Pages

Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Tuesday, 30 July 2013

GAMBAR OBJEK PUTIH ORANG RUKUK & POKOK-POKOK MENUNDUK, BERI KEINSAFAN

Irfan Mat Daud, 47 dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Rambutan Rendang, di sini berkata, objek tersebut dilihatnya kira-kira jam 4.30 pagi semasa dia bangun untuk bersahur.


Objek putih yang dikatakan menyerupai orang rukuk dalam solat dilihat di dahan pokok hadapan rumah Irfan, kelmarin.

Anggap kewujudan objek rahmat Ramadan


KOTA BHARU- Kehadiran objek seperti cahaya datang dari dahan pokok di hadapan rumahnya dianggap sebagai satu rahmat pada bulan puasa dan memberi keinsafan dalam diri apabila ia menjelma sebelum subuh, kelmarin.

Irfan Mat Daud, 47 dari Kampung Chekok Tengah, Jalan Rambutan Rendang, di sini berkata, objek tersebut dilihatnya kira-kira jam 4.30 pagi semasa dia bangun untuk bersahur.

“Saya pulang dari kerja pembersihan kira-kira jam 4 pagi dalam keadaan hujan rintik dan cukup sejuk pagi itu, malah lebih menghairankan, pokok-pokok dilihat ‘menunduk’ dan layu, muncul seketika sahaja.

“Selepas berada di dalam rumah, saya menyelesaikan solat hajat kerana berasakan malam tersebut sangat pelik. Kemudian, saya rasa mahu mengambil gambar di luar rumah apabila melihat pokok seperti kelayuan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Irfan berkata, dia melihat terdapat satu objek putih yang dilihat dengan mata kasar seperti kapas yang sedikit bergerak dan dia tertarik untuk merakam gambar objek berkenaan dan apabila dilihat melalui rakamannya, ia seperti orang rukuk dalam solat.

Kata Irfan, dengan rakaman gambar yang dilakukannya, dia menanyakan hal tersebut kepada beberapa ustaz yang dikenali dan rata-rata mereka mengatakan ia satu rahmat dari ALLAH dan memberi keinsafan kepada saya serta keluarga untuk melipat gandakan amalan pada bulan mulia ini.

Katanya, perkara itu dianggap satu perkara baik dan berharap ia mampu memberi kesedaran dan keinsafan kepada semua umat Islam.


Sinar Harian

Wednesday, 17 July 2013

KISAH BENAR: JENAZAH DIHURUNG LANGAU, LIANG LAHAD DIGENANGI AIR

Menurutnya, pendulang emas berusia 52 tahun ketika itu yang juga peneroka tinggal berdekatan dengan rumahnya, meninggal dunia selepas terjatuh dalam tandas ketika sedang minum di sebuah kedai makan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.

Jenazah dihurung langau
Abdullah berkongsi pengalaman agar menjadi pengajaran kepada masyarakat.

Jenazah dihurung langau


KEMAMAN – Dipercayai akibat gemar berfoya-foya dengan wanita di Thailand, jenazah seorang pendulang emas bukan sahaja dihurung langau, malah liang lahadnya turut digenangi air.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebuah kampung di daerah ini yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah Musa berkata, kejadian yang berlaku pada 11 tahun lalu itu benar-benar menginsafkan.

Menurutnya, pendulang emas berusia 52 tahun ketika itu yang juga peneroka tinggal berdekatan dengan rumahnya, meninggal dunia selepas terjatuh dalam tandas ketika sedang minum di sebuah kedai makan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.

“Apabila mendapati arwah tidak keluar dari tandas, pelayan kedai itu pergi memeriksa sebelum menemui arwah terbaring dengan mulut berbuih. Kes dilaporkan kepada polis, namun polis mengesahkan tiada unsur jenayah.

“Walau telah dilap, buih pada mulut arwah masih keluar dan ketika memandikan jenazahnya, secara tiba-tiba, datang beberapa langau dan menghurungnya,” katanya yang membantu memandikan jenazah.

Bercerita lanjut, katanya, kerja-kerja pengebumian sedikit terganggu apabila liang lahad yang digali digenangi air kerana hujan lebat turun selepas selesai kerja-kerja menggali kubur dilakukan penduduk.

“Jenazah dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 5 petang. Air dalam liang lahad waktu itu paras lutut. Biarpun ditimba berkali-kali, tetapi air tidak berkurang dan kami terpaksa juga semadikan jenazah dalam keadaan begitu,” katanya.

Kata Abdullah, sepanjang hayat, arwah hidup mewah kerana dia pakar mendulang emas, selain memperoleh hasil dari ladang kelapa sawit yang diusahakannya.

Difahamkan, setiap kali mempunyai wang banyak, arwah akan pergi berhibur ke Selatan Siam selama beberapa hari dan pernah mengajak penduduk kampung untuk pergi berhibur bersama samanya.

“Apabila orang kampung tanya buat apa pergi ke Thailand, arwah cakap nak cari ‘mek’,” katanya sambil memberitahu perkongsian pengalaman itu bukan untuk mengaibkan sesiapa, sebaliknya untuk dijadikan pengajaran kepada seluruh umat Islam supaya dapat menghindari perbuatan yang ditegah apatah lagi pada Ramadan yang mulia ini.



Sinar Harian

Friday, 5 July 2013

MUKJIZAT NABI MUHAMMAD SAW | BULAN TERBELAH DUA

Mereka berkata, “Jika benar kamu seorang Nabi diutuskan ALLAH SWT belahkan bulan yang sedang mengambang pada malam ini kepada dua bahagian”.

Bulan terbelah dua mukjizat Muhammad
- Gambar sekadar hiasan

Bulan terbelah dua mukjizat Muhammad


PADA suatu hari, sekumpulan pemimpin Quraisy datang menemui Nabi Muhammad SAW. Mereka mencabar Rasulullah SAW supaya menunjukkan mukjizat, mereka mahu melihat dengan mata kepala sendiri.

Mereka berkata, “Jika benar kamu seorang Nabi diutuskan ALLAH SWT belahkan bulan yang sedang mengambang pada malam ini kepada dua bahagian”.

“Adakah jika permintaan ini aku penuhi, kalian berjanji untuk menerima dakwahku dan kita semua bersama-sama menyembah ALLAH, Tuhan yang satu?” kata Baginda SAW.

Pembesar itu pun menganggukkan kepala tanda bersetuju terhadap syarat yang diberikan Rasulullah SAW.

Baginda mengangkat tangan berdoa dan memohon kepada ALLAH supaya membelah bulan untuk dijadikan bukti kekuasaan ALLAH Yang Maha Esa.

Sesungguhnya ALLAH itu Maha Besar, tanpa disangka pembesar Quraisy itu mereka akhirnya dapat menyaksikan sendiri bagaimana bulan mengambang penuh yang menghiasi langit pada malam itu bukan sahaja terbelah kepada dua bahagian, tetapi terpisah jauh antara satu sama lain.

Separuh  dilihat berada di sebalik gunung di sebelah kiri dan separuh bulan lagi dapat disaksikan berada pada sebalik gunung di sebelah kanan dengan keadaan masih bercahaya.

Walaupun begitu asyik menyaksikan kejadian luar biasa itu, dalam kalangan kafir Quraisy tidak menepati janji, mereka tidak mahu mempercayai apatah lagi untuk menerima dakwah Nabi.

Kafir Quraisy mengagumi melihatkan kejadian itu tetapi tetap tidak dapat menerima kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Mereka percaya kejadian itu benar, tetapi tetap menuduh Baginda SAW seorang ahli sihir yang berkebolehan untuk membelah bulan tersebut.



Sinar Harian

Saturday, 15 June 2013

KEMUNCULAN BARA API DI YAMAN TANDA-TANDA KIAMAT?

Penduduk yang tinggal di lingkungan al-Salam, kota al-Hodaidah, panik akibat meunculnya api dari bawah tanah sebelah cekungan drainase dan lidah asap yang mengepul dari retakan bumi.



Tanda Tanda Kiamat Fenomena Api Hijaz


YAMAN- Jumaat (07/06/13) Secara tiba-tiba api dan asap keluar dari perut bumi di salah satu propinsi Yaman. Hal ini mengundang kebanyakan rasa takut dikalangan penduduk tersebut, di mana mereka tidak pernah mendapat penjelasan secara ilmiah untuk fenomena aneh ini.


Penduduk yang tinggal di lingkungan al-Salam, kota al-Hodaidah, panik akibat meunculnya api dari bawah tanah sebelah cekungan drainase dan lidah asap yang mengepul dari retakan bumi.

Warga Yaman mengatakan, sejak 10 hari yang lalu secara tiba-tiba asap mengepul dan keluar dari bumi. Kemudian diikuti oleh kebakaran yang mengakibatkan retakan. Dan dua hari kemudian api semakin meningkat secara mendadak.

Maka sesungguhnya telah datang (hari Kiamat) tanda-tandanya. (QS.47:18)

Sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka dan kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit. (QS.54:46)

Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya). (QS.21:01)

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu bahwa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda :
“Tidak akan terjadi hari Kiamat sampai api keluar dari tanah Hijaz yang menerangi leher-leher unta di Bashra.”

Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari ra, berkata: “Datang kepada kami Rasulullah SAW dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang. Lalu beliau bersabda: “Apa yang kamu perbincangkan?” Kami menjawab: “Kami sedang berbincang tentang hari kiamat”. Lalu Nabi SAW bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya”. Kemudian beliau menyebutkannya: “Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turunnya Isa bin Maryam as, Ya’juj dan Ma’juj, tiga kali gempa bumi, sekali di timur, sekali di barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab yang akhir sekali adalah api yang keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia kepada Padang Mahsyar mereka”. – (H.R Muslim)



Thursday, 6 June 2013

HUKUM MAKAN ISI & TELUR BELANGKAS

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

HUKUM MAKAN ISI & TELUR BELANGKAS


Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya


Keputusan
 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas. Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
     
  2. Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah diharuskan.

Monday, 20 May 2013

IBU BAPA DERHAKA KEPADA ANAK | SIKAP IBU BAPA PUNCA ANAK DERHAKA

Kamulah yang telah berlaku buruk dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadap mu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.

Sikap ibu bapa punca anak derhaka
Setiap anak dilahirkan fitrah, bersih, dan suci. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu dan ayah mendidiknya.

Sikap ibu bapa punca anak derhaka


"SIAPA kata tiada istilah ibu ayah menderhaka kepada anak? Memang wujud dan berlaku keadaan di mana seorang ibu atau ayah itu menderhaka kepada anaknya," kata Mohd Ashrof Zaki.

Memetik satu kisah berlaku pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA, Mohd Ashrof Zaki berkata, seorang lelaki telah datang menemui Khalifah Umar al-Khattab RA mengadukan hal kederhakaan anaknya.

Lalu Umar memanggil anak lelaki itu dan memarahinya kerana derhaka kepada bapanya serta lupa kepada hak bapanya. Anak itu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, tidakkah anak mempunyai hak ke atas bapanya?” Umar menjawab: “Ya.” Dia bertanya lagi: “Apakah ia wahai Amirul Mukminin?” Jawab Umar: “Memilih ibunya, memberikan nama yang baik dan mengajarnya al-Kitab (al-Quran).”

Anak itu berkata: “Wahai Amirul Mukminin! Sesungguhnya bapak u tidak pernah melakukan satu pun perkara tersebut. Mengenali ibu saya, dia dahulunya seorang hamba berkulit hitam dan tuannya seorang Majusi. Saya pula dinamakan “Ju’olan” iaitu sejenis kumbang biasa berwarna hitam.

Dia juga tidak pernah mengajarkan aku walau satu huruf pun dari al-Quran. Umar lantas berkata kepada lelaki itu: “Kamu telah datang mengadukan kederhakaan anak mu, walhal kamulah yang telah menderhakainya.

Kamulah yang telah berlaku buruk dan jahat sebelum dia berlaku demikian terhadap mu.” Begitulah, Saidina Umar meletakkan kesalahan kepada si bapa, lantaran kecuaiannya dalam mendidik anaknya sendiri.

Mohd Ashrof berkata, kisah ini jelas menunjukkan ibu bapa yang inginkan anaknya tidak menderhakai mereka perlu terlebih dahulu menunaikan hak anak. Ibu bapa harus mempersiapkan diri supaya menjadi baik jika mahu anak baik.

Kadang-kala berlaku keadaan di mana si anak menengking atau meninggikan suara kepada ibu bapa, jika dilihat balik barangkali ibu atau ayahnya juga sering meninggikan suara atau menengkingnya.

Menurutnya, walaupun, hendak memarahi anak perlu dilakukan mengikut saranan Nabi SAW.

"Marah dan tegurlah dengan iman dan hemah, bukannya marah mengikut cara yang tidak diajar dalam Islam.

"Jika berlaku anak menderhaka, ibu bapa harus periksa kembali di mana silapnya dalam mendidik. Namun, setelah berusaha melakukan semua yang baik seperti yang disuruh dalam Islam tetapi masih berlaku anak menderhaka, maka janganlah berputus asa, kerana sesungguhnya ia adalah ujian ALLAH," kata Mohd Ashrof.



Sinar Harian

Friday, 22 February 2013

TANDA KIAMAT KECIL MENURUT FAKTA SAINS

Dalam al-Quran objek serpihan angkasa seperti asteroid, meteor dan komet dinyatakan sebagai ‘bintang yang cahayanya menembus’, manakala meteor pula dijelaskan kegunaannya sebagai alat pelempar syaitan.
Foto

- KIAMAT KECIL -

Boleh dikatakan bumi dianggap kapal angkasa yang mengelilingi matahari dengan kelajuan 30 kilometer sesaat.

Ia terus-menerus berlanggar dengan jirim yang berterbangan di ruang angkasa lepas seperti debu dan batu. 

Jirim dikenali sebagai meteorit dan jika memasuki ruang bumi, ia akan terbakar dan membentuk meteor atau tahi bintang, seperti kejadian di Russia, baru-baru ini.


Ruang angkasa yang dihiasi bintang, bulan dan planet adalah penghias langit anugerah Allah.


Angkasa juga mengandungi berjuta-juta bintang dan objek angkasa lain yang tidak boleh dilihat dengan pancaindera manusia seperti galaksi, kuasar, pulsar dan lohong hitam (black hole).


Dalam pada itu, kedatangan berkala ‘batu angkasa’ seperti meteoroid, komet dan asteroid kadang kala menggemparkan. 

Ahli astronomi menganggarkan 1,000 hingga 4,000 tahun asteroid yang merentasi orbit bumi, manakala 200 komet boleh dilihat dari bumi secara berkala dalam tempoh beberapa ratus tahun. 

Komet yang paling popular ialah Komet Hailey yang mengorbit setiap 76 tahun.

Dalam al-Quran objek serpihan angkasa seperti asteroid, meteor dan komet dinyatakan sebagai ‘bintang yang cahayanya menembus’, manakala meteor pula dijelaskan kegunaannya sebagai alat pelempar syaitan.

Jika ada yang masih ingat, bagaimana peristiwa perlanggaran planet Musytari oleh serpihan komet Shoemaker-Levy 9 pada Julai 1994 dan garis pusat kesan impak itu adalah lebih kurang saiz garis pusat bumi.

Perkataan komet itu berasal daripada bahasa Yunani bermaksud ‘yang berbulu’ namun secara saintifik pula, takrif sebenar komet yang mempunyai kepala dan berekor, adalah jasad beku antara planet yang melepaskan gas dan debu sewaktu mendekati matahari.

Gas dan debu itu membentuk kepala iaitu objek bulat/bujur atau Koma yang terang dan mempunyai dua ekor panjang, iaitu ekor plasma dan ekor debu.

Bahagian Koma itu pula mempunyai nukleus yang mengandungi ais, manakala ekor plasma yang juga dikenali ekor ion selalunya lurus pada arah berlawanan dengan matahari atau searah dengan angin suria.

Ekor debu mengikut arah orbit komet dan ia mengandungi partikel halus serta debu yang ada kalanya melengkung.

Maka, jika dilihat melalui teleskop besar, ia mungkin kelihatan seperti bebola api yang panas dan terang benderang, tetapi hakikatnya, ia adalah bebola ais yang sejuk tetapi cair dan meruap apabila terkena cahaya matahari.

pix_topright


Komet yang mengandungi ais dan debu itu bersifat mudah pecah. Dari segi teori, ia dikatakan berasal dari satu kawasan di luar sistem planet dan suria dikenali awan Oort.

Awan Oort itu adalah tempat berkumpulnya semua komet yang akan keluar menuju ke matahari. Bagaimanapun, komet bukanlah tahi bintang atau meteor.

Manakala meteoroid adalah ketulan batu atau logam yang datang dari kawasan luar angkasa dan jatuh menembusi atmosfera bumi.

Asteroid pula merangkumi bahan serpihan daripada pembentukan sistem suria.

Menurut teori, asteroid pada asalnya adalah planet yang musnah akibat perlanggaran kuat dengan saiz yang berbeza, misalnya Ceres berdiameter kira-kira 1,000 kilometer (km) hingga sekecil saiz batu kerikil.

Setakat ini, sebanyak 16 asteroid dikenal pasti mempunyai diameter 240 km atau lebih besar ditemui di antara orbit bumi hingga orbit Zuhal.

Namun, kebanyakan asteroid ada di kawasan lingkaran utama di antara Marikh dan Musytari yang dinamakan lingkaran asteroid.

Batu antara komet dan asteroid pula dipanggil meteoroid manakala meteor seperti yang dijelaskan adalah hasil percikan api selepas meteoroid jatuh menembusi atmosfera bumi.

Mudahnya, meteor mempunyai jaringan orbitnya yang tersendiri dan lebih dikenali sebagai meteoroid (saiz rentas kurang daripada satu kilometer) dan juga asteroid (apabila membabitkan saiz lebih besar (lebih satu kilometer).

Jika meteoroid itu tidak terbakar keseluruhannya dan jatuh menghentam permukaan bumi, ia dinamakan meteorit.

Hasil kajian terhadap meteorit mendapati, 92.8 peratus mengandungi silika dan 5.7 peratus besi dan nikel, manakala bakinya campuran ketiga-tiga bahan itu.

Fenomena meteor jatuh ke bumi berlaku setiap malam dengan bilangan purata empat bilion meteor, kebanyakannya bersaiz kecil (besar sedikit daripada saiz atom) dan berat terkumpul melebihi beberapa tan metrik.

Satu jumlah yang agak besar dan memeranjatkan namun boleh diabaikan kerana kebanyakan menjadi debu dan jika ia berjaya merentasi halangan sesaran serta suhu yang amat tinggi, saiz batu terbabit tidak berbahaya dan amat kecil jika dibandingkan dengan berat keseluruhan bumi pada 6,600,000,000,000,000,000,000 tan metrik.

Sebanyak 90 peratus daripada meteor di bumi berasal daripada meteoroid yang berlegar di antara planet Marikh dan Musytari.

Apa yang menarik mengenai fenomena kejatuhan meteoroid adalah pada keindahan cahaya yang dipancarkan seperti yang dirakam pelbagai kamera ketika meteor melintas langit Rusia, baru-baru ini.

Cahaya berkenaan terhasil apabila meteoroid berlanggar dengan molekul udara membuatkan kehilangan elektron pada jumlah yang banyak dan pertemuan antara atom yang tertinggal dengan elektron dari udara membuatkan cahaya terpancar pada warna tertentu.

Di udara apabila kelihatan meteoroid berwarna jingga kekuningan, elemen natrium dipercayai hadir dan jika cahaya yang terpancar berwarna kuning, kemungkinan besar elemen pada meteor itu adalah besi.

Bagi cahaya biru kehijauan, elemen magnesium, ungu menandakan kehadiran kalsium, manakala cahaya merah menandakan kehadiran elemen silikon.

Terdapat tiga meteor termasuk batu, besi dan batu berbesi. Meteor jenis berbatu pula terbahagi kepada jenis ‘chondrites’ beku dan chondrites cair.

Chondrites dipercayai terbentuk pada satu masa yang sama dan dari bahan sama seperti planet berbatu di bahagian tengah sistem suria.

Secara saintifik, Chondrites adalah campur-aduk daripada pelbagai bahan; kebanyakan mengandungi bintik campuran logam besi dan tembaga putih yang berkilat, serta tompok berwarna pucat CALs (Calcium and Aluminium-rich Inclusions) yang mengandungi sedikit kalsium dan aluminium.

Pengkajian chondrites boleh menjelaskan mengenai bagaimana planet tercipta dan bahan asal yang membentuk planet dalam sistem suria.


Harian Metro








Monday, 2 January 2012

MISTERI BEKAS ORANG MINYAK DITEMUI

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

- Untuk membaca permulaan kisah Orang Minyak ini, sila KLIK SINI -

minyak yang dijumpai

- Misteri bekas Orang Minyak -

GOMBAK – Tiga bekas berisi minyak hitam dan satu botol minyak zaitun ditemui dalam sebuah rumah kosong di Jalan Laksamana 1/5.

Barangan tersebut ditemui susulan maklumat yang diterima unit rondaan penduduk mengenai satu lembaga yang melompat ke rumah tinggal berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi semalam.

Penduduk, Norhan Shafiq, 22 berkata, dia memberanikan diri memasuki kawasan rumah kosong bagi membuat pemeriksaan sebelum terjumpa bekas minyak berkenaan.

“Saya jumpa bekas berwarna kuning di dalam tandas manakala dua lagi bekas minyak dan satu botol minyak zaitun ditemui di bilik utamanya,” katanya.

Sementara itu pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa helai pakaian di dalam rumah tersebut.

Penduduk mensyaki rumah kosong tersebut menjadi lokasi sementara suspek menyembunyikan diri dan bertukar orang minyak

Bagaimanapun rondaan sehingga jam 6.00 pagi tidak menemui sebarang perkara pelik di sekitar kampung tersebut.


Penduduk guna benang, jaring cekup orang minyak

GOMBAK – Benang dan jaring bakal digunakan penduduk Kampung Laksama dalam misi menangkap lembaga didakwa orang minyak.

Pengamal perubatan alternatif, Kamal Abu Zaman penggunaan bahan-bahan itu adalah sebahagian ikhtiar memberkas pengamal ilmu hitam yang menyebabkan kampung itu huru-hara sejak dua minggu yang lalu.

Menurutnya benang dan jaring yang sudah dibacakan ayat suci al-Quran itu akan direntangkan lokasi yang disyaki menjadi laluan orang minyak.

“Apa yang kita buat ini adalah antara ikhtiar yang dipraktikkan sejak zaman Rasullah dan ianya berkesan untuk menumpaskan pembuat sihir dan ilmu hitam menggunakan beberapa surah utama ayat suci al-Quran.

“Insya-Allah bila makhluk itu terpijak atau terkena jaring ini, kuasanya sihirnya akan hilang dan dianya akan bertukar menjadi manusia biasa kembali dan ketika itu kita boleh menangkapnya,” katanya.

Menurutnya mereka yang terlibat dalam mengamalkan ilmu hitam itu sebenarnya disumpah dan mereka perlu menjadi orang minyak untuk memastikan ilmunya bertambah kuat.

“Saya yakin gangguan ini akan berakhir tidak lama lagi kerana kuasa Allah tidak mampu ditandingi oleh sesiapa kerana kita semua adalah sebahagian dari makhluk ciptaan-Nya,” katanya.


Gangguan berterusan

GOMBAK – Gangguan didakwa perbuatan orang minyak semakin menjadi-jadi.

Terbaru, sebuah rumah di Jalan Laksamana 2, di sini dipercayai diganggu makhluk berkenaan sejak dua malam berturut-turut.

Mangsa, Sahimah Ismail, 40, berkata, rumahnya mula diganggu sejak Selasa lalu dan kejadian disedari anak saudara dan abang iparnya yang tidur di ruang tamu.

“Mereka terjaga selepas terdengar bunyi tombol pintu sebelum diikuti dengan ketukan pada pintu rumah selama kurang seminit sebelum bunyi itu lenyap,” katanya mempunyai anak gadis berusia 19 tahun.

Menurutnya, menyedari gangguan itu, pemeriksaan dilakukan namun tidak ada sesiapa dikesan berada di kawasan luar rumah.

Gangguan tidak berhenti setakat itu dan pada malam Jumaat lalu seisi rumahnya terjaga selepas dikejutkan dengan kejadian tingkap cermin tiiba-tiba pecah.

“Bunyi kaca pecah itu mengejutkan semua orang malah sebelum itu tombol pintu itu turut dipulas beberapa kali,” katanya.


Rela bergilir adakan rondaan

GOMBAK – Anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) Kampung Laksamana dengan kerjasama Unit Amal Gombak akan mengadakan rondaan secara bergilir setiap malam bermula jam 1 pagi sehingga Subuh di kampung itu.

Ketuanya, Anuar Harun berkata pihaknya mengalu-alukan penyertaan orang kampung bagi menambah keanggotaan pasukan beruniform di kampung itu.

Menurutnya jika ramai yang menyertai rondaan secara bergilir dan bersistematik dapat diatur bagi memastikan tahap keselamatan kampung berada pada tahap yang terbaik.

“Platun di kampung ini meskipun masih baru ianya berperanan besar dan masalah terbaru di kampung ini ketika amat memerlukan penugasan anggota yang meronda berjalan kaki dan menunggang motosikal,” katanya.

Menurutnya terdapat 60 orang anggota Rela berdaftar di kampung itu dan jumlah itu diharap boleh bertambah dalam masa beberapa hari lagi.

“Anggota sebelum ini pernah menggagalkan cubaan memecah masuk rumah tahun lalu ,”katanya.


Sumber : Sinar Harian

** Untuk membaca kisah permulaan Orang Minyak ini, sila KLIK SINI.

AKHIRNYA HANTU KAK LIMAH DIPENJARA DALAM BOTOL

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

- Untuk membaca permulaan Hantu Kak Limah ini, sila KLIK SINI - 


Kak Limah dipenjara dalam botol

- Kak Limah dipenjara dalam botol -

Misteri gangguan makhluk halus menyerupai hantu Kak Limah menyelubungi kehidupan satu keluarga di Kampung Temiang, Marang Terengganu sejak lebih seminggu lalu terungkai apabila seorang ustaz yang menggunakan kaedah perubatan secara Islam tampil membantu.

Proses pemulihan yang dilakukan Ustaz Nor Hasrul Mohd Hassan dari Perubatan Syifa Al Ikhlas yang berpangkalan di Serendah, Selangor itu yang tiba kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, bermula di rumah pusaka keluarga berkenaan di Jerangau kira-kira jam 4 petang.

Bagaimanapun usaha untuk menghalau makhluk halus di rumah Syaawal Mazlan di Kampung Temiang, di sini hanya dilakukan kira-kira jam 9 malam berikutan detik itu dikatakan bermulanya kehadiran makhluk menyerupai hantu Kak Limah itu.

Kak Limah adalah nama watak seorang wanita yang disangka jelmaan hantu dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang mendapat sambutan hangat di pawagam tahun lalu.

Usaha Sinar Harian untuk tiba ke lokasi berkenaan agak mencabar berikutan lokasi rumah keluarga terbabit yang agak terpencil, selain keadaan hujan lebat ditambah jarak rumah agak jauh lain merumitkan lagi proses mendapatkan maklumat daripada penduduk kampung.

Bagaimanapun, selepas berjaya masuk ke jalan yang bakal menghubungkan Kampung Temiang melalui laluan Wakaf Tapai-Marang, kewujudan sebuah warung kopi di tepi jalan dengan kesediaan pelanggannya yang terdiri daripada penduduk tempatan memberi maklumat diperlukan, memudahkan usaha untuk menjejaki rumah Syaawal yang menjadi lokasi liputan bahan berita itu.

Sebaik tiba di lokasi dituju, wartawan Sinar Harian terpaksa pula meninggalkan kereta di tepi jalan kecil kerana rumah itu terletak agak jauh di tengah padang.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai, perjalanan menuju ke rumah itu amat mencabar. Terpaksa meredah selut berlumpur selain situasi gelap yang amat menyeramkan.

Sedia menanti termasuk bapa Syaawal, Mazlan Ali, 55, dan ahli keluarga terde­kat selain penduduk kampung turut tidak melepaskan peluang.

Sinar Harian yang tiba ke rumah papan dibina semula daripada perkayuan rumah pusaka keluarga berkenaan bagaimanapun tiba-tiba dikejutkan dengan situasi tegang melibatkan adik Syaawal, Mat Ali, 15, yang secara tiba-tiba menangis, tidak sedarkan diri dipercayai akibat dirasuk.

Selang beberapa minit kemudian, tatkala ahli keluarga sedang menenteramkan Mat Ali, kakaknya, Masliana, 31, tiba-tiba dikatakan terpandang lembaga berambut panjang duduk di alang rumah.

Ustaz Hasrul pada ketika itu berada di rumah berdekatan selepas menikmati makan malam sebaik dimaklumkan perkara itu, bergegas ke rumah Syaawal lalu terus memulakan proses menghalau makhluk halus yang merasuk.

Pada masa itulah, Masli­ana tiba-tiba menunjukkan aksi dan tenaga luar biasa, membuka pencak silat untuk bertarung dengan Ustaz Hasrul. Tiada langsung ciri-ciri kewanitaan pada lagaknya, yang kelihatan hanya langkah pendekar. Namun, biar begitu hebat pun Masliana, mudah sahaja langkahnya dimatikan Ustaz Hasrul dengan ayat suci al-Quran. Ternyata yang bersilat itu bukan Masliana sebenar tetapi makhluk halus yang menguasai tubuhnya.

Bacaan ayat al-Quran selain azan akhirnya berjaya membuat jin yang menguasai wanita itu terperangkap. Masliana pulih apabila jin terbabit berjaya dikurung di dalam botol oleh Ustaz Hasrul. 

Kena sembelih

Mat Ali dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat dirasuk makhluk halus dipercayai jin kafir itu sempat berkomunikasi dengan Ustaz Hasrul sebelum jin itu dimatikan melalui sembelihan leher secara kaedah kebatinan.

Jin yang merasuk ke dalam tubuh Mat Ali akhirnya berjaya dikeluarkan selepas hampir setengah jam berhempas pulas dan ia turut dimasukkan ke dalam botol plastik.

Ustaz Hasrul kemudian menepung tawar katil pusaka dipercayai menjadi punca segala kemelut yang berlaku.

Proses rawatan tidak meng­­gunakan sebarang alat lain seperti kemenyan atau asap yang biasa digunakan bomoh tradisional kecuali air penawar itu berakhir kira-kira jam 11.15 malam, sebelum penduduk kampung bersurai setelah kesemuanya berpuas hati dengan kejayaan rawatan diberikan.

Akhirnya, kehadiran Ustaz Hasrul membantu mengusir makhluk halus yang mengganggu keluarga tanpa bayaran, berjaya mengembalikan semula keharmonian hidup keluarga Syaawal.


Sumber : Sinar Harian

** Untuk membaca permulaan kisah Hantu Kak Limah ini, sila KLIK SINI.