Pages

Sunday, 21 April 2013

KHEMAH ROBOH DIPUKUL ANGIN | PETUGAS MEDIA, TETAMU SELAMATKAN DIRI

Saya meluru keluar secepat mungkin... malangnya sesuatu menimpa bahu saya dan saya terjatuh...saya ditarik keluar oleh rakan setugas jurukamera TV3, Yahya Kiprawi.

PRU13

Petugas media, tetamu selamatkan diri khemah roboh dipukul angin


PASIR GUDANG - Petugas, tetamu utama dan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi, nyaris cedera apabila khemah tempat mereka sedang menikmati jamuan, roboh dipukul angin.


Kejadian berlaku selepas Majlis Perasmian Pelan Strategik Keusahawanan Institusi Pengajian Tinggi dan Women In Social Enterprise (WISE) 2013, di Dewan Serbaguna Taman Mawar oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Semua tetamu dan peserta majlis itu baru menikmati hidangan pencuci mulut, pengat pisang, apabila berlaku hujan lebat serta angin kuat pada kira-kira 12.10 tengah hari.

Khaled, yang juga calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Permas, meninggalkan majlis lima minit sebelum kejadian.

Wartawan New Straits Times S.K.Thanusha Devi, 25, terpaksa ditarik keluar dari khemah yang roboh ditimpa tiang khemah.

"Ia berlaku sekelip mata ...saya mendengar rakan-rakan menjerit meminta kami segera keluar dari khemah.

"Saya meluru keluar secepat mungkin... malangnya sesuatu menimpa bahu saya dan saya terjatuh...saya ditarik keluar oleh rakan setugas jurukamera TV3, Yahya Kiprawi.

Yahya yang sebelum itu terlihat sebatang tiang khemah berdekatan mejanya dalam keadaan tidak stabil, cuba menahannya daripada jatuh.

"Keluar, keluar, keluar," jeritnya apabila tidak mampu menahan tiang itu menyebabkan semua tetamu di enam meja di bawah khemah berkenaan, termasuk Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia Prof Datuk Seri Dr Zaini Ujang, lari menyelamatkan diri.

Yahya berkata beliau cepat bertindak kerana mempunyai pengalaman serupa beberapa tahun lepas ketika menghadiri satu karnival masyarakat Kemboja, dan berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak lelaki masyarakat itu yang terperangkap di bawah khemah.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. - Bernama



Sinar Harian

No comments:

Post a Comment