Pages

Showing posts with label Kubur Misteri. Show all posts
Showing posts with label Kubur Misteri. Show all posts

Monday, 24 June 2013

GEMPAR! SIAPA FIRDAUS ALIF WONG PEMILIK KUBUR MISTERI TAK IKUT ARAH KIBLAT?

"Kemudian saya bersama sebahagian kariah masjid bergegas ke lokasi kubur misteri terbabit dan terkejut melihat sebuah kubur misteri berada di kawasan berkenaan malah langsung tidak menyangka penemuan itu," katanya.

Hassan (kiri) bersama penduduk Kampung Sungai Baru menunjukkan kubur misteri berkenaan.

Gempar jumpa kubur misteri tak ikut arah kiblat


ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Sungai Baru, Gunung Keriang, dekat sini, gempar berikutan penemuan satu kubur misteri di kawasan Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayatul Solehin, Sungai Baru Gunung.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, penggali kubur, Harun Abdullah, 62, menemui sebuah kubur mencurigakan ketika dia hendak menjalankan kerja menggali liang lahad.

“Pada 18 Jun baru-baru ini ada orang meninggal dunia, jadi pakcik pergi ke tanah perkuburan seperti biasa untuk melakukan kerja yang diperlukan termasuklah mengenalpasti lokasi bersesuaian.

“Namun, ketika sedang mencari lokasi berkenaan, secara tiba-tiba pakcik melihat satu kubur yang tidak pernah ada sebelum ini, pelik dengan kemunculan secara tiba-tiba itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Harun berkata, kubur berkenaan kelihatan masih baru, malahan terdapat sejambak bunga yang hampir layu di atas kubur itu.

Menurutnya, berdasarkan pengamatan dan pengalamannya menjaga tanah perkuburan itu selama 10 tahun ini, kedudukan kubur misteri berkenaan berada di kawasan asing, sedangkan jika sesiapa dikebumikan, dia mengetahui lokasinya.

"Bimbang kewujudan kubur misteri terbabit mempunyai unsur mencurigakan, saya terus memaklumkan perkara ini kepada Imam masjid untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Imam Masjid Hidayatul Solehin, Hassan Ahmad, 83, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara terbabit kerana sedia maklum jika ada kematian pastinya dimaklumkan kepadanya.

”Jika berlakunya kematian di kampung kami, maka akan diadakan bacaan doa mahupun talkin. Namun, kali ini tanpa ada sebarang sembahyang jenazah ataupun doa, muncul kubur entah datang dari mana secara tiba-tiba.

"Kemudian saya bersama sebahagian kariah masjid bergegas ke lokasi kubur misteri terbabit dan terkejut melihat sebuah kubur misteri berada di kawasan berkenaan malah langsung tidak menyangka penemuan itu," katanya.

Katanya, kubur bertulis nama Firdaus Alif Wong berkenaan menimbulkan tanda tanya kepada penduduk kerana bukan sahaja dipercayai tidak mengikut arah kiblat malah seakan-akan baru digali.



Sinar Harian

Tuesday, 9 April 2013

POLIS TEMUI 31 BUNGKUSAN PASIR TERTANAM DALAM KUBUR MISTERI

Kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah di sini disedari oleh orang awam kelmarin sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Anggota polis menggali kubur tersebut yang menimbulkan pertanyaan kepada penduduk sekitar.

Misteri kubur, polis temui 31 bungkusan pasir


KOTA BHARU - Misteri kubur yang digali tanpa kelulusan terlerai apabila sebanyak 31 bungkusan pasir ditemui tertanam di dalamnya.

Kejadian yang berlaku di Tanah Perkuburan Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah di sini disedari oleh orang awam kelmarin sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Setiap bungkusan pasir tersebut ditandakan dengan nombor bermula dari nombor 1 sehingga ke 31.Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian yang dipercayai berlaku empat hari lepas itu disedari oleh orang awam di sekitar kawasan kejadian.

“Mengikut aduan, mereka melihat dua lelaki bermotosikal membawa bungkusan dan menggali lubang di kubur tersebut pada malam hari.

Lubang yang digali adalah sedalam 1.07 meter dan panjang 2.1 meter serta lebar 0.9 meter,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng dan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman.

Operasi menggali kubur misteri tersebut dilakukan pada jam 1.10 petang semalam dan mengambil masa selama setengah jam.


Jalaluddin (dua,kanan) dan Azham (kanan) melihat bungkusan pasir yang ditemui.


Menurutnya, kesemua bungkusan pasir tersebut diserahkan kepada kepada pihak forensik untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, penduduk kampung, Syed Ahmad Syed Salleh, 62, berkata, kali terakhir keluarganya menggunakan kubur tersebut adalah pada tahun 1965 ketika mengebumikan jenazah adiknya.

“Kubur ini sudah lama terbiar dan tidak digunakan oleh penduduk kampung selepas tokong Cina dibina bersebelahan dengan kawasan perkuburan,” katanya.

Manakala pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie berkata, beliau tidak menolak kejadian tersebut mengandungi unsur-unsur kurafat dan tujuan pemujaan.

“Ini kerana kes seperti ini pernah berlaku di Johor satu ketika dulu. Kebiasaannya sebelum upacara tersebut, bacaan mentera dan jampi serapah mesti dilakukan untuk tujuan tersebut.

“Bacaan tersebut bagi membolehkan mereka mencapai kehendak dan hajat sebagaimana yang diinginkan,” katanya.

Menurutnya, selain itu kebanyakan mereka yang menjalankan aktiviti tersebut melakukannya di tanah perkuburan lama bagi tujuan pemujaan.

Beliau yang merupakan pengasas Pusat Rawatan Islam At- Tobibi, Nilai, Negeri Sembilan itu menasihati orang ramai supaya menjauhi aktiviti tersebut yang boleh merosakkan akidah umat Islam.



Sinar Harian