Pages

Showing posts with label KL Gangster 2 Bocor. Show all posts
Showing posts with label KL Gangster 2 Bocor. Show all posts

Thursday, 5 September 2013

KL GANGSTER 2 DISABOTAJ: POLIS SERAH KEPADA SKMM & KPDNKK UNTUK SIASAT

Beliau berkata, polis sudah meneliti laporan itu dan mendapati ia lebih menjurus kepada skop siasatan SKMM dan KPDNKK.


KL GANGSTER 2 DISABOTAJ: POLIS SERAH KEPADA SKMM & KPDNKK UNTUK SIASAT
- Gambar Carian Google

KL Gangster 2: Polis serah kepada SKMM, KPDNKK

KUALA LUMPUR - Polis menyerahkan kes mensabotaj filem KL Gangster 2, yang dimuat naik di laman video perkongsian YouTube sebelum tarikh penayangan, kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, polis menerima laporan berhubung kes filem arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof, itu pada 4 petang Isnin lepas yang dibuat bapanya Datuk Yusof Haslam.

Beliau berkata, polis sudah meneliti laporan itu dan mendapati ia lebih menjurus kepada skop siasatan SKMM dan KPDNKK.

"Kita dapati ia lebih mirip kepada dua agensi terbabit dan sudah serah kepada mereka kelmarin untuk tindakan selanjutnya.

"Walaupun siasatan sudah dirujuk kepada dua agensi berkenaan, kita masih membantu mereka untuk mengenal pasti individu yang terlibat dalam memuat naik filem itu di YouTube," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Syed Ismail berkata dalam laporan sama, Yusof turut mendakwa filem itu juga sudah dibuat dalam bentuk video cakera padat (VCD) dan dijual di pasar malam.

"Kita sudah arahkan anggota kita untuk buat pemeriksaan di kawasan pasar malam bagi menyiasat dakwaan itu," katanya, sambil menambah setakat ini tiada tangkapan dibuat kerana siasatan masih di peringkat awal.

Filem itu dijangka ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober.

Syamsul menerusi akaun Facebook miliknya sebelum ini memberitahu Skop Production dan Grand Brilliance akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit memuat naik dan mengedarkan filem itu di mana-mana media. - Bernama


Sinar Harian

Wednesday, 4 September 2013

KL GANGSTER 2: YUSOF HASLAM PERTIKAI TUGAS PIHAK BERKUASA?

Sedikit beremosi ketika itu, Yusof turut mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa yang sehingga kini masih belum dapat menangkap 'dalang' sebenar penyebaran filem itu.


Bocor: 'Saya akan saman berjuta ringgit!'
Datuk Yusof Haslam

Yusof Haslam pertikai tugas pihak berkuasa?

“SAYA bertegas sebelum ini kerana ia pertama kali berlaku dan ia melibatkan industri perfileman," ujar Datuk Yusof Haslam berhubung kelantangannya mempertikaikan tugas pihak berkuasa dalam menangani kebocoran filem terbitannya, KL Gangster 2.

Menerusi program hiburan di sebuah stesen televisyen, Yusof bersama beberapa pelakon KL Gangsters, meluahkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku ke atas filem itu.

Sedikit beremosi ketika itu, Yusof turut mempersoalkan kredibiliti pihak berkuasa yang sehingga kini masih belum dapat menangkap 'dalang' sebenar penyebaran filem itu.

Akui tertekan dengan apa yang berlaku, Yusof bagaimanapun tidak bermaksud memperkecilkan tugas pihak berkuasa.

Jelasnya, sehingga kini hubungannya dengan pihak berkuasa, terutamanya pihak polis masih terjalin dengan baik.

"Saya berbesar hati apabila pihak berkuasa mengambil serius perkara ini dan saya berharap siasatan ini berakhir dengan segera.

"Kita tidak mahu perbuatan keji yang dilakukan dalang ini akan berulang pada masa depan," katanya.

Dengan nada kesal apabila filem hasil titik peluh anaknya, Syamsul, menjadi mangsa cetak rompak dengan harga RM5, Yusof sangat berharap pihak berkuasa dapat menangani kegiatan itu daripada terus berleluasa.

"Saya tahu VCD berkenaan masih banyak terjual di luar sana. Maka saya sangat berharap pihak berkuasa akan membanteras dengan sebaik mungkin.  

"Apa yang berlaku ini adalah satu penghinaan terhadap industri dan ia juga dapat menjadi pengajaran kepada semua penggiat filem supaya terus berhati-hati dalam sebarang urusan," katanya.



Sinar Harian