Pages

Showing posts with label Elaun. Show all posts
Showing posts with label Elaun. Show all posts

Tuesday, 12 March 2013

PM : KAKITANGAN AWAM DAPAT 1 KENAIKAN GAJI TAHUNAN

Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.


Kakitangan awam dapat satu kenaikan gaji tahunan
Sebahagian penjawat awam bertafakur dan berdoa memberi penghormatan kepada anggota keselamatan yang terkorban di Wisma Bapa Malaysia hari ini. - Foto Bernama


Kakitangan awam dapat satu kenaikan 
gaji tahunan


PUTRAJAYA - Kerajaan hari ini bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.
"Langkah itu akan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata semua inisiatif yang diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
Perdana Menteri juga berkata berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak tiga KGT.
"Ini bagi membolehkan seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang berkuatkuasa.
"Semoga inisiatif itu dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Najib berkata sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, dalam memastikan penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.
Perdana Menteri turut menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000 orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan. - Bernama

Sinar Harian

Monday, 11 March 2013

KAKITANGAN AWAM : PM UMUM 9 PERKARA BERITA BAIK

Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini.


Najib Tun Razak
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak


PM umum 9 perkara 'berita baik', kenaikan tahunan diawal


PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan 'berita baik' sembilan perkara yang dinantikan oleh 1.4 juta kakitangan awam termasuk kenaikan gaji tahunan yang diawalkan dan akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini.
Mengumumkan perkara itu di sini hari ini, Najib berkata, kesemua inisiatif yang diumumkan hari ini adalah sebahagian daripada sistem saraan baru iaitu Sistem Saraan Transformatif (SST) - yang menggantikan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan tahun lalu.

Antaranya:


- Mulai 1 Januari 2013, pangkat dalam ATM dan PDRM disetarakan dengan perkhidmatan awam iaitu Koperal ATM & PDRM dari gred gaji 17 kepada gred 22; Sarjan ATM dan PDRM dari Gred 27 kepada Gred 29; Kapten ATM dan Penolong Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 44; Mejar ATM dan Timbalan Penguasa Polis dari Gred 41 kepada 46A; Kolonel ATM dan Penolong Pesuruhjaya Polis dari Gred 48 kepada 52;

- 50,000 pegawai kontrak yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 akan disambung lagi setahun. Kajian menyeluruh akan dilaksanakan kemudian;
- Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10, dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat ini;
- Kerajaan setuju laksana urusan kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat dari tempoh 15 tahun kepada 13 tahun. Ia libatkan seramai 17,000 penjawat awam yang layak;
- Kerajaan setuju luaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi;


-  Seramai 182,434 penjawat awam punyai gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat kenaikan gaji tahunan, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum ditambah Kenaikan Gaji Tahunan sebanyak tiga kenaikan gaji tahunan (KGT) berkuat kuasa 1 Januari 2013;

- Sekiranya tiada pelarasan gaji atau semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus kepada pegawai yang capai dan punyai gaji maksimum;

- Dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), bagi KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan setuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan pariti perkhidmatan serta "pay for performanca";

- Kerajaan setuju beri semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion;



Sinar Harian

PM UMUM KENAIKAN ELAUN RUMAH & COLA HARI INI?

Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.


kakitangan awam
Kakitangan awam menghadiri satu majlis di Kota Bharu baru-baru ini. Hari ini kakitangan awam menanti 'berita baik' daripada perdana menteri. - Foto hiasan Sinar Harian


Menanti 'berita baik' PM hari ini, elaun rumah dan Cola naik?


SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja sektor awam meletakkan harapan tinggi agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan 'berita baik' menjelang tengah hari ini - antara dua hingga lima perkara penting termasuk imbuhan tetap perumahan dan kajian semula isu gaji maksimum.
Beberapa pemimpin Cuepacs yang dihubungi yakin sekurang-kurangnya akan ada dua pengumuman penting iaitu yang berkenaan dengan imbuhan tetap perumahan bulanan 1.4 juta kakitangan dan gaji maksimum yang menyentuh kepentingan sekitar 20,000 penjawat awam.
"Seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara sebelum ini, kami yakin akan ada berita baik berkenaan dua perkara ini, kalaupun tidak kesemua lima perkara," kata pemimpin kanan Cuepacs.
Bagaimanapun kata pemimpin itu, "saya tidak melihat akan ada pengumuman mengenai kenaikan gaji, sebab kenaikan gaji telah dibuat tahun lalu."
Oleh itu katanya, "berita baik lebih kepada soal kajian semula elaun seperti imbuhan perumahan dan elaun sara hidup (Cola)."
Najib dijadual hadir Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MAPPA XIII) di Putrajaya hari ini.
Seorang lagi pemimpin kanan Cuepacs yang tidak mahu namanya dipetik berkata, kajian semula kaedah gaji maksimum dilihat antara perkara penting akan diumumkan oleh perdana menteri.
"Perkara ini menjadi penantian ramai khususnya sekitar 20,000 kakitangan awam... kemungkinan pelaksanaan dikuatkuasakan mulai 1 Januari.
"Walaupun kesan pelaksanaan melibatkan 20,000 orang pada masa sekarang, tetapi dalam jangka panjang ia akan melibatkan kepentingan keseluruhan kakitangan awam," katanya.
Pemimpin itu juga tidak menolak kemungkinan Najib akan mengumumkan hasil kajian awal Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, yang ditubuhkan bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara.
"Kemungkinan beberapa baik dalam sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) (yang telah dibatalkan), seperti penyusunan semula gred akan diumumkan untuk pelaksanaan. Perkara baik dalam SBPA tak salah dikekalkan dan dilaksanakan," katanya.
Suruhanjaya itu yang dibentuk Mac 2012 dan bergerak sejak Jun lalu diberi masa enam bulan untuk membuat kajian.
Penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji transformasi perkhidmatan awam ini, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan tetapi juga rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.
Ia dibentuk susulan pembatalan pelaksanaan SBPA dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, termasuk pelarasan gaji antara tujuh hingga 13 peratus.
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, kertas kajian mengenai perubahan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum telah dikemukakan kepada kerajaan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Gaji.
Beliau berkata, kajian itu dilakukan oleh pihaknya bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berikutan perkara tersebut merupakan antara masalah yang dihadapi dalam perkhidmatan awam negara ini.
Ketua Setiausaha Negara berkata, masalah gaji sudah capai had maksimum atau statik dalam kalangan penjawat awam perlu perubahan selari dengan perkembangan semasa yang menyebabkan kenaikan kos hidup dan inflasi di negara ini pada kadar satu setengah peratus yang turut dihadapi penjawat awam.
Ali berkata, pada Sesi Amanat Perdana Menteri kepada Perkhidmatan Awam, hari ini, perdana menteri dijangka mengumumkan berita gembira kepada 1.4 juta penjawat awam.
"Kita tunggu sahaja perdana menteri membuat pengumuman tidak lama lagi dan kalau ada insentif, kita sama-sama tunggu.
"Tahun ini amat penting kerana kita perlu lihat kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam," katanya.
Katanya, untuk faedah jangka panjang, pihaknya kini meneliti mengenai 86 jenis elaun penjawat awam disebabkan ada antara elaun itu sudah lama belum dikaji semula seperti elaun perumahan.
Pemimpin-pemimpin Cuepacs juga menjangkakan pengumuman menarik mengambil kira pemberian insentif kepada kakitangan Kastam Diraja Malaysia, yang diumumkan akhir Januari lalu.
Warga agensi itu akan menerima insentif setengah bulan gaji sebagai penghargaan kerajaan kerana berjaya mengutip RM32.318 bilion tahun lepas, iaitu peningkatan 6.5 peratus berbanding 2011.
"Keseluruhan nampak ada kelainan kali ini. Jadi, kakitangan agensi lain juga mengharapkan sesuatu... kajian semula elaun ini antara yang penting," katanya.
Cuepacs memohon agar kerajaan menyeragamkan kadar Cola tidak kira zon. Begitu juga imbuhan tetap perumahan yang dilihat rendah mengambil kira kos hidup dan kadar sewa rumah yang semakin meningkat.


Sinar Harian

Saturday, 9 February 2013

LEBIH 80 ELAUN SEKTOR AWAM DIKAJI SEMULA


Beliau berkata, kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa
Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa

LABUAN - Lebih 80 jenis elaun penjawat awam termasuk elaun sara hidup akan dikaji semula bagi melihat kesamarataan, kesaksamaan dan kemunasabahan, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini.
Beliau berkata, kajian itu bagi memastikan kebajikan penjawat terus terbela dan akan menjadi berita gembira yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, pelbagai persoalan dan permintaan daripada kalangan penjawat awam yang inginkan kemunasabahan termasuklah status gred, status perjawatan kontrak, pelbagai elaun termasuklah perumahan dan tuntutan perjalanan telah diajukan semenjak beliau dilantik memegang jawatan itu.
"Kesemua ini adalah termasuk daripada jumlah lebih daripada 80 jenis elaun yang akan dikaji semula secara terperinci demi melihat kesamarataan dalam sistem pemberian elaun. Bukan itu sahaja gaji yang statik turut juga akan dikaji dan diberi perhatian," katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang bersama ketua-ketua kampung dan penduduk Kampung Sg Labu di sini hari ini.
Terdahulu beliau turut menjawab soalan dan kemusykilan penjawat awam dalam satu sesi dialog pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam. Lebih 1,000 penjawat awam hadir pada majlis itu.
Ali berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi perkhidmatan penjawat awam, namun mengingatkan mereka supaya tidak mudah berpuas hati tetapi sentiasa berusaha membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam.
Katanya, penjawat awam adalah pemelihara kepentingan awam dan sehubungan itu perlu mematuhi semua undang-undang, peraturan, arahan atau prosedur dan kegagalan berbuat demikian akan membolehkan tindakan tatatertib diambil mengikut Peraturan Peraturan Awam 1993 ataupun Akta Rahsia Rasmi 1972.
Selain itu, katanya, satu daripada elemen penting bagi menjamin kemajuan perkhidmatan awam adalah hubungan baik dan saling memahami antara majikan dan pekerja yang harus terus dipupuk.
"Konsep Masyarakat Penyayang perlu wujud... sikap prihatin ketua jabatan (dengan pekerja bawahan) akan menimbulkan keseronokan bekerja yang akhirnya meningkatkan kecekapan dan produktiviti perkhidmatan awam," katanya.
Beliau yang berkesempatan melawat beberapa projek pembangunan di Labuan turut melahirkan kepuasan hati dengan kemajuan projek yang menurut beliau akan memberi impak positif kepada rakyat. - Bernama