Pages

Showing posts with label Punca kematian 3 beradik di Alor Setar Kedah. Show all posts
Showing posts with label Punca kematian 3 beradik di Alor Setar Kedah. Show all posts

Saturday, 18 January 2014

KES BUNUH 3 BERADIK SELESAI: POLIS TEMUI BAHAN BUKTI FIZIKAL

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata polis menemui bukti itu selepas membawa dua suspek lelaki berusia 19 tahun, yang ditahan pada Rabu lepas, ke tempat kejadian di Alor Senibong di sini petang semalam.

bunuh 3 beradik
Muka depan Sinar Harian edisi Utara hari ini

Temui bukti, kes bunuh tiga beradik selesai

ALOR SETAR - Polis Kedah dapat menyelesaikan kes pembunuhan tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini pada November lepas berikutan penemuan beberapa bahan bukti fizikal.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata polis menemui bukti itu selepas membawa dua suspek lelaki berusia 19 tahun, yang ditahan pada Rabu lepas, ke tempat kejadian di Alor Senibong di sini petang semalam.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai penemuan bukti itu oleh sepasukan anggota Unit Forensik.

"Kita akan membuat siasatan lebih rapi untuk kumpul semua bukti fizikal yang ditemui sebelum membuat pendakwaan di mahkamah. Saya tidak boleh beritahu apa bahan bukti kerana tidak mahu menjejaskan proses pendakwaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.

Ahmad berkata dua suspek itu dikatakan mengenali mangsa kerana jarak rumah suspek dan mangsa ialah kira-kira 150 meter.

Beliau berkata mereka ditahan di rumah masing-masing di Kampung Gelam berhampiran Jalan Datuk Kumbar antara 5.30 petang dan 11 malam pada Rabu lepas, hasil maklumat awam.

"Seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah pecah rumah dan dadah," katanya.

Kedua-dua suspek yang menganggur ditahan reman bermula semalam hingga 22 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat Noor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui di kawasan sawah Alor Senibong kira-kira 3.45 petang pada 30 November lepas manakala mayat adik-adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemui di gigi air sungai di Kampung Padang Tani, Langgar kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka, pada keesokannya.

Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira 7.30 malam pada 29 November lepas untuk ke rumah seorang rakan Noor Syafikah Nadia di Kampung Gelam, yang berdekatan dengan kampung mereka.

Namun, mereka tidak pulang ke ruma sehinggalah mayat mereka ditemui dalam keadaan menyayat hati. - Bernama



Sinar Harian

MIMPI AYAH GENAP 44 HARI KEMATIAN 3 ANAK JADI PETUNJUK

Rusdi berkata, dirinya bermimpi arwah anak perempuan sulungnya, Nor Syafikah Nadia, 14, memberi beberapa bayangan kepada dirinya mengenai siapa penyebab kematian mereka.

bunuh 3 beradik
Muka depan Sinar Harian edisi Utara hari ini

Mimpi ayah jadi petunjuk?

ALOR SETAR - Bapa mangsa pembunuhan kejam tiga beradik Rusdi Rani, 38, mendakwa mengalami mimpi pelik genap 44 hari kematian tiga anaknya.

Rusdi berkata, dirinya bermimpi arwah anak perempuan sulungnya, Nor Syafikah Nadia, 14, memberi beberapa bayangan kepada dirinya mengenai siapa penyebab kematian mereka.

“Along datang dengan wajah berseri-seri menemui saya, sambil memaklumkan nama seorang lelaki. Dia cakap pada saya. Abah kalau ingin selesai kes kami cepat, pergilah tangkap lelaki itu.

“Kemungkinannya, petunjuk yang diperolehi dalam mimpi saya merupakan hasil solat hajat dilakukan setiap hari selepas Solat Isyak dengan harapan suspek segera dikesan,” katanya.

Susulan mimpi dialaminya, Rusli memaklumkan dia membuat satu laporan polis berhubung mimpi terbabit, sambil menyatakan nama lelaki yang diberikan arwah anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, dekat sini, keesokan harinya.

Difahamkan, mimpi dialami Rusdi pada Selasa lepas dipercayai menjadi petunjuk kepada penahanan dua suspek kes tersebut kelmarin, bagaimanapun, dia tidak mahu mendedahkan nama lelaki yang dikatakan arwah anaknya dalam mimpinya itu.


Sinar Harian

Monday, 2 December 2013

KES BUNUH 3 BERADIK: PELAJAR 16 TAHUN DITAHAN POLIS

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pelajar itu yang merupakan kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Arau, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Foto
KES BUNUH 3 BERADIK: PELAJAR 16 TAHUN DITAHAN POLIS


Kes bunuh 3 beradik: Remaja 16 tahun ditahan


ALOR SETAR 2 Dis. - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kematian tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pelajar itu yang merupakan kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Arau, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

"Pelajar itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di sini pukul 3.45 petang Sabtu lalu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih memilukan, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang semalam dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Biarpun mereka ditemui mati lemas, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh.

Menurut Adzaman, pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan pelajar terbabit dengan mangsa menerusi siasatan teliti melibatkan segenap aspek.

"Setakat ini polis sudah mengambil keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam ini," katanya. - UTUSAN ONLINE


Utusan Malaysia

POLIS: KEMATIAN 3 BERADIK DI KEDAH BUKAN TRAGEDI BIASA

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Polis: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa
Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat dua beradik yang ditemui dalam tali air. - Foto Sinar Harian oleh NOR FAIZAL GHAZALI

Berita Berkaitan :




Polis: Kematian 3 beradik bukan tragedi biasa

ALOR SETAR - Misteri kehilangan tiga beradik sejak Jumaat lalu, terjawab apabila kesemua mereka ditemui meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati di dua lokasi berasingan.

Noor Syafikah Nadia, 14, ditemui orang awam dalam keadaan tertiarap dan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang berhampiran kawasan bendang di Kampung Alor Senibong, Langgar, semalam.

Manakala dua adiknya Nur Izzati Husna, 12, dan Putri Nurul Akmal, 3, ditemui kira-kira jam 3 petang, hari ini dalam keadaan terapung dalam tali air Terusan Mada Kampung Padang Petani, dekat sini.

Dalam kejadian berkenaan, Noor Syafikah, anak sulung kepada pasangan Rusdi Rani, 38, dan Siti Aishah Ariffin, 40, keluar rumah bersama dua adiknya di Jalan Datuk Kumbar, di sini, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.

Tiga beradik itu ke rumah seorang kawannya yang terletak di Kampung Gelam kira-kira 15 minit dari rumah mereka.

Bagaimanapun mereka tidak pulang ke rumah walaupun sudah lewat malam membuatkan pasangan berkenaan membuat laporan polis berhubung kehilangan anak mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 2 pagi, Sabtu.

Pencarian mereka membawa kepada penemuan motosikal yang dinaiki ketiga-tiga mangsa berada dalam keadaan baik di pondok menunggu bas dalam keadaan berkunci.

Penemuan mayat Noor Syafikah terus menimbulkan keresahan keluarga kerana dua adiknya lagi masih gagal dikesan.

Bagaimanapun selepas kira-kira sejam selepas jenazah Noor Syafikah dikebumikan, hari ini, keluarga terbabit dikejutkan dengan penemuan mayat dua lagi anak mereka yang merungkai kehilangan tiga beradik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim menyifatkan kejadian berkenaan bukanlah tragedi biasa.

Menurut beliau, selepas penemuan mangsa pertama, bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan lemas dan pihaknya tidak menemui kesan-kesan lain pada badan mangsa.

“Kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan seksual termasuk rogol melainkan kesan calar pada bahagian belakang mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Manakala dua mayat yang baru ditemui akan dibedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian mereka,” katanya ketika ditemui media di lokasi kedua penemuan mayat di Terusan Mada Kampung Padang Petani, hari ini.

Tambah beliau, polis turut menemui sehelai seluar berhampiran mangsa kedua tetapi masih belum dapat dikenal pasti sama ada seluar itu kepunyaan mangsa pertama atau sebaliknya.

“Kita akan minta mak dan ayah mangsa untuk buat pengecaman seluar yang ditemui dan akan meminta pihak hospital membuat bedah siasat secepat mungkin.

“Saya ingat ini bukan kejadian biasa disebabkan ketiga-tiga mangsa ditemui di lokasi berasingan,” katanya.

Ahmad berkata, pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyiasat kes terbabit.



Sinar Harian