Insiden yang berlaku sepantas kilat itu telah mengakibatkan sebahagian wajah, lengan dan kaki kiri Noorshila melecur teruk akibat disambar api.
TIDAK mahu sebarang simpati, Noorshila bagaimanapun bersyukur dengan kata-kata sokongan yang diterimanya daripada pihak yang prihatin menerusi laman-laman sosial dan panggilan telefon. |
Melecur, Noorshila Amin enggan terima pelawat
BENARLAH kata pepatah, malang tidak berbau. Itulah yang menimpa diri penyanyi Noorshila Amin yang cukup terkenal menerusi lagu popularnya, Rambu Ramba dan Kad Ucapanmu apabila sebahagian anggota badannya melecur akibat disambar api yang berpunca daripada tong gas bocor di kediaman anaknya pada Sabtu lalu.
Insiden yang berlaku sepantas kilat itu telah mengakibatkan sebahagian wajah, lengan dan kaki kiri Noorshila melecur teruk akibat disambar api.
Ketika kejadian, penyanyi itu sedang sibuk memasak untuk majlis rumah terbuka anak sulungnya, Nurul Admiena Norizzan di Kepong, Selangor. Ibu kepada empat orang anak itu mendapat rawatan segera di sebuah klinik di Selayang.
Meskipun dia kini sedang berehat, Noorshila enggan menerima lawatan dan simpati orang ramai. Katanya, cukup dengan hanya sokongan menerusi panggilan telefon dan juga laman sosial. Ikuti temu bual Noorshila bersama Kosmo!.
Kosmo!: Bagaimanakah kejadian itu berlaku? Boleh anda ceritakan sedikit?
NOORSHILA: Kejadian berlaku dengan sangat cepat. Saya sibuk memasak di dapur dan tidak sedar tong gas itu bocor. Ketika ingin ambil barang masakan berdekatan tong gas, tiba-tiba sahaja api menyambar di bahagian belah kiri anggota badan saya. Akibatnya, wajah, lengan dan kaki saya melecur.
Adakah keadaan anda begitu teruk?
Alhamdulillah, tidak terlalu teruk. Saya hanya dapatkan rawatan di klinik sahaja. Doktor hanya memberi ubat sapu dan ubat tahan sakit. Sekarang luka melecur itu hampir pulih dan mengeluarkan air. Kening saya pun sebelah tidak ada. Buat masa ini, saya harus berehat selama dua minggu atas nasihat doktor.
Adakah anda trauma dengan kejadian ini?
Tidaklah sampai trauma tetapi selepas ini perlu berhati- hati dalam apa sahaja yang kita lakukan. Nasib baik api yang menyambar saya tidak begitu kuat, jika tidak, saya tak tahu bagaimana keadaan saya. Saya bersyukur dan menerima ujian Allah ini dengan reda. Saya harap rakan serta peminat tidak perlu bimbang, kalau boleh saya tidak mahu menerima pelawat buat masa ini.
Mengapa enggan terima pelawat?
Saya tidak mahu jumpa siapa-siapa pun kerana masih dalam proses pemulihan. Saya tidak mahu simpati kerana apa yang saya alami sekarang bukanlah teruk sangat. Ikutkan saya hanya melecur, selain daripada itu saya sihat. Bagi saya, memadailah kata-kata sokongan yang saya terima menerusi panggilan telefon dan juga laman sosial daripada semua pihak yang prihatin.
Apakah perancangan anda selepas ini?
Selepas luka melecur sembuh, saya akan mendapatkan rawatan pakar di hospital untuk pulihkan wajah saya seperti biasa. Kesan lecur di tangan dan kaki saya tidak kisah kerana saya bertudung, kesan itu boleh ditutup dengan pakaian tetapi di wajah orang boleh melihat, saya juga masih menyanyi. Doakan yang terbaik untuk saya.
Kosmo
No comments:
Post a Comment