Pages

Saturday, 27 April 2013

EMAS PUNCA PENCEMARAN SUNGAI PINANG

Menurutnya, perindustrian mencuci dan membentuk emas di sepanjang Sungai Pinang antara yang dikenal pasti JPS sebagai lokasi punca pencemaran di sungai berkenaan.


Keadaan Sungai Pinang yang sering menjadi isu topik pencemaran, namun masih tidak dapat diselesaikan.

Emas punca pencemaran Sungai Pinang


GEORGETOWN - Percaya atau tidak emas antara punca berlakunya pencemaran di Sungai Pinang, iaitu salah satu sungai paling tercemar teruk di negeri ini.
Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Jabatan Pengairan Saliran (JPS) Pulau Pinang, Mohamad Nor Hafiz Noor Azmi.
Menurutnya, perindustrian mencuci dan membentuk emas di sepanjang Sungai Pinang antara yang dikenal pasti JPS sebagai lokasi punca pencemaran di sungai berkenaan.

“Terdapat dua kilang perindustrian emas di sana yang kami kenal pasti antara penyumbang kepada pencemaran ini sejak Program 1Negeri 1Sungai mula wujud.

“Ini kerana adanya bahan kimia yang digunakan untuk mencuci emas ini namun kecantikannya ‘membunuh’ sungai,” katanya.

Kerja membersihkan emas melibatkan sejenis bahan seperti merkuri, yang mana mampu membersihkan kotoran yang terdapat pada emas.

Namun, merkuri berkenaan mampu merosakkan paru-paru selain menjadi penyumbang kepada pencemaran udara dan juga air.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNIDO) juga menganggarkan 15 juta pelombong emas serta ahli keluarga mereka yang terlibat dengan kerja memproses emas menyebabkan kerosakan dan kematian otak.


Bukti, JPS menyenaraikan perindustrian emas antara penyumbang pencemaran


Darah haiwan

Mohamad Nor Hafiz berkata, selain emas, turut dikenal pasti menjadi ‘pembunuh’ Sungai Pinang satu ketika dahulu ialah darah dari pusat penyembelihan haiwan berhampiran.
Menurutnya, oleh kerana itulah warna sungai berubah daripada warna coklat asal kepada warna hitam akibat tercemar dengan darah haiwan.

“Bagaimanapun, JPS sudah pun mengarahkan pihak yang berkenaan menggunakan sistem yang lebih baik bagi mengelakkan darah ini dari masuk terus ke dalam sungai.

“Sungai Pinang antara sungai utama di negeri ini, selain Sungai Perai dan Sungai Juru,” katanya.
Kedudukan Sungai Pinang yang terletak di dalam sebahagian besar kawasan Georgetown dan juga Jelutong itu turut mempunyai enam anak sungai yang lain.
Ia termasuk Sungai Kecil, Sungai Dondang, Sungai Jelutong, Sungai Air Puteh, Sungai Air Hitam dan Sungai Air Terjun.

Walau bagaimanapun, JPS sendiri tidak menafikan Sungai Jelutong dan Sungai Dondang antara anak sungainya yang sudah tercemar.

Namun, sekiranya pencemaran ini masih lagi gagal dikawal sehingga beberapa tahun akan datang, sudah pastinya sungai lain akan ‘dijangkiti’ perkara yang sama.

Mohamad Nor Hafiz

Tumpu program pemulihan

Program 1Negeri 1Sungai yang diperkenalkan sejak 2002 membolehkan JPS menumpukan Sungai Pinang untuk program pemulihan.

Pada mulanya jangkaan pemulihan dari kelas empat kepada kelas kedua yang lebih baik sehingga 2015 agak tersasar sehingga menyebabkan ia dianjak ke 2020.
Mohamad Nor Hafiz berkata, kini sungai berkenaan berada pada kelas ketiga dan masih gagal mencapai kelas kedua.
Walau bagaimanapiun tahap berkenaan sentiasa berubah mengikut cuaca dan juga sikap manusia.
“Selain daripada sisa industri, kita perlu tahu sikap masyarakat sendiri masih belum cukup berubah bagi menjaga sungai kita,” katanya.
Tidak dinafikan, dahulu sungai adalah sumber pengangkutan masyarakat Pulau Pinang yang menggunakan sampan dan juga perahu kerana kereta lembu mahal.

Namun, kini akibat pembangunan ia sudah semakin dilupakan, walaupun mengikut JPS hanya sungai air terjun yang menjadi sumber bekalan kepada penduduk Pulau Pinang, namun ia akan tidak dapat digunakan lagi jika masyarakat masih alpa.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment