunya saya akan ambil makanan yang berat pada waktu tengah hari. Kebetulan ketika itu saya sibuk dengan pementasan teater, dan sebelum sesi latihan kami akan buat senaman ringan dan ia banyak membantu mengurangkan berat badan saya. Sekarang pun, kalau ada masa saya akan cuba luangkan masa untuk berjoging. Tapi saya jarang ke gimnasium kerana kekangan masa bekerja.
Bagaimana pula dengan penjagaan wajah?
Saya ada cara yang kurang betul menjaga wajah dan kalau boleh jangan ikutlah (ketawa). Kulit muka saya sangat sensitif dan saya tak boleh guna produk yang mahal. Jadi semua produk saya cuba kerana saya mahu lihat ia sesuai dengan kulit saya atau tidak.
Jika ramai selebriti gemar mengunjungi spa dan salun, anda pula bagaimana ?
Saya lebih gemar urut badan. Jadi dalam sebulan saya akan ke spa untuk urut dan rehatkan badan. Saya juga kerap ke salun untuk memastikan rambut saya sihat selepas menjalani banyak dandanan rambut ketika dalam penggambaran.
Namun saya tak suka melakukan facial kerana wajah saya sangat sensitif. Pernah cuba sekali dan sampai sekarang saya tak percaya dengan rawatan tersebut.
Berapa pula kos yang anda peruntukan untuk penjagaan tubuh dan wajah dalam sebulan?
Saya hanya belanjakan RM500-RM700 sebulan untuk produk wajah, rambut dan beberapa suplemen untuk penjagaan dalaman.
Jika berhadapan dengan tekanan, bagaimana anda mengatasinya?
Bila saya tertekan, saya akan pergi buat sesuatu yang saya suka seperti menonton wayang, pergi ke salun dan makan makanan manis seperti aiskrim dan 'ice blended'. Selain itu saya juga gemar melayari Internet dan meluangkan masa bermain dengan kucing dan biasanya selepas itu tekanan saya akan reda sedikit demi sedikit.
Akhir sekali, apa perkembangan anda sekarang?
Saya baru sahaja selesai menjalani pementasan Maduku.. Kalut. Selepas ini saya akan berehat seketika sebelum menerima apa-apa tawaran. Saya ini jenis fokus pada satu kerja pada satu masa sahaja.
5 PERKARA MENGENAI NAD ZAINAL
1. Peminat setia Shahrukh Khan.
2. Membela lima ekor kucing.
3. Ketinggian Nad hanya 155cm.
4. Anak tunggal.
5. Mengimpikan ke New York untuk membeli-belah.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment