Pages

Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Sunday, 21 April 2013

FILEM OBLIVION KUASAI BOX OFFICE | KUTIP RM40.36 JUTA DALAM 2 HARI

Buah tangan pengarah filem, Joseph Kosinski ini dijangka mendapat lebih RM115.3 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.

Oblivion sarat aksi futuristik
Oblivion sarat aksi futuristik

Oblivion kuasai box office


FILEM Oblivion menguasai carta 'box office’ hujung minggu dengan kutipan RM40.36 juta hanya dalam dua hari tayangan.
Filem lakonan hero terkenal, Tom Cruise itu mula ditayangkan 19 April.

Buah tangan pengarah filem, Joseph Kosinski ini dijangka mendapat lebih RM115.3 juta dalam tempoh tiga hari tayangan.

Ia bakal menjadi empat pembukaan terbesar bagi tahun 2013, di belakang Oz The Great and Powerful (RM240 juta), The Croods (RM132.3 juta),  dan G.I. Joe: Retaliation (RM122.9 juta).

Filem yang berlatarbelakangkan bumi pada masa depan ini akan membawa penonton mengikuti kehidupan Jack Harper (Tom Cruise) yang penuh kecelaruan dan sedikit sebanyak turut meninggalkan pelbagai tanda tanya kepada penonton.



Sinar Harian

Thursday, 4 April 2013

FILEM LANGGAR | BAKAL TEMUI PENONTON 11 APRIL 2013

“Ini boleh dikatakan ‘comeback’ kami untuk filem aksi. Bagi saya, Langgar bukan setakat hanya filem aksi. Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang menuntut balas dendam. Tapi ia bukan tentang gengsterisme. Ia tentang hidup seorang lelaki yang dimusnahkan oleh gangster,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Filem Langgar
Adi Putra memegang watak Nizam dalam Langgar. - Foto ihsan produksi Langgar

Langgar bukan filem aksi kosong


SETELAH dua tahun filem Langgar ‘disimpan’, akhirnya hasil sentuhan pertama Syed Hussein atau Sein itu bakal menemui penonton 11 April ini.

Untuk percubaan pertama, hasilnya boleh dibanggakan malah hanya satu babak saja yang dipotong bagi membolehkan filem itu diklasifikasikan sebagai 18.

Menurut penerbitnya, Gayatri Su-Lin Pillai, filem Langgar bukan setakat filem aksi.

“Seperti sebelum ini, Tayangan Unggul tak buat hiburan yang kosong. Setelah meneliti 15 draf skrip, kami yakin dengan jalan ceritanya. Kini, kami gembira dengan hasilnya. Filem ini bukan hanya tentang cerita tipikal gangster.

“Ini boleh dikatakan ‘comeback’ kami untuk filem aksi. Bagi saya, Langgar bukan setakat hanya filem aksi. Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang menuntut balas dendam. Tapi ia bukan tentang gengsterisme. Ia tentang hidup seorang lelaki yang dimusnahkan oleh gangster,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Menyentuh tentang peluang yang diberikan pihaknya kepada pengarah-pengarah baru termasuk Sein untuk menapak dalam industri, beliau akui ia merupakan matlamat Tayangan Unggul untuk melahirkan pelapis.

“Matlamat kami adalah untuk melahirkan pelapis untuk industri. Untuk pengarah yang pertama kali mengarah, dia memang memenuhi apa yang kami nak.

“Saya puas hati dengan hasil Langgar. Apabila anda menonton, anda tidak akan tahu bahawa dia pengarah yang pertama kali mengarah,” katanya.

Langgar mengisahkan tentang Nizam yang ingin menuntut keadilan atas kematian isteri dan anaknya dalam kandungan yang dibunuh oleh sekumpulan gangster.

Demi membalas dendam, Nizam bertindak menyertai kumpulan gangster bagi mendekatkan diri dengan pembunuh isteri dan anaknya.

Konflik semakin hebat apabila pergaduhan demi pergaduhan berlaku antara gangster-gangster tersebut.

Penceritaan yang tidak meleweh membuatkan penonton tidak bosan malah aksi-aksi yang dipamerkan cukup mendebarkan.
Langgar dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Adi Putera, Namron, Hans Isaac, Natasha Hudson, Khir Rahman dan Bell Ngasri.

Sinar Harian

Monday, 25 March 2013

LAHAD DATU BUAT SAYA RASA NAK BERPERANG - AR BADUL

Ya, anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga tentera.

AR Badul
Salah satu babak dalam filem Darah Satria


AR Badul: 'Lahad Datu buat saya rasa 
nak berperang'


Filem Darah Satria dan Prebet Lapok cukup hebat suatu ketika dahulu. Paling terkesan filem Darah Satria yang mana memperlihatkan perjuangan tentera menentang komunis di hutan. Realitinya hari ini, ia dianggap lebih kurang sama dengan situasi yang berlaku di Lahad Datu, Sabah.
Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelawak terkenal, AR Badul punyai seribu satu kenangan mengenai hidup ala tentera. Berkampung dalam tempoh lama bagi menyiapkan filem tersebut, sudah pasti Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie terasa terkesan apabila ada yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan kita di Sabah. Wartawan Sinar Harian, HASLI NA KAMALUDIN dan NOR FAIZAL GHAZALI bersama jurufoto ZULFADHLI ZAKI mendapatkan reaksi Badul mengenai insiden ini


Bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem Darah Satria?

Idea ini bermula daripada produser ketika itu yang mahukan genre berbeza daripada cinta. Tetapi dalam masa sama, tidak meninggalkan terus elemen cinta dalam filem. Menerusi perbincangan, kami ambil keputusan untuk mengetengahkan kisah tentera. Mesejnya mudah, iaitu tugas sebagai tentera adalah lain daripada yang lain yang sedia berkorban diri untuk negara. Masih wujud unsur cinta tetapi dengan cara positif di mana tunang anggota tentera ini rela dan mendoakan orang tersayang pergi berjuang di medan perang. Selain berlakon, saya bertindak sebagai penolong pengarah, di samping Datuk Aziz Satar sebagai pengarah.

Bagaimana dengan pra-perfileman, memandangkan ia berkaitan tentera?


Kita sangat bertuah dan berterima kasih kepada Kementerian Pertahanan yang memberi sepenuh sokongan terhadap filem ini. Penggambaran dilakukan dalam kem dan di hutan Gombak. Pegawai tentera ketika itu memberi tunjuk ajar serta latihan kepada kami sebelum memulakan penggambaran. Kami juga dibenarkan menggunakan senjata, lokasi, pakaian sebenar seorang tentera. Kami juga direkrut pegawai khas sepanjang penggambaran.

Berapa kos filem dan berapa lama penggambaran di dalam hutan?


Untuk filem Darah Satria, kos filem mencecah RM100,000. Ia jumlah yang besar pada ketika itu dan merangkumi semuanya termasuk promosi. Kami berkampung selama dua minggu di hutan. Kami melalui kehidupan seperti tentera seperti mengalami sendiri pengalaman tidur dalam khemah, makanan dan semua perkara yang dilakukan tentera. Bukan senang kerana selain daripada pelakon tambahan yang ramai, kami juga menggunakan senjata sebenar. Berat dan kami perlu berhati-hati. Semua ini demi untuk memastikan filem ini sukses.

Apakah kesukaran dalam menyiapkan filem tersebut?


Kami diberi peluang untuk menggunakan helikopter dalam beberapa babak. Kebanyakan aksi dilakonkan pelakon sendiri. Aksi paling sukar adalah situasi di dalam helikopter. Pelakon perlu turun dari helikopter menggunakan tali. Bukan sahaja tinggi, malah angin yang kuat juga menambah kesukaran. Kami hanya diberi latihan terjun tiga hari. Tetapi segala-galanya berjalan lancar. Selain itu, memegang senjata sebenar juga adalah masalah besar buat kami. Kami risau takut perkara yang tidak diingini berlaku.


AR Badul
AR Badul .- Foto Sinar Harian MUHAMMAD ZULFADHLI AHMAD ZAKI

Adakah pada ketika itu mahu menaikkan semangat patriotik rakyat Malaysia?
Pada asalnya, kita hanya ingin tukar tajuk sahaja. Tapi, apabila ditayangkan, mendapat sambutan kerana genre berbeza, ia secara langsung memberi impak positif kepada penonton dan lebih patriotik daripada biasa.
Selain Darah Satria, anda turut terlibat dalam filem ala tentera iaitu Prebet Lapok.


Ya, filem Prebet Lapok, saya diberi peranan utama. Masih mengisahkan hidup ala tentera. Ia juga disampaikan secara ringan iaitu bagaimana kehidupan tentera di kem. Ada juga tentera keluar malam, masalah disiplin dan sebagainya. Filem ini berjaya menarik ramai anak muda ketika itu untuk menyertai tentera. Untuk jadi tentera, hanya perlu ada semangat, disiplin dan rela berkorban nyawa untuk agama, bangsa dan negara.    
Melihat situasi sebenar tentera berperang di Lahad Datu, apakah anda boleh digambarkan?

Pertama, ia mengingatkan kenangan saya berlakon di hutan dulu. Walaupun hanya berlakon, tetapi bukan mudah. Beg dan senjata yang berat. Kami perlu fokus. Melihat apa yang berlaku di depan mata kita ini membuatkan saya terasa ingin berjuang bersama mereka. Saya dapat rasakan betapa sukarnya mereka menjaga keamanan negara kita dan bagaimana mereka perlu berdepan dengan musuh sebenar. Semangat mereka ada dengan saya. Tapi, apa yang boleh, saya hanya doakan yang terbaik. Mereka adalah tentera terlatih. Saya bangga dengan mereka.


Khabarnya, ada antara ahli keluarga anda juga seorang tentera?

Ya, anak lelaki saya adalah komando VAT69. Dia juga dihantar ke Lahad Datu dan juga banyak misi di luar negara. Kerana itu, saya sangat faham perasaan keluarga tentera.

Apakah kewajaran untuk pengarah filem menghasilkan filem patriotik pada masa sekarang?


Kita sebenarnya tidak banyak sejarah perang, soal buat filem itu terserah kepada produser. Pada masa sekarang perlu buat filem yang melambangkan kedaulatan negara dan keperkasaan tentera kita. Jangan buat filem 'pak turut dan pak sangkut' saja yang akan merosakkan institusi Malaysia.

Apakah anda akan menghasilkan filem patriotik?
Kalau ada permintaan saya akan pertimbangkan untuk mengarah.  
Apa komen anda mengenai persepsi yang mempertikaikan perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu?

Negara kita jarang berperang. Kerana itu, mereka seperti tidak ada perasaan kasih sayang. Sudah macam hilang akal dengan melemparkan pelbagai tohmah dan kata-kata negatif. Sedangkan kalau ada berlaku kemalangan jalan raya pun kita rasa simpati. Inikan pula tentera yang ingin mempertahankan kedaulatan negara. Seharusnya mendengar tentera perlu bertugas ke Lahad Datu itu pun kita sudah sugul dan sedih. Apabila kena tembak, mengapa tergamak mengatakan ini sandiwara. Mereka tidak fikir orang lain. Cuba kalau saudara mereka ditembak. Pasti sedih. Inilah yang berlaku apabila wujud pihak-pihak yang tidak pernah fikir perasaan orang. Seolah-olah dalam otak mereka ada 'cip' yang ikut sahaja cakap beberapa pihak yang mengaitkan isu ini dengan politik.

Apakah situasi tentera hari ini melawan Sulu lebih teruk daripada zaman melawan komunis dulu?

Bagi saya, Sulu ni komunis moden. Ada duit, kedudukan dan penyokong. Jika mereka berjaya, mereka akan dapat habuan dan bahagian tertentu. Komunis tidak kerana mereka ada fokus. Saya lihat Sulu tiada fokus. Kenapa mereka mahu Sabah? Mereka muncul tiba-tiba dalam keadaan dan saat sekarang (musim Pilihan Raya).

Bagaimanakah pandangan anda dengan moral rakyat Malaysia terhadap anggota keselamatan?

Pasukan keselamatan perlulah dihormati. Mereka ini harga yang tidak ternilai kepada negara. Sekiranya negara menghadapi perang, merekalah benteng utama, bukan bomba atau jururawat. Tanpa mereka habislah kita. Saya sangat bersimpati kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban. Masyarakat perlu menghargai jasa dan tanggungjawab mereka bukan menghina.
Apakah harapan anda terhadap insiden Lahad Datu ini?

Saya tahu ini adalah detik sukar untuk semua warga Malaysia dan pasukan keselamatan kita. Perkara ini sudah pasti memakan masa agak lama untuk berakhir. Tetapi, saya berharap tidak akan ada lagi kata-kata negatif terhadap pasukan keselamatan. saya berdoa perkara ini akan dapat ditamatkan dengan penuh diplomasi. 

Perlukah kisah Lahad Datu difilemkan sebagai pengajaran kepada generasi akan datang?

Saya rasa ia tidak perlu menjadi filem. Lebih baik dijadikan dokumentari. Pada saya, siapa juga yang nak buat filem, ia tidak lari daripada nak dapat untung. Kalau dokumentari ia akan lebih diberi perhatian. Minta maaf cakap, filem hanya untuk untung. 

Apakah pandangan mengenai seniman atau artis yang memilih politik?

Pada saya, mereka ini tidak jujurlah. Mereka kena tahu apa tujuan masuk politik? Tidak perlu hipokrit. Kalau artis itu mahu bersihkan diri dan dekatkan diri dengan agama, mereka tidak semestinya kena masuk politik. Sepatutnya mereka perlu belajar dulu. Bila mereka masuk platform politik, secara tidak langsung kita akan mengata orang juga, baik masuk pondok. Kita mahu berdakwah, kenalah sedar standard diri kita. Contohi Ustaz Akhil Hayy, belajar dulu betul-betul lepas itu bolehlah nak berceramah dan berdakwah.

Ada sesetengah pihak dilihat terlalu ekstrem dengan politik, bagaimana anda melihat situasi ini?

Pada saya kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam hal politik. Mana yang elok kita turut, tak perlu ekstrem mana-mana parti politik. Siapa pun yang memerintah negara, saya tetap macam ini juga. Kita perlu terbuka, jangan terlalu terikut dengan apa yang orang cakap. Jadi kita ikut mana yang elok, mana yang kita rasa betul. Satu hal lagi, mengapa jika ada pihak yang menghina negara diberi muka? Kenapa kita terlalu berlembut? Minta maaf, paling tidak saman. Kalau orang minum air ketum kita lempang pula. Ini orang yang sah-sah hina negara.



Sinar Harian

Saturday, 23 February 2013

GANGSTER CELOP : BILA DUNIA GANGSTER BERAKHIR...

Menggandingkan dua pelakon, Kamal Adli dan Syamsul Yusof, filem ini juga memperlihatkan aksi pertama blogger terkenal, Hanis Zalikha dan juara Pilih Kasih, Reen Rahim di layar perak.

Gangster Celop
Antara babak dalam Gangster Celop.

- Bila dunia gangster berakhir... -


Jika menerusi filem KL Gangster dipaparkan kisah Malik yang sudah insaf dan mahu ‘mencuci tangan’ dari kerja-kerja samseng yang dilakukan, namun terpaksa berdepan dengan karenah Shark yang terus-terusan mencabarnya.

Lain pula kisahnya dengan Gangster Celop, yang memperlihatkan kisah Aman dan Adam yang sebenarnya mahu ‘mencuci tangan’ tetapi terpaksa menjalankan tugas terakhir iaitu menjadi penjaga bayi.

Namun, bezanya bayi yang dijaga bukanlah seorang bayi, sebaliknya gadis awal 20-an yang juga anak kepada ketua gangster, Mat Jambu.

Begitulah antara jalan cerita yang dipertaruhkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nadzri selaku pengarah, menerusi filem yang membabitkan usaha sama pertama antara Excellent Pictures dan Skop Production.

Menggandingkan dua pelakon, Kamal Adli dan Syamsul Yusof, filem ini juga memperlihatkan aksi pertama blogger terkenal, Hanis Zalikha dan juara Pilih Kasih, Reen Rahim di layar perak.

Meskipun menampilkan filem komedi ringan, namun Idham tidak lupa untuk menyelitkan mesej yang boleh dijadikan pengajaran.

Menurut Idham, penghasilan filem ini bukan hanya meletakkan aksi dan komedi semata, sebaliknya setiap babak itu mempunyai mesej buat penonton.



Gangster Celop
Antara babak dalam Gangster Celop.



“Sejak penghasilan Mael Lambong lagi, saya melihat filem komedi sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Ini kerana, penonton sebenarnya gemar menonton sebuah filem yang ringan dan mudah difahami.

“Oleh kerana itu, timbulnya idea buat saya menghasilkan filem ini dan lebih bangga apabila Datuk Yusof Haslam sudi untuk bekerjasama, selepas perbincangan dari perbualan kosong, sekarang ia sudah menjadi kenyataan,” ujarnya.

Menjelaskan penggunaan perkataan ‘Ayahanda’  yang sebelum ini pernah menjadi pertikaian, Idham berkata ia adalah panggilan untuk semua lelaki bergelar bapa, malah dia sendiri memanggil gelaran itu terhadap bapanya.

“Saya tidak rasa perkataan itu menyentuh sensitiviti sesiapa pun, kerana panggilan itu masih diguna pakai orang Melayu dan panggilan itu juga sudah tercatat di dalam kamus bahasa,” katanya.


Penangan Atukanda, Oyanganda

Melihat dari jalan cerita Gangster Celop, Idham ternyata tidak mengguna pakai formula yang pernah digunakan dalam filemnya sebelum ini.

Sebaliknya, ia digarap dengan cara lebih segar, termasuk babak komedi yang ada dalam filem ini.

Jalan cerita di susun seringkas mungkin dan tidak meletakkan terlalu banyak aksi, memandangkan ia adalah cerita mengenai kisah gangster yang sudah insaf.

Kewujudan Allahyarham Kuswadinata dan Lan Pet Pet walaupun untuk sebabak, namun masih sempat membuatkan penonton ketawa. Apatah lagi melihat karakter Lan yang bergelar ‘Atukanda’, tetapi lembut. Begitu juga dengan Kuswadinata yang
bergelar ‘Oyanganda’ yang sudah uzur, namun masih mengambil tahu mengenai dunia gangster.

Paling menarik, Idham pada mulanya menggarap perjalanan filem ini seperti sudah berakhir, namun ‘twist’ yang dilakukan merungkai segala persoalan yang ada pada permulaan cerita.

Pastinya, babak Aman (Kamal), Adam (Syamsul) dan Mat Jambu (Yus Raja Lawak) mendapat identiti baru yang menggunakan nama mereka sendiri, paling mencuit hati.


Kamal Adli paling menyerlah

Dari segi lakonan pula, tepukan gemuruh boleh diberi kepada Kamal Adli yang menjadi penghibur.

Malah tidak keterlaluan, Kamal berjaya membawakan karakternya dengan tersendiri tanpa dibayangi oleh Tai yang sepatutnya membawakan karakter Aman tersebut.

Begitu juga dengan Yus selaku Ayahanda @ Mat Jambu yang mencuit hati penonton dengan slanga Inggeris dan tidak mustahil menjadi ikutan.


Mat Jambu Vs Man Cirit

Gangster Celop mengisahkan dua anak yatim iaitu Aman dan Adam yang baru dibebaskan dari penjara ingin kembali ke pangkal jalan dengan meninggalkan dunia gengsterisme.

Namun, mereka ditugaskan menjaga Suzana, anak kepada Mat Jambu, ketua kumpulan yang dianggotai Aman dan Adam.

Pada masa sama, pertelingkahan merebut kawasan antara Mat Jambu dan Man Cirit makin serius hingga babitkan Suzana, Aman dan Adam.

Pelbagai konflik terjadi sehingga memaksa mereka lari meninggalkan Kuala Lumpur. Dapatkah Aman dan Adam membersihkan nama mereka? Apakah terjadi antara Mat Jambu dan Man Cirit? Dapatkan jawapannya di pawagam.



Sinar Harian