Pages

Showing posts with label Salasilah Sultan Sulu. Show all posts
Showing posts with label Salasilah Sultan Sulu. Show all posts

Sunday, 10 March 2013

SEORANG LAGI MUNCUL DAKWA DIRINYA SULTAN SULU


Beberapa wakil Datuk Abinasser Sultan Badaruddin D. Mohammad Bataraza kelmarin mendakwa beliau ialah Sultan Sulu sebenar kerana berasal daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu, Jamalul Alam.


Jamalul Kiram III

Seorang lagi dakwa dirinya Sultan Sulu


MANILA, Filipina - Seorang lagi Sultan Sulu tampil dengan beberapa wakilnya menyatakan bahawa beliau merupakan pewaris takhta Kesultanan Sulu yang sebenar.
Beberapa wakil Datuk Abinasser Sultan Badaruddin D. Mohammad Bataraza kelmarin mendakwa beliau ialah Sultan Sulu sebenar kerana berasal daripada keturunan isteri pertama Sultan Sulu, Jamalul Alam.
Menurut dokumen yang ditunjukkan kepada laman berita Inquirer, wakil-wakil Badaruddin cuba menyakinkan Presiden Filipina, Benigno Aquino III supaya mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Sulu sejak 25 Julai 2012.
Pada 24 Oktober 2012, mereka turut menulis surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon untuk meminta bantuannya bagi tujuan yang sama.
Seorang bekas koresponden Inquirer yang menjadi jurucakap lelaki berusia 74 tahun itu Arturo Sampana berkata, Badaruddin ialah anak keempat daripada lima orang anak Puteri Aishah Almarhum dan Datuk Mohammad Bataraza.
Ibunya, Aishah merupakan anak perempuan Puteri Sharifah Zainab atau Puteri Indok iaitu isteri Sultan Sulu, Badaruddin II yang memerintah dari 1881 hingga 1884.
Katanya, Badaruddin II ialah pengganti Sultan Jamalul Alam. Apabila beliau meninggal dunia dipercayai akibat diracun, keluarganya termasuk Aishah keluar dari istana untuk menyembunyikan diri.
Jamalul Kiram II yang ibunya merupakan isteri kedua Sultan Jamalul Alam pula menggantikan Badaruddin II sebagai pemerintah Sulu seterusnya.
Sampana memberitahu, Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya Sultan Sulu berasal daripada keturunan isteri kedua Jamalul Alam.
"Menurut adat keluarga diraja Sulu, hak sebagai pewaris takhta terlebih dalu diberikan kepada keturunan isteri pertama sultan yang memerintah," kata Sampana.
Pada 12 Februari lalu, adik Kiram III, Raja Muda Azzimudie Kiram membawa sejumlah pengikut bersenjata memasuki Sabah untuk menuntut negeri di Malaysia Timur itu sebagai milik Kesultanan Sulu. - Agensi


Kosmo

Saturday, 9 March 2013

SAYA SULTAN PALING MISKIN DI DUNIA - JAMALUL KIRAM

“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.



Jamalul Kiram III
Jamalul Kiram III mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh pengikutnya di Taguig, selatan Manila baru-baru ini. - Foto ihsan philstar.com/Nation


Jamalul Kiram: 'Saya sultan paling miskin 
di dunia'


MANILA - Tidak seperti keluarga diraja yang lain di dunia, hanya duduk di istana dan bergaya hidup pula mewah, kerajaan Sultan Jamalul Kiram III hanya mampu tinggal di rumah uzur dua tingkat dalam komuniti rakyat miskin Islam di Metro Manila.


“Saya hanyalah seorang sultan yang paling miskin di dunia,” kata Jamalul kepada pemberita AP ketika ditemui di kediamannya di kampung Maharlika.

Pengikut Sultan Sulu ini telah mencetuskan krisis keselamatan terbesar di Malaysia kerana menghantar kira-kira 200 pengikutnya dan sebahagian mereka bersenjata yang diketuai oleh adik beliau sendiri ke Lahad Datu.

Mereka mencetuskan konflik di Malaysia kerana mahu menuntut semula kononnya kawasan itu merupakan hak milik mereka.

Operasi yang dikenali sebagai Op Daulat itu berlarutan lebih seminggu tetapi sehingga kini pengikut Jamalul masih berdegil dan enggan berundur.

Jamalul mendakwa yang Sabah ialah milik Kesultanan Sulu satu masa dahulu dan ia hanya dipajak kepada Malaysia dan mereka membayar sewa tahunan sebanyak AS$1,708 atau lebih RM5,000.

Jamalul yang menghadapi masalah kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung juga dengan bangganya menceritakan empayarnya berpangkalan di kepulauan Sulu, selatan Filipina.

“Filipina kemudian dipajak Sabah kepada syarikat British dan pada tahun 1963, Sabah mengambil keputusan untuk menyertai Malaysia,” katanya.

Beliau menambah ketika waktu muda, Jamalul sering mengembara ke Sabah.

“Negeri itu sangat kaya dan setiap kali saya ke sana, saya berasa seperti berada di kampung halaman saya sendiri,” ujarnya.

Sehingga kini, lebih 800,00 rakyat Filipina menetap di Sabah untuk bekerja sejak bertahun-tahun dahulu.



Sinar Harian

Thursday, 7 March 2013

SABAH TERKINI : TUNTUTAN SABAH TERBATAL / KESULTANAN SULU SUDAH TIADA

“Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).

eroboh Sabah: Pengikut Sultan Sulu enggan serah diri
Sultan Sulu, Jamalul Kiram dan pengikutnya tidak mahu berganjak dari Lahad Datu.


Kesultanan Sulu sudah tiada, tuntutan Sabah terbatal


KOTA KINABALU - Penyertaan Sabah dalam gagasan atau pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah ketika ini adalah terbatal.
"Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah.
"Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Justeru Dr Bilcher berkata, tindakan Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan pengganas.
Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati perjanjian "sewa mati 1787" yang tertulis pajakan kekal.
"Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah dalam perjanjian ‘selagi ada bulan dan bintang’)," katanya
Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung dalam Laporan Cobbold.
“Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).
"Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesultanan ulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.
“Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara yang membolehkan "ada hak" untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi individu itu telah memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri,” katanya.
Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di Malaysia.
"Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu atau pengganas,” katanya.
Di KUALA LUMPUR, semasa menjelaskan isu sama, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran AS$5,000 (RM15,500) setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan yang dikenali sebagai "cession".
Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari 1999 hingga 2008.
"Wang penghargaan atau cession berkenaan sama seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British," jelas beliau kepada Bernama.
Menegaskan Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata, waris keluarga itu tidak layak membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ).
"Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang melibatkan kerajaan yang sah. Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan," katanya.
Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina ketika itu iaitu Amerika.
Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ
pada tahun 2001.

"Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu. Bagaimanapun ICJ terus menolak campur tangan Filipina dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak ada asas. Ini
jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai hak ke atas negeri di bawah bayu itu," katanya.

Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia melaporkan
bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang penghargaan tersebut.
"Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga segala perjanjian itu sebab soal 'cession money' itu sangat penting," katanya.
Tambahnya, perjanjian itu menyatakan wang penghargaan akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi 'ada bulan dan bintang'.
"Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang, bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok perjanjian itu tetapi saya
tahu ada perjanjian.

"Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina.
"Kita (Malaysia) tidak termasuk, kita hanya anggap ia sebagai kaum Suluk sahaja," katanya. - Bernama

Sinar Harian

Tuesday, 5 March 2013

SABAH TERKINI : BALU SULTAN SULU DAKWA CEROBOH SABAH HANYA DRAMA

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.


Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama
Maryam Kiram (kiri) bercakap pada sidang media di Makati semalam. - Foto ihsan The Philippine Star

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah 
hanya drama


MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.

“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sinar Harian

Sunday, 3 March 2013

SABAH TERKINI : PENGIKUT SULTAN SULU ENGGAN SERAH DIRI

"Selepas mengebumikan saudara kami sembilan orang dan seorang saudara perempuan kami, setiap 224 daripada kami telah memutuskan untuk mati di Lahad Datu dalam usaha mencapai impian dan aspirasi kami," kata beliau dalam mesejnya.



eroboh Sabah: Pengikut Sultan Sulu enggan serah diri
Sultan Sulu, Jamalul Kiram dan pengikutnya tidak mahu berganjak dari Lahad Datu.

Baca ini juga : Kronologi Pencerobohan Askar Diraja Kesultanan Sulu  dan ini  Sultan Sulu Tidak Diiktiraf


Ceroboh Sabah: Pengikut Sultan Sulu enggan serah diri


MANILA - Raja Muda Agbimuddin Kiram berkata, beliau dan 224 pengikutnya yang masih berkubu di Lahad Datu tidak akan meninggalkan Sabah meskipun pihak berkuasa Malaysia dan Kerajaan Filipina berulang kali menggesa mereka menyerah diri.

Dipetik portal Inquirer, Agbimuddin telah memaklumkan pendirian itu dalam mesej yang dihantar kepada abangnya, Sultan Jamalul Kiram III kira-kira jam 5 pagi semalam.

"Selepas mengebumikan saudara kami sembilan orang dan seorang saudara perempuan kami, setiap 224 daripada kami telah memutuskan untuk mati di Lahad Datu dalam usaha mencapai impian dan aspirasi kami," kata beliau dalam mesejnya.

Semalam kedua-dua pemimpin tertinggi Malaysia dan Filipina merayu dan memberi amaran agar menyerah diri susulan insiden kelmarin.

Mereka berkubu sejak 9 Februari lalu.



Sinar Harian

SEMPORNA TERKINI : 5 LAGI POLIS TERKORBAN

Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


ceroboh Sabah
Seorang anggota Unit Komando melakukan rondaan di Kampung Tanduo hari ini. - Foto Bernama


Terkini :  



- 5 polis terkorban di Semporna -


LAHAD DATU - Seorang pegawai dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terkorban dalam serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, Sabah semalam.

   
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian di perkampungan atas air pada pukul 8 malam itu turut menyebabkan dua anggota kumpulan bersenjata terbabit terbunuh.
   
Kelima-lima anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna itu ditugas untuk menjalankan siasatan di kampung berkenaan berikutan polis mendapat maklumat mengenai sekumpulan lelaki bersenjata di kampung itu, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Salleh Mat Rashid.
   
Ismail berkata, anggota polis itu ditembak semasa menuju ke sebuah premis di kampung berkenaan dan mereka membalas tembakan untuk mempertahankan diri.



Saturday, 2 March 2013

SULTAN SULU, JAMALUL KIRAM III TIDAK DIIKTIRAF


Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan pada satu sidang akhbar di Istana Malacanang di sini, Presiden Benigno Aquino III menyatakan terdapat kesangsian dalam keturunan kesultanan tersebut.


GAMBAR pada 26 Februari lalu menunjukkan Jamalul Kiram III mendengar soalan pada sidang akhbar di Manila


- Sultan Sulu tidak diiktiraf -


MANILA - Kesahihan arahan pemimpin yang dikenali sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III menghantar pasukan 'tentera diraja' ke Sabah pada 12 Februari lalu dipertikai, menurut akhbar dalam talian ABN News.
Ia ekoran beberapa penyelidikan menunjukkan pemerintahannya sebagai Sultan Sulu tamat pada 1990.
Media asing dan beberapa sumber di internet sebaliknya menyatakan adiknya, Esmail Kiram II adalah Sultan Sulu yang sah.
Berusia 74 tahun, Kiram III mendakwa bahawa beliau ialah ketua kerajaan Kesultanan Islam Sulu sekarang.
Kesultanan Sulu mendapat perhatian umum apabila Kiram III menghantar pasukan 'tentera diraja' bagi menuntut Sabah pada 12 Februari lalu.
Akhbar The Philippine Inquirer melaporkan pada satu sidang akhbar di Istana Malacanang di sini, Presiden Benigno Aquino III menyatakan terdapat kesangsian dalam keturunan kesultanan tersebut.
Menurutnya, selepas pemerintahan Sultan Jamalul Kiram II tamat pada 1936, baginda meninggal dunia tanpa seorang pewaris.
Justeru, Aquino berkata, beliau telah mengarahkan satu kajian dilakukan melibatkan aspek undang-undang berhubung tuntutan Kiram III ke atas negeri Sabah di Malaysia.
"Kajian ini agak menyeluruh," katanya.
Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf pemerintah Filipina ialah Ismael Kiram I pada 1974. Selepas kematiannya pemerintah Filipina enggan mengiktiraf sultan-sultan seterusnya walaupun mereka ditaati oleh penduduk setempat.
Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Filipina menyatakan tiga orang termasuk dua anggota polis terbunuh dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dengan kumpulan lelaki bersenjata Filipina tersebut berhubung pertikaian tuntutan ke atas Sabah.
Insiden itu berlaku selepas berpuluh-puluh pengikut Kiram III belayar dari selatan Filipina untuk menuntut Sabah.
Sebelum ini Kiram III memberitahu, Kesultanan Islam Sulu pernah menguasai sebahagian Pulau Borneo termasuk Sabah selain beberapa gugusan pulau di selatan Filipina.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Jabatan Luar Filipina, Raul Hernandez yang memetik kenyataan Duta Malaysia berkata, turut terbunuh dalam pertempuran itu ialah pemilik rumah yang diduduki ketua kumpulan bersenjata tersebut.
Namun, katanya, kewarganegaraan pemilik rumah berkenaan tidak dapat dipastikan.
"Duta Malaysia juga menyatakan bahawa saki baki kumpulan pengikut Kiram III di Lahad Datu melarikan diri ke arah laut," katanya.
Menurutnya, 10 anggota kumpulan Kiram III turut ditangkap.
Tambah Hernandez, beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan seorang jurucakap di Manila bagi pihak kumpulan pengikut Kiram yang mendakwa pasukan keselamatan Malaysia menembak mati 10 anggota mereka dan mencederakan empat yang lain.
Jelasnya, Manila telah meminta maklum balas rasmi berhubung operasi keselamatan tersebut dari Kuala Lumpur.
Tambah jurucakap sama, Duta Malaysia menyatakan kepadanya bahawa konfrontasi itu sudah berakhir.
Sementara itu, jurucakap Kiram III, Abraham Idjirani mendakwa penembak-penembak tepat Malaysia telah membunuh 10 pengikut sultan tersebut dan mencederakan empat lagi anggota kumpulan berkenaan.
"Saya bercakap dengan ketua kumpulan Kiram melalui telefon sebentar tadi (semalam) dan bertanya berapa pengikutnya yang mati. Dia menjawab 10 orang. Saya menanyakan angka kecederaan dan dia berkata, empat orang," kata Idjirani dalam satu sidang media di kediaman Kiram di sini.
Idjirani menegaskan bahawa pengikut-pengikut Kiram III berikrar akan terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Sabah.
Ketua mereka, Raja Muda Agbimuddin Kiram iaitu adik Kiram III berjaya mengelakkan diri daripada ditangkap dan masih berada di Sabah bersama beberapa pengikutnya untuk terus bertempur, jelas Idjirani.
"Ini (pertempuran) baru permulaan," ujarnya.
Kesultanan Islam Sulu memajak Borneo Utara (Sabah) kepada kuasa Eropah pada tahun 1870-an.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Malaysia menyatakan, 12 warga Filipina dan dua anggota polis Malaysia terbunuh dalam insiden semalam.
Selepas kekuasaan kesultanan itu beransur pudar ekoran kemasukan kuasa Barat di rantau berkenaan, ia masih menerima bayaran pajakan untuk Sabah.
Sabah yang merupakan bekas koloni British menjadi sebahagian persekutuan Malaysia pada 1963.
Berdasarkan perjanjian pajakan tersebut, kesultanan Sulu diberikan pampasan tahunan berjumlah sekitar AS$1,700 (RM5,264) menurut nilai semasa. - Agensi


Kosmo