Pages

Sunday, 23 March 2014

MH370: SIAPA WANITA MISTERI HUBUNGI KAPTEN ZAHARIE SEBELUM BERLEPAS?

Ia merupakan panggilan terakhir yang dibuat kepada atau daripada telefon mudah alih Kapten Zaharie Ahmad Shah sebelum Boeing 777 meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac, lapor The Mail, Ahad.

zaharie
Zaharie Ahmad Shah


Kapten Zaharie Terima Panggilan Daripada Wanita Misteri Sebelum Berlepas


PETALING JAYA: Kapten penerbangan MH370 yang hilang menerima dua panggilan daripada wanita misteri dua minit sebelum berlepas menggunakan nombor telefon mudah alih di bawah identiti palsu, lapor sebuah akhbar Inggeris.

Ia merupakan panggilan terakhir yang dibuat kepada atau daripada telefon mudah alih Kapten Zaharie Ahmad Shah sebelum Boeing 777 meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac, lapor The Mail, Ahad.

Penyiasat melihatnya sebagai satu potensi petunjuk yang penting kerana sesiapa sahaja yang membeli kad sim pra-bayar di Malaysia perlu mengisi borang dengan memberi nombor kad pengenalan atau nombor pasport.

Diperkenalkan sebagai langkah anti-keganasan selepas peristiwa 9/11, ini bagi memastikan setiap nombor adalah berdaftar dan boleh dijejaki.

Tetapi dalam kes ini polis hanya mengesan nombor tersebut diperolehi dari kedai yang menjual kad sim di Kuala Lumpur.

Mereka mendapati ia telah dibeli 'baru-baru ini' oleh seseorang yang menggunakan nama wanita, tetapi telah menggunakan identiti palsu.

Penemuan itu menimbulkan kebimbangan kemungkinan adanya kaitan antara Kapten Zaharie, 53, dan kumpulan pengganas yang anggotanya sering menggunakan kad sim yang tidak boleh dikesan.

Mereka yang lain yang telah bercakap dengan juruterbang itu melalui telefon beberapa jam sebelum penerbangan berlepas telah ditemuramah.

Dalam perkembangan berasingan, The Mail
pada Ahad difahamkan bahawa penyiasat kini bersedia untuk menyoal isteri Zaharie yang dikatakan telah berpisah dengan suaminya itu dengan lebih terperinci.
Pasangan ini mempunyai tiga orang anak, tetapi difahamkan masih tinggal sebumbung.

Pemanggil misteri muncul apabila penyiasat Malaysia meneliti rekod telefon Zaharie dan pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid.

Penyiasat berminat untuk mengesan pemanggil dan menemu bual mereka, walaupun mereka menegaskan hakikat bahawa kad sim itu telah didaftarkan dengan kad identiti yang tidak wujud tetapi ia tidak semestinya menunjukkan ia mempunyai kaitan dengan jenayah atau keganasan. - The Straits Times / ANN

mStarOnline

KEPUTUSAN PRK DUN KAJANG: WAN AZIZAH MENANG | KEKAL MILIK PKR

Keputusan PRK Dun Kajang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Kajang N25, Datuk Hassan Nawawi di Stadium Majlis Perbandaran Kajang , Bandar Baru Bangi pada jam 9.12 minit malam dengan Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi.
Wan Azizah menang, Kajang kekal milik PKR
Wan Azizah bersama Anwar dan pemimpin lain meraikan kejayaan PKR mengekalkan penguasaan di Kajang. - Foto Sinar Harian oleh Afiq Razali


Wan Azizah menang, Kajang kekal milik PKR

KAJANG - Kerusi Dun Kajang terus kekal milik PKR setelah calonnya, Datin Seri Wan Aizah Wan Ismail menang Pilihan Raya Kecil ( PRK) N25 menewaskan calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Keputusan PRK Dun Kajang diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Dun Kajang N25, Datuk Hassan Nawawi di Stadium Majlis Perbandaran Kajang , Bandar Baru Bangi pada jam 9.12 minit malam dengan Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi.
Kemenangan tersebut mengulangi keputusan pada PRU13 lalu apabila PKR menang dengan majoriti 6,824 undi.

Kemenangan PKR telah dijangka awal apabila tempat pengumuman telah mula sesak dipenuhi penyokong PR yang berhimpun sejak 6 petang sebelum keputusan diumumkan.

Menyedari kemenangan dalam tangan, Wan Azizah turut hadir bersama Anwar tepat jam 9 malam bersama pemimpin PR lain antaranya Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan lain-lain pemimpin PR.

Manakala tiada penyokong BN yang hadir pada pengumuman dilakukan menyaksikan BN tewas kepada PKR sejak dua PRU iaitu pada 2008 dan 2013.

Sementara itu, sejumlah 38,055 pengundi berdaftar di kawasan Dun Kajang menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih bagi memilih wakil rakyat yang baharu.

Sebanyak 15 pusat mengundi yang dibuka seawal pukul 8 pagi disediakan bagi proses pengundian biasa PRK Kajang dengan 88 peti undi termasuk undi pos.

Proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang dengan peratusan keluar mengundi adalah 72.1 peratus.

Undi ditolak adalah sebanyak 176 dengan peratus perbezaan undi adalah 19.14 peratus.

PRK Kajang diadakan selepas Adun Kajang, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan tanpa sebab pada 27 Januari lepas bagi memberi peluang kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Bagaimanapun, Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail diangkat sebagai Sdun Kajang yang baru setelah menggantikan Anwar apabila ketua pembangkang itu tidak layak untuk bertanding kerana gagal dalam kes liwat di Mahkamah Rayuan.

Pada PRU-13, Lee menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.



Sinar Harian

MH370 23 MAC 2014: KENYATAAN MEDIA OLEH PEMANGKU MENTERI PENGANGKUTAN

Pagi tadi, Malaysia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek-objek yang berpotensi di sekitar koridor selatan. Malaysia dengan segera menyalurkan imej ini kepada pusat koordinasi penyelamat Australia.   

Hishamuddin Tun Hussein
Hishamuddin Tun Hussein

Kenyataan media oleh pemangku Menteri Pengangkutan

KUALA LUMPUR - Berikutan kenyataan media oleh Kementerian Pengangkutan mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 hari ini.
    
  
1. Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat


a. Operasi mencari dan menyelamat tetap menjadi usaha antarabangsa yang diselaraskan oleh Malaysia. Beberapa negara mengetuai misi pencarian di kawasan masing-masing dan semua negara terlibat mempamerkan tahap kerjasama yang tidak pernah berlaku dahulu.
 
b. Pagi tadi, Malaysia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek-objek yang berpotensi di sekitar koridor selatan. Malaysia dengan segera menyalurkan imej ini kepada pusat koordinasi penyelamat Australia.   

 c. Dua buah pesawat Ilyushin IL-76s China telah tiba di Perth, dan akan berlepas bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat esok pada 05:00 dan 06:00.

d. Dua buah pesawat P3 Orion Jepun hari ini berlepas dari lapangan terbang Subang menuju Perth.

e. Pusat Koordinasi Menyelamat Australia akan menggerakkan lapan pesawat (empat pesawat tentera dan empat pesawat awam) ke koridor selatan hari ini untuk menjalankan pencarian visual.

f. Kapal Pertahanan Australia ‘Ocean Shield’, yang dilengkapi "sub-sea remotely operated vehicle" kini dalam pelayaran ke koridor selatan.

g. Sehingga pukul 2:30 petang waktu Malaysia, para pegawai Australia telah memaklumkan kepada kita bahawa mereka belum menghasilkan apa-apa penemuan baharu berhubung MH370.

h. Sebuah pesawat P8 Poseidon tentera laut India dan sebuah pesawat C130 Tentera Udara India berlepas dari lapangan terbang Subang hari ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di bahagian utara koridor selatan, yang diketuai oleh Indonesia.

i. Beberapa penerbangan lain dari lapangan terbang Subang ke koridor selatan dibatalkan hari ini kerana cuaca buruk disebabkan oleh taufan Gillian.

j. Australia, China dan Perancis kini menyiarkan imej satelit yang menunjukkan objek berpotensi yang mungkin ada kaitannya dengan MH370, di perkarangan koridor selatan. Semua maklumat ini telah disalurkan kepada Australia, sebagai negara yang mengetuai misi pencarian di kawasan berkenaan.   

   
2.      Taklimat keluarga

 
a.  Pasukan peringkat tertinggi Malaysia mula memberi taklimat di Beijing pagi tadi untuk sanak saudara penumpang MH370. Taklimat itu berlangsung lebih enam jam. Ini merupakan taklimat ketiga seumpamanya yang diadakan. Pasukan itu menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga dan menjawab soalan. Kerajaan ingin mengulangi komitmen dan usaha yang berterusan kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370.


3.      Perkembangan terkini mengenai transmisi alat Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).

a.  Transmisi terakhir ACARS, yang dihantar pada 1.07 pagi menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa. Transmisi pada 1.07 pagi itu menunjukkan rutin biasa sepanjang masa ke Beijing.
   
- Bernama



SH

Saturday, 22 February 2014

8 REMAJA DISEDUT PASIR JERLUS | SATU DEMI SATU 'DITELAN SUNGAI'

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya, tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang cuba membantu turut hilang. 

8 DISEDUT PASIR JERLUS
8 REMAJA DISEDUT PASIR JERLUS | SATU DEMI SATU 'DITELAN SUNGAI'


8 DISEDUT PASIR JERLUS


Satu demi satu ‘ditelan sungai’

Segamat: “Ya Allah... Zikri... Ayoi... tolong aku.” Itu ungkapan terakhir mangsa pertama tragedi lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap, dekat sini, yang mengorbankan tiga remaja manakala lima lagi rakan mereka masih hilang, semalam.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, Mohd Hafizuddin Kamal, 16, yang berjalan di kawasan berpasir di sungai itu bersama 11 rakannya, tiba-tiba tergelincir ke dalam sungai itu sebelum tujuh rakannya yang cuba membantu turut hilang. 

Sehingga jam 11 malam tadi, tiga mayat ditemui iaitu Mohd Hafizul Daniel Norhashim, Mohd Zikri Zaidi dan Naz-rul Aminuddin. 

Ketiga-tiga mayat itu ditemui dasar sungai berhampiran satu sama lain.

Daripada lapan remaja berkenaan, dua daripada mereka adalah adik beradik, iaitu Mohd Zikri dan abangnya, Mohd Zaki.

Empat lagi rakan mangsa, Mohd Shahrul Abd Halim, 14; Mohd Amerul Shah Ammar, 14; Hafizuddin Zamri, 15; Norshafila Abdullah, 16, terselamat kerana tidak terjun ke dalam sungai selepas melihat satu demi satu kawan baik mereka ‘ditelan sungai’.

Semua remaja berkenaan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Buloh Kasap.

Pasir jerlus

Kejadian dipercayai berpunca daripada pasir jerlus di Sungai Muar dekat Buloh Kasap, yang seolah-olah ‘menyedut’, mangsa apabila terpijak dasar sungai itu.

Apabila mangsa memijak dasar sungai yang mencecah kedalaman sehingga enam meter, kaki terbenam dan ‘disedut’ sehingga gagal menyelamatkan diri.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk So’iman Jahid, berkata lokasi mempunyai kedalaman lebih berbanding tempat lain kerana kegiatan mengorek pasir dilakukan di kawasan itu.

“Cuaca panas sejak kebelakangan menyebabkan air sungai menjadi cetek sehingga terbentuknya teluk dan beting pasir jerlus di tengah sungai,” katanya.

Sebelum kejadian itu, 12 remaja berkenaan dari Taman Mewah, yang terletak kira-kira dua kilometer dari sungai itu, berjoging di tepi sungai berkenaan.

Mereka yang berjoging kira-kira jam 6.30 pagi, singgah menghirup udara pagi di tepi Sungai Muar berhampiran lokasi kejadian.

Mohd Shahrul berkata, ketika berada di tepi sungai itu, ada dalam kalangan mereka mengingati sesama sendiri supaya tidak pergi ke gigi air kerana bimbang terjatuh.

“Belum habis bercakap, tiba-tiba Mohd Hafizuddin tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai dan tangan terkapai-kapai.

“Pada mulanya, kami ingatkan dia bergurau, tetapi apabila dia tenggelam, Mohd Izoan dan Mohd Noreen terus terjun untuk menyelamatkannya.

“Apabila melihat Mohd Izoan dan Mohd Noreen tidak juga timbul, Mohd Zikri dan Nazrul Aminuddin pula terjun bagi menyelamatkan mereka,” katanya.

Dalam keadaan cemas dan panik, Nazrul atau dikenali Ayoi, meminta rakannya yang terkapai-kapai dalam sungai supaya bersabar dan mengarahkan rakan di darat mencari tali dan kayu.

Bagaimanapun, belum sempat empat rakan yang berada di darat mendapatkan tali atau kayu, Ayoi turut tenggelam.

Nekad terjun 

Melihatkan seorang demi seorang rakan mereka hilang, Mohd Shafiq dan Mohd Hafizul Daniel, nekad terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, kedua-duanya turut mengalami nasib yang sama.

Mohd Shahrul berkata, Mohd Zaki pula tanpa berfikir panjang, terus terjun untuk menyelamatkan tujuh rakan yang sudah tenggelam, tetapi dia juga tenggelam.

“Kami berempat tergamam apabila melihat kelapan-lapan teman baik semuanya tidak timbul,” katanya sambil menambah kejadian itu berlaku dalam masa kurang lima minit.

Sementara itu, Mohd Amerul Shah berkata, dia yang panik dan terkejut, menelefon ibu dan bapa mangsa untuk mendapatkan bantuan.

Norshafila, satu-satunya perempuan dalam kumpulan itu, berlari pulang ke rumah bagi memaklumkan kepada keluarga.


Berita Harian

Saturday, 18 January 2014

KES BUNUH 3 BERADIK SELESAI: POLIS TEMUI BAHAN BUKTI FIZIKAL

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata polis menemui bukti itu selepas membawa dua suspek lelaki berusia 19 tahun, yang ditahan pada Rabu lepas, ke tempat kejadian di Alor Senibong di sini petang semalam.

bunuh 3 beradik
Muka depan Sinar Harian edisi Utara hari ini

Temui bukti, kes bunuh tiga beradik selesai

ALOR SETAR - Polis Kedah dapat menyelesaikan kes pembunuhan tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini pada November lepas berikutan penemuan beberapa bahan bukti fizikal.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata polis menemui bukti itu selepas membawa dua suspek lelaki berusia 19 tahun, yang ditahan pada Rabu lepas, ke tempat kejadian di Alor Senibong di sini petang semalam.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai penemuan bukti itu oleh sepasukan anggota Unit Forensik.

"Kita akan membuat siasatan lebih rapi untuk kumpul semua bukti fizikal yang ditemui sebelum membuat pendakwaan di mahkamah. Saya tidak boleh beritahu apa bahan bukti kerana tidak mahu menjejaskan proses pendakwaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Ahmad berkata dua suspek itu dikatakan mengenali mangsa kerana jarak rumah suspek dan mangsa ialah kira-kira 150 meter.

Beliau berkata mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Gelam berhampiran Jalan Datuk Kumbar antara 5.30 petang dan 11 malam pada Rabu lepas, hasil maklumat awam.

"Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah pecah rumah dan dadah," katanya.

Kedua-dua suspek yang menganggur ditahan reman bermula semalam hingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di kawasan sawah Alor Senibong kira-kira 3.45 petang pada 30 November lepas manakala mayat adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui di gigi air sungai di Kampung Padang Tani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka, pada keesokannya.

Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira 7.30 malam pada 29 November lepas untuk ke rumah seorang rakan Noor Syafikah Nadia di Kampung Gelam, yang berdekatan dengan kampung mereka.

Namun, mereka tidak pulang ke ruma sehinggalah mayat mereka ditemui dalam keadaan menyayat hati. - Bernama



Sinar Harian

MIMPI AYAH GENAP 44 HARI KEMATIAN 3 ANAK JADI PETUNJUK

Rusdi berkata, dirinya bermimpi arwah anak perempuan sulungnya, Nor Syafikah Nadia, 14, memberi beberapa bayangan kepada dirinya mengenai siapa penyebab kematian mereka.

bunuh 3 beradik
Muka depan Sinar Harian edisi Utara hari ini

Mimpi ayah jadi petunjuk?

ALOR SETAR - Bapa mangsa pembunuhan kejam tiga beradik Rusdi Rani, 38, mendakwa mengalami mimpi pelik genap 44 hari kematian tiga anaknya.

Rusdi berkata, dirinya bermimpi arwah anak perempuan sulungnya, Nor Syafikah Nadia, 14, memberi beberapa bayangan kepada dirinya mengenai siapa penyebab kematian mereka.

“Along datang dengan wajah berseri-seri menemui saya, sambil memaklumkan nama seorang lelaki. Dia cakap pada saya. Abah kalau ingin selesai kes kami cepat, pergilah tangkap lelaki itu.

“Kemungkinannya, petunjuk yang diperolehi dalam mimpi saya merupakan hasil solat hajat dilakukan setiap hari selepas Solat Isyak dengan harapan suspek segera dikesan,” katanya.

Susulan mimpi dialaminya, Rusli memaklumkan dia membuat satu laporan polis berhubung mimpi terbabit, sambil menyatakan nama lelaki yang diberikan arwah anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, dekat sini, keesokan harinya.

Difahamkan, mimpi dialami Rusdi pada Selasa lepas dipercayai menjadi petunjuk kepada penahanan dua suspek kes tersebut kelmarin, bagaimanapun, dia tidak mahu mendedahkan nama lelaki yang dikatakan arwah anaknya dalam mimpinya itu.


Sinar Harian

Friday, 17 January 2014

SYAMSUL YUSOF BELI RUMAH RM 1 JUTA DI LOKASI MEWAH

Dan nampaknya, pengarah muda Syamsul Yusof memang sudah benar-benar bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai suami orang. Hits mendapat tahu, dalam usia 30 tahun, pengarah KL Gangster ini sudahpun mempunyai pelbagai aset, termasuklah baru saja membeli sebuah rumah bernilai lebih RM1 juta di satu lokasi mewah di Kuala Lumpur.

SYAMSUL YUSOF BELI RUMAH RM 1 JUTA DI LOKASI MEWAH 


Beli rumah RM 1 juta

DIAM-diam merisik anak dara orang. Tetapi jangan anggap semua dilakukan secara mengejut tau. Ia adalah persediaan yang telah dirancang awal oleh bakal pengantin dan keluarga mereka, cuma tidak menghebahkannya kepada orang lain, termasuk media.

Dan nampaknya, pengarah muda Syamsul Yusof memang sudah benar-benar bersedia untuk mengambil tanggungjawab sebagai suami orang. Hits mendapat tahu, dalam usia 30 tahun, pengarah KL Gangster ini sudahpun mempunyai pelbagai aset, termasuklah baru saja membeli sebuah rumah bernilai lebih RM1 juta di satu lokasi mewah di Kuala Lumpur.

Syamsul juga sebelum ini memandu kenderaan mewah jenis Hummer yang tidak akan mampu dipakai oleh anak muda biasa kecuali anak orang kaya dan ternama. Hebat dan bertuah sungguh anak produser jutawan ini, memang jadi cemburu banyak pihak.

Ia datang daripada usaha Syamsul sendiri, dibantu oleh doa dan semangat kedua ibubapanya yang tidak pernah lokek memberi. Sebab itu, Pegarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan ke-24 (2010 dan 2011) ini mendapat rezeki yang murah, atas doa dan semangat kedua ibubapanya. Seharusnya perlu jadi dorongan kepada anak muda lain juga untuk berjaya.

Bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam pada awalnya enggan bercakap soal peribadi anaknya itu. Menganggap ia sebagai urusan keluarga, menurut Yusof, adalah kurang manis kalau dia bercakap bagi pihak anaknya. Namun setelah diberitahu agak sukar untuk mendapatkan komen tuan punya badan sendiri, Yusof seperti biasa, tidak akan menghampakan pihak media yang bertanya.

Dia tidak menafikan, beberapa persediaan sudah dilakukan oleh Syamsul dalam melalui fasa baru kehidupannya untuk bergelar suami orang.

"Tentang rumah itu, lebih baik tanya kepada dia sendirilah. Bagaimanapun, pada saya tidak salah kalau dia mahu ada aset sendiri, rumah dan kereta sendiri untuk masa depannya. Sebelum berkeluarga sendiri, dia sudah ada itu semua, jadi itu akan memberi manafaat kepada dirinya dan bakal isteri, serta anak-anak mereka kelak," kata Yusof.

Menurut Yusof, Syamsul selama ini telah bekerja keras dan tidak salah jika ingin menghargai diri sendiri dengan memiliki rumah kediaman mengikut keupayaannya diri.

"Saya memang mengalakkan anak-anak supaya menyimpan, buat aset sedari muda. Ia bukan untuk saya dan isteri, tetapi untuk mereka sendiri kerana selepas ini, merekalah yang akan meneruskan kehidupan dengan keluarga masing-masing.

"Saya dan isteri sudah tua, sampai masa kami akan pergi menghadap Illahi. Mereka akan tinggal dan meneruskan legasi kami. Saya harap selepas ini mereka akan meneruskan apa juga perkara baik yang pernah kami suami isteri lakukan," kata Yusof lagi.



Utusan Malaysia 

SCHA ALYAHYA DISAHKAN HAMIL

Berita gembira itu dikongsi Awal menerusi laman sosial Facebook kira-kira jam 5 petang hari ini.

Scha Alyahya hamil
Awal turut memuat naik gambar ujian imbasan bakal bayi mereka. Foto ihsan FB Awal Ashaari


Scha Alyahya hamil

PELAKON cantik, Scha Alyahya disahkan hamil oleh suaminya yang juga pengacara terkenal, Awal Ashaari.

Berita gembira itu dikongsi Awal menerusi laman sosial Facebook kira-kira jam 5 petang hari ini.

Awal turut memuat naik gambar ujian imbasan bakal bayi mereka.

“Salam Jumaat. Syukur alhamdulillah. Kami sangat gembira untuk mengumumkan bahawa kami menantikan anak pertama kami.

“Kini, kandungan Scha sudah masuk ke trimester kedua dan kami sangat bersyukur dengan rezeki ini,” tulisnya.

Awal turut mengucapkan terima kasih buat semua yang mendoakan mereka.

“Terima kasih buat semua yang selalu mendoakan kami dan moga semuanya berjalan lancar. Amin,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 setelah tiga tahun bercinta.



Sinar Harian

Sunday, 22 December 2013

BENARKAH MALAYSIA BANKRAP 9 TAHUN LAGI?

Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.


Malaysia
BENARKAH MALAYSIA BANKRAP 9 TAHUN LAGI?

Malaysia bankrap 9 tahun lagi?

PERKARA paling menakutkan untuk kita bayangkan ialah jika negara jatuh bankrap yang sudah pasti akan membawa rakyat kepada suatu kehidupan yang memeritkan, terpaksa menganggur dan harga barang melambung.

Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.

Menurut MRS, Malaysia mungkin akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika polisi yang diamalkan sekarang diteruskan dengan mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.

Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar.

Malangnya, sebahagian besar rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.

Golongan ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan kerana kos sara hidup tinggi, terutama mereka yang tinggal di bandar besar.

Kerajaan seharusnya bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai munasabah supaya masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi ditarik semula.

MRS ditubuhkan untuk mengkaji langkah sesuai dalam merasionalisasikan pemberian subsidi agar kesan pemansuhan atau pengurangannya tidaklah sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing berupaya mengukuhkan ekonomi negara.

Langkah yang seperti ini sangat penting untuk memastikan negara kekal berdaya saing sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang telus dan mapan.

Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.
Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika negara masih mengekalkan subsidi termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.

Kalau benar disebabkan subsidi negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan.

Ini kerana tiada rakyat yang mahu negaranya bankrap sekali gus lebih teruk menjejaskan berbanding kehidupan yang dilalui sekarang.

Bagaimanapun timbul persoalan dalam isu tingkat pendapatan, apakah dengan apa yang diperolehi majoriti hari ini, rakyat Malaysia mampu hidup selesa dalam keadaan kos hidup mencanak sedangkan tangga gaji di takuk lama?

Usaha kerajaan melalui Model Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba menumpukan peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dan mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.

Bagaimanapun, apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata tahunan?

Jika kenaikan pendapatan per kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?

Apakah kerajaan boleh beri jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?

Atau adakah kerajaan perlu cari jalan memastikan negara kompetitif dan pendapatan rakyat meningkat serta kemudian baru hapuskan subsidi berperingkat?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media semalam, bahawa kerajaan sedang mencari jalan melindungi dan mengurangkan kesan kenaikan kos hidup (dalam konteks ayat beliau merujuk kepada kenaikan tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab persoalan itu bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang mekanisme sesuai untuk mengatasi masalah itu.

Atas sebab itulah, di sebalik tindakan mengurangkan atau menghapuskan subsidi yang sebagaimana disebut perdana menteri bahawa sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di mana-mana juga menjerit dan
membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.

Inilah yang meresahkan sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat kerajaan harus mencari langkah paling sesuai untuk menangani masalah ekonomi sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997, bukan dengan terus meletakkan beban kepada rakyat.

Lebih-lebih lagi isu pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran kerajaan.

Sedangkan negara semaju Amerika Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisme perlindungan industri negaranya.

Subsidi tanaman jagung, kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.

Walaupun ia menyebabkan barangan komoditi negara sedang membangun terjejas, tetapi dari segi pertanggungjawaban AS terhadap industri dan rakyat, tidak boleh dipertikaikan.

Dalam konteks negara kita, bolehkah kerajaan memberik statistik pulangan dari segi daya saing dan gandaan yang bakal diperolehi daripada langkah penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan mengunjurkan peningkatan pendapatan rakyat hasil tindakan ini?

Kalau kenaikan tepung tahun depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya 25 sen, maka sehingga 2015, harga tepung akan meningkat kepada RM1.20 iaitu lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum dikira lain-lain barang
kawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat ditetapkan MBE bagi tempoh sama?

Kalau pendapatan kita tinggi, secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100 pun tidak berbeban.

Sama juga dengan harga minyak, bagi yang mampu dan mempunyai kereta yang cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000 pun tidak menjadi masalah jika minyak RM2.50 seliter.

Sejauh manakah MRS yang akan dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatan kuasa yang serius dan komited memantau kenaikan harga barangan untuk menyekat kenaikan harga.

Katanya, bukan rakyat yang patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih efektif.


Sinar Harian

GEMPAR! HUJAN AIS LANDA PERAK

Mohamad Kamal Abdul Latiff, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rata-rata peniaga pasar malam yang baru memulakan perniagaan dikejutkan dengan kehadiran angin kencang dan hujan lebat berupa ketulan ais.

Peniaga gempar hujan ais landa Perak
Keadaan khemah peniaga di satu lokasi di bandar Taiping. Ketulan hujan batu (dalam bulatan) yang melanda sekitar bandar Taiping, kelmarin dibandingkan dengan saiz syiling 10 sen.

Peniaga gempar hujan ais landa Perak

TAIPING – “Rasa seperti ada batu-batu kecil menyakiti tubuh saya,” itu antara pengalaman dirasai seorang peniaga dalam satu kejadian ribut, di sini, kelmarin.

Mohamad Kamal Abdul Latiff, 35, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rata-rata peniaga pasar malam yang baru memulakan perniagaan dikejutkan dengan kehadiran angin kencang dan hujan lebat berupa ketulan ais.

Menurutnya, ketika kejadian, dia baru sahaja membuka khemah untuk menjual hasil laut.

"Bagaimanapun, tidak sampai 10 minit, tiba-tiba hujan lebat melanda diikuti ribut hingga menyebabkan beberapa khemah hampir tumbang.

“Saya bersama pekerja terpaksa menahan khemah dari diterbangkan angin, ketika itulah saya dapat rasa tubuh saya seperti dihujani batu-batu kecil,” katanya.

Mohamad Kamal berkata, insiden tersebut pertama kali berlaku sepanjang 10 tahun dia berniaga di kawasan berkenaan.

“Memang tak sangka, lebih-lebih lagi saya sendiri yang alaminya.

"Susulan kejadian ini, hampir semua peniaga tak jadi berniaga dan  mengemas barang dan peralatan masing-masing,” katanya.

Difahamkan, selain merosakkan khemah peniaga, beberapa papan tanda turut tumbang akibat ribut namun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.



Sinar Harian

JOHAN AS'ARI MASIH TETAP TUNGGU SHILA AMZAH!

Malah pelantun Patah Seribu itu pernah membuat kenyataan tidak akan menerima Johan dan hubungan mereka tidak akan sama seperti dulu lagi.

Shila Amzah, Johan,
JOHAN AS'ARI MASIH TETAP TUNGGU SHILA AMZAH!


Johan tetap tunggu Shila!

SEBELUM ini, umum tahu tentang keakraban pelakon Juvana, iaitu Johan As’ari bersama penyanyi, Shila Amzah. Namun, selepas pelakon itu membuat pengakuan untuk melamar Lana Nordin, hubungannya dengan Shila Amzah agak dingin.

Malah pelantun Patah Seribu itu pernah membuat kenyataan tidak akan menerima Johan dan hubungan mereka tidak akan sama seperti dulu lagi.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan pendirian pelakon Juvana ini. Menyedari Shila menukar nombor telefon dan menyekat laman sosialnya, Johan berkata, hatinya tetap terbuka untuk Shila dan menyifatkan hubungan mereka tetap seperti biasa.

“Saya masih menganggapnya sebagai teman saya. Sekiranya Shila mahu meminta sokongan daripada saya, saya tetap akan menyokongnya, dan berkawan semula dengannya seperti biasa.

“Kerana hubungan yang terbina adalah berteraskan perasaan kasih sayang yang lahir antara makhluk. Jika dia mahu, dia boleh menghubungi saya bila-bila masa saja. Saya tetap menerimanya dan menganggap sebahagian daripada saya,” katanya.

Menurut Johan, dia tidak rasa hubungan persahabatan yang dibina bersama Shila akan terputus begitu sahaja, memandangkan hubungan kekeluargaan mereka sangat rapat.

“Hubungan keluarga antara kami sangat rapat. Malah, Shila tetap menghubungi ibu saya, dan saya percaya hubungan mereka akan kekal baik selamanya,” katanya yang menganggap hubungan yang terjalin adalah kasih sayang yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada semua makhluknya.

Namun, apabila ditebak mengenai Shila yang dikatakan tidak mahu menerima Johan atas alasan sendiri, Johan agak terkejut.

“Apa pun, saya tetap akan bersahabat dengan Shila selamanya.

Hubungan ini tidak akan putus. Saya masih dan tetap menyayangi Shila selamanya.

“Sebagai seorang sahabat, seperti yang selalu saya katakan, saya akan tetap mendoakan kebahagiaannya sampai bila-bila. Dan berharap dia berjaya dan gembira,” katanya yang menganggap penyanyi itu sebagai adiknya sejak awal perkenalan lagi.

Belum bawa Lana jumpa ibu

Meskipun dalam fasa perkenalan dengan cinta barunya itu, Lana Nordin, Johan bagaimanapun mengakui masih belum membawa kekasih hatinya itu untuk berjumpa keluarganya.

Jelas Johan, dia akan membawanya untuk berjumpa keluarganya pada masa yang betul-betul sesuai.

“Saya masih belum bawa Lana jumpa keluarga. Nanti ada masa yang betul-betul sesuai saya akan membawanya,” katanya yang mengakui keduanya sibuk dengan karier masing-masing.


Sinar Harian

Saturday, 21 December 2013

KECUAIAN KAKITANGAN PUSAT KESIHATAN PUNCA ANAK MATI?

Muhamad Sardi Saad, 37 dan isterinya Fadilah Ab Wahab, 43, dari Alor Lintang sedang mendapatkan khidmat guaman untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan bagi mendapat pembelaan.

Anak mati lepas dapat rawatan
Muhamad Sardi dan Fadilah menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung kes kematian anaknya. Gambar Kecil: Allahyarham Ulya Insyirah

Anak mati lepas dapat rawatan

JERTIH - Pasangan guru bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah pusat kesihatan dekat sini, kerana mendakwa kecuaian kakitangannya sehingga menyebabkan anak perempuan mereka meninggal dunia pada 6 Disember lalu.

Muhamad Sardi Saad, 37 dan isterinya Fadilah Ab Wahab, 43, dari Alor Lintang sedang mendapatkan khidmat guaman untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan bagi mendapat pembelaan.

Pasangan terbabit kecewa kerana mendakwa layanan diterima ketika membawa anak mereka mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berkenaan pada 5 Disember lalu amat tidak memuaskan.

Menurut Muhamad, dia membawa anak perempuannya, Ulya Insyirah, 4 tahun dua bulan ke sana pada tarikh berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas anak bongsu daripada tiga beradik itu muntah-muntah kira-kira jam 3 pagi hari sama.

Rawatan diberi tak memuaskan hati

Dakwanya, setiba di unit kecemasan kira-kira jam 9.40 pagi, doktor bertugas mengarahkan supaya anaknya berdiri di atas alat penimbang kemudian dibaringkan di atas katil pesakit.

Mereka tidak berpuas hati kerana mendakwa doktor tidak membuat pemeriksaan sebagaimana lazim, termasuk memeriksa tekanan darah dan denyutan nadi, sebaliknya terus memasukkan air.

Dakwanya lagi, dua doktor bertugas dibantu seorang jururawat cuba memasukkan jarum di tangan anaknya untuk mencari urat darah tetapi tidak berjaya.

“Selepas lebih tiga jam berada di unit kecemasan, Ulya Insyirah kemudian dimasukkan ke wad di pusat kesihatan berkenaan. Pada peringkat awal dimasukkan air, keadaan anak saya kembali aktif dan dapat makan.

“Bagaimanapun selepas Maghrib hari sama, isteri saya lihat keadaan anak saya menunjukkan perubahan luar biasa apabila kaki dan tangannya kelihatan bengkak (sembab).

“Kami bertambah kecewa dengan jawapan seorang doktor dan jururawat yang datang membuat pemeriksaan harian apabila menjawab tidak tahu punca bengkak,” katanya.

Terlebih dimasukkan air

Muhamad berkata, dia memberitahu pihak pusat kesihatan kemungkinan anaknya terlebih dimasukkan air kerana diberi air secara berterusan walaupun keadaannya sudah pulih.

“Akhirnya pihak pusat kesihatan membuat ujian Sinar X (x-ray) dan terbukti diakui terdapat sedikit lebihan air, sehingga memasuki paru-paru anak saya,” katanya.

Menurutnya, pada malam itu keadaan anaknya semakin lemah dan menjadi kritikal apabila pernafasannya tidak normal.

Dakwanya, kelemahan pihak pusat kesihatan juga jelas ketika anaknya semakin teruk pelbagai masalah timbul di dalam wad, seperti ketiadaan soket elektrik berhampiran katil, selain kakitangan di situ terpaksa mencari di merata tempat tabung oksigen kerana kehabisan oksigen menyebabkan kelewatan bantuan diberi kepada anaknya.

Akhirnya setelah keadaan Ulya Insyirah bertambah serius, dia dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu hanya kira-kira jam 5.30 pagi, 6 Disember.

Kata Muhamad Sardi, sebaik tiba di HSNZ, pada jam 6.50 pagi anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (INCU) namun, pada jam 8.05 pagi anaknya disahkan meninggal dunia oleh doktor.

Buat laporan polis

Berikutan rasa tidak puas hati terhadap cara pihak pusat kesihatan memberi rawatan terhadap anaknya, Muhamad Sardi kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, Kampung Raja, pada 12 Disember.
“Kami sebenarnya akur dan reda dengan kematian Ulya Insyirah kerana itu kehendak ALLAH. Namun, rasa sedih dan kecewa dengan cara kakitangan pusat kesihatan membuat pemeriksaan dan merawat mangsa menyebabkan saya terpaksa bawa perkara ini ke atas,” katanya.

Menurutnya, paling penting, kes seumpama ini diharap tidak akan berulang dan menimpa pesakit lain yang mendapatkan rawatan di pusat kesihatan itu.

Kes dalam siasatan

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar ketika dihubungi memberitahu, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap kes tersebut.

Katanya, walaupun tidak menerima laporan sekalipun pihaknya tetap akan menjalankan siasatan kerana sememangnya prosedur kementerian yang menetapkan satu siasatan dilakukan sekiranya berlaku kematian membabitkan
kanak-kanak di bawah umur lima tahun di pusat kesihatan.

“Siasatan kes ini diketuai oleh seorang doktor pakar kanak-kanak dari HSNZ bersama pasukannya dan sedang menyiasat dari pelbagai sudut termasuk menilai pihak pusat kesihatan itu mahupun HSNZ mematuhi Prosedur
Operasi Standard (SOP).

Kata beliau, siasatan dilakukan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak.


Sinar Harian

GURU PENOLONG KANAN WANITA DIDAKWA RAKAM VIDEO TERLAMPAU

Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Guru penolong kanan terlampau
Lizah dan Muhamad Usman dihadapkan ke mahkamah majistret semalam.

Guru penolong kanan terlampau

AYER KEROH - Seorang guru penolong kanan dan kekasihnya yang merupakan warga Pakistan dihadapkan ke mahkamah majistret di sini, semalam atas pertuduhan merakam video lucah di dalam sebuah rumah, November lalu.

Tertuduh, Lizah Buang, 49 dan Muhamad Usman Ali Liqat, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan yang didakwa ke atas mereka di hadapan Majistret, Mohd Firdaus Saleh.

Berdasarkan pertuduhan, Lizah dan Muhamad Usman didakwa bersama-sama merakam video lucah atau yang bertentangan dengan kesopanan awam.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Bukit Beruang Utama kira-kira jam 8.30 pagi pada 16 November 2013.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara maksima lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM3,000 terhadap Lizah, namun membantah jaminan terhadap Muhamad Usman yang merupakan warga asing.

Bagaimanapun, Lizah ketika rayuan memohon supaya jumlah wang jaminan dikurangkan memandangkan dia menanggung enam anak serta suaminya yang sakit dan tidak bekerja. Sementara itu, Muhamad Usman juga merayu supaya dibenarkan jamin terhadapnya yang mempunyai isteri di Pakistan.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, Mohd Firdaus kemudian membenarkan Lizah diikat jamin RM2,500 sementara Muhamad Usman RM10,000 dengan dua penjamin serta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tarikh sebutan kes bagi lantikan peguam ditetapkan pada 23 Januari 2014.



Sinar Harian