Pengumuman mengenai pertandingan satu lawan satu antara Najib dengan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali pada 10.45 pagi.
Datuk Seri Najib Tun Razak - Foto Bernama |
Najib dicabar anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR
PEKAN - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, akan ditentang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fariz Musa pada pilihan raya umum 5 Mei ini.
Pengumuman mengenai pertandingan satu lawan satu antara Najib dengan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali pada 10.45 pagi.
Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), sebelum itu mengemukakan borang pencalonannya di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada 9.08 pagi bagi mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang disandangnya sejak 1976.
Najib yang berarak bersama kira-kira 5,000 penyokong BN yang membawa sepanduk dan bendera parti-parti komponen dari bangunan Umno Pekan, tiba di pusat penamaan calon itu pada 9.06 pagi.
Berbaju Melayu biru, beliau masuk ke dewan itu bersama-sama calon BN lain dan menjadi calon pertama BN yang menyerahkan borang pencalonan.
Calon BN lain yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam kawasan Parlimen Pekan ialah Khairudin Mahmud bagi DUN Pulau Manis, Datuk Sh Mohmed Puzi Sh Ali (Peramu Jaya), Mohd Fakhruddin Mohd Aris (Bebar) dan Datuk Abu Bakar Harun (Chini).
Sementara itu, calon-calon pembangkang diketuai Fariz, 43, yang berasal dari Marang, Terengganu, tiba di pusat berkenaan pada 8.50 pagi diiringi kira-kira 500 penyokong yang membawa bendera dan sepanduk parti pembangkang.
Kedua-dua penyokong parti yang bertanding di kawasan Parlimen dan DUN berkenaan masing-masing melaungkan slogan mereka, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Sambil berteriak 'Hidup PM, Hidup BN', penyokong BN turut menyanyikan lagu 'Barisan Kita' manakala penyokong pembangkang melaungkan takbir 'Allahu Akbar'.
Pada pilihan raya umum 2008, Najib menewaskan calon PKR, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dengan majoriti 26,464 undi. Najib memperoleh 36,262 undi manakala Khairul Anuar meraih 9,798 undi.
Keadaan cuaca yang baik pagi ini serta kawalan daripada anggota polis telah memastikan pergerakan kenderaan lancar di sekitar pusat penamaan calon.
Najib menjadi anggota Parlimen Pekan pada 1976 selepas ayahandanya, perdana menteri kedua dan anggota Parlimen Pekan, Tun Abdul Razak Hussein meninggal dunia.
Sejak itu, Najib kekal menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan kecuali semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang antara 1982 dan 1986. Ketika itu Najib mewakili kawasan DUN Bandar Pekan. -- BERNAMA
Sinar Harian
Rahsia kejayaan BN akhirnya terbongkar --------> Kenapa BN perlu ditumbangkan
ReplyDelete