Pages

Showing posts with label Tarikh PRU13. Show all posts
Showing posts with label Tarikh PRU13. Show all posts

Sunday, 14 April 2013

PRU13: PENJAWAT AWAM CUTI TANPA REKOD 5 DAN 6 MEI?

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pemberian cuti itu penting untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam  terutama yang bekerja di bandar, pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.


Presiden Cuepacs, Omar Osman
Datuk Omar Osman

PRU13: Cuepacs minta cuti 5 dan 6 Mei


KUALA LUMPUR - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta supaya menimbang memberi cuti tanpa rekod pada 5 dan 6 Mei ini kepada penjawat awam yang ingin balik ke kampung untuk mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata pemberian cuti itu penting untuk menggalakkan lebih ramai penjawat awam  terutama yang bekerja di bandar, pulang ke kampung atau kawasan mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.

Walaupun hari mengundi pada 5 Mei adalah hari Ahad, tetapi ada beberapa negeri yang merupakan hari bekerja pada hari tersebut,  katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Kongres Cuepacs di sini, hari ini.

"6 Mei, yang jatuh pada hari Isnin, Cuepacs minta agar penjawat awam ini diberi cuti supaya mereka tidak terburu-buru untuk balik  ke tempat kerja terutama bagi yang bekerja mengikut syif.

"Bayangkan, kalau penjawat awam itu bekerja di Kuala Lumpur dan mengundi di Kelantan mungkin susah atau mungkin ada yang  terpaksa ambil cuti sendiri," katanya.

Omar juga turut mencadangkan kepada JPA untuk membenarkan penjawat awam mengeluarkan 20 peratus daripada jumlah   ganjaran perkhidmatan masing-masing pada usia 50 tahun.

Pengeluaran itu bagi membolehkan kira-kira 1.4 juta penjawat awam menampung perbelanjaan mereka atau menggunakan wang  berkenaan untuk menyelesaikan sebarang pinjaman kewangan sebelum berpencen, katanya.

Menyentuh mengenai sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini, beliau berkata Cuepacs akan mengadakannya di Negeri Sembilan  dengan tema "Cuepacs Pejuang Kebajikan Pekerja." - Bernama



Sinar Harian

Wednesday, 10 April 2013

PRU13 TERKINI : PENAMAAN CALON 20 APRIL, UNDI 5 MEI

Empat peraturan baharu akan diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian iaitu  penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.


PRU13 TERKINI


Penamaan calon 20 April, undi 5 Mei


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 April sebagai hari penamaan calon manakala pengundian akan diadakan pada 5 Mei.

Dalam pada itu pengundian awal akan diadakan pada 30 April.

Ketiga- tiga tarikh itu ditetapkan pada mesyuarat khas yang diadakan di sini sebentar tadi.

Berdasarkan keputusan hari ini, tempoh berkempen selama 15 hari diperuntukkan. Tempoh berkempen pada pilihan raya umum 2008 ialah selama 13 hari.

Ketika mengumumkan tarikh-tarikh itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, seramai 13,268,002 rakyat Malaysia layak mengundi kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang digazetkan esok.

Pilihan raya umum kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun.

SPR mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk menentukan tarikh pengundian dan pencalonan bagi PRU13 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu dan Dun antara 3 dan 5 April.

Sebelum dibubarkan, komposisi Dewan Rakyat menyaksikan BN menguasai 137 kerusi, selebihnya DAP (29), Pas (23), PKR (23), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (Kita) masing-masing satu kerusi. Lapan lagi kerusi disandang anggota Parlimen Bebas.

Abdul Aziz berkata, SPR telah menerima pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 3 April 2013 berhubung pembubaran Dewan Rakyat.

Semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak telah dibubarkan setakat 5 April dan menurut Fasal 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran.

Sarawak telah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011.

Abdul Aziz berkata, SPR menetapkan writ pilihan raya dikeluarkan esok dan notis pilihan raya pada Jumaat, 12 April.

Beliau berkata, berdasarkan daftar pemilih, terdapat 12,992,661 pemilih biasa dan 275,341 pengundi awal.

Pengundi awal terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan; 111,136 anggota polis dan pasangan; serta 2,954 pengundi tidak hadir (pengundi di luar negara).

Abdul Aziz berkata, sebanyak RM400 juta diperuntukkan untuk pengendalian PRU13 melibatkan 234,905 petugas pilihan raya.

Untuk tujuan pengundian keseluruhan, SPR menyediakan 8,789 pusat mengundi dengan 26,219 tempat/saluran mengundi.

Bagi pengundian biasa, 8,245 pusat mengundi dengan 25,337 saluran mengundi akan disediakan, manakala pengundian awal membabitkan 544 pusat mengundi dengan 882 tempat/saluran mengundi.

Empat peraturan baharu akan diperkenal pada pilihan raya kali ini ke arah penambahbaikan proses pengundian iaitu  penggunaan dakwat kekal; pengundian awal oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang kurang upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik pencalonan.

Peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 (Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 (Pindaan) 2012.

Ia diwartakan tahun lepas. Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi. Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mereka.

Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk mengundi awal.



Sinar Harian

Friday, 5 April 2013

PRU13 : SPR TENTUKAN TARIKH 10 APRIL

"SPR menerima perisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April (Rabu lepas). Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali Dun Sarawak pula, SPR telah menerima perisytiharan pembubaran DUN masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

PRU13
PRU13

SPR tentukan tarikh PRU13 10 April


SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Rabu depan untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya itu juga akan menetapkan tarikh pengundian awal dan menentukan daftar pemilih pilihan
raya umum berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat Rabu lalu, yang akan membuka laluan kepada PRU13.
Setakat tengah hari kesemua Dun telah dibubarkan.
"SPR menerima perisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah berhubung pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April (Rabu lepas). Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri kecuali Dun Sarawak pula, SPR telah menerima perisytiharan pembubaran DUN masing-masing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pembubaran Dewan Rakyat dan Dun itu adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri-negeri tersebut yang memberi laluan kepada SPR untuk mengadakan PRU13.
Kamaruddin berkata menurut Fasal (4) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, SPR perlu mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.
"Peruntukan yang sama turut terkandung dalam Perlembagaan Negeri-negeri tersebut bagi maksud mengadakan pilihan raya umum bagi Dun," katanya.


Sinar Harian