Pages

Showing posts with label Kronologi Pencerobohan Di Lahad Datu. Show all posts
Showing posts with label Kronologi Pencerobohan Di Lahad Datu. Show all posts

Saturday, 16 March 2013

SABAH TERKINI : AGBIMUDDIN KIRAM TINGGALKAN PENGIKUT | LARI KE FILIPINA

Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh


Agbimuddin Kiram sudah lari ke Filipina


KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa keselamatan negara yakin telah melumpuhkan kumpulan penceroboh pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah, dengan ketua kumpulan itu dipercayai melarikan diri ke Filipina.
Gerakan ofensif pasukan keselamatan negara terhadap kawasan kubu pengganas di Kampung Tanduo sejak 11 hari lepas menyebabkan ketua kumpulan penceroboh itu, Azzumudie Kiram, yang turut dikenali sebagai Agbimuddin Kiram, meninggalkan pengikutnya di Lahad Datu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di Kota Kinabalu, Sabah, malam ini.
Semalam seramai 11 lagi individu ditahan dalam operasi memburu dan mengesan penceroboh yang kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di beberapa kampung berdekatan dengan Kampung Tanduo.
Seramai lapan lelaki rakyat asing berusia 17 dan 29 tahun yang menaiki bot laju dari Filipina ditahan pada 12.15 malam ketika memasuki Sungai Bilis, Lahad Datu dan dua lagi lelaki rakyat asing yang dipercayai tali barut militan itu ditahan dalam operasi di Semporna.
Dalam tangkapan di Sungai Bilis, polis turut menemui wang tunai peso berjumlah PHP369,000 (RM28,375) dan satu tong kosong, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
Sehingga petang ini, pasukan keselamatan menahan 97 orang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan 233 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan Op Daulat.
Seramai 61 musuh pula ditembak mati dan 27 daripada mayat penceroboh militan itu dibawa keluar dari kawasan operasi untuk bedah siasat.
"Kami percaya terdapat 10 lagi mayat pengganas belum dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu," katanya yang turut mengesahkan bahawa pasukan keselamatan menemui tiga kubur dan 15 mayat di Kampung Tanduo.
Malaysia memberi tempoh tiga hari untuk Filipina menuntut mayat rakyatnya yang ditembak dalam Operasi Daulat itu dan jika tiada jawapan dalam tempoh itu, kesemua mayat berkenaan akan dikebumi mengikut cara yang sesuai.
Malaysia juga tidak bersendirian dalam menyelesaikan krisis di pantai timur Sabah itu apabila mendapat kerjasama erat dari Filipina.
Komitmen dan pendirian Filipina jelas apabila tentera laut Filipina menahan 35 pengganas Sulu yang cuba keluar dari Sabah dan kesemua mereka akan dihadapkan di mahkamah negara itu.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas gagal.
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera mengumumkan penambahan aset ketenteraan dalam usaha menggempur habis-habisan bagi menamatkan krisis pencerobohan militan Sulu itu.
Dalam tempoh pencerobohan itu, seramai 10 anggota pasukan keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua anggota tentera, manakala sembilan anggota pasukan keselamatan cedera. - Bernama

Sinar Harian

Wednesday, 13 March 2013

SABAH TERKINI : PENGGANAS BERSENJATA CARI PEMBOCOR RAHSIA

"Penceroboh juga mengacukan parang di lehernya selepas mengetahui dia adalah anak kepada individu yang mendedahkan pergerakan mereka kepada polis," katanya.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh

Sabah diceroboh: Militan bersenjata cari pembocor rahsia



LAHAD DATU - Kumpulan pengganas bersenjata Sulu dipercayai mencari seorang lelaki tempatan iaitu individu pertama yang membuat laporan polis, mendedahkan kehadiran mereka pada 9 Februari lalu di Kampung Tanduo.

Perkara itu didedahkan anak saudara lelaki berkenaan, Rano Julasi, 34, ketika ditemui di pusat perpindahan sementara Dewan Amara Budi, Felda Sahabat 17 di sini, semalam.

Menurut Rano, cerita itu dimaklumkan oleh sepupunya yang dapat melarikan diri selepas Kampung Tanjung Batu, 7 kilometer (km) dari Kampung Tanduo, ditawan penceroboh, 3 Mac lalu.

Rano berkata, sepupunya itu dapat melarikan diri selepas dipaksa keluar ke pekan membeli beras.

"Dia tidak pulang selepas diarahkan membeli beras. Dia berasa takut kerana penceroboh mencari bapanya untuk membalas dendam.

"Penceroboh juga mengacukan parang di lehernya selepas mengetahui dia adalah anak kepada individu yang mendedahkan pergerakan mereka kepada polis," katanya.

Katanya, bagaimanapun penceroboh tidak dapat mengesan bapa saudaranya kerana sewaktu kejadian lelaki itu keluar ke bandar.

Dalam pada itu, ketika ditanya keadaan selepas mengetahui penceroboh berada di Kampung Tanjung Batu, Rano berkata, dia bersama isteri dan tiga anak terus lari menyelamatkan diri.

"Kami keluar dari kampung Tanjung Labian sehelai sepinggang. Saya berasa takut kerana Kampung Tanjung Batu hanya sejauh 3 km dari rumah," katanya.

Rano berkata, dia bersyukur dapat menyelamatkan diri dan turut bersimpati dengan penduduk yang terperangkap di kampung berkenaan hampir seminggu.



Sinar Harian

Tuesday, 12 March 2013

SABAH TERKINI : SENARAI TERKINI WIRA NEGARA YANG TERKORBAN

Al-Fatihah buat semua wira negara. Sesungguhnya pengorbanan kalian amat mulia mempertahankan kedaulatan negara tercinta, Malaysia.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh



Lahad Datu: Senarai anggota keselamatan terkorban


KUALA LUMPUR - Berikut senarai anggota keselamatan yang terkorban dalam pertempuran dengan penceroboh militan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah:
   
    1 Mac 2013 - ASP Zulkifli Mamat, 29, dari Pasukan Polis Komando VAT 69
   
    1 Mac 2013 -    Sjn Sabaruddin Daud, 46, dari Pasukan Komando VAT 69
   
    2 Mac 2013 -     ACP Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman.
   
    2 Mac 2013 -    ASP Michael Padel, 36, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.
   
    2 Mac 2013 -     Sjn Abdul Azis Sarikon, 48, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.
   
    2 Mac 2013 -     L/Kpl Mohd Azrul Tukiran, 27, dari Pasukan Gerakan Am Tawau.
   
    2 Mac 2013 - Sjn Detektif Baharin Hamit, 49, dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
   
    2 Mac 2013 - Kpl Salam Tugiran, 42, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau.
   
    12 Mac 2013 - Prebet Ahmad Hurairah Ismail, 24, dari Batalion 7 RAMD Tawau.
   
    - Bernama



Sinar Harian

Monday, 11 March 2013

CEROBOH SABAH LANGKAH AWAL GUGAT MALAYSIA

"Saya terima e-mel dari rakan saya yang berada di Manila hari ini, isi kandungan e-mel itu memberi tahu bahawa kejadian di Lahad Datu itu dibiayai oleh sebuah NGO dari Malaysia dan telah menyalurkan AS$2 juta untuk tujuan pencerobohan," kata beliau pada ceramah tersebut.

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh


Zaini: Ceroboh Sabah langkah awal 
gugat Malaysia


KUALA LUMPUR - Bekas Panglima Tentera Darat,  Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said mendakwa pencerobohan ke atas Lahad Datu, Sabah merupakan permulaan untuk mengucar-kacirkan negara, yang cuba dicetuskan pihak tertentu demi kepentingan tertentu.

Sehubungan itu kata beliau, perkembangan terbaru ini akan memberi impak kepada politik, ekonomi, sosial dan aspek keselamatan jika pihak berkuasa tidak menangani dengan segera dan leka.

Beliau juga berkata, perkembangan di Sabah itu memberi gambaran akan ada perkara lebih besar, yang cuba digerakkan oleh pihak tertentu untuk menggugat negara, seakan peristiwa Al-Maunah lebih satu dekad lalu.

"Ini adalah permulaan untuk mengucar-kacirkan negara dan memberi impak kepada ekonomi, politik, sosial dan sudah semestinya keamanan negara.

"Dari segi politiknya, mesti ada orang belakang di sebalik penceroboh ini, kita tengok mereka memang tidak mampu untuk bergerak sendiri, Sultan Kiram yang didakwanya juga mengakui miskin... jadi bagaimana mampu mereka bergerak sendiri," kata beliau pada sidang media selepas menyampaikan ceramah bertajuk Dalang Pengganas Lahad Datu Ancaman Keselamatan Negara, di sini malam tadi.

Difahamkan, kemungkinan dalang tersebut adalah kuasa ketiga yang ingin merampas negara atau dipergunakan untuk kepentingan tertentu.



Sebelum ini, beberapa pihak mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat dengan insiden tersebut.

Sehubungan itu, kemungkinan dalangnya juga mungkin berada dalam negara demi kepentingan politik.

Dalam pada itu, Presiden Jaringan Cina Malaysia, Ng Lam Yong mendakwa sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), yang menjadi perhatian negara tahun lalu, membiayai AS$2 juta (RM6 juta) kepada kumpulan penceroboh dari Sulu bagi menceroboh Sabah.

Menurutnya lagi, bantuan kewangan daripada NGO kepada kumpulan penceroboh dari Filipina itu disahkan oleh rakannya dari Manila.

"Saya terima e-mel dari rakan saya yang berada di Manila hari ini, isi kandungan e-mel itu memberi tahu bahawa kejadian di Lahad Datu itu dibiayai oleh sebuah NGO dari Malaysia dan telah menyalurkan AS$2 juta untuk tujuan pencerobohan," kata beliau pada ceramah tersebut.

Oleh itu kata Lam Yong, yang juga antara bekas pengasas PKR, tidak mustahil pihak pembangkang menjadi dalang di sebalik apa yang berlaku di Sabah.



Lam Yong turut menyatakan bahawa sanggup disaman mana-mana pihak kerana apa yang beliau katakan mengenai isu tersebut adalah benar.




Sinar Harian

Sunday, 10 March 2013

SABAH TERKINI : REMAJA MAUT TERKENA TEMBAKAN PASUKAN KESELAMATAN

Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh


2 termasuk remaja mati terkena tembakan pasukan keselamatan


LAHAD DATU -  Seorang remaja lelaki maut dan seorang lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian pada 9.45 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung Tanjung Batu.

"Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.

"Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi pergerakan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu," katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas Op Daulat Felda Sahabat 16 di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan segera yang dilakukan mendapati remaja lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki.

Ismail berkata, susulan itu, pasukan perubatan dikerah ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kesemua mereka, termasuk yang cedera dan terbunuh, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala tiga wanita dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan enam individu ditahan di Semporna hari ini mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan penceroboh.

Beliau berkata, dua daripadanya ditahan di Kampung Perigi Simunul pada 6.30 pagi dan selebihnya di Batu 1.5 Jalan Tawau-Semporna kira-kira dua jam selepas itu.

Ismail berkata, sehingga kini seramai 96 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh, manakala 66 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat. - Bernama

Sinar Harian

SEORANG LAGI MUNCUL DAKWA DIRINYA SULTAN SULU


Beberapa wakil Datuk Abinasser Sultan Badaruddin D. Mohammad Bataraza kelmarin mendakwa beliau ialah Sultan Sulu sebenar kerana berasal daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu, Jamalul Alam.


Jamalul Kiram III

Seorang lagi dakwa dirinya Sultan Sulu


MANILA, Filipina - Seorang lagi Sultan Sulu tampil dengan beberapa wakilnya menyatakan bahawa beliau merupakan pewaris takhta Kesultanan Sulu yang sebenar.
Beberapa wakil Datuk Abinasser Sultan Badaruddin D. Mohammad Bataraza kelmarin mendakwa beliau ialah Sultan Sulu sebenar kerana berasal daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu, Jamalul Alam.
Menurut dokumen yang ditunjukkan kepada laman berita Inquirer, wakil-wakil Badaruddin cuba menyakinkan Presiden Filipina, Benigno Aquino III supaya mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Sulu sejak 25 Julai 2012.
Pada 24 Oktober 2012, mereka turut menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk meminta bantuannya bagi tujuan yang sama.
Seorang bekas koresponden Inquirer yang menjadi jurucakap lelaki berusia 74 tahun itu Arturo Sampana berkata, Badaruddin ialah anak keempat daripada lima orang anak Puteri Aishah Almarhum dan Datuk Mohammad Bataraza.
Ibunya, Aishah merupakan anak perempuan Puteri Sharifah Zainab atau Puteri Indok iaitu isteri Sultan Sulu, Badaruddin II yang memerintah dari 1881 hingga 1884.
Katanya, Badaruddin II ialah pengganti Sultan Jamalul Alam. Apabila beliau meninggal dunia dipercayai akibat diracun, keluarganya termasuk Aishah keluar dari istana untuk menyembunyikan diri.
Jamalul Kiram II yang ibunya merupakan isteri kedua Sultan Jamalul Alam pula menggantikan Badaruddin II sebagai pemerintah Sulu seterusnya.
Sampana memberitahu, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu berasal daripada keturunan isteri kedua Jamalul Alam.
"Menurut adat keluarga diraja Sulu, hak sebagai pewaris takhta terlebih dalu diberikan kepada keturunan isteri pertama sultan yang memerintah," kata Sampana.
Pada 12 Februari lalu, adik Kiram III, Raja Muda Azzimudie Kiram membawa sejumlah pengikut bersenjata memasuki Sabah untuk menuntut negeri di Malaysia Timur itu sebagai milik Kesultanan Sulu. - Agensi


Kosmo

SABAH TERKINI : KIRAM BOHONG, TIADA ANGGOTA KESELAMATAN KITA YANG DITAWAN


Saya ingin mengesahkan bahawa tiada pihak kita yang menjadi tawanan dan saya tidak tahu daripada mana mereka dapat laporan tersebut.


Pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja Markas 1 Divisyen Kuching berlepas ke Tawau, Sabah bagi membantu Ops Daulat semalam.

Kiram bohong ada yang ditawan


LAHAD DATU - Polis menafikan ada anggota pasukan keselamatan menjadi tawanan kepada kumpulan pengganas Sultan Sulu sejak OPS Daulat dilancarkan di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu dekat sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihak yang menyiarkan berita mengenai tawanan itu adalah tidak berasas dan berniat jahat.
"Saya ingin mengesahkan bahawa tiada pihak kita yang menjadi tawanan dan saya tidak tahu daripada mana mereka dapat laporan tersebut.
"Saya sendiri tidak mendengarnya dan apa yang dilaporkan adalah tidak benar," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Portal berita GMA News kelmarin melaporkan mengenai dakwaan Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa telah menawan empat anggota pasukan keselamatan Malaysia termasuk seorang pegawai berpangkat kolonel.


Kosmo

Saturday, 9 March 2013

SAYA SULTAN PALING MISKIN DI DUNIA - JAMALUL KIRAM

“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.



Jamalul Kiram III
Jamalul Kiram III mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh pengikutnya di Taguig, selatan Manila baru-baru ini. - Foto ihsan philstar.com/Nation


Jamalul Kiram: 'Saya sultan paling miskin 
di dunia'


MANILA - Tidak seperti keluarga diraja yang lain di dunia, hanya duduk di istana dan bergaya hidup pula mewah, kerajaan Sultan Jamalul Kiram III hanya mampu tinggal di rumah uzur dua tingkat dalam komuniti rakyat miskin Islam di Metro Manila.


“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.

Pengikut Sultan Sulu ini telah mencetuskan krisis keselamatan terbesar di Malaysia kerana menghantar kira-kira 200 pengikutnya dan sebahagian mereka bersenjata yang diketuai oleh adik beliau sendiri ke Lahad Datu.

Mereka mencetuskan konflik di Malaysia kerana mahu menuntut semula kononnya kawasan itu merupakan hak milik mereka.

Operasi yang dikenali sebagai Op Daulat itu berlarutan lebih seminggu tetapi sehingga kini pengikut Jamalul masih berdegil dan enggan berundur.

Jamalul mendakwa yang Sabah ialah milik Kesultanan Sulu satu masa dahulu dan ia hanya dipajak kepada Malaysia dan mereka membayar sewa tahunan sebanyak AS$1,708 atau lebih RM5,000.

Jamalul yang menghadapi masalah kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung juga dengan bangganya menceritakan empayarnya berpangkalan di kepulauan Sulu, selatan Filipina.

“Filipina kemudian dipajak Sabah kepada syarikat British dan pada tahun 1963, Sabah mengambil keputusan untuk menyertai Malaysia,” katanya.

Beliau menambah ketika waktu muda, Jamalul sering mengembara ke Sabah.

“Negeri itu sangat kaya dan setiap kali saya ke sana, saya berasa seperti berada di kampung halaman saya sendiri,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih 800,00 rakyat Filipina menetap di Sabah untuk bekerja sejak bertahun-tahun dahulu.



Sinar Harian

Friday, 8 March 2013

SABAH TERKINI : RAJA MUDA SULU MATI DITEMBAK


"Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini (semalam) pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

SATU mayat pengganas Sulu ditemui diletakkan atas karpet selepas dipercayai mati dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu kelmarin.


Raja Muda Sulu mati ditembak


LAHAD DATU - Saki-baki kumpulan pengganas Sultan Sulu diyakini berada dalam keadaan lemah ekoran Jeneral Raja Muda Azzumuddie Kiram yang mengetuai pencerobohan di Sabah terbunuh bersama 31 anggotanya dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu di sini.
Sehingga semalam, jumlah musuh yang terbunuh sejak pertempuran bermula pada 1 Mac lalu seramai 52 orang. Bagi pihak pasukan keselamatan pula seramai lapan pejuang negara gugur.
Bagaimanapun, dalam pertempuran terbaharu kelmarin dan semalam, tiada kematian atau kecederaan dialami pihak pasukan keselamatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, 31 daripada pengganas termasuk seorang ketua puak musuh yang berpangkat Jeneral maut dalam pertempuran yang berlaku di Kampung Tanjung Batu petang kelmarin.
Seorang lagi pengganas berjaya ditembak mati pasukan keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada pukul 11 pagi semalam.
"Sejak petang semalam (kelmarin) hingga pukul 11 pagi ini (semalam) pasukan keselamatan terlibat dalam beberapa pertempuran di Kampung Tanjung Batu dan sekitar Kampung Tanduo," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Ismail bagaimanapun enggan mengesahkan status seorang Jeneral yang terbunuh ialah Azzumuddie yang merupakan adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III.
"Setakat ini kita belum dapat mengesahkan identiti Jeneral yang terbunuh berikutan keadaan yang berisiko dan membahayakan anggota keselamatan bagi mengeluarkan mayat-mayat pengganas yang terbunuh," kata beliau.



Kosmo

Tuesday, 5 March 2013

SABAH TERKINI : PENYOKONG PENGGANAS GODAM ENJIN CARIAN GOOGLE MENGENAI SABAH

Penggodam itu menyiarkan maklumat bahawa Sabah bukan negeri yang sah di Malaysia.  Hasil keputusan carian enjin itu juga memaparkan keratan kenyataan tersebut yang diambil daripada petikan di laman web Wikipedia.


PENGGODAM menyiarkan maklumat tentang Sabah yang bukan merupakan negeri yang sah milik Malaysia di enjin carian Google semalam.


Enjin carian Google mengenai Sabah digodam penyokong pengganas




KUALA LUMPUR - Para penyokong kumpulan pengganas Sultan Sulu yang menceroboh Sabah baru-baru ini telah menggodam enjin carian Google.

Penggodam itu menyiarkan maklumat bahawa Sabah bukan negeri yang sah di Malaysia.
Hasil keputusan carian enjin itu juga memaparkan keratan kenyataan tersebut yang diambil daripada petikan di laman web Wikipedia.
"Sabah merupakan salah sebuah daripada 13 negeri di Malaysia dan ia dikuasai secara haram," kata kenyataan tersebut dalam bahasa Inggeris.
Selain itu, sebuah laman web Kolej Stamford di Malaysia turut digodam pada hujung minggu lalu apabila muka hadapan laman tersebut diganti dengan mesej yang menyatakan: "Masanya telah tiba untuk menuntut kembali apa yang sebenarnya menjadi hak kami."
Beberapa laman berita portal Filipina mendakwa sejumlah laman web di negara tersebut telah diserang oleh para penggodam pro-Malaysia.
Sebelum itu, masyarakat Malaysia telah dikejutkan dengan serangan kumpulan pengganas yang mendakwa mereka Tentera Kesultanan Sulu.
Kira-kira 100 sehingga 300 orang pengganas tersebut mendarat di perairan Sabah pada 12 Februari lalu.
Pasukan keselamatan Malaysia berjaya membunuh sejumlah anggota penceroboh tersebut.
Bagaimanapun, beberapa anggota polis Malaysia turut terbunuh dalam insiden tembakan yang berlaku melibatkan kedua-dua pihak.
Pencerobohan itu diketuai oleh Raja Muda Agbimuddin Kiram yang merupakan adik Sultan Jamalul Kiram III yang mendakwa sebagai Sultan Sulu. - Agensi



Kosmo

SABAH TERKINI : BALU SULTAN SULU DAKWA CEROBOH SABAH HANYA DRAMA

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.


Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama
Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam. - Foto ihsan The Philippine Star

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah 
hanya drama


MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.

“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sinar Harian

Saturday, 2 March 2013

LAHAD DATU : KRONOLOGI PENCEROBOHAN ASKAR DIRAJA KESULTANAN SULU

Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.



Lahad Datu



- Kronologi pencerobohan di Lahad Datu -


BERIKUT adalah kronologi pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina:

   
9 Feb - Kumpulan penceroboh memasuki perairan negara menggunakan bot pancung dan berkumpul secara berperingkat di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

11 Feb - Sebahagian daripada anggota kumpulan itu dikesan sekumpulan nelayan tempatan pada waktu malam dan nelayan tersebut membuat laporan polis mengenai lebih 100 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata api berkampung di Kampung Tandou.
   
12 Feb - Kumpulan itu dikenal pasti berpecah di beberapa lokasi di kampung itu iaitu di kawasan sungai bakau kampung itu, sebuah surau di kampung itu dan rumah Ahmad Malandi atau dikenali Mad bon.

14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan tersebut sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan itu.
   
14 Feb - Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata polis telah mengenal pasti kumpulan warga Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari Selatan Filipina. Ismail berkata kumpulan terbabit menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu dan mereka tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu dihantar pulang ke negara asal.

14 Feb - Laporan memetik salah seorang anggota tentera Filipina yang merupakan pengikut setia Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram sebagai berkata kedatangan kumpulan tersebut selepas mendapat jemputan pihak pembangkang untuk membincangkan isu tanah di Sabah.
       
16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kumpulan tersebut bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah terkawal. Kumpulan itu yang mahu dikenali sebagai 'Askar Diraja Kesultanan Sulu' antara lain menuntut Sabah dikembalikan ke wilayah kesultanan Sulu, kerana sebelum ia diambil British ia di bawah kerajaan Sulu.
     
18 Feb - Hishammuddin berkata, kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan secara diplomasi tanpa sebarang pertumpahan darah.
   
24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Februari lalu.
   
26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan terhadap kumpulan penceroboh itu.
   
28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu. Gesaan tersebut disuarakan adik bongsu Jamalul, Agbimuddin Kiram yang menegaskan hanya abangnya boleh mengarahkan kira-kira 180 'tentera diraja' meninggalkan Felda Sahabat 17, Lahad Datu.
   
1 Mac - Pertempuran tercetus antara pasukan keselamatan dan sekumpulan kecil kumpulan penceroboh ketika kumpulan terbabit cuba keluar daripada kepungan polis di Kampung Tanduo, menyebabkan dua anggota pasukan keselamatan terkorban serta tiga lagi cedera. Dua belas penceroboh bersenjata terbunuh.




Sinar Harian