Pages

Showing posts with label Keputusan Rasmi Pilihan Raya Umum Ke 13. Show all posts
Showing posts with label Keputusan Rasmi Pilihan Raya Umum Ke 13. Show all posts

Monday, 6 May 2013

KEPUTUSAN MAJORITI UNDI PARTI KEADILAN RAKYAT MEROSOT


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun dapat mengekalkan kubu kuatnya Permatang Pauh, tetapi pilihan raya umum kali ini menyaksikan sokongan terhadap beliau merosot apabila meraih majoriti 11,721 undi berbanding pilihan raya kecil 2008 dengan majoriti 15,671 undi.

PRU13

Keputusan majoriti undi PKR merosot


KUALA LUMPUR: Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) menyaksikan majoriti undi Parti Keadilan Rakyat (PKR) merosot meskipun berjaya menambah empat lagi kerusi Parlimen menjadikan 30 kesemuanya berbanding 26 kerusi pada pilihan raya umum 2008. 

Pertambahan empat kerusi itu diperoleh daripada Batu Pahat, Johor, Bukit Katil di Melaka, Penampang di Sabah serta Miri di Sarawak. 

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun dapat mengekalkan kubu kuatnya Permatang Pauh, tetapi pilihan raya umum kali ini menyaksikan sokongan terhadap beliau merosot apabila meraih majoriti 11,721 undi berbanding pilihan raya kecil 2008 dengan majoriti 15,671 undi.

Turut tidak terkecuali anak Anwar, Nurul Izzah dan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang memperoleh undi yang merosot walaupun dapat mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai dan Gombak. 

Nurul Izzah memperoleh majoriti tipis 1,847 undi mengalahkan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin berbanding PRU 2008 dengan majoriti 2,895 undi. 

Mohamed Azmin pula memperoleh majoriti 4,734 undi daripada 6,867 undi yang diperolehnya pada PRU 2008. 

Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Fuziah Salleh serta anggota Majlis Tertinggi PKR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berjaya menambah majoriti masing-masing di kerusi Parlimen Batu, Kuantan dan Bandar Tun Razak.
 
Muka baru yang ditonjolkan PKR iaitu Mohd Rafizi Ramli yang juga Pengarah Strategi parti itu berjaya menawan kerusi Parlimen Pandan dengan majoriti 26,729 undi mengalahkan Lim Chin Yee daripada Barisan Nasional (BN) dan calon bebas, Tan Yew Leng. 

Selain itu, tiga pemimpin utama PKR iaitu Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Chua Jui Meng dan Dr Abdul Aziz Bari tewas dalam percubaan mereka kali ini untuk merebut kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Segamat dan Sabak Bernam kepada calon BN. 

Saifuddin yang merupakan Setiausaha Agung PKR sebelum ini adalah anggota Parlimen Machang dan Jui Meng pula adalah Naib Presiden dan juga Pengerusi PKR Johor, menyertai PKR pada 2009 manakala Abdul Aziz adalah bekas pensyarah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merupakan calon baru parti itu pada PRU13. 

Pada pilihan raya umum kali ini, PKR bertanding 99 kerusi Parlimen dan menang 30 kerusi berbanding PRU 2008, di mana parti itu bertanding 95 kerusi dan menang 31. 

Bagaimanapun lima anggota Parlimen PKR bertindak keluar parti dan menjadi anggota parlimen Bebas sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi yang dimiliki PKR ialah 26 kerusi pada pilihan raya umum 2008. 

PRU13 juga menyaksikan pakatan rakyat membentuk kerajaan di Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang. 

Di Selangor, PKR memiliki 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen, Kelantan dengan satu kerusi DUN manakala Pulau Pinang dengan 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen. - BERNAMA

Berita Harian

BARISAN NASIONAL TAWAN SEMULA KEDAH | TAMBAH KERUSI DI KELANTAN


BN juga berjaya mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang didakwa kononnya akan dimenangi pakatan pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Johor, dan Perak. 
PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak melaungkan Hidup BN ketika mengumumkan kemenangan pilihanraya umum ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
May 6, 2013 2:33 am

PRU13: BN berjaya kekalkan penguasaan di negeri-negeri, tawan semula Kedah


KUALA LUMPUR: Prestasi Barisan Nasional (BN) pada keseluruhannya baik dengan berjaya mengekalkan penguasaan di negeri-negeri selain menawan semula Kedah dan menambah kerusi di Kelantan. 

BN dapat membentuk kerajaan di negeri jelapang padi selepas menang 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. BN berjaya menambah sebanyak tujuh kerusi daripada hanya 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008. 

Di Kelantan, BN menangi 12 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 2008. 

Enam kerusi yang ditambah adalah Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor. 

Selain itu, prestasi baik BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga di Melaka, Pahang, Perlis dan Sabah. 

BN juga berjaya mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang didakwa kononnya akan dimenangi pakatan pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Johor, dan Perak. 

Parti gabungan turut kekal memerintah Terengganu setelah memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi yang ditandingi. 

Bagaimanpun BN masih gagal menebus kekalahan di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang terlepas ke tangan pakatan pembangkang pada pilihan raya tahun 2008. - BERNAMA 


Berita Harian