Pages

Showing posts with label OP Daulat Terkini. Show all posts
Showing posts with label OP Daulat Terkini. Show all posts

Sunday, 10 March 2013

CUNGKIL MATA, PENGGAL KEPALA... PERBUATAN TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN - MENTERI PERTAHANAN

Dalam undang-undang peperangan sekalipun tidak ada yang membenarkan mana-mana penceroboh atau anggota yang terlibat dalam peperangan boleh mencungkil mata, boleh penggal kepala atau memotong anggota tubuh badan...


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Zahid mahu penceroboh ditembak mati 
atau ditangkap


IPOH - Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengganas Sulu harus dibicarakan mengikut undang-undang Malaysia kerana telah bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi selain menahan kumpulan penceroboh dari selatan Filipina itu kerana mereka telah bertindak kejam membunuh lapan anggota polis dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
"Jangan ada seorang pun penceroboh terlepas...kita mahu penceroboh militan ini sama ada ditembak mati atau ditangkap hidup-hidup," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Barisan Nasional dan Badan Bukan Kerajaan kawasan Gopeng di sini hari ini.

Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan bahawa pengganas dipengaruhi dadah atau menggunakan ilmu hitam sehingga bertindak kejam terhadap anggota pasukan keselamatan yang terkorban.

"Dalam undang-undang peperangan sekalipun tidak ada yang membenarkan mana-mana penceroboh atau anggota yang terlibat dalam peperangan boleh mencungkil mata, boleh penggal kepala atau memotong anggota tubuh badan. Apa yang mereka lakukan ini tidak boleh diterima rakyat Malaysia kerana perbuatan ini tiada belas kasihan," katanya.

Beliau berkata polis bertindak mengikut undang-undang sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap pengganas militan itu.

"ATM (Angkatan Tentera Malaysia) apabila kita berada di barisan hadapan, kita harus musnahkan musuh...kita hormati bidang kuasa yang ada pada polis dan kita serahkan kepada polis dalam menjalankan tugas mengikut perundangan," katanya.
Ahmad Zahid menegaskan mana-mana pihak tidak perlu mempersoalkan tindakan pasukan keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ATM dalam insiden pencerobohan itu.
"Kita mahu memperlihatkan kepada masyarakat bahawa di dalam keadaan yang memerlukan polis dan ATM adalah pasukan yang bergerak bersama-sama sebab itu pada sidang akhbar Panglima ATM dan Ketua Polis Negara sentiasa bersama," katanya.

Mengenai tawaran gencatan senjata oleh Jamalul Kiram III, didakwa dalang pencerobohan itu, beliau berkata Malaysia tidak akan berkompromi dengan pihak tersebut kerana tiada tanda-tanda mereka akan bertindak demikian.

"Saya telah berada di ground zero dan saya dapat merasakan bahawa mereka memang berhasrat untuk terus menduduki kawasan-kawasan diceroboh kerana mereka (pengikut) telah dijanjikan sejumlah wang dan dijanjikan dengan tanah untuk ladang-ladang di Sabah oleh Jamalul Kiram dan pemimpin-pemimpin lain," katanya.- Bernama

Sinar Harian

SABAH TERKINI : REMAJA MAUT TERKENA TEMBAKAN PASUKAN KESELAMATAN

Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.


Sabah diceroboh
Sabah diceroboh


2 termasuk remaja mati terkena tembakan pasukan keselamatan


LAHAD DATU -  Seorang remaja lelaki maut dan seorang lelaki cedera di kaki setelah terkena tembakan pasukan keselamatan dalam operasi memburu penceroboh di Kampung Sungai Bilis dekat sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kejadian pada 9.45 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas lima individu yang berada dalam Zon Merah berhampiran Kampung Tanjung Batu.

"Ketika pasukan keselamatan sedang bergerak menjejak pengganas di kawasan sasaran di Kampung Sungai Bilis, muncul dua lelaki dan tiga wanita dewasa dari kawasan belukar berhampiran.

"Mereka segera ditangkap dan ketika sedang diperiksa kedengaran bunyi pergerakan dari kawasan belukar berdekatan di mana pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar itu," katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas Op Daulat Felda Sahabat 16 di sini.

Beliau berkata, pemeriksaan segera yang dilakukan mendapati remaja lelaki itu yang dipercayai berusia antara 12 dan 15 tahun, terbunuh manakala seorang lelaki 30-an, cedera di kaki.

Ismail berkata, susulan itu, pasukan perubatan dikerah ke tempat kejadian untuk memberi bantuan kepada mangsa sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kesemua mereka, termasuk yang cedera dan terbunuh, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala tiga wanita dan dua lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan lain, Ismail mengesahkan enam individu ditahan di Semporna hari ini mengikut Seksyen 130 (c) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan penceroboh.

Beliau berkata, dua daripadanya ditahan di Kampung Perigi Simunul pada 6.30 pagi dan selebihnya di Batu 1.5 Jalan Tawau-Semporna kira-kira dua jam selepas itu.

Ismail berkata, sehingga kini seramai 96 orang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh, manakala 66 orang lagi ditahan kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat. - Bernama

Sinar Harian