Pages

Monday 30 September 2013

3 MAUT KERACUNAN MAKANAN MAJLIS KENDURI KAHWIN

Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari; Mohammad Norraahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia 15 minit selepas itu.

Tiga maut keracunan makan kenduri
Isteri Ibrahim, Kamariah Abu Bakar, 56, (kanan) sedang menunggu jenazah suaminya di HSAH. -FOTO SINAR HARIAN Oleh SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Tiga maut keracunan makan kenduri

ALOR SETAR - Tiga orang dipercayai keracunan makanan selepas menghadiri satu majlis kenduri kahwin di Tanjung Dawai, Merbok, Sabtu lepas meninggal dunia hari ini.
   
Mereka ialah pelajar Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak, Nurshazana Mohd Rashid, 24, dari Kampung Tempoyak, Bedong, meninggal dunia kira-kira pukul 12.45 tengah hari; Mohammad Norraahmad Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia 15 minit selepas itu.
   
Seorang lagi dikenali sebagai Ibrahim Mohamad, 62, berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani kira-kira pukul 6.30 petang ini.
   
Nurshazana yang baru tamat latihan amali disahkan meninggal dunia di HSAH manakala Mohammad Norraahmad di Hospital Yan.
   
Pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar memberitahu wartawan yang menunggu di hospital itu, jenazah Nurshazana dan Mohammad Norraahmad dihantar ke HSB petang ini untuk bedah siasat.
 
Menurut Hairul Azahar Harun, 33, Nurshazana yang merupakan sepupunya mengadu sakit perut selepas pulang makan kenduri di rumah sepupu mereka di Tanjung Dawai tiga hari lepas.
   
Beliau yang ditemui di HSB berkata ibu tiri Nurshazana serta dua adiknya, lelaki berumur 8 tahun dan perempuan berumur 10 tahun juga keracunan tetapi tidak serius.
   
"Nurshazana ditemui anggota keluarganya tertiarap dalam bilik tidurnya pagi ini lalu terus dibawa ke HSAH untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia di hospital itu," katanya.
   
Hairul Azahar berkata Nurshazana anak ketiga dari tujuh beradik berada dua hari lebih awal di rumah sepupu mereka sebelum kenduri berlangsung. Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak malam ini.
   
Ibu Mohammad Norrahmad, Norma Khalid, 45, yang ditemui di HSB berkata, anak bongsu dari lima beradik itu mengikuti suaminya, Yusof Arifin, 50 ke majlis kenduri tersebut Sabtu lepas.
 
"Mereka makan ayam masak merah di rumah kenduri. Malamnya mereka mengadu sakit perut. Apabila keadaan anak saya semakin teruk hari ini, kami bawa dia ke Hospital Yan. Dia tidak sedarkan diri sebaik tiba dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1 petang ini," kata Norma.
   
Beliau berkata,  jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Singkir, esok.
   
Sementara itu Bernama difahamkan keluarga Allahyarham Ibrahim membawa balik jenazahnya ke Besut petang ini untuk dikebumikan.  - Bernama



Sinar Harian

AKAR POKOK RU SEAKAN WAJAH MANUSIA BERPENUNGGU?

Keunikan itu disedari ahli keluarga Ramli Kecik, 54, yang membersihkan akar pokok ru disimpan sejak lima tahun lalu tersebut ketika mereka sedang berehat di ruang tamu.

Akar seakan wajah manusia
Wajah pada akar pokok ru dirakam dari jarak dekat.

Akar seakan wajah manusia

MARANG - Akar pokok ru disimpan seorang nelayan di Kampung Baru Rhu Muda, di sini, menjadi tumpuan apabila terdapat satu bahagian pada akar pokok itu berbentuk seakan wajah manusia.

Keunikan itu disedari ahli keluarga Ramli Kecik, 54, yang membersihkan akar pokok ru disimpan sejak lima tahun lalu tersebut ketika mereka sedang berehat di ruang tamu.


Akar seakan wajah manusia
Ramli menunjukkan akar pokok ru yang menyerupai wajah manusia.


“Mereka terus memanggil saya untuk sama-sama melihat wajah yang pelik dan menakutkan, tetapi menarik pada akar itu,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Baru Rhu Muda, di sini.

Menurutnya, seorang daripada anaknya turut merakam dengan menggunakan telefon bimbit dan wajah pelik serta menakutkan itu kelihatan lebih jelas berbanding apabila melihatnya secara langsung.

Menceritakan penemuan akar pokok itu lima tahun lalu, Ramli berkata, dia mengambil dan menyimpan akar pokok ru tersebut selepas mendapati ia tidak hangus walaupun pokoknya dibakar seorang rakan di Kampung Alur Tuman, di sini.

“Sebelum dibakar, kami sering diganggu ‘lembaga misteri’ ketika melalui laluan menuju ke pantai berdekatan pokok itu. Kerana marahkan ‘lembaga misteri’ dikatakan menjadi penunggu pokok itu, rakan saya membakarnya.

“Namun agak menghairankan apabila akar pokok itu tidak terbakar yang hanya disedari keesokan harinya ketika melalui laluan sama menuju ke pantai. Saya kemudiannya mengambil akar itu untuk disimpan,” katanya.

Bagaimanapun, Ramli berkata, tiada sebarang imej atau wajah manusia kelihatan pada peringkat awal dia menyimpan akar sepanjang setengah meter itu.

Menurutnya, mungkin ada rahsia di sebalik kejadian itu, namun dia tidak mahu masyarakat terlalu taasub dan menganggap akar pokok ru tersebut adalah jelmaan penunggu pokok atau sebagainya.

“Saya akan simpan akar pokok ini yang mungkin berguna satu hari nanti,” katanya.

Penemuan itu adalah kejadian ketiga berlaku di daerah ini, kejadian pertama membabitkan dua sahabat di Kampung Kijing, di sini, yang melihat seraut wajah manusia lengkap dengan mata, hidung dan mulut muncul pada batang pokok tembesu ditebang mereka pada 31 Mei yang disiarkan Sinar Harian 1 Jun, tahun lalu.

Dalam kejadian kedua pula, pokok jenis melaka kijang milik seorang nelayan di Jalan Surau Ayah De, di sini, menjadi tumpuan apabila satu daripada dahannya seakan berwajah manusia.

Wajah pada dahan pokok kayu hutan dikatakan dapat mengubati penyakit kencing manis itu juga agak menakutkan. Keunikan itu disedari Abdullah Ali, 57, ketika berehat di pekarangan rumahnya pada 21 November, tahun lalu.


Sinar Harian

Sunday 29 September 2013

BR1M TERKINI: JUMLAH LEBIH TINGGI & DIBAYAR BERPERINGKAT SELEPAS BAJET 2014

Pada masa sama, beliau turut memberi gambaran jumlah BR1M yang diterima rakyat juga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

BR1M dibayar berperingkat
Ahmad Husni berbual dengan murid-murid Sekolah Agama Rakyat Ishaniah sambil diperhatikan oleh Adun Manjoi, Mohamad Ziad Mohamad Zainal Abidin (tengah) selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ishaniah, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2 hari ini.

BR1M dibayar berperingkat

IPOH – Kerajaan bercadang melaksanakan pembayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) secara berperingkat kepada rakyat yang layak untuk pemberian seterusnya selepas pembentangan Bajet 2014.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pemberian itu dilakukan mengikut kesesuaian perbelanjaan rakyat.

Pada masa sama, beliau turut memberi gambaran jumlah BR1M yang diterima rakyat juga lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Kita telah menyediakan draf pertama Bajet 2014 dan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita masih lihat dan memperkukuhkan draf bajet berkenaan namun, jumlah sebenar BR1M masih belum ditentukan tetapi jumlahnya pasti melebihi RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ihsaniah, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, di sini, hari ini.

Ahmad Husni berkata, golongan pertengahan turut diberi perhatian dengan mengambil beberapa pendekatan bagi meringankan beban mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 dan RM5,000.

“Kita akan terus beri bantuan dengan melihat dari semua kemungkinan walaupun pengurangan subsidi minyak dilaksanakan. Model bantuan yang akan dilaksanakan, kita tunggu pembentangan bajet.

“Dari segi jangka panjang, kita tumpu usaha mempertingkatkan pendapatan rakyat termasuk dalam Transformasi Ekonomi Negara yang dilaksanakan,” katanya.



Sinar Harian

SIAPA WANITA MISTERI TIBA-TIBA HILANG DI CELAH DINDING JEJANTAS?

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

Wanita misteri hilang di celah dinding
Azim merakamkan lokasinya bertemu dengan wanita berpakaian kilang dan hilang di celah lubang kecil.

Wanita misteri hilang di celah dinding

SUNGAI NIBONG - Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.



Sinar Harian

Friday 27 September 2013

ISTERI MAT YO MOHON MAAF KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA

"Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

Norsharul Idlan Talaha @ Mat Yo

Berita berkaitan di Jz Online News :

KLIP VIDEO & BERITA SITI AISYA, ISTERI MAT YO TENDANG PENGAWAL KESELAMATAN



Isteri Mat Yo mohon maaf

KUALA LUMPUR - Ekoran tersebarnya video kontroversi membabitkan dirinya, suami dan seorang pengawal keselamatan yang menimbulkan kemarahan awam, isteri Mat Yo akhirnya tampil memohon maaf.

"Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak.

“Saya percaya, kebenaran kes ini akan terbongkar. Tolong jangan hukum saya tanpa mengetahui apa yang berlaku,” kata Siti Aisya Adam, 24, isteri kepada pemain bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, ketika mengulas mengenai video dia bergaduh dengan pengawal keselamatan kini tersebar luas.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia tidak tahu apa motif sebenar individu yang menyiarkan video berkenaan, sedangkan kejadian perselisihan faham berlaku pada 12 September lalu, namun video berkenaan baru tersebar sejak Selasa lalu.

“Saya tidak mengetahui mengenai penyebaran video ini sehingga dimaklumkan keluarga yang turut terkejut melihat insiden berkenaan. Apa motif individu itu menyiarkan video berkenaan. Adakah disebabkan suami saya pemain bola sepak negara?

Dua individu miliki video

“Ramai menyangka saya yang menyebarkan video berkenaan, namun di sini saya tegaskan, penyebaran video itu tiada kaitan langsung dengan saya. Apa yang saya boleh cakap, hanya dua orang yang memiliki video berkenaan, namun saya enggan dedahkan sebaliknya menyerahkan kepada pihak polis,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Siti Aisya yang tertekan susulan kejadian itu berkata, selepas tersebarnya video berkenaan, ramai yang marah dan mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya, namun mereka tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku.

“Malah, masyarakat menuduh tindakan saya memalukan suami. Saya bukan seorang biadap, kejadian ini berlaku apabila individu lain mencabar saya sehingga menimbulkan kemarahan.

“Jujur saya katakan, saya hormat orang tua kerana kehilangan bapa sejak berusia 12 tahun. Tatkala masyarakat mencemuh saya selepas melihat video berkenaan, saya tidak mampu mempertahankan diri sebaliknya hanya mampu berdoa supaya kebenaran sebenar akan timbul,” katanya sambil menangis.

Insiden kekecohan membabitkan isteri kepada pemain bola sepak negara dengan pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mula tersebar secara meluas sejak Selasa lalu.

Rakaman selama 54 saat itu turut menampakkan wajah Nor Shahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.

Tak terlintas saman

Siti Aisya turut meminta masyarakat tidak mencemuh suaminya disebabkan insiden membabitkan dirinya, sebaliknya Nor Shahrul tiada kena mengena dalam kes terbabit.

Ditanya sama ada beliau bertindak menyaman pengawal keselamatan itu, Siti Aisya menjelaskan tidak pernah terlintas untuk bertindak sejauh itu, sebaliknya peguam dilantik selepas video berkenaan mula tersebar.



Sinar Harian

Thursday 26 September 2013

MUHAMMAD IZZAT, PELUMBA SIRI MSS MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEMALANGAN

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata pelumba berusia 17 tahun itu meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.


Pelumba Siri MSS Muhammad Izzat meninggal dunia
MUHAMMAD IZZAT, PELUMBA SIRI MSS MENINGGAL DUNIA AKIBAT KEMALANGAN

Pelumba Siri MSS Muhammad Izzat meninggal dunia

KUALA LUMPUR - Pelumba Kejuaraan Motosikal Super Siri Malaysia (MSS) 2013, Muhammad Izzat Mohd Abdul Hakim, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, lima hari selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
    
Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata pelumba berusia 17 tahun itu meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
    
Dalam insiden Sabtu lepas, Muhammad Izzat, yang beraksi dalam kelas 250cc, dipercayai gagal mengawal jenteranya di laluan lurus sebelum terbabas dan melanggar marsyal perlumbaan S. Satish, 44, pada pukul 12.30 tengah hari sebelum berakhirnya sesi latihan.
    
Satish meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada hari yang sama selepas mengalami kecederaan serius di kepala manakala Muhammad Izzat, yang turut mengalami kecederaan parah, dihantar ke HKL.
    
Berikutan kemalangan itu, perlumbaan pusingan keempat MSS 2013 ditangguhkan.
    
Sementara itu, SIC ketika mengucapkan takziah, berkata pemergian Muhammad Izaat adalah satu kehilangan besar kepada sukan permotoran negara kerana anak muda itu menunjukkan potensi yang besar untuk menjadi pelumba hebat di masa depan.
    
"SIC berkongsi berita kesedihan mendalam ini dengan pemergian pelumba Piala Ninja SIC ini dan kami akan membantu urusan penghantaran jenazah melalui penerbangan ke kampung halamannya di Kuala Terengganu," kata SIC dalam kenyataan di sini.
    
Muhammad Izzat mengikuti Program 250 Piala Ninja SIC tahun ini dan berlumba secara aktif sejak 2006.
    
Program itu dimiliki oleh SIC dan disokong oleh Kawasaki.
    
Kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di Litar SIC selepas pelumba MotoGP, Marco Simoncelli, 24, terbunuh semasa perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia pada 23 Oktober, 2011. - Bernama



Sinar Harian

BEKAS MB KEDAH, TAN SRI AZIZAN MENINGGAL DUNIA DI SISI KELUARGA

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB, Dr Noor Zaini Morad berkata, Azizan, 69, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah selain kegagalan beberapa organ dalaman yang pelbagai.

Azizan meninggal dunia di sisi keluarga
Azizan meninggal dunia di sisi keluarga - Foto Sinar Harian oleh WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR

Azizan meninggal dunia di sisi keluarga


ALOR SETAR - Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 11.05 pagi, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB, Dr Noor Zaini Morad berkata, Azizan, 69, disahkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada darah selain kegagalan beberapa organ dalaman yang pelbagai.

“Azizan didapati mula kritikal sejak pagi Rabu selepas mengalami serangan jantung. Rawatan agresif diberikan termasuk antibiotik terbaik.

"Jangkitan kuman itu mungkin berpunca daripada keadaannya yang lemah. Jangkitan mudah dijangkiti pesakit diabetis, selain komplikasi buah pinggang dan rawatan dialisis,” katanya pada sidang media di HSB hari ini.

Menurutnya, sejak jam 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan kritikal kerana mengalami  masalah jantung yang serius dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

“Azizan mengalami peringkat akhir kegagalan buah pinggang, masalah hati dan mata di mana penglihatan semakin lemah serta kerosakan saraf peredaran darah di bahagian bawah paras pinggang,” katanya.

Dr Noorzaini berkata, selepas diberi bantuan kecemasan itu, Azizan tidak sedarkan diri sehingga  menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga.

Azizan meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah dan Shamsiah Shafie, 14 anak dan enam cucu.

Pada 6 Mei lalu, Azizan yang mengalami masalah jangkitan kuman pada kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) keesokan harinya.

Azizan yang juga Adun Sungai Limau menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit diabetes, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kaki merebak ke anggota badan lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB pada 13 Ogos lalu.

Pada PRU13 lalu, Azizan mempertahankan kerusi Dun Sungai Limau yang disandangnya sejak 1995, menewaskan sepupunya, Fazillah Mohd Ali mewakili BN, dengan majoriti 2,774 undi.

Antara yang hadir di HSB menziarahi jenazahnya ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir; Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali dan beberapa exco kerajaan negeri serta pemimpin Pas negeri.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Nurul Ihsan, Langgar, Pokok Sena sebelum disemadikan di Muassasah Darul Ulum selepas solat Asar kira-kira jam 5.30 petang.


Sinar Harian

Wednesday 25 September 2013

PENJELASAN PELAKON WAN NOR AZLIN MERANA 'DIBUANG' BAPA

Permintaan tersebut tentu sekali mengejutkan dan banyak pihak mula menyalahkan Azlin serta menuduhnya sebagai anak derhaka. Tidak mahu terus berdiam diri, Azlin akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

 Wan Nor Azlin
Wan Nor Azlin

Wan Nor Azlin: Merana 'dibuang' bapa

NAMA dramatis terkenal Wan Nor Azlin, bagaikan tidak terlepas dari kisah kontroversi. Selepas tenggelam seketika dari industri hiburan, pelakon berusia 45 tahun ini sekali lagi kembali menjadi perhatian setelah memfailkan saman dan meminta mahkamah agar ayah kandungnya, Wan Mohd Husain, 76, dipenjarakan.

Permintaan tersebut tentu sekali mengejutkan dan banyak pihak mula menyalahkan Azlin serta menuduhnya sebagai anak derhaka. Tidak mahu terus berdiam diri, Azlin akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar di lobi Mahkamah Syariah Shah Alam, semalam.

"Ayah saya yang terlebih dahulu memfailkan saman terhadap saya kerana enggan keluar dari rumah tersebut. Padahal belum pun setahun dia tinggal di situ, saya sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM64,000 untuk memperbaiki kerosakan dan menambah baik peralatan di rumah tersebut "Malah, dia juga ada ajak saya tinggal bersama lima tahun lalu selepas kematian ibu, sementelah lagi saya pula berhadapan masalah rumah tangga.

"Namun, tanpa sebarang alasan kukuh ayah menyuruh saya keluar dari rumah sehingga sanggup memotong bekalan air dan elektrik. Bayangkan selama lapan bulan hidup saya ibarat dalam buangan akibat perbuatan bapa sendiri," katanya yang ditemui selepas kes itu dibatalkan mahkamah.

Jelasnya lagi, sikap ayahnya itu mula berubah selepas berkahwin baru sehingga adik nberadiknya yang lain turut terkejut dengan perubahan itu.

"Saya terkilan dan sedih dengan perbuatan ayah dan mohon dia jangan menganiaya saya kerana saya darah dagingnya sendiri. "Lagipun rumah tersebut sudah dijual dan saya cuma mahu hak saya kembali. Saya berharap ayah dapat pulangkan balik wang saya kerana mahu mulakan hidup baru bersama anak-anak," katanya.

Tegas Azlin, dia banyak berdiam diri walaupun masyarakat memandang serong terhadap perbuatannya menyaman bapa sendiri.

"Orang luar tidak tahu bahawasanya ayah saya yang memulakannya namun, mereka terus menuding jari bahawa sayalah punca segala-galanya," ujarnya.


Nafi pukul bapa

Ditebak mengenai tindakannya yang mengasari bapa akibat pergaduhan itu sehingga disaksikan jiran, Azlin menegaskan dia tidak tergamak untuk berbuat sedemikian.

"Kami hanya bertikam lidah tetapi tidaklah sampai pukul memukul. Apatah lagi ayah saya sudah uzur, takkan saya sanggup memukul bapa sendiri sematamata mahu menuntut wang.

"Apa pun yang berlaku dia tetap ayah saya dan tidak tergamak untuk saya mengasarinya," jelasnya. Azlin berkata, dia berharap masyarakat dapat memberi ruang kepada mereka berdua dan tidak membuat sebarang penilaian berdasarkan khabar angin atau laporan pihak luar.

"Pada mulanya saya mahu mendiamkan diri namun ayah mengumumkan perkara ini kepada media. "Hari ini saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak mencederakan ayah atau mahu dia dipenjarakan seperti yang diuar-uarkan masyarakat!

"Malah, saya tidak akan berdendam dengannya sekalipun hati ini terguris dengan perbuatannya," katanya.


Periuk nasi terjejas

Azlin mengakui sejak perseteruan dengan ayahnya diperkatakan, periuk nasinya mula terjejas apabila tawaran lakonan semakin kurang dan ada kalanya tiada langsung.
 
"Saya akui perkara ini menyebabkan periuk nasi saya terjejas. Buat masa ini saya hanya bergantung kepada tawaran berlakon.

"Apatah lagi saya baru sahaja bercerai Mac lalu dan kini bergelar ibu tunggal," jelasnya. Ujar ibu kepada tiga anak ini, dia kini membesarkan anak-anaknya sendirian dan mahu memulakan hidup baru dengan wang yang dituntut daripada ayahnya itu.



Sinar Harian

SYAMSUL YUSOF MERANA KL GANGSTER 2 DISABOTAJ

Menurut bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berhasrat untuk bersara lebih awal ekoran filem arahannya, KL Gangster 2 disabotaj dan disebarkan di internet sebelum tarikh tayangan.

Syamsul Yusof
Syamsul Yusof

KL Gangster disabotaj, Syamsul merana!

JIKA sebelum ini, pengarah muda ini dilihat lebih agresif dalam melahirkan karya-karya yang mampu meraih sambutan penonton, kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Menurut bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul berhasrat untuk bersara lebih awal ekoran filem arahannya, KL Gangster 2 disabotaj dan disebarkan di internet sebelum tarikh tayangan.

Episod malang ini merupakan insiden pertama yang berlaku dalam sejarah perfileman tempatan.

Selepas mengetahui filem terbarunya yang bakal ditayangkan pada 3 Oktober ini, sudah menjadi tatapan penonton di dunia maya dua bulan lebih awal, Syamsul bertindak menyepikan diri tanpa memberi apa-apa kenyataan dan penjelasan kepada media.

Menurut Yusof, anaknya itu sangat tertekan dan kecewa dengan apa yang berlaku.

Malah, dia juga membuat keputusan untuk tidak muncul dalam mana-mana majlis berkaitan filem terbarunya itu, termasuk majlis pra tonton.

"Dia (Syamsul) sangat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya faham perasaan dia dan pastinya sukar berhadapan dengan situasi sebegini.

“Satu kehilangan besar buat industri sekiranya dia bersara. Sebagai penerbit filem, saya merasakan tidak munasabah untuk berhenti gara-gara kontroversi ini.

"Namun sebagai ayah, saya hanya mampu berdoa kepada ALLAH untuk pertolongan. Saya tidak akan berdiam diri selagi dalang kejadian ini tidak ditangkap," katanya yang turut memberitahu beberapa pengedar filem antarabangsa dilaporkan berminat untuk mengedarkan filem itu di luar negara.



Sinar Harian

KLIP VIDEO & BERITA SITI AISYA, ISTERI MAT YO TENDANG PENGAWAL KESELAMATAN

Difahamkan, adegan pertengkaran Siti Aisya dengan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang, di sini, berlaku di pekarangan lapangan terbang berkenaan pada 12 September lalu.

Foto
AZMAN menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.


Tendang celah kelangkang


Subang Jaya: “Saya sudah serahkan kes ini kepada polis dan atas nasihat peguam, saya tidak boleh buat apa-apa komen.” Itu kata Siti Aisya Adam, 24, isteri penyerang bola sepak kebangsaan Nor Shahrul Idlan Talaha, 27, atau lebih mesra dengan panggilan Mat Yo.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harian Metro semalam untuk mendapat penjelasan berhubung klip video dia bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan yang tersebar dengan meluas di Internet sejak malam kelmarin.
Difahamkan, adegan pertengkaran Siti Aisya dengan pengawal keselamatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang, di sini, berlaku di pekarangan lapangan terbang berkenaan pada 12 September lalu.

Sehingga jam 7 malam semalam, rakaman video berdurasi 55 saat itu ditonton hampir 100,000 pelayar Internet di laman YouTube, selain menjadi topik hangat di laman sosial facebook (FB), malah ada pihak yang turut membuat video parodi (meniru secara mengejek) isteri Mat Yo.


Ketika ditanya kepada Siti Aisya, sama ada dia memuat naik rakaman video pertengkaran itu ke Internet, dia enggan mengakui atau menafikannya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Tuesday 24 September 2013

ADAM AF AKUI STATUS JANDA ANAK 2 BAKAL ISTERINYA BUKAN PENGHALANG

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak selebriti tersebut.

adam
ADAM AF AKUI STATUS JANDA ANAK 2 BAKAL ISTERINYA BUKAN PENGHALANG

Status janda Fiza Elite bukan penghalang

PENYANYI Adam AF2 mengakui tidak peduli dengan status janda bakal isterinya iaitu penyanyi dan pelakon Fiza Elite.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman, 30, berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak selebriti tersebut.

"Secara jujurnya saya tidak pernah kisah tentang status seseorang wanita itu, memang ramai yang bertanya saya sama ada saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

"Saya sudah bersedia insya-Allah, harap semua pihak dapat doakan agar saya dapat menjalankan tanggungjawab tersebut dengan ikhlas," katanya, dipetik mStar Online.

Adam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang berita pernikahanya yang bakal diadakan pada Khamis ini di Jabatan Agama Islam Selangor pada jam 10 pagi.

Biarpun baru mengenali wanita tersebut pada pertengahan Julai lalu, Adam berkata, dia mula jatuh cinta dan ingin menjadikan Fiza sebagai isterinya yang sah.

"Kami sebelum ini pernah berjumpa tetapi tiada apa-apa perasaan tapi selepas perubahan dia ke arah menjadi insan yang lebih baik saya mula rasa ingin mendekati dirinya.

"Daripada beberapa pertemuan dengan dia, saya semakin suka dan jatuh hati sehingga melamarnya untuk dijadikan isteri yang sah," katanya.

Fiza yang kini sudah berhijrah dengan memakai tudung pernah berkahwin dan memiliki dua cahaya mata iaitu Ferra Aryana Ahmed Farriq, 3, dan Feeya Adyrra Ahmed Farriq, 2.

Tambah Adam, walaupun pada awalnya ibu agak risau dengan status Fiza yang juga merupakan seorang selebriti, namun tanggapan itu mula berubah selepas kedua-duanya dipertemukan.

"Ibu saya mula-mula risau sebab takut Fiza tidak boleh terima keluarga kami, maklumlah kami bukan golongan kaya dan hanya tinggal di kampung.

"Tapi selepas membawa Fiza bertemu dengan keluarga pada Hari Raya lalu, semua keluarga saya menyukai dia," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata majlis pernikahannya akan dijalankan dalam keadaan yang sederhana yang hanya dihadiri kedua-dua belah pihak keluarga.

Bagaimanapun, majlis persandingan masih belum ditetapkan.



Sinar Harian

KOPERAL ZAL-AZRI ABD SOMAD MAUT DIHENTAK BATU

Dalam pergelutan itu, mangsa, Koperal Zal-Azri Abd Somad, 31, dipercayai sempat merangkak sejauh kira-kira 25 meter sebelum rebah dan menemui ajal.

Koperal maut dihentak batu
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Supt P. R. Gunarajan (kanan) menyampaikan ucapan takziah kepada isteri mangsa, Atiqah Mohd Rosli @ Mohd Rodi (kiri) di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka.

Koperal maut dihentak batu

AYER KEROH - Seorang anggota polis maut selepas cedera di kepala dan muka dipercayai dihentak batu semasa bergelut dengan penjenayah di Taman Teknologi Cheng di sini, semalam.

Dalam pergelutan itu, mangsa, Koperal Zal-Azri Abd Somad, 31, dipercayai sempat merangkak sejauh kira-kira 25 meter sebelum rebah dan menemui ajal.

Koperal maut dihentak batu
Anggota forensik menjalankan siasatan di luar premis jual beli barangan terpakai di Taman Teknologi Cheng, semalam.


Sebelum kejadian Zal-Azri bersama tiga anggota dan seorang pegawai dari Unit D4 (Bahagian Curi Kenderaan) menyerbu premis yang terdapat di kawasan perindustrian dalam Ops Lejang susulan kes membabitkan kecurian lori.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya mendapat maklumat tiga suspek berusia 17, 22 dan 23 tahun menggunakan lori yang dicuri untuk mencuri besi buruk di dalam premis berkenaan.

Koperal maut dihentak batu
Bahan bukti dikumpulkan untuk melengkapkan siasatan.

“Dalam serbuan tersebut, dua lelaki dapat ditahan sementara seorang lagi yang berusia 17 tahun, cuba melarikan diri ke luar pagar," katanya.

Beliau berkata, Zal-Azri dipercayai bergelut dengan suspek sebelum cedera di bahagian kepala serta muka dan anggota polis itu ditemui anggota pasukannya dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 25 meter dari tempat pergelutan itu, sebelum meninggal dunia.

Koperal maut dihentak batu
Ketiga-tiga suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya.


Ghee Lye berkata, siasatan awal mendapati mangsa berkemungkinan dihentak batu bersaiz lebih besar daripada batu-bata.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah di perkarangan Bilik Mayat Hospital Melaka di sini, semalam.

Menurut Ghee Lye, mangsa yang dipercayai cedera di bahagian kiri kepala kemudian di bawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke Gelugor, Pulau Pinang untuk dikebumikan.

“Susulan kejadian, suspek berjaya ditahan di rumah datuknya di Taman Sri Krubong dekat sini, kira-kira jam 10.50 pagi dan siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seskyen 302 Kanun Keseksaan sementara dua rakannya di bawah Seksyen 379 kanun sama. Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sudah berkhidmat selama 10 tahun baru dua bulan ditugaskan di unit D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) selepas kira-kira sembilan tahun bertugas di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah dan Balai Polis Masjid Tanah sebagai Petugas Am dan Cawangan Pencegahan Jenayah.

“Mangsa, merupakan seorang anggota outstanding, memang aktif dan berani. Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar dalam pasukan kami sebenarnya,” katanya.

Zal-Azri meninggalkan seorang balu, Atiqah Mohd Rosli @ Mohd Rodi, 29, serta dua anak lelaki, Mohamad Habibullah, 4 dan Mohamad Atiqullah, 5 bulan.

Isterinya Atiqah bagaimanapun enggan ditemubual berikutan terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa suaminya yang berasal dari Kampung Sungai Gelugor, Gelugor Pulau Pinang.

Bagaimanapun, adik tiri mangsa, Hartini Rashid, 27, ketika ditemui berkata, dia sebagai seorang adik yang rapat seperti tidak mempercayai kejadian menimpa abangnya.

Hartini berkata, dia mendapat panggilan telefon daripada ibu mereka di Pulau Pinang yang mengkhabarkan kejadian menimpa anak kedua daripada lima beradik itu.

"Ketika itu saya berada di rumah, di Beranang. Ibu menelefon memaklumkan tentang kejadian. Saya awalnya tidak percaya langsung.

"Sebenarnya saya sedang teruja kerana dapat berpindah ke Melaka kerana suami yang bertugas sebagai tentera akan bertukar ke Kem Terendak.

"Kami sudah mengemas barang-barang dan bila-bila masa saja lagi boleh pindah ke Melaka. Malah kami sudah rancang, sekiranya suami berkursus, saya akan tinggal di rumah abang, di berek Balai Polis Masjid Tanah," katanya.

Menurut Hartini, abangnya yang mudah mesra itu turut suka membantu adik-beradik sekiranya memerlukan bantuan tidak kira dari segi apapun.

“Hari raya lalu kami sama-sama pulang beraya di kampung di Pulau Pinang. Itulah kali terakhir kami bersua muka.

"Ketika itu tiada sebarang perubahan langsung. Kami berjumpa, bersembang seperti biasa. Malah dia turut gembira apabila mendapat tahu kami akan tinggal lebih dekat setelah saya berpindah nanti," kata Hartini.


Sinar Harian

PENDUDUK GEMPAR POKOK BUNGA RAYA BERBUAH RAMBUTAN?

Pemilik pokok, Siti Aminah Jusof, 47 berkata, pokok bunga raya itu memiliki tiga putik pelik seakan rambutan.

Berbuah seakan rambutan
Siti Aminah (kanan) bersama keluarganya melihat putik bunga raya itu yang seakan rambutan.

Berbuah seakan rambutan

BALING - Penduduk sekitar Taman Sheikh Fadzir terkejut setelah mendapati pokok bunga raya milik seorang penduduk di situ, mengeluarkan buah seakan rambutan.
Pemilik pokok, Siti Aminah Jusof, 47 berkata, pokok bunga raya itu memiliki tiga putik pelik seakan rambutan.


Berbuah seakan rambutan
Putik sekaan rambutan ini tumbuh dari pokok bunga raya.


Menurutnya, kejadian itu disedari sejak sebulan lalu apabila menyangka terdapat pihak tertentu meletakkan rambutan di atas pokok bunga rayanya itu.

“Pada mulanya, saya ingat orang baling buah rambutan, saya pun cuba alihkan, tetapi, rupanya buah itu memang tumbuh dari pokok tersebut.

“Mula-mula sebiji, selepas beberapa minggu tumbuh lagi dua biji,” kata ibu enam anak ini.

Menurutnya, penduduk yang melihat kejadian itu berasa aneh kerana mereka belum pernah lihat bunga raya mengeluarkan putik sedemikian rupa.

“Ramai yang ambil gambar, sebab mereka tak pernah tengok, ada juga yang minta, tapi saya tak bagi.

“Saya nak biar sampai buah seakan rambutan itu masak, kemudian saya nak tengok apa di dalamnya. Kalau isi rambutan, memang pelik,” katanya.

Ditanya mengenai benih bunga rayanya itu, Siti Aminah berkata, benih itu diperoleh daripada jirannya tiga tahun lalu.

“Benih bunga ini yang biasa, tak ada yang beza.

"Sebab itu saya hairan bagaimana bunga ini keluarkan putik seperti rambutan,” katanya.



Sinar Harian