Pages

Showing posts with label Askar Diraja Kesultanan Sulu. Show all posts
Showing posts with label Askar Diraja Kesultanan Sulu. Show all posts

Sunday, 24 March 2013

SAH! DATU AMIR BAHAR KIRAM PANGLIMA TENTERA SULU DITAHAN

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Februari lepas.


KHALID ABU BAKAR
KHALID ABU BAKAR

Polis: Panglima tentera ditahan sah 
Amir Bahar Kiram


LAHAD DATU - Pasukan keselamatan hari ini mengesahkan panglima tentera Sulu yang ditangkap di Semporna semalam ialah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata lelaki berusia lewat 40-an yang juga menteri pertahanan Sulu itu bertindak sebagai panglima yang memberi arahan sejak pencerobohan di Lahad Datu 12 Februari lepas.
"Dia kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Semalam, pasukan keselamatan menahan seorang pemerintah kumpulan penceroboh itu bersama isterinya di sebuah kawasan paya pada pukul 1.30 pagi.
Mengenai penduduk Kampung Tanduo yang dipindahkan, Khalid berkata pihaknya telah mencapai persetujuan bersama ketua-ketua keluarga dan ketua kampung itu untuk membawa mereka masuk ke kampung berkenaan Selasa ini.
Langkah itu adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara dan mereka akan diiringi pegawai daripada Pejabat Daerah Lahad Datu dan pasukan keselamatan.
Mengenai statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata sehingga kini 416 individu ditangkap dan daripada jumlah itu 110 orang ditahan mengikut Sosma.     Dua tangkapan terbaharu Sosma itu ialah panglima tentera Sulu terbabit dan isterinya.
Sementara itu, Zulkifeli berkata kawasan Kampung Tanduo kini bersih sepenuhnya daripada ancaman pengganas dengan bilangan pasukan keselamatan yang ditugaskan di kampung itu turut dikecilkan.
Mengenai Operasi Daulat, beliau berkata operasi itu masih diteruskan.
"Kini, fokus utama Operasi Daulat ialah meneruskan pembersihan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan yakin ia mampu diselesaikan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama

Sinar Harian

Friday, 22 March 2013

SABAH TERKINI : PENGGANAS MENGAKU DIUPAH


“Saya diminta oleh seseorang dan dibayar. Saya bodoh melakukan perkara ini,” kata Holland Kalbi dalam bahasa Bajau Filipina kepada jurubahasa ketika prosiding memindahkan kes terhadapnya di Mahkamah Tinggi Tawau.


Pengganas mengaku diupah
ANGGOTA polis mengawal rapi ketika pendakwaan kes di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam. - Foto NSTP/Mohd Radzi Bujang

Pengganas mengaku diupah


8 tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau dengan kawalan ketat

Tawau: Seorang rakyat Filipina memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam dia dibayar untuk menyertai kumpulan pengganas menceroboh Lahad Datu pada awal Februari lalu.

“Saya diminta oleh seseorang dan dibayar. Saya bodoh melakukan perkara ini,” kata Holland Kalbi dalam bahasa Bajau Filipina kepada jurubahasa ketika prosiding memindahkan kes terhadapnya di Mahkamah Tinggi Tawau. 


Mohon ikat jamin 

Holland yang dipakaikan jaket keselamatan khas berwarna putih dengan tangan bergari, menyatakan demikian ketika memohon dibebaskan dengan jaminan.

Dia dan lima lagi tertuduh, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Lin Mad Salleh, Atik Hussin Abu Bakar dan Basad H Manuel, didakwa menjadi anggota pengganas di Kampung Tanjung Labian, Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanduo, dalam daerah Lahad Datu, antara 9 Februari dan 4 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Atik Hussin dan Basad juga masing-masing didakwa dengan satu lagi pertuduhan, iaitu melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Kampung Tanjung Labian dan di Kampung Tanduo, antara 9 Februari dan 3 Mac lalu. 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Penjara seumur hidup

Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, pula didakwa cuba melindungi sekumpulan orang yang mereka mempunyai sebab untuk mempercayai adalah anggota kumpulan pengganas di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanjung Labian, pada jam 4.30 petang, 4 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Kadir dan Lating didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Holland yang mengangguk tanda memahami pertuduhan kemudian diberitahu dia tidak boleh dilepaskan dengan jaminan kerana tuduhan itu termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Hakim P Ravinthran kemudian menjelaskan pada peringkat ini, tertuduh tidak perlu memberi penjelasan sehingga dia diwakili peguam dan kesnya didengar oleh mahkamah.

Ketika prosiding Atik Hussin menyoal jurubahasa apakah hukuman terhadap dia dan rakan tertuduh lain.

Tertuduh kemudian diberitahu dia berdepan hukuman gantung atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan tetapi mahkamah tidak akan mengambil pengakuannya kerana belum diwakili peguam.

Sementara itu, Habil memberitahu jurubahasa dalam bahasa Suluk: “Saya tidak melakukan semua itu, saya datang ke negara ini pada 6 Februari”.

Timhar turut memberitahu jurubahasa dia datang ke negara ini pada 6 Februari menggunakan pasport antarabangsa.

Prosiding berlangsung selama hampir sejam bermula pada jam 9.10 pagi dengan setiap tertuduh dibawa masuk seorang demi seorang (kecuali Kadir dan Lating) ke dalam kandang tertuduh di bawah pengawalan ketat empat anggota polis sebelum pertuduhan dibacakan.


Hubungi Kedutaan Filipina

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang memulakan prosiding memberitahu mahkamah tertuduh dipakaikan jaket khas dan bergari sebagai langkah keselamatan.

Ravinthran bertanya kepada Abdul Gani sama ada pihak pendakwaan akan terus mengambil pengakuan semua tertuduh atau menunggu sehingga peguam dilantik, memandangkan kesalahan membawa hukuman berat.

Abdul Gani berkata, pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat menyediakan peguam atas faktor keselamatan dan percaya semua pihak perlu menunggu sehingga tertuduh diwakili peguam.

“Saya percaya atas dasar hak asasi, mereka sepatutnya diwakili peguam. Saya sudah menghubungi Persatuan Peguam Sabah (SLA) bagaimana untuk menolong tertuduh melantik peguam.

“Atas tanggungjawab sebagai anggota negara ASEAN, saya juga akan menghubungi pihak Kedutaan Filipina,” katanya.

Ravinthran kemudian mengarahkan jurubahahasa menjelaskan kepada setiap tertuduh oleh kerana mereka belum diwakili peguam, mahkamah hanya merekodkan pertuduhan tanpa mengambil pengakuan mereka.

Jurubahasa turut diarahkan menjelaskan kepada tertuduh yang menghadapi hukuman gantung bahawa mahkamah akan melantik peguam jika mereka atau pihak kedutaan tidak menyediakan peguam.

Selepas pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh, Ravinthran menetapkan 12 April depan bagi sebutan kes untuk membolehkan mereka melantik peguam.

Pendakwaan turut diwakili Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Nordin Hassan serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.


Berita Harian

Wednesday, 13 March 2013

MEDIA FILIPINA LAPOR PASUKAN KESELAMATAN MALAYSIA KEJAM

Inquirer.net turut memuatkan Amira menyebut sebahagian lelaki yang ditahan, walaupun sudah menunjukkan dokumen imigresen, tetap ditembak mati.


Tuduhan media Filipina berat
Laporan Inquirer.net, baru-baru ini.


Tuduhan media Filipina berat


LAPORAN media Filipina terutamanya Inquirer.net yang mendakwa pasukan keselamatan Malaysia terutamanya polis bertindak kejam terhadap rakyat Filipina di Sabah adalah satu tuduhan yang amat berat dan menjejaskan imej negara.
Dalam laporan itu, beberapa individu ditemubual wartawan Inquirer.net mendakwa pasukan polis ketika melakukan operasi mengesan militan Sulu di kawasan perkampungan di Sandakan bertindak ganas dengan mengarahkan lelaki Filipina berlari sebelum menembak mati mereka.

Malah laporan bertarikh 10 Mac dengan tajuk We’re treated like animals (Kami dilayan seperti binatang) itu jelas berniat jahat kerana hanya mengambil testimoni dari beberapa individu, tanpa kenyataan rasmi pejabat kedutaan Malaysia di Manila.

Laporan itu menyebut seorang wanita, Amira Taradji, 32, Jumaat lalu, melalui detik-detik hitam dalam hidupnya kerana mendakwa adiknya, Jumadil ditembak mati oleh polis.

Inquirer.net turut memuatkan Amira menyebut sebahagian lelaki yang ditahan, walaupun sudah menunjukkan dokumen imigresen, tetap ditembak mati.

Lebih teruk lagi, wanita ini turut mendakwa warga Filipina di pusat tahanan tidak diberikan makanan dan ada antara mereka mati kebuluran.

Memberi respons kepada laporan media Filipina ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, laporan itu tidak benar, dan menegaskan ia boleh mengeruhkan hubungan kedua-dua negara.

Katanya, tiada laporan daripada mana-mana pihak di Sabah mengadu pasukan keselamatan bertindak kejam kepada pendatang Filipina.

Selain itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib turut menafikan laporan media Filipina itu.

Beliau juga menafikan dakwaan warga Filipina dibunuh di Sandakan, selain dari kumpulan yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia di Lahad Datu dan Semporna.

Ekoran laporan media Filipina ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor menyarankan kerajaan Malaysia mengambil tindakan undang-undang kerana tuduhan itu jelas satu fitnah dan tidak berasas.


Sinar Harian

TUN MAHATHIR KUTUK KEKEJAMAN PENGGANAS SULU

Dr Mahathir berpendapat kerajaan Malaysia juga wajar menimbangkan untuk mengurang atau melupuskan pemberian wang saguhati RM5,300 setahun kepada waris Sultan Sulu kerana tindakan menceroboh Sabah.



Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad


Tun Mahathir kutuk kekejaman pengganas Sulu


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuk perbuatan kejam pengganas Sulu yang disifatkan sebagai tindakan di luar batas kemanusiaan dan agama Islam.
   
Katanya kerajaan dan rakyat Malaysia sudah lama memberi layanan baik kepada orang Sulu memandangkan ramai di kalangan mereka sudah lama tinggal di Sabah dan menjadi maju sebagai rakyat Malaysia.
   
Dr Mahathir berpendapat kerajaan Malaysia juga wajar menimbangkan untuk mengurang atau melupuskan pemberian wang saguhati RM5,300 setahun kepada waris Sultan Sulu kerana tindakan menceroboh Sabah.
   
Kerajaan Malaysia selama ini hanya meneruskan janji yang dibuat oleh penjajah dengan kesultanan Sulu lama, katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Konvensyen Usahawan Tani 1Malaysia di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
   
Katanya Sabah kini telah maju dan kerajaan Malaysialah yang melaksanakan pemodenan Sabah.
 
Turut hadir ialah Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M. Kayveas.
   
Dr Mahathir juga menyambut baik langkah kerajaan menaikkan gaji polis dan tentera selaras dengan penjawat awam lain sebagai menghargai jasa mereka.
   
Katanya apa yang berlaku di Sabah membuatkan kerajaan menilai semula peranan yang dilaksanakan pasukan keselamatan. - Bernama



Sinar Harian




SABAH TERKINI : PENGGANAS BERSENJATA CARI PEMBOCOR RAHSIA

"Penceroboh juga mengacukan parang di lehernya selepas mengetahui dia adalah anak kepada individu yang mendedahkan pergerakan mereka kepada polis," katanya.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh

Sabah diceroboh: Militan bersenjata cari pembocor rahsia



LAHAD DATU - Kumpulan pengganas bersenjata Sulu dipercayai mencari seorang lelaki tempatan iaitu individu pertama yang membuat laporan polis, mendedahkan kehadiran mereka pada 9 Februari lalu di Kampung Tanduo.

Perkara itu didedahkan anak saudara lelaki berkenaan, Rano Julasi, 34, ketika ditemui di pusat perpindahan sementara Dewan Amara Budi, Felda Sahabat 17 di sini, semalam.

Menurut Rano, cerita itu dimaklumkan oleh sepupunya yang dapat melarikan diri selepas Kampung Tanjung Batu, 7 kilometer (km) dari Kampung Tanduo, ditawan penceroboh, 3 Mac lalu.

Rano berkata, sepupunya itu dapat melarikan diri selepas dipaksa keluar ke pekan membeli beras.

"Dia tidak pulang selepas diarahkan membeli beras. Dia berasa takut kerana penceroboh mencari bapanya untuk membalas dendam.

"Penceroboh juga mengacukan parang di lehernya selepas mengetahui dia adalah anak kepada individu yang mendedahkan pergerakan mereka kepada polis," katanya.

Katanya, bagaimanapun penceroboh tidak dapat mengesan bapa saudaranya kerana sewaktu kejadian lelaki itu keluar ke bandar.

Dalam pada itu, ketika ditanya keadaan selepas mengetahui penceroboh berada di Kampung Tanjung Batu, Rano berkata, dia bersama isteri dan tiga anak terus lari menyelamatkan diri.

"Kami keluar dari kampung Tanjung Labian sehelai sepinggang. Saya berasa takut kerana Kampung Tanjung Batu hanya sejauh 3 km dari rumah," katanya.

Rano berkata, dia bersyukur dapat menyelamatkan diri dan turut bersimpati dengan penduduk yang terperangkap di kampung berkenaan hampir seminggu.



Sinar Harian

Tuesday, 12 March 2013

SABAH TERKINI : SEORANG LAGI TENTERA KITA TERKORBAN


Berikutan kejadian ini, jumlah anggota keselamatan negara kita yang terkorban meningkat menjadikan semuanya sembilan orang.

Seorang Tentera Kita Terkorban 12 mac 2013
Ops Daulat



Ops Daulat 12 Mac 2013 | Seorang Tentera 

Kita Terkorban



Pertempuran kembali berlaku diantara anggota tentera dan penceroboh di Sungai Nyamuk hingga menyaksikan seorang anggota tentera kita terkorban. Penceroboh yang dilihat sama sekali tidak mahu menyerah diri dalam situasi ini, telah berbalas-balas tembakan yang berlaku kira-kira pukul 10.45 pagi Selasa.
Menurut laporan dalam portal Mstar Online, Perkara itu disahkan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika sidang media pada petang Selasa.
Berikutan kejadian ini, jumlah anggota keselamatan negara kita yang terkorban meningkat menjadikan semuanya sembilan orang.
Perincian penuh mengenai perkara ini masih belum dijelaskan. Kemungkinan dalam berita TV3 malam ini kita akan mengetahui apa yang terjadi pada operasi di Sungai Nyamuk.

Monday, 11 March 2013

SABAH TERKINI : 1 DARIPADA 18 MAYAT PENGGANAS DIPERCAYAI KOMANDER MUSA

Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh

Forensik: Satu daripada 18 mayat pengganas dipercayai Komander Musa


LAHAD DATU - Satu daripada 18 mayat penceroboh militan yang dihantar ke Hospital Lahad Datu malam tadi, dipercayai ketua kumpulan itu berpangkat jeneral yang dikenali sebagai Komander Musa.
   
"Satu mayat itu macam rupa Komander Musa," kata Ketua Forensik Operasi Daulat ASP Hussien Omar Khan.
   
Beliau berkata mayat yang dibawa keluar dari Kampung Tanjung Batu di Felda Sahabat, kira-kira 130km dari sini, telah reput dan proses bedah siasat akan dibuat pakar patologi dari Hospital Pulau Pinang.
   
Musa, yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu dikatakan melarikan diri dari Kampung Tanduo dan memasuki Kampung Tanjung Batu sebelum terbunuh dalam pertempuran yang turut menyaksikan 31 pengganas Sulu maut.
   
Ketua Polis Daerah Supt Shamsudin Mat berkata sembahyang jenazah akan diadakan untuk pengganas yang terbunuh pada satu tarikh yang akan ditetapkan.
   
"Kita sebagai umat Islam mempunyai tanggungjawab kepada saudara sesama Islam, biarpun mereka adalah musuh kita. Kita juga mendoakan roh mereka dicucuri rahmat," katanya, tanpa menyatakan lokasi pengganas itu akan dikebumi.  - Bernama




Sinar Harian

Saturday, 9 March 2013

SABAH TERKINI : TIADA TANDA PENGGANAS MAHU LETAK SENJATA API

"Selepas insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu (kira-kira 15 kilometer dari Felda Sahabat 16) pada 11.30 pagi semalam yang menumpaskan 31 penceroboh, tiada tanda mereka mahu letak senjata api," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km, dari pekan Lahad Datu, hari ini.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh

IGP: Tiada tanda pengganas Sulu mahu letak senjata api


KUALA LUMPUR - Tiada insiden tembakan dilaporkan berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu, dalam tempoh 24 jam lalu selepas empat hari pasukan keselamatan negara melancarkan gerakan ofensif terhadap penceroboh
militan Sulu di bumi Sabah.

Malah, pimpinan tertinggi polis dan tentera sempat menunaikan solat Jumaat dan solat sunat hajat bersama kira-kira 200 jemaah di Masjid Al-Hudah, Felda Sahabat 16, di Lahad Datu.
Kawasan Felda Sahabat 16 adalah markas operasi pasukan keselamatan pada Op Daulat dan terletak kira-kira 20km dari Kampung Tanduo yang menjadi kubu penceroboh militan sejak 12 Februari lepas.
Gerakan Op Daulat masuk hari keempat hari ini dengan helikopter digunakan untuk menghantar anggota keselamatan ke lokasi sekitar bagi operasi menggeledah manakala jet-jet pejuang berlegar di udara membuat tinjauan.
Walaupun tiada tanda-tanda kumpulan itu akan meletak senjata tanpa syarat oleh saki baki kumpulan itu dan dan pasukan keselamatan masih meneruskan operasi susulan, suasana di Lahad Datu mula kembali normal dengan orang ramai mula menjalani rutin harian mereka.
"Selepas insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu (kira-kira 15 kilometer dari Felda Sahabat 16) pada 11.30 pagi semalam yang menumpaskan 31 penceroboh, tiada tanda mereka mahu letak senjata api," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km, dari pekan Lahad Datu, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meninjau markas 'Op Daulat' di Felda Sahabat, berkata Malaysia menolak sebarang tawaran gencatan senjata dan menegaskan satu-satunya pilihan bagi penceroboh itu ialah menletak senjata dan serah diri tanpa bersyarat.
Sepanjang operasi pasukan keselamatan sejak 1 Feb, polis menahan 79 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian pencerobohan itu.
Ismail berkata lebih 50 orang itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) yang baru dikuatkuasa tahun lepas.
"Mereka ditahan mengikut akta baru itu dan dibaca bersama (beberapa seksyen) Kanun Keseksaan," katanya.
Najib, yang turut mengumumkan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Sabah merangkumi Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu juga dilihat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka di kawasan pantai timur Sabah itu.
Selasa lepas, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan krisis pencerobohan kumpulan militan selatan Filipina yang mendakwa sebagai Askar Kesultanan Sulu.
Setakat ini 52 militan disahkan terbunuh.
Insiden itu turut mengorbankan lapan anggota polis iaitu dua dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac dan enam lagi dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada hari berikutnya.


Sinar Harian

SAYA SULTAN PALING MISKIN DI DUNIA - JAMALUL KIRAM

“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.



Jamalul Kiram III
Jamalul Kiram III mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh pengikutnya di Taguig, selatan Manila baru-baru ini. - Foto ihsan philstar.com/Nation


Jamalul Kiram: 'Saya sultan paling miskin 
di dunia'


MANILA - Tidak seperti keluarga diraja yang lain di dunia, hanya duduk di istana dan bergaya hidup pula mewah, kerajaan Sultan Jamalul Kiram III hanya mampu tinggal di rumah uzur dua tingkat dalam komuniti rakyat miskin Islam di Metro Manila.


“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.

Pengikut Sultan Sulu ini telah mencetuskan krisis keselamatan terbesar di Malaysia kerana menghantar kira-kira 200 pengikutnya dan sebahagian mereka bersenjata yang diketuai oleh adik beliau sendiri ke Lahad Datu.

Mereka mencetuskan konflik di Malaysia kerana mahu menuntut semula kononnya kawasan itu merupakan hak milik mereka.

Operasi yang dikenali sebagai Op Daulat itu berlarutan lebih seminggu tetapi sehingga kini pengikut Jamalul masih berdegil dan enggan berundur.

Jamalul mendakwa yang Sabah ialah milik Kesultanan Sulu satu masa dahulu dan ia hanya dipajak kepada Malaysia dan mereka membayar sewa tahunan sebanyak AS$1,708 atau lebih RM5,000.

Jamalul yang menghadapi masalah kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung juga dengan bangganya menceritakan empayarnya berpangkalan di kepulauan Sulu, selatan Filipina.

“Filipina kemudian dipajak Sabah kepada syarikat British dan pada tahun 1963, Sabah mengambil keputusan untuk menyertai Malaysia,” katanya.

Beliau menambah ketika waktu muda, Jamalul sering mengembara ke Sabah.

“Negeri itu sangat kaya dan setiap kali saya ke sana, saya berasa seperti berada di kampung halaman saya sendiri,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih 800,00 rakyat Filipina menetap di Sabah untuk bekerja sejak bertahun-tahun dahulu.



Sinar Harian

Tuesday, 5 March 2013

SABAH TERKINI : BALU SULTAN SULU DAKWA CEROBOH SABAH HANYA DRAMA

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.


Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama
Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam. - Foto ihsan The Philippine Star

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah 
hanya drama


MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.

“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sinar Harian

Monday, 4 March 2013

SEMPORNA TERKINI : SULTAN SULU MAHU BERBINCANG


"Sebarang rundingan masih belum terlewat kerana segala-galanya masih terbuka. Pintu rundingan masih berbuka," kata Kiram kepada para wartawan di rumahnya di Bandar Taguig.

SULTAN JAMALUL KIRAM III (kanan) duduk di dalam rumahnya di Taguig, selatan Manila semalam.



- Sultan Sulu mahu berunding -

MANILA, Filipina - Seorang ketua suku kaum Sulu berdarah raja dan beragama Islam yang mendakwa sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III semalam berkata, beliau masih terbuka untuk berbincang dengan pemerintah Filipina walaupun masih berdiri teguh dengan pendirian menolak untuk memberi arahan supaya penyokongnya di Lahad Datu, Sabah keluar tanpa sebarang syarat, lapor portal berita Daily Inquirer semalam.
Namun, sehingga tengah hari semalam, tiada sebarang utusan daripada pentadbiran Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang menghubunginya.
"Sebarang rundingan masih belum terlewat kerana segala-galanya masih terbuka. Pintu rundingan masih berbuka," kata Kiram kepada para wartawan di rumahnya di Bandar Taguig.
Aquino telah menuntut supaya sekumpulan rakyat Filipina di Sabah yang diketuai adik Kiram, Raja Muda Agbimuddin Kiram menyerah diri tanpa syarat.
Tuntutan itu dibuat selepas keadaan di Lahad Datu, Sabah bertambah tegang.
Sementara itu, Jurucakap Kiram, Abraham Idjirani dalam satu wawancara di sebuah stesen radio berkata, mereka cuba menelefon Agbimuddin tetapi telefonnya hanya berdering sekali.
"Kira-kira pukul 5 pagi kami cuba menelefon beliau (Agbimuddin) tetapi tidak berjawab," kata Idjirani dalam wawancara di stesen radio dzBB semalam.
Sebelum ini, Idjirani pernah berkata, raja muda itu telah berpindah ke lokasi lain untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Jika konfrontasi ini berakhir, ia bermakna sama ada raja muda dan pengikut-pengikutnya dibunuh atau ditangkap," ujarnya ketika itu.
Kumpulan bersenjata itu menyeludup masuk ke Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak bulan lalu.
Kesultanan Islam Sulu memajak Borneo Utara (Sabah) kepada kuasa Eropah pada tahun 1870-an.
Selepas kekuasaan kesultanan itu beransur pudar ekoran kemasukan kuasa Barat di rantau berkenaan, ia masih menerima bayaran pajakan untuk Sabah.
Sabah yang merupakan bekas koloni British menjadi sebahagian Persekutuan Malaysia pada 1963.
Berdasarkan perjanjian pajakan tersebut, Kesultanan Sulu diberikan pampasan tahunan berjumlah sekitar AS$1,700 (RM5,264) menurut nilai semasa.
Pada 26 Februari lalu, Aquino meminta Kiram mengarahkan pengikutnya itu berundur dari bumi Malaysia secepat mungkin.
Beliau memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil ke atas Kiram jika para pengikutnya tidak keluar dari Lahad Datu. - Agensi



Kosmo

Sunday, 3 March 2013

SABAH TERKINI : 6 POLIS MAUT, 6 PENCEROBOH TERBUNUH

Pada sidang media kira-kira 9 malam tadi di Felda Sahabat, Kampung Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu dihantar ke Hospital Semporna. 



Tan Sri Ismail Omar
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar



Terkini: 6 polis maut, 6 anggota kumpulan bersenjata terbunuh


LAHAD DATU - Seorang lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam, menjadikan jumlah terkini anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut kepada enam orang.


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, enam anggota kumpulan bersenjata itu juga terbunuh dalam kejadian pukul 8 malam di perkampungan atas
air itu.



Dalam operasi 'menyelamat' yang dilancarkan hari ini dan berakhir kira-kira 7 malam, Ismail berkata, polis turut berjaya mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari Kampung Sri Jaya Simunul itu.



Pada sidang media kira-kira 9 malam tadi di Felda Sahabat, Kampung Tanduo di sini, Ismail berkata enam mayat anggota polis yang terkorban itu dihantar ke Hospital Semporna.



"Identiti mangsa akan dimaklumkan kepada anggota keluarga terlebih dahulu sebelum dipaparkan di laman web rasmi PDRM," katanya.



Pada sidang media terdahulu hari ini, Ismail mengumumkan lima anggota polis terkorban dalam insiden itu manakala dua anggota kumpulan itu terbunuh.



Pada sidang media sebelum ini, beliau berkata kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di
kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu.



Ismail juga memberitahu sidang media terdahulu itu bahawa anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.



Pada sidang media malam ini, Ismail menafikan terdapat insiden anggota polis yang didakwa menjadi tebusan kumpulan bersenjata itu dipenggal kepalanya.



"Itu hanya khabar angin dan saya minta orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin," katanya.



Beliau memaklumkan keadaan di kampung berkenaan kini kembali seperti biasa. - Bernama



Sinar Harian

SABAH TERKINI : PENDUDUK PUKUL PENCEROBOH HINGGA MATI

Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.


Kronologi Lahad Datu
Perkembangan pencerobohan di Lahad Datu


Baca ini juga : Kronologi Pencerobohan Askar Diraja Kesultanan Sulu  dan ini  Sultan Sulu Tidak Diiktiraf


Penduduk pukul penceroboh bersenjata M16 hingga mati di Semporna


SEMPORNA - Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.

Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.

Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.

Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang menembak polis malam tadi".

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.

Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.

Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.

Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit.    Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal. - Bernama


Sinar Harian

SABAH TERKINI : PENGIKUT SULTAN SULU ENGGAN SERAH DIRI

"Selepas mengebumikan saudara kami sembilan orang dan seorang saudara perempuan kami, setiap 224 daripada kami telah memutuskan untuk mati di Lahad Datu dalam usaha mencapai impian dan aspirasi kami," kata beliau dalam mesejnya.



eroboh Sabah: Pengikut Sultan Sulu enggan serah diri
Sultan Sulu, Jamalul Kiram dan pengikutnya tidak mahu berganjak dari Lahad Datu.

Baca ini juga : Kronologi Pencerobohan Askar Diraja Kesultanan Sulu  dan ini  Sultan Sulu Tidak Diiktiraf


Ceroboh Sabah: Pengikut Sultan Sulu enggan serah diri


MANILA - Raja Muda Agbimuddin Kiram berkata, beliau dan 224 pengikutnya yang masih berkubu di Lahad Datu tidak akan meninggalkan Sabah meskipun pihak berkuasa Malaysia dan Kerajaan Filipina berulang kali menggesa mereka menyerah diri.

Dipetik portal Inquirer, Agbimuddin telah memaklumkan pendirian itu dalam mesej yang dihantar kepada abangnya, Sultan Jamalul Kiram III kira-kira jam 5 pagi semalam.

"Selepas mengebumikan saudara kami sembilan orang dan seorang saudara perempuan kami, setiap 224 daripada kami telah memutuskan untuk mati di Lahad Datu dalam usaha mencapai impian dan aspirasi kami," kata beliau dalam mesejnya.

Semalam kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia dan Filipina merayu dan memberi amaran agar menyerah diri susulan insiden kelmarin.

Mereka berkubu sejak 9 Februari lalu.



Sinar Harian